Oleh: ZULKIFLI SALLEH
(Dipetik daripada Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Nota: Mungkin berlaku kesilapan dalam merumikan teks asal yang ditulis Jawi.)
Sejarah "Perjuangan Kita" supaya jelas dan
terang, dapat difaham dan dipelajari oleh tiap-tiap seorang bangsa Melayu hari
ini, hendaklah diselidiki dan dipelajari dari asal usulnya, dari akar dan
umbinya sekali. Kerana hanya begitulah sahaja, baru dapat menimbulkan rasa
keinginan dan kepercayaan teguh yang akan menjadi "asas dan dasar"
kita memperjuangkan cita-cita suci menuju matlamatnya - iaitu
"merdeka" - merdeka dalam erti kata yang sebenar-benarnya, iaitu
kemerdekaan bangsa, agama dan tanah air. (Bangsa Melayu menjadi tuan di tanah
airnya sendiri.)
Di sini - saya akan menerangkan dengan seberapa ringkas.
Menjelaskan perjuangan kita bangsa Melayu yang telah sambung menyambung sejak
dahulu sehingga kepada masa yang akhir-akhir ini. (Di ketika Parti Kebangsaan
Melayu Malaya ditubuhkan pada tahun 1945).
Menurut pendapat ahli-ahli sejarah bahawa Nusantara tanah
air kita adalah terkenal kepada beberapa nama yang di antaranya:-
1. Gugusan pulau-pulau Melayu.
2. Malaysia - Maliziat.
3. Pulau-pulau rempah.
4. Melayu Raya.
5. Malay Archipelego.
6. Indonesia.
7. Malaynesia.
8. Macronesia.
9. Polynesia.
10. Dan sebagainya - lihat buku Falsafah Kebangsaan Melayu.
2. Malaysia - Maliziat.
3. Pulau-pulau rempah.
4. Melayu Raya.
5. Malay Archipelego.
6. Indonesia.
7. Malaynesia.
8. Macronesia.
9. Polynesia.
10. Dan sebagainya - lihat buku Falsafah Kebangsaan Melayu.
Kawasan-kawasan ini telah didiami orang sejak beribu-ribu
tahun sebelum tarikh dunia ini tertulis.
Dipandang dari segi alam (ilmu?) tawarikh dan beberapa
kenyataan, adalah tanda-tanda menunjukkan lebih daripada 3,000 tahun yang
kawasan ini telah mempunyai tamadun (kemajuan). Kitab-kitab tarikh Hindu dan
Cina - begitu juga dalam tawarih Arab ada menegaskan: bahawa kerajaan Melayu
"Sriwijaya" di Palembang-Sumatera tidak kurang dari 2,000 tahun telah
terdiri (tahun 500 - 1400 M.).
Dan sesudahnya kerajaan Sriwijaya ini, berpindah pula ke
keagungan dan kebesaran bangsa Melayu kepada suatu kerajaan yang terkenal
dengan nama kerajaan "Majapahit" (tahun 1293 - 1520 M.). Kemudian
pada akhirnya berpindah kepada kerajaan Melaka. Ketiga-tiga empayar ini berdiri
sendiri, dengan mulia agung, bebas dan merdeka, berbaik-baik dan bersahabat
dengan kerajaan asing yang berjiran, seperti India, China, Arab dan sebagainya.
Kawasan dan sempadan ketiga-tiga kerajaan Melayu Raya
yang berganti-ganti itu, ke utaranya adalah sempadan Siam, manakala ke baratnya
hingga ke pantai-pantai negeri Hindi, lantas ke pulau-pulau Madagaskar, ke
timurnya pula Farmosa berdekatan dengan Kyiasu Jepun, dan ke selatan adalah
meliputi beribu-rubu pulau di lautan teduh.
Pada masa itu, seluruh dunia belum lagi mempunyai politik
pemerintahannya, sebagaimana hari ini. Pengertian kebangsaan (National) di masa
itu berlainan dengan pengertian kebangsaan yang terpakai dalam politik
pemerintahan hari ini. Kerana pada masa itu istilah kebangsaan adalah mengikut
sesuatu kemaharajaan sahaja. Orang-orang atau rakyat sesebuah negeri itu adalah
dihitung menjadi dihitung menjadi rakyat negeri itu dengan pengertian
"rakyat serimaharaja Sriwijaya, rakyat serimaharaja Majapahit, rakyat
serimaharaja Melaka" begitu juga bangsa-bangsa asing seperti bangsa Cina
seumpamanya adalah dikenal dengan rakyat Cina di sini.
Tetapi - manakala ahli-ahli sejarah dan ahli-ahli
tawarikh dunia hendak mempersuaikan kedudukan bangsa-bangsa dunia ini,
kedudukan peta muka buminya, dan kedudukan politik pemerintahan sesuatu negara
itu, supaya mudah dikenali, maka sejak itulah baru nama "gugusan
pulau-pulau Melayu" atau "Malay Archipelego" dan sebagainya itu
dituliskan orang. Dan sebab-sebab dinamakan pulau-pulau itu "kepulauan
Melayu" ialah kerana negeri-negeri itu bahasa Melayulah yang lebih luas
terpakai.
Dari segi kebudayaan pula - haruslah tiada suatu bangsa
yang besar dalam dunia ini yang telah pernah menempuh kebudayaan-kebudayaan
yang besar serentak dan selari sebagaimana bangsa Melayu. Bangsa telah menempuh
tiga kebudayaan besar, agung dan hebat yang
terkenal di dunia ini. Iaitu kebudayaan Hindu beribu-ribu tahun sejak kerajaan
Sriwijaya - kemudian bersambung pula dengan kebudayaan Buddha sehingga kepada kerajaan Majapahit, manakala pada abad ke-11
Masihi berganti pula dengan kebudayaan Islam, iaitu sejak kerajaan Islam Melaka
sehingga kerajaan penjajahan hari ini. Semua kebudayaan itu adalah mempengaruhi
jiwa budi - daya bangsa Melayu yang telah menjadikan bangsa Melayu itu suatu
bangsa yang kaya dengan kebudayaan dan mempunyai bentuk kebudayaan yang
tersendiri pula.
No comments:
Post a Comment