Oleh: ZULKIFLI SALLEH
(Dipetik daripada Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Nota: Mungkin berlaku kesilapan dalam merumikan teks asal yang ditulis Jawi.)
Setelah robohnya kerajaan Melayu Melaka, maka dari
semenjak itulah berturut-turut robohnya kerajaan-kerajaan Melayu yang
kecil-kecil, dan dari semenjak itulah juga perjuangan kebangsaan Melayu yang
berbagai-bagai ragam dengan tiada putus-putusnya sambung menyambung, “patah
tumbuh hilang berganti” sehingga hari ini. Di sana sini telah berlaku
peperangan yang sengit dan hebat – tidak termasuk pergaduhan-pergaduhan kecil.
Sebabnya – tidak lain, ialah kerana rasa jiwa merdeka yang dipusakai
turun-temurun dari datuk nenek bangsa Melayu sebagai bangsa yang merdeka dan
berdaulat itu masih hidup dengan suburnya dalam tiap-tiap jiwa raga bangsa
Melayu.
Berapakah banyak jiwa Melayu yang telah terkorban di Filipina kerana menentang
Sepanyol, dan di Jawa, di Sumatera dan di Silibis kerana menentang Belanda –
begitu juga keadaannya di Semenanjung ini, ialah semata-mata kerana
mempertahankan hak dan keadilan bangsa Melayu.
Bangsa Melayu sungguh taat dan berpegang teguh dengan
adat istiadatnya, sehingga timbul pepatah
“biar mati anak jangan mati adat” ertinya: biarlah jiwa raga putera-putera
bangsa terkorban kerana mempertahankan
kemuliaan, kehormatan dan kebesaran adat istiadat bangsa dan negara Melayu
daripada terjajah kepada bangsa-bangsa asing.
Bangsa Melayu memang mempunyai tatatertib dan disiplinnya,
taat setia kepada raja dan kerajaannya sehingga timbul pula pepatah “anak
Melayu berpantang derhaka.” Raja-Raja Melayu tetap disembah, dihormati dan
disanjung tinggi. Kedaulatan rajanya tetap dipertahankan dengan cogan “daulat
tuanku”, ampun tuanku, sembah patik harap diampun dan sebagainya.
Ini – adalah sedikit gambaran tinggi mulia dan halusnya
budi dan “budi daya” dan kesopanan peradaban bangsa Melayu, sebagai bangsa satu
bangsa yang mempunyai cukup lengkap sejarah dan kebudayaannya sendiri yang tak
kalah dengan bangsa-bangsa asing di dunia ini.
Semenjak jatuhnya kerajaan Melayu Melaka, maka seluruh
Kepulauan Melayu telah menjadi huru-hara, berganti-ganti pertempuran peperangan.
Bangsa Melayu telah beransur-ansur lemah, ada yang melarikan diri
berpindah-randah mencari tempat yang difikirkan selamat dan terjauh dari
sebarang gangguan.
Raja-Raja Melayu dari kerajaan-kerajaan Melayu yang kecil,
yang dahulunya di bawah riayah dan naungan kerajaan Melaka, telah membawa hal
masing-masing. Ada yang bekerajaan sendiri menurut kadar dan setakat mana
kebolehannya.
Pengaruh-pengaruh Inggeris dan Belanda bertambah-tambah
besar di Sumatera dan di Semenanjung. Melaka yang dahulunya dijajah oleh
Portugis telah bertukar kepada penjajah Belanda, kemudian pula bertukar dengan
Inggeris, manakala Sumatera yang dahulunya dijajah oleh Inggeris digantikan oleh Belanda.
Saki-baki kedaulatan Raja-Raja Melayu telah dipercaturkan dalam politik.
Belanda menabalkan Raja-Raja Melayu di Sumatera, manakala Inggeris pula menabalkan
Sultan Husein di Singapura. Yang akhirnya Johor pula mengambil tempat
percaturan itu. Dahulunya di Semenanjung ini hanya bersatu pemerintahan dengan
kerajaan Melaka, tetapi sejak jatuhnya kerajaan Melaka itu banyaklah timbul timbul
Raja-Raja, maka dari situlah yang terkenal “pecah dan perintah” itu menjalar
dengan suburnya. Jarumnya yang bisa itu sedang hebat mencucuk ke sana ke
mari, akhirnya pergaduhan bangsa Melayu sama
sendiri pun menjadi-jadi. Hikayat
Pelayaran Abdulah ada cukup menjadi saksi menggambarkan kejadian-kejadian
tersebut.
Setelah Kedah, Perak mengambil tempat yang pertama
membuat triti (perjanjian) dengan Inggeris yang terkenal dengan Triti Pangkor,
kemudian berikut pula dengan lain-lain negeri, mulai dari tahun 1874 hingga
tahun 1923.
Ahli-ahli pergerakan kebangsaan bolehlah mempelajari dari
segala segi kedudukan triti itu yang telah membawa taraf dan kedaulatan
Raja-Raja Melayu ke dalam percaturan politik koloni (penjajahan), sudah sahaja
Triti Pangkor itu, terjadilah peristiwa terkorban tuan Birch – Residen Perak –
di Pasir Salak.
Kejadian yang seumpama ini, bukan sahaja di Perak, bahkan
berlaku juga di lain-lain, seperti Dol Said di Naning – Negeri Sembilan,
Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman di Terengganu (semuanya
di Semenanjung, begitu juga di Kepulauan Melayu yang lain, yang tak disebut di
sini), kerana rasa kebangsaan – rasa nasionalis yang sihat dan tulen itu dapat mempelajari
di mana yang sebenarnya kedudukan taraf dan kedaulatan Raja-Rajanya yang mesti
ditaati. Kemudian telah menimbulkan keinsafan pula, bagaimana hebatnya tekanan
penjajahan itu untuk menghapuskan rasa kebangsaan dan jiwa yang ingin bebas dan
merdeka, si penjajah telah menjadikan Raja-Raja dan Sultan-Sultan itu hanya
sebagai alat untuk mempengaruhi dan mengumpulkan rakyat sahaja.
Beberapa tempat di Kepulauan Melayu, seperti di Jawa, di
Sumatera, di Silibis dan Kalimantan, terus menerus berlakunya pertempuran yang
hebat menentang penjajahan Belanda. Aceh sendiri yang sahaja sebahagian kecil
di bahagian Sumatera telah menentang Belanda hampir-hampir 40 tahun lamanya,
manakala di Kalimantan pula, di pihak yang tiada mahu tundu – menyerah kepada
Belanda telah lari menyembunyikan diri sehingga
ke tengah-tengah rimba belantara Pulau Kalimantan yang luas itu.
Demikianlah dari setahun ke setahun, keadaan bangsa
Melayu telah mulai lemah, dan beransur-ansur dapat diperkosa akibat ditimba
kekalahan yang bertalu-talu dan
berpecah-pecah pula. Akhirnya maka dapatlah dibentuk cara-cara pemerintahan
yang dikehendaki oleh rancangan penjajahan (imperialis) itu.
Setelah kukuh penjajahan itu sudah dapat mencengkam
kukunya di Kepulauan Melayu yang kaya-raya itu, maka siasah pintu terbuka pun
mulalah dijalankan, kuli-kuli dan buruh pun mulalah diambil dari luar, dari
India dan China, kekayaan Tanah Melayu
yang perut buminya penuh dengan “perbendaharaan Allah” yang amat berharga itu,
seperti emas, perak, bijih timah, arang batu dan sebagainya pun mulalah
dibongkar dan dikeluarkan, sebagaimana yang kita lihat hari ini. Di sana sini
tersergam kapal-kapal bijih yang besar mengorek
habis-habis kekayaan bumi Melayu, berturut dengan itu pembukaan
estet-estet bertanam getah dan kelapa pula dibuat besar-besaran yang
melaut-laut luasnya. Dalam estet-estet yang luas inilah buruh-buruh dari India ditempatkan,
manakala di lombong-lombong bijih pula ditempatkan kepada buruh bangsa Cina.
Ketika itu, mana-mana ada pembesar Melayu yang ada
sedikit rasa kesedarannya telah digula-gulakan dengan sedikit-sedikit
kesenangan yang akan dapat melalikannya dan mengabui mata rakyat jelata
seluruhnya. Begitulah dalam masa puluhan tahun berjalan terus menerus, kuku
penjajahan semakin bertambah kuat, dasar kolonialisme tambah mendalam, akhirnya
terjadilah sempadan-sempadan di Kepulauan Melayu Raya ini, terjadilah Malaya,
Indonesia dan Filipina.
Malaya di bawah penjajahan British, Indonesia di bawah
penjajahan Belanda dan Filipina di bawah penjajahan Sepanyol kemudian kepada
penjajahan Amerika (hanya dalam masa beberapa tahun sahaja Amerika di Filipina,
Amerika telah berjaya mencorakkan kebudayaan Barat kepada sebahagian besar
orang-orang Filipina sehingga agama Kristian hampir-hampir telah menjadi agama
rasmi Filipina).
Akibat sempadan-sempadan ini, maka terjadilah perpecahan
rasa sebangsa dan setanah air kepada bangsa Melayu, untunglah pertalian seagama
masih dapat mempertahankan di antara bangsa Melayu Malaya dengan Indonesia,
tetapi rasa perpisahan dengan Filipina makin mendalam jarak dan jauh disebabkan
agama Kristian telah dapat mempengaruhi sebahagian besar penduduk-penduduk di
sana.
Di Semenanjung Tanah Melayu ini telah pun dibuat beberapa triti (perjanjian), di antara
Raja-Raja Melayu dengan kerajaan Inggeris, kandungan perjanjian itu sengaja
disusun dengan kata-kata yang bijak untuk kebaikan, “muslihat” dan rancangan
Malaya di masa akan datang kemudian dapatlah pula dipelajari bagaimana perbezaan
triti itu dengan perjalanan pentadbiran pemerintahan yang dijalankan di Malaya
ini dari semasa ke semasa. Dato Sir Roland Braddel telah pun memberikan
pandangannya dalam masalah kedudukan taraf Raja-Raja Melayu (dalam sebuah
bukunya yang bernama “Taraf Negeri-Negeri Melayu”). Dari sini dapatlah
dipelajari bahawa perkataan “Malayan” telah pun ada sejak tahun 1860 lagi,
sebagaimana yang tertera dalam pembukaan triti itu yang berbunyi demikian:
“Report on the Treaties and Agreements with the Native
States of the MALAYAN PENINSULA, anterior to 1860”
Setelah itu corak pemerintahan Malaya ini terbahagi
kepada tiga cara “corak pemerintahan” iaitu:
1. Negeri-Negeri
Selat
2. Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
3. Negeri-Negeri Melayu Bernaung
Negeri-Negeri Selat itu ialah: Singapura, Pulau Pinang
dan Melaka.
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ialah: Perak, Selangor,
Negeri Sembilan dan Pahang.
Negeri-Negeri Bernaung ialah: Johor, Kedah, Kelantan,
Terengganu dan Perlis.
Ketiga-tiga corak pemerintahan Negeri-Negeri Melayu ini
adalah diarahkan di bawah sebuah teraju kekuasaan seorang gabenor atau
pesuruhjaya tinggi. Jadi dengan sendirinya walaupun ada ada triti-triti tersebut, maka pentadbiran Tanah Melayu ini
telah termasuk ke dalam sebuah pemerintahan “secara langsung dan tidak langsung”
(Direct and Indirect Rule) kemudian terjadilah kedudukan taraf Raja-Raja Melayu
itu sebagaimana yang ada hari ini. Lebih jelas telah dapat dibuktikan kedudukan
Sultan-Sultan Selangor dan Sultan Terengganu dalam masa penjajahan Jepun dan
sudahnya British berkuasa semula di Malaya ini.
No comments:
Post a Comment