Oleh: ZULKIFLI SALLEH
(Dipetik daripada Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Nota: Mungkin berlaku kesilapan dalam merumikan teks asal yang ditulis Jawi.)
Dalam tahun 1941, udara Tanah Melayu telah turut muram
dan gelisah, oleh haba api peperangan dunia yang semakin menjalar itu. China
Kebangsaan (Kuomintang) dan China Komunis telah menjalankan rol percaturannya.
Demikian pula India, sedang pihak Siam dan Indo-China tidak ketinggalan
bersedia – menurut yang sesuai pada pendapat mereka. Akhirnya ... ramalan orang
tua-tua “Cina gondol akan menjadi raja di Tanah Melayu setahun jagung” telah
pun tiba dan menepati.
Persediaan bangsa Melayu terhadap Tanah Melayu dalam erti
kata yang sebenar boleh dikata tiada ada langsung, hanya segolongan puak kiri –
angkatan muda , yang menelan air mata mengingatkan kecemasan yang harus menimpa
nasib bangsa dan tanah air Melayu, sedang sebahagian besar belum lagi sedar,
hanya masih leka dan lalai. Pembesar-pembesar Melayu yang menjadi tumpuan dan
harapan rakyat masih asyik bersuka ria dibuaikan oleh segala kenanagan yang
palsu, pertahanan Tanah Melayu dari tentera Melayu darat, laut jauh dari
mencukupi, kerana itu ikhtiar untuk mempertahankannya telah tidak berjaya.
“Gajah berjuang pelanduk mati tersempit” demikianlah
perumpamaan yang sesuai mengenai nasib bangsa dan tanah air kita, ibu pertiwi
tanah air kita yang tercinta menjerit, meraung dan menyeru pemuda-pemudanya,
hanyalah siapa yang terasa insaf di ketika itu telah menyahut seruan ibu
pertiwinya sebagai pemuda harapan bangsa, tidak sedikit di antaranya yang gugur
di pangkuan ibunya...Bulan Disember tahun 1941, tentera Jepun telah mencurah-curah masuk
ke Malaya laksana air banjir layaknya – dengan tiada bertahan-tahan lagi. Belum
pun semua Malaya tewas, Pulau Pinang sudah ber... (kurang pasti) orang India.
Akhirnya Singapura jatuh, Inggeris menyerah kalah, bangsa Melayu telah dapat menyaksikan
kudrat iradat Tuhan Yang Maha Kuasa – mengaturkan dan melakukan segala kehendak-Nya.
Itulah kemenangan Jepun yang dibangga-banggakan dengan “kemenangan Asia Timur
Raya” konon, ada juga orang yang berfikiran singkat turut suka dengan
kemenangan itu, mereka beramai-ramai keluar menyambut kedatangan Jepun konon,
tetapi siapa yang lebih cepat berjumpa, orang itu yang lebih dahulu menerima
hadiah “tempeleng pulang balik” dari Jepun. Inilah dia lagi suatu ujian kepada
sejarah bangsa Melayu, untuk mengalami suatu penjajahan baharu pula –
penjajahan dari sama bangsa Asia yang telah menimbulkan beberapa pelajaran:
1. Perbezaan di antara dua penjajahan – penjajahan Inggeris
dengan penjajahan Jepun.
2. Masa Inggeris menyerah kalah dalam masa Jepun memerintah.
Sebelum masuk tentera Jepun ke Malaya, bangsa Melayu
telah mendengar kata-kata takabur dri propaganda Inggeris “biar tulang jangan
putih mata” dan sebagainya. Begitu pula, sewaktu Jepun mula-mula sampai, bangsa
Melayu telah disongsong dengan janji-janji yang manis dan gula-gula dengan
semboyan: kita sama-sama bangsa Asia, kemakmuran bersama, Asia Timur Raya dan
sebagainya. Semuanya itu adalah menjadi pengalaman, pelajaran besar kepada
bangsa Melayu yang mahu insaf, itulah dia “gula-gula penjajah” sekali penjajah
tetap penjajah! Kerana hanya beberapa hari sahaja Jepun berkuasa, mulalah
mereka menunjukkan... (kurang pasti), gerakan kebangsaa Melayu (Kesatuan Melayu
Muda) pun diharamkan dari semenjak itu bebaslah berlaku segala kezaliman,
kekejaman, kebengisan yang tak dapat digambarkan, yang harus menjadi
kenang-kenangan selama hidup kepada bangsa Melayu, itulah dia penjajahan, walau
dari mana datangnya!!
Dari semenjak itu, gerakan kebangsaan Melayu terpaksalah
berjalan di bawah tanah dengan segala macam kebijaksanaan, ada yang tinggal di dalam,
ada yang tinggal di luar, di dalam mengambil langkah sebagaimana Nabi Allah
Musa di dalam istana Firaun, manakala di luar pula menjadi antifasis,
anti-Jepun dan ada pula yang menjalankan gerakan ghaif – semut putih dan
sebagainya.
Kesedaran dan kemarahan bangsa Melayu semakin bertambah
dengan sebab pekerti Jepun menyerahkan empat buah negeri Melayu: Kedah,
Kelantan, Terengganu dan Perlis ke dalam pemerintahan Siam.
Demikianlah gerakan kebangsaan Melayu dari sebulan ke
sebulan, bertambah kuat mendesak fasis Jepun dari luar dan dalam. Yang lebih
membingungkan Jepun, ialah meluap-luapnya semangat kebangsaan Melayu itu dari
pemuda-pemuda yang kononnya hendak dijepun-jepunkan tetapi tiba-tiba telah
terbalik menjadi “Melayu tulen” serentak dengan itu juga yang berlaku di
Indonesia dan Filipina.
Kebangkitan semangat kebangsaan Melayu ini juga telah menerbitkan kebimbangan segolongan
orang-orang Cina di Malaya ini. Mereka
memandang dari segi banyaknya orang
orang-orang Melayu yang turut bekerjasama dengan Jepun sebagai tentera,
sedang di pihak orang-orang Cina pada umumnya adalah bersemangat bencikan
Jepun. Sekalipun sebahagian kecil ada juga yang menunjukkan bekerjasama, tetapi
yang sebenarnya merekalah yang terkenal dengan perkataan “chon kweghap” atau
memberi suap kerana muslihat hidup dan perniagaan mereka. Maka dengan dua
aliran ini, terjadialh rasa curiga mencuragai di antara orang-orang Cina
terhadap orang-orang Melayu.
Oleh itu, dengan terkejutnya Jepun menyerah diri kepada
pihak berikat, di antara dua semangat yang bertentangan tadi mudah sahajalah
menjadi subur dan bernyala, sementara di
pihak orang Cina pula didorong oleh rasa hendak membalas dendam kepada
orang-orang yang menjadi pegawai dan kakitangan Jepun yang telah melakukan kezaliman
di masa Jepun itu. Dan serentak dengan itu berdirilah kerajaan Cina Bintang
Tiga selama kira-kira tiga minggu.
Meskipun begitu, beberapa panglima Melayu yang terkenal
dengan keturunan Banjar dan parang panjang, telah sempat juga menunjukkan darah
kepewiraannya, seperti yang berlaku di Batu Pahat – Johor, dan di Sungai Manik
– Perak, yang telah menimbulkan kesan besar yang menginsafkan orang-orang Cina seluruhnya.
Manakala sepihak lagi, dari golongan kebangsaan telah tampil ke muka, kesedaran
politik, memimpin dan menyeru rakyat supaya bersatu padu, kerana membela hak
dan keadilan bangsa Melayu – kepada para pejuang dan ahli-ahli kebangsaan ini
tergambarlah beberapa soal yang penting dan masih rumit dan sulit untuk
dipelajari iaitu:
1. Siapakah Raja-Raja Melayu yang sebenarnya yang mesti ditaati
oleh rakyat menurut yang sesuai dengan
binaan keagungan bangsa Melayu terhadap kedaulatan Raja-Rajanya itu?
2. Bagaimanakah perlembagaan tatanegara kerajaan Melayu yang
sebenarnya yang telah terdiri sejak beribu-ribu
tahun dahulu turun-temurun menjadi kemegahan bangsa Melayu, sehingga berakhir
dengan jatuhnya kerajaan Melaka?
3. Kenapakah rakyat Melayu berpantang menderhaka dan apakah rahsianya?
4. Kenapakah negeri-negeri kecil yang dahulunya berpusat ke
Melaka itu, telah mendirikan kerajaan sendiri masing-masing pula di Kepulauan
Melayu ini?
5. Bagaimanakah taraf Raja-Raja Melayu sebelum membuat triti
dengan East Hindia Companya dan apakah sebab-sebabnya triti itu dibuat?
6. Kenapakah Belanda menabalkan Sultan-Sultan Melayu di Riau dan
British pula menabalkan Sultan-Sultan di Singapura?
7. Apakah sikap yang dijalankan oleh Belanda di Indonesia
dan East Hindia Company di Malaya ini?
8. Bagaimanakah sebenarnya kedudukan taraf Raja-Raja Melayu di
Tanah Melayu ini dari semenjak tahun 1874 hingga tahun1933, iaitu sejak dari
Triti Pangkor yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu berakhir dengan Triti Kedah?
9. Apakah sebenarnya takrif dan istilah (kurang pasti) tiap-tiap
perkataan yang terkandung dalam triti itu, terutamanya yang di antara lain-lain
berbunyi “hendaklah atau mestilah menerima nasihat daripada penasihat-penasihat
British – kita dipelawa oleh Raja-Raja Melayu untuk mendirikan Negeri Melayu – British tidak mencampuri adat
istiada Melayu dan agama”.
10. Betulkan Negeri-Negeri Melayu ini bersendirian dan
merdeka, hanya berlindung di bawah bendera Inggeris?
11. Apakah pendapat kebangsaan Melayu terhadap buku MALAYSIA
yang ditulis oleh Rupert Emerson dengan buku pemerintahan British di Timur Asia
oleh Mill itu, dan apakah pengalaman bangsa dan kebangsaan Melayu hingga Perang
Dunia yang Kedua ini di bawah naungan British?
12. Apakah untung-ruginya kepada bangsa Melayu seluruhnya
dengan adanya Raja-Raja dan negeri-negeri pula di Semenanjung ini?
13. Apakah sebab-sebab rasa taat setia rakya terhadap Rajanya
telah mulai renggang?
14. Adakah Raja-Raja
Melayu telah sedar di mana dan setakat mana kekuasaan mereka yang sebenarnya,
demikian pula hak rakyat jelata terhadap Raja dan negerinya?
15. Di manakah dan
bagaimanakah “songlap” yang mem... (kurang pasti) hak dan keadilan Raja-Raja da
bangsa Melayu di tanah airnya sendiri?
16. Dari manakah punca puncanya kejatuhan bangsa Melayu di
atas tanah airnya sendiri? Adakah disebabkan Raja-Rajanya, rakyatnya atau
penaungnya? (yang sebenarnya telah menjadi penjajah?).
17. Adakah perkataan “Malayan” itu baharu? Adakah rancangan hendak
“memalayankan” ini baru selepas perang
ini sahaja? Apakah yang dituju oleh siasah pintu terbuka itu?
18. Adakah tuntutan orang yang menghitungkan dirinya Malayan itu
sebagai suatu tuntutan yang hak dan adil atau hanya mengada-ada?
19. Apakah akibatnya kepada bangsa Melayu yang tetap
berpendirian “Malaya hak Melayu” manakala orang-orang Malayan berdegil dengan
tuntutan mereka, bahawa orang asing dikatakan Malayan itu juga berhak. Siapakah
yang akan kecewa dan siapakah yang akan beruntung?
20. Dapatkah Malaya dipertahankan, diselamatkan dengan kedaulatan
Raja-Raja Melayu atau dengan kedaulatan rakyat – demokrasi, kemudian mana
satukah sikap yang lebih sesuai yang harus diperjuangkan oleh bangsa Melayu untuk
keselamatan bangsa dan nungsa?
21. Lain-lain soal lagi yang harus timbul dari semasa ke
semasa.
No comments:
Post a Comment