Artikel Popular

Monday, September 9, 2019

Tangan Kotor dalam Penswastaan

ISNIN, 9 September 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH


Dua peristiwa penting yang berlaku pada penghujung Mac lalu yang nampaknya berasingan tetapi sebenarnya berkaitan. Pertama, ura-ura Datuk Seri S, Samy Vellu, Menteri Kerja Raya untuk menswastakan perkhidmatan bekalan air yang mendapat tentangan daripada pelbagai pihak, khususnya persatuan pengguna, kesatuan sekerja, dan pertubuhan bukan kerajaan.Kedua, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Vincent Ng Kim Khoay menolak injuksi Tan Sri Tajuddin Ramly, pengerusi Technology Resources Industries Berhad, dengan berkata bahawa beliau (Tan Sri Tajuddin) datang ke mahkamah dengan "tangan tidak bersih" (unclean hands).

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tangan tidak bersih atau lebih tepat, tangan kotor juga wujud dalam penswastaan yang menyebabkan setiap kali ada rancangan penswastaan, maka timbul tentangan atau protes daripada pelbagai pihak. Setiap tentangan itu mempunyai kewajaran dan kerasionalannya apabila beberapa projek penswastaan menempuh kegagalan. Apabila gagal, pihak kerajaan terpaksa mengambil projek berkenaan atau pembayar cukai terpaksa menanggung kerugian. Lantaran itu, timbul tanggapan bahawa yang diswastakan keuntungan, dan pihak pengusaha projek penswastaan itu tidak perlu gusar akan kerugian kerana jika berlaku kerugian, pihak kerajaan atau pembayar cukai yang menanggungnya. 

Sebagaimana dalam bidang perniagaan lain, dalam penswastaan juga terdapat "pemodal atas angin" yang semata-mata mengharapkan keuntungan daripada penswastaan. Akibatnya, apabila berlaku kerugian, kerajaan terpaksa mengambil alih projek penswastaan berkenaan dengan alasan kepentingan negara atau kepentingan awam.

Anehnya, individu atau syarikat yang menyertai projek penswastaan bukan calang-calang.  Mereka  mempunyai rekod perniagaan yang membanggakan dan meyakinkan lalu mendorong kerajaan mempelawa mereka mengusahakan sesuatu projek itu. Pastinya juga mereka mampu meyakinkan kerajaan bahawa projek itu menghasilkan keuntungan. 

Namun begitu, tangan kotor telah mencemarkan, malahan merosakkan projek penswastaan  yang diamanahkan kepada mereka. Keuntungan yang diharapkan telah bertukar kepada kerugian, dan beban kerugian ini pula terpaksa ditanggung oleh kerajaan atau pembayar cukai. Tangan kotor ini menyebabkan penswastaan yang berjaya dibayangi oleh penswastaan yang gagal. Akibatnya, timbul keraguan dan tentangan pelbagai pihak terhadap setiap projek penswastaan yang dirancangkan oleh kerajaan. Contoh terbaharu ialah rancangan penswastaan perkhidmatan bekalan air.

Sebelum in, rakyat dapat melihat dan menilai sendiri kegagalan penswastaan kemudahan asas, seperi  kumbahan dan pembuangan sampah.  Perkhidmatan yang disediakan itu tidak memuaskan, malaha tidak menunjukkan ciri-ciri swasta yang pada tanggapan umum adalah cekap. Daripada pengalaman ini, memang sukar  untuk meyakinkan rakyat tentang kebolehlaksanaan rancangan penswastaan bekalan air.

Kerajaan boleh meneruskan rancangan penswastaan ini dengan mengemukakan pelbagai alasan, dan rakyat terpaksa menerimanya dengan hati yang berat kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.  Namun begitu, setiap kali mereka menerima bil air, atau bekalan air terganggu, kadar bayaran air meningkat, dan sebagainya, nescaya mereka akan menyalahkan kerana menswastakan perkhidmatan tersebut.

Air merupakan kemudahan yang palinga asas. Jika kerajaan tidak lagi menyediakan kemudahan yang paling asas ini, apalagi yang diharapkan oleh rakyat daripada  kerajaan. Penswastaan bekalan air bermakna memisahkan rakyat daripada kerajaan dan mengurangkan pergantungan mereka pada kerajaan. 

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Mei 2002.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...