Artikel Popular

Monday, April 4, 2016

Berakhirnya Era

ISNIN, 4 April 2016
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dalam pertemuan dan makan tengah hari di Lake Club pada bulan Februari 2009 bersama-sama Datuk  Dr. Awang Sariyan yang pulang bercuti dari Beijing, Datuk Sallehuddin Abang Shokeran, dan saya, Dato’ Abdul Rahim  Abu Bakar, bekas Menteri Besar Pahang dan bekas Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka bercerita tentang bahasa dan politik.  Antaranya, beliau menegaskan  bahawa kerajaan tidak serius untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).   Kerajaan sengaja melengah-lengahkan pemansuhan itu dengan harapan orang akan lupa. Lagipun, pejuang bahasa itu terdiri daripada orang tua dan uzur yang pasti tidak dapat meneruskan perjuangan. 
            Maksudnya, perjuangan bahasa tidak ada kesinambungan kerana kebanyakan pejuangnya generasi lama yang pastinya akan uzur atau meninggal dunia, seperti Dato’ Abdul Rahim dan Dato’ Hassan Ahmad. Generasi baharu yang turut terlibat dalam perjuangan bahasa boleh dikatakan  kurang, meskipun belum pupus sama sekali. Hal ini dapat diperhatikan pada bantahan terhadap pelaksanaan Program Bahasa Duaan (DLP).  Jika dilihat status dalam Facebook, kebanyakannya melibatkan generasi lama yang masih bersemangat, manakala   generasi baharu yang hanya  seorang dua  sekadar muncul sekali-sekala.  Menurut catatan seorang kawan pada Facebook bantahan yang dilancarkan terhadap DLP pada hari Sabtu 26 Mac lalu, tidak mendapat sambutan.  Tidak sampai 100 orang yang berkumpul dekat Masjid Jamek, Kuala Lumpur.  “Ramai polis yang bertugas,” tulis kawan itu – mungkin dia berseloroh.
Pada  tahun 2002, dalam satu sesi muzakarah Jabatan Penerbitan DBP bersama-sama ahli lembaga yang menganggotai Jawatankuasa Penerbitan, seorang daripada mereka mengatakan bahawa bahasa Melayu telah menjadi “liabiliti politik.”   Parti-parti politik Melayu tidak lagi berminat terlibat dalam perjuangan bahasa kerana bahasa Melayu bukan lagi seperti sebelum ini: “aset politik.”  Jika diperhatikan dalam riuh gamat perhimpunan parti-parti politik Melayu-Islam, soal perjuangan  bahasa Melayu  tidak mendapat perhatian.  Dalam perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, kedengaran seorang dua perwakilan yang bercakap tentang perkara ini, tetapi suara mereka tenggelam dalam gegak-gempita persidangan.
Dalam UMNO sendiri, oleh sebab parti itu didukung oleh guru-guru Melayu, maka mereka begitu lantang memperjuangkan bahasa Melayu.  Mereka menuntut supaya bahasa pengantar di sekolah-sekolah menengah hendaklah menggunakan bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris.  Oleh sebab kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman berdolak-dalik dalam soal ini, maka pada tahun 1958, guru Melayu keluar beramai-ramai daripada UMNO.  Tindakan mereka itu menyebabkan banyak cawangan UMNO lumpuh.    Peristiwa ini dicatatkan oleh Tun Abdul Ghafar Baba dalam Penitianku...: Sebuah Catatan Peribadi Tun Abdul Ghafar Baba.  Guru-guru Melayu yang merupakan tonggak UMNO memang kental perjuangan bahasa Melayu mereka.  Namun begitu, era mereka dalam parti itu telah lama berakhir, manakala  Tun Ghafar merupakan guru Melayu terakhir.
Keadaan telah berubah sama sekali.  Perjuangan gigih sejak  dekad 1950-an hingga 1980-an nampaknya  mula lesap sejak  dekad 1990-an.  Pada dekad itu, banyak pihak terlibat dalam perjuangan bahasa, orang politik dan bukan orang politik.  Satu contoh yang jelas ialah berhubung dengan  Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan tahun 1967, yang mencetuskan konfrontasi antara pejuang bahasa dengan kerajaan. Di luar Parlimen,  beberapa kumpulan mahasiswa universiti, kesatuan guru, dan penulis – semuanya komuniti Melayu menubuhkan Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK) untuk menentang penggunaan bahasa Inggeris dengan lebih luas dan konsep pelbagai bahasa. 
BBBK mengadakan rapat umum di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, dihadiri oleh wakil-wakil daripada badan bahasa dan juga badan politik Melayu, seperti UMNO dan PAS.   Mohd. Salleh Daud, bekas ahli Lembaga Pengelola DBP dan bekas karyawan tamu DBP, pernah  menulis dalam Memoir Bukan Seorang Konformis,  bahawa beliau yang diminta menjadi pengerusi persidangan,  mula merasakan suasana akan menjadi kucar-kacir.  Dewan Budaya yang sesak dengan kebanjiran manusia dan kepulan asap rokok, disesakkan lagi oleh bahang emosi yang meluap-luap marah terhadap Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Setiap yang hadir memekik-mekik mahu bersuara, mengutuk Tunku kerana membawa rang undang-undang yang akan “membunuh” bahasa Melayu.
Para pejuang bahasa  yang hadir dalam rapat  umum yang berlangsung pada 2 Mac 1968 itu bertindak membakar rang undang-undang, gambar Tunku Abdul Rahman,  dan akhbar Utusan Melayu di luar bangunan DBP.   Tunku dikatakan tidak berasa gembira dengan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP ketika itu. Beberapa hari selepas peristiwa  tersebut, dalam satu perhimpunan di Ipoh, yang turut dihadiri oleh Syed Nasir, Tunku dipetik sebagai berkata, “Jika tidak cukup gambar saya di Dewan Bahasa, pergi dan lihat banyak lagi gambar di rumah saya.  Di sana ada banyak gambar elok dan warna-warni.”  
Menurut Mohd. Salleh, meskipun mendapat tentangan daripada pejuang bahasa kebangsaan dan juga pejuang bahasa Cina yang mahukan bahasa Cina juga dijadikan bahasa rasmi atas dasar fahaman pelbagai bahasa,    rang undang-undang itu diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat 3 Mac 1967, dengan 95 menyokong (Perikatan) dan 11 menentang (pembangkang). Akta ini mengesahkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tunggal dan rasmi, tetapi membolehkan bahasa Inggeris terus digunakan untuk maksud tertentu dan bahasa kaum lain boleh digunakan untuk maksud bukan rasmi.
Tatkala Tunku berasa tidak gembira beliau  terhadap peristiwa di Dewan Budaya itu, rakyat juga naik berang terhadap beliau yang akhirnya mereka terjemahkan dalam peti undi pada tahun 1969. Dalam pilihan raya itu, prestasi Parti Perikatan merosot, terutamanya MCA.  Pulau Pinang jatuh ke tangan Parti Gerakan, Perak dan Selangor “tergantung,” manakala Kelantan kekal di tangan PAS.  Sebagaimana orang bukan Melayu, orang Melayu juga menolak Perikatan, dengan UMNO kehilangan lapan kerusi Parlimen. Beberapa hari selepas pilihan raya umum 10 Mei itu berlaku rusuhan kaum yang dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei. 
Sebagai Perdana Menteri, Tunku terpaksa menghadapi tuduhan dan cemuhan daripada ahli-ahli UMNO sehingga dikatakan martabat beliau dalam UMNO menjunam selepas meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan, apabila pejuang bahasa mengkritik beliau kerana tidak mempunyai pendirian yang tegas terhadap orang Cina. Kajian tentang faktor prestasi buruk Perikatan dan berlakunya detik hitam dalam sejarah Malaysia,  mendapati soal bahasa merupakan salah satu faktornya. Kegagalan kerajaan untuk melaksanakan bahasa kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1967, iaitu 10 tahun selepas merdeka, secara jelas adalah salah satu faktor penyumbang yang menyebabkan meletusnya Peristiwa  13 Mei. 
Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Doktor Umum:  Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad  mencatatkan situasi sebelum pilihan raya umum 1969 yang berkait soal bahasa.  Menurut beliau,   walaupun selepas Singapura disingkirkan daripada Malaysia pada tahun 1965, dasar “Malaysian Malaysia” yang diperkenalkan oleh Lee Kuan Yew diteruskan oleh DAP  yang mengapi-apikan cauvinisme Cina dan memarakkan api nasionalisme Melayu. “Orang Melayu pula menjadi amat emosional, tetapi gagal mengemukakan hujah dengan baik. Misalnya, pegawai-pegawai Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka sentiasa mempromosikan bahasa Melayu dan menggesa semua orang menggunakannya,”  tulis Dr. Mahathir. “Namun, mereka sendiri gagal menerangkan bahawa walaupun bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, bahasa lain boleh digunakan dengan bebas, termasuk sebagai bahasa pengantar di sekolah.”
Sejak  menuntut  kemerdekaan Tanah Melayu hinggalah kepada selepas pembentukan Malaysia, bahasa   Melayu sentiasa berada di tengah pentas yang bukan  sahaja merumitkan Perikatan, tetapi juga boleh mencetuskan ketegangan.  Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ditentang oleh orang Cina, dan mereka juga mencadangkan bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi. Sebenarnya, usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal selepas tahun 1967, disambut oleh orang Cina yang bertindak balas dengan kerasnya terhadap dasar ini, iaitu dengan menuntut bahawa bahasa Cina patut diakui sebagai bahasa rasmi sebagaimana bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, dan peperiksaan awam patut diadakan dalam bahasa Cina.
Semasa dalam pemerintahan Darurat akibat Peristiwa 13, kerajaan yang ditadbir  oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran), dengan  Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein sebagai Pengarahnya,  melaksanakan Dasar Pendidikan yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.  Pada 30 Julai 1969, Menteri Pelajaran Tun Abdul Rahman Ya’kub mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia secara berperingkat-peringkat, bermula dengan darjah satu pada tahun 1970.  Bahasa Inggeris hanya diajar sebagai bahasa kedua.  Pelaksanaan ini dilanjutkan ke sekolah menengah, termasuk tingkatan enam, akan menggunakan bahasa Melayu  pada tahun 1982.  Mulai tahun 1983, bahasa Melayu akan digunakan sebagai bahasa pengantar dalam tahun pertama di kuliah-kuliah universiti.
Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga  atas daya usaha  Tun Abdul Rahman Ya’kub pada tahun 1970,  dalam usaha  untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam bidang pendidikan sebagai tindak balas terhadap “ura-ura orang Cina untuk menubuhkan Universiti Merdeka.” Idea penubuhan UKM adalah hasil  pertemuan yang  diadakan  di Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum pilihan raya umum tahun 1969, dihadiri kira-kira 50 orang,  antaranya  Syed Nasir Ismail,  Dr. Mahathir Mohamad, Abdul Samad Ismail, Dr. Syed Ali, Tengku Shamsul Bahrin, dan Abu Bakar Hamid.   Pertemuan itu bersetuju bahawa  inilah masa yang sesuai sekali untuk mendesak kerajaan supaya dibina sebuah “Universiti Kebangsaan” sebagai puncak kepada sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.  Walau bagaimanapun, Tunku Abdul Rahman dan Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Mohd. Khir Johari tidak begitu ghairah dengan cadangan penubuhan UKM, sedangkan Tun Abdul Razak memberikan sokongan, tetapi tidak secara terbuka. 
Era perjuangan bahasa Melayu sudah lama berlalu dan sukar untuk ditebus kembali. Segalanya  hilang dalam wawasan, hilang dalam transformasi. Pejuang bahasa  yang masih ada  sekarang sekadar saki-baki yang pastinya tanpa pengganti.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...