Artikel Popular

Friday, September 6, 2019

Kritikan Syed Husin terhadap Mahathir

JUMAAT, 6 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Sejak dahulu lagi, Syed Husin Ali bersikap kritis terhadap Dr. Mahathir Mohamad.  Dalam satu forum yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, seperti yang dicatatkan oleh Syed Husin sendiri, berlaku sindir menyindir antara beliau dengan Mahathir yang bercakap sebelum beliau. “Seperti biasa dia (Dr. Mahathir) menyindir.  Sambil menoleh kepada aku dia berkata lebih kurang begini, ‘Orang keturunan Arab patutnya tak ada hak membincangkan soal politik di negara ini.’  Disambut gembira oleh sebahagian besar hadirin” (Syed Husin, 2012: 48 – 49). 
Meskipun Syed Husin mengkritik dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak, sebagai perbandingan, beliau menegaskan Tun Razak banyak menumpukan perhatian pada pertanian dan nasib para petani.  Akan tetapi, pada masa pemerintahan Mahathir hampir tidak ada penumpuan yang sama, bahkan kelihatan seolah-olah keadaan pertanian terbiar.  Namun begitu, Mahathir memperkenalkan Dasar Pertanian Negara pada tahun 1983 (Syed Husin, 2008b: 151).  Penekanan terhadap perindustrian pada era Mahathir menyebabkan pertanian bagaikan “industri  meleset,” yang seterusnya menyebabkan pengajian tani atau ekonomi luar bandar tidak  penting lagi.
Pendirian Dr. Mahathir yang menuduh pemiliknegaraan sebagai dasar komunis dan anti-Islam, hujah Syed Husin,  “Mahathir sebenar mencela Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan menteri-menteri lain yang menandatangani perisytiharan dalam sidang Algier (1971), Lahore (1974), dan Dakar (1975), mendukung milik negara sebagai salah satu cara mencapai keadilan sosial” (Syed Husin, 2008b: 160).
Tentang krisis Perlembagaan tahun 1993, Syed Husin menulis, “ironinya, Mahathir  akhirnya telah mewujudkan mahligai lebih besar daripada istana raja untuk kediamannya sebagai Perdana Menteri.  Beliau menjalani hidup yang kelihatan lebih mewah daripada raja.  Beliau meminda Perlembagaan untuk mengurangkan kuasa raja, akan tetapi pada masa yang sama telah mengumpulkan atau menimbunkan kuasa kepada dirinya” (Syed Husin, 2012: 63).
Syed Husin juga mendedahkan sifat dolak-dalik Dr. Mahathir tentang tuduhan liwat terhadap Anwar. Menurut beliau, Mahathir pernah menafikan khabar angin tentang liwat yang dilakukan oleh Anwar. Beliau memetik laporan akhbar Utusan Malaysia pada 25 Ogos 1997, di bawah tajuk, “Fitnah Anwar Bermotifkan Politik – PM.” Seterusnya, Syed Husin memetik kenyataan yang diterbitkan dalam Mingguan Malaysia pada 31 Ogos 1997, Dr. Mahathir menyatakan, “penyebar khabar angin, termasuk mengenai peletakan jawatan Menteri Kewangan ‘sepatutnya ditembak’.”  Apa yang cuba dibangkitkan oleh Syed Husin, meskipun Dr. Mahathir menafikannya, dan Ketua Polis Negara Tan Sri  Abdul Rahim Noor menyatakan “skandal seks yang melibatkan Anwar selesai disiasat dan didapati tidak benar,” Anwar  akhirnya didakwa dengan tuduhan liwat (Syed Husin, 2012: 138).
Bagi Syed Husin, tindakan Dr. Mahathir memecat timbalannya Anwar Ibrahim mungkin untuk mengelak  kejatuhan  Presiden Suharto turut menimpa dirinya. Mahathir melihat Anwar mencabar kedudukannya (Syed Husin, 2015: 83). Tindakan Mahathir itu, kemudian menyeretnya ke mahkamah dengan tuduhan rasuah dan liwat, menyebabkan sebahagian besar orang Melayu meluap-luap marah terhadap Mahathir dan UMNO. Mahathir diserang habis-habisan di jalanan dan melalui Internet, yang diatur, dipimpin, dan disertai oleh mereka yang menggelar diri mereka Reformis (Syed Husin, 2015: 83).
Kritikan Syed Husin terhadap Dr. Mahathir bukan setakat kezalimannya  terhadap Anwar Ibrahim, tetapi juga beliau mendapati, “Mahathir mengetuai sebuah kerajaan yang menjadi semakin autoritarian.  Terutama selepas memecat timbalan beliau, Anwar Ibrahim, kebangkitan gerakan Reformasi,  dan pengukuhan Barisan Alternartif  (BA), penindasan kerajaan menjadi semakin teruk.  Parti pemerintah semakin menguasai badan kehakiman, polis, dan media.  Keganasan kerajaan, terutamanya oleh polis, menjadi lebih serius.  Tambah Syed Husin, “Mahathir semakin banyak memusatkan kuasa dalam tangannya sendiri.  Atas sebab ini, beberapa orang percaya bahawa kerajaan Malaysia perlahan-lahan bertukar menjadi pemerintahan diktator satu orang”  (Syed Husin, 2015:  128).
Syed Husin juga mencela dan memandang jijik terhadap amalan kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional, terutamanya yang berlaku pada era Dr. Mahathir.  Namun begitu, seperti yang pernah dibahaskan oleh kenalannya,  Terence Gomez (2003),dalam dunia korporat, pada awal tahun 1997, perbadanan utama Malaysia, termasuk beberapa buah firma yang dikawal  oleh bumiputera, kebanyakan semuanya sangat berhubung rapat dengan salah seorang daripada tiga ahli politik yang paling berkuasa di Malaysia. Mahathir,  Anwar Ibrahim,Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, dan Daim Zainuddin, penasihat ekonomi kerajaan ketika itu. Gomez seterusnya menyenaraikan nama yang berkait kuat dengan tiga ahli politik tersebut. Orang Melayu yang mengawal firma besar, termasuk Halim Saad, Tajudin Ramli, Wan Azmi Wan Hamzah, Samsudin Abu Hassan, Hassan Abas, Ahmad Sebi Abu Bakar, dan Amin Shah Omar Shah, yang bersekutu rapat dengan Daim; Ishak Ismail, Mohamad Sarit Yusoh, Kamaruddin Jaafar, Kamarudin Mohd Nor, dan Rashid Hussain, yang  dikaitkan dengan Anwar; manakala mereka yang rapat dengan Perdana Menteri, termasuk anaknya Mirzan dan Mokhzani Mahathir, selain Allahyarham Yahya Ahmad, Basir Ismail, dan Mohd Noor Yusof.
Tatkala hubungan Mahathir dengan Anwar diibaratkan “retak menanti belah,” pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 1998, “Mahathir mengeluarkan, tanpa notis, senarai orang Melayu yang mendapat manfaat daripada penswastaan dan kontrak kerajaan. Anaknya, Mokhzani tersenarai, tetapi juga Zahid (Hamidi) dan anggota keluarga Anwar”  (Wain, 2009:  286).
Satu lagi amalan jijik yang berlaku secara berleluasa dalam UMNO sejak tahun 1981, yang ada kaitannya dengan perbuatan rasuah, yang turut dikutuk oleh Syed Husin, ialah “politik wang.”  Barangkali beliau lupa bahawa Anwar Ibrahim semasa dalam kerajaan juga bergelumang dengan amalan  jijik itu.  Dalam pemilihan Perhimpunan Agung UMNO tahun 1993, ketika Anwar mengalahkan Tun Abdul Ghafar dan pasukan naib presiden Anwar menumpaskan lawan mereka, antara RM500 juta hingga RM600 juta diagihkan.  Kadar ganjaran meningkat 30 kali ganda dalam masa kurang satu dekad (Wain, 2009: 142).  Jangan lupa pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri Sabah tahun 1994, dengan Anwar Ibrahim selaku Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, ialah pengarah pilihan raya Barisan Nasional. Dalam usaha untuk merampas negeri itu daripada PBS, “meskipun politik wang bukan baru dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, kempen UMNO di Sabah kali ini dicorakkan oleh ‘tahap tinggi luar biasa dorongan kewangan’. Walau bagaimanapun, keputusan pilihan raya menunjukkan PBS menang dengan majoriti sempit, iaitu 25 kerusi daripada 48 kerusi. Dengan kemenangan tipis itu, maka tidak memeranjatkan tiga anggota Dewan Undangan Negeri PBS melompat parti membolehkan UMNO menggulingkan PBS.  Wujud spekulasi meluas bahawa pembelot PBS ditawarkan RM3 juta seorang untuk melompat ke Barisan Nasional (Hwang, 2003: 234 – 235).
(Dipetik daripada Bab Tiga, Pemerkasa Menara Gading, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...