Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pada April tahun 2012, Klaus Schwab, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif
Forum Ekonomi Dunia (WEF) menulis dalam The
Huffington Post, mengisytiharkan berakhirnya kapitalisme. Namun, beliau tidak dapat memastikan apakah
penggantinya. Tegas beliau, “perkara
yang menjadi perdebatan hangat di Davos pada awal tahun ini bukannya
berakhirnya kapitalisme sebagai ideologi, tetapi isu bagaimana komponen
teknikal kapitalisme yang tergelincir dari landasan dapat diperbaharui.” Sejak
dunia dilanda oleh krisis kewangan dan terjebak dalam kemelesetan yang terburuk
sejak Perang Dunia Kedua, masa depan kapitalisme diragui, atau memetik mendiang
Eric Hobsbawm, “kapitalisme kini muflis.”
Selain kapitalisme,
kembarnya, iaitu globalisasi juga dijangkakan menemui nasib yang sama, seperti
yang pernah dibahaskan oleh David M.
Smick dalam The Washington Post pada
pertengahan Oktober, “apakah yang akan menggantikan model globalisasi?” Beliau meramalkan parti politik yang
menguasai Rumah Putih pada bulan Januari ini, empat tahun kemudian, kehilangan
kuasa untuk satu generasi. Cabaran
ekonomi yang menggetarkan. Risiko, tegas
Smick berpunca daripada sesuatu yang lebih fundamental, iaitu model globalisasi
30 tahun lalu sedang retak. Dan,
sebagaimana Klaus Schwab tentang pengganti kapitalisme, Smick membayangkan
tidak ada model baru untuk menggantikan globalisasi yang sedang menunggu
“kematiannya.”
Untuk menyokong
ramalannya, Smick merujuk ekonom dunia pada bulan April yang berubah menjadi
buruk. Kadar pertumbuhan tahunan jumlah
eksport global runtuh. Eksport, menurut
beliau, merupakan jentera penting dalam memacu ekonomi Amerika Syarikat keluar
daripada keterukan kemelesetan pada bahagian kedua tahun 2009 dan masih penting
untuk pertumbuhan. Akhir-akhir ini, bahkan China dan India, yang difikirkan
mampu memisahkan (decouple) daripada
kelemahan dunia perindustrian, menjadi mangsa kemerosotan perdagangan global. Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO)
mengurangkan anggarannya untuk perdagangan global. Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
tentang Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) melaporkan bahawa pertumbuhan
ekonomi adalah lemah di seluruh dunia.
Seterusnya, Smick menegaskan bahawa liberalisasi kewangan,
termasuk aliran bebas modal yang juga di seluruh dunia diancam. Bank-bank dengan pantas menjadi lebih
bersifat kebangsaan. Trend ini
diperkukuh oleh sekatan kawal selia yang dilaksanakan di tengah-tengah krisis
kewangan global dan seterusnya krisis zon euro.
Sememangnya, kini lebih sukar untuk modal pelaburan untuk bergerak
merentas sempadan.
Zon euro, hujah Smick,
merupakan pusat trend nyahglobalisasi ini.
Bank-bank Eropah secara tradisional mempunyai sumber kira-kira 80
peratus pembiayaan kewangan dalam pasaran sedang muncul. Sekarang, bank-bank yang kurang dimodalkan
dengan teruk dipaksa untuk membawa balik modal itu ke negara asal, dan tidak
jelas bahawa bank-bank Amerika Syarikat, Jepun, dan China dalam kedudukan untuk
memenuhi jurang itu. “Kekurang modal,”
tulis Smick, “bersama-sama dengan perlunya bank-bank mengekalkan lebih banyak
modal menyekat pembiayaan perdagangan global dan merangkaikan trend nyah
globalisasi menjadi lebih pantas.”
Walau bagaimanapun,
Smick mengakui bahawa faedah globalisasi diagihkan secara tidak sama rata. Liberalisasi kewangan juga membawa kepada rollercoaster yang menakutkan tentang
keganasan kewangan dan seksaan jiwa. Dalam pada itu, pada masa yang sama, hujah
beliau, tempoh globalisasi yang bermula akhir 1970-an, berkembang secara
perlahan pada 1980-an, dan meningkat kepada ketinggian luar biasa selepas
keruntuhan Tembok Berlin pada tahun 1989 membawa kepada berlipat gandanya
tenaga buruh pasaran bebas global, iaitu daripada 2.7 bilion kepada enam bilion
orang. Di Amerika Syarikat sahaja,
globalisasi menghasilkan 40 juta
pekerjaan baru kedua-duanya di bawah Presiden Republikan dan Demokratik, sambil
memetik Gary Hufbauer dari Peterson
Institute yang menegaskan Amerika bahawa era tersebut memberikan sumbangan kepada
Amerika Syarikat mewujudkan “AS$1
trilion lebih kaya setiap tahun menerusi perdagangan yang diglobalkan.”
Meskipun wujud kecacatannya,
hujah Smick, globalisasi merupakan jentera yang mencipta kekayaan. Itulah sebabnya kerajaan di dunia
membelanjakan AS$15 trilion dan bank-bank pusat meningkatkan kunci kira-kira
mereka sebanyak AS$5 trilion dalam respons terhadap krisis kewangan, hakikatnya
untuk cuba menyelamatkan jentera itu.
Tulisan David M. Smick itu
mendapat respons segera daripada Robert W. Merry yang muncul dengan krisis
globalisasi dengan membangkitkan bahawa The National Interest yang tulisan
beliau itu dimuatkan, pernah menerbitkan keluaran khas, “Krisis Orde Lama,” tetapi
orde baru tidak muncul untuk menggantikan yang lama. Era globalisasi hujah
Merry, adalah tidak terkawal. Era itu
bermula pada akhir tahun 1970-an, semakin
bertenaga sepanjang 1980-an,
kemudian meningkat sepanjang 1990-an dan seterusnya.
Berakhirnya globalisasi seperti
yang dibayangkan oleh Smick dapat diperhatikan satu demi satu data ekonomi yang
muram, daripada krisis kewangan kepada kemerosotan eksport global, daripada
pertumbuhan kepada pengangguran. Seperti
yang dinyatakan dalam keluaran terbaharu
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada awal Oktober, iaitu World Economic Outlook, yang menunjukkan
gambaran suram ekonomi global jika dibandingkan dengan keadaan beberapa bulan
lalu: prospek terus terhakis dan risiko meningkat. Secara keseluruhan, ramalan IMF tentang
pertumbuhan global diturunkan kepada 3.3 peratus tahun ini dan terus lembap,
iaitu 3.6 peratus pada tahun 2013.
Laporan itu juga menyatakan bahawa ekonomi maju diunjurkan tumbuh
sebanyak 1.3 peratus tahun ini, berbanding 1.6 peratus tahun lalu dan 3.0
peratus tahun 2010, dengan pemotongan perbelanjaan awam dan sistem kewangan
yuang masih lemah menjejaskan prospek.
Pertumbuhan dalam pasaran sedang muncul dan ekonomi membangun turut
diturunkan berbanding dengan ramalan pada Julai dan April, iaitu kepada 5.3 peratus berbanding 6.2
peratus tahun lalu. Negara peneraju
dalam pasaran sedang muncul, seperti China, India, Rusia, dan Brazil semuanya
menyaksikan pertumbuhan yang perlahan. Pertumbuhan volum perdagangan dunia
merosot kepada 3.2 peratus tahun ini, daripada 5.8 peratus tahun lalu dan 12.6
peratus tahun 2010.
IMF juga bahaya pelarian
dramatik modal dari negara zon euro yang bergelut dengan krisis yang mengancam
menyusutkan aset bank sebanyak bertrilion dolar. Para pelabur yang takut akan keruntuhan zon
euro, menarik keluar wang mereka daripada sistem kewangan pada detik penting,
menyukarkan kerajaan dan perniagaan memenuhi cabaran untuk menjanakan
pertumbuhan yang konsisten. IMF menghitung bahawa jumlah aset bank-bank
Kesatuan Eropah yang terpaksa mengecut sebanyak AS$2.8 trilion, membawa kepada
pengurangan sembilan peratus dalam kredit.
Dalam senario yang melampau, angka itu boleh mencecah AS$4.5 trilion.
Sementara negara berpendapatan
tinggi di dunia, menurut Michael Spence yang menulis dalam Project Syndicate, dalam kesusahan ekonomi, kebanyakan berkait
dengan pertumbuhan dan pekerjaan, dan kini penderitaan mereka merebak ke
ekonomi membangun. Faktor utama pertama, jelas Spence ialah nyah pengumpilan
dan akibat kekurangan permintaan agregat.
Sejak krisis kewangan bermula pada tahun 2008, beberapa buah negara
maju, memapan permintaan dengan umpilan dan penggunaan berlebihan, terpaksa
membaiki kedua-dua kunci kira-kira, iaitu swasta dan awam, yang memerlukan masa
dan menyebabkan mereka menjadi lebih dari segi pertumbuhan dan pekerjaan. Faktor kedua mendasari masalah hari ini,
jelas beliau, berkait dengan pelaburan.
Pertumbuhan jangka yang lebih panjang memerlukan pelaburan oleh individu
(dalam bidang pendidikan dan kemahiran), kerajaan, dan sektor swasta. Kekurangan dalam pelaburan akhirnya
mengurangkan peluang pertumbuhan dan pekerjaan.
Cabaran yang paling sukar,
bahas Spence, melibatkan keterangkuman, iaitu bagaimana faedah pertumbuhan
diagihkan. Hal ini merupakan cabaran
yang berlarutan bahawa terutamanya di Amerika Syarikat, wujud
sekurang-kurangnya dua dekad sebelum krisis; dibiarkan tanpa penyelesaian,
keadaan ini mengancam kepaduan sosial. “Pertumbuhan pendapatan untuk golongan
kelas menengah di kebanyakan negara maju lembap, dan peluang pekerjaan merosot,
terutamanya dalam bahagian boleh niaga ekonomi.” Trend ini, hujah Spence lagi, “mencerminkan
kombinasi teknologi dan kuasa pasaran global yang beroperasi lebih dua dekad
lalu. Di sebelah teknologi, inovasi penjimatan
buruh dalam prosesan maklumat berasaskan rangkaian dan automasi urus niaga
membantu memacu merenggangkan antara pertumbuhan dengan generasi pekerjaan
dalam kedua-dua sektor, iaitu boleh dan niaga dan bukan boleh niaga.”
Seperti yang dinyatakan sebelum
ini, Smick mengakui secara sepintas lalu bahawa faedah globalisasi tidak
diagihkan secara sama rata, tetapi beliau juga menegaskan bahawa globaliasi
mewujudkan kekayaan. Untuk mendalamkan
atau memperincikan lagi perbincangan tentang kedua-dua aspek penting itu, kita sepatutnya merujuk The Economist keluaran
pertengahan Oktober, yang membahaskan ketidaksamaan dan ekonomi, dengan memperkenalkan
konsep true progressivism: mengatasi
ketidaksamaan tanpa merosakkan pertumbuhan ekonomi. Pada
akhir abad ke-19, zaman pertama
globalisasi dan mencurah-curah rekaan baru yang mengubah ekonomi global,
tetapi juga mewujudkan ketidaksamaan, meningkatkan jurang antara golongan kaya
dengan golongan miskin.
Dalam membahaskan bahawa
ketidaksamaan perlu ditangani, makalah itu membangkitkan kuasa kembar
globalisasi dan inovasi teknikal yang sebenarnya merapatkan jurang
ketidaksamaan global, kerana negara miskin dapat merapatkan jurang dengan
negara kaya. Namun, dalam banyak negara, jurang ketidaksamaan semakin melebar. Lebih dua pertiga penduduk dunia yang tinggal
di negara yang ketidaksamaan meningkat sejak tahun 1980, selalunya kepada
darjah yang menonjol. Di Amerika,
bahagian pendapatan negara yang dikaut oleh golongan atas 0.01 peratus
(kira-kira 16,000 keluarga) meningkat daripada hanya lebih satu peratus pada
tahun 1980 kepada hampir lima peratus kini.
Laporan khas majalah itu
menunjukkan bahawa perkembangan yang luar biasa ini tidak terbatas di Amerika
semata-mata. Banyak negara, termasuk Britain,
Kanada, China, India, dan bahkan Sweden yang egalitarian, menyaksikan kenaikan
bahagian pendapatan negara yang dibolot oleh golongan satu peratus atas. Bilangan golongan ultakaya meningkat di
seluruh dunia, dengan memetik Forbes
yang menunjukkan Amerika mempunyai kira-kira 421 orang hartawan, Rusia 96
orang, China 95 orang, dan India 48 orang.
Tahap ketidaksamaan, menurut
laporan khas itu, berbeza secara meluas di seluruh dunia. Ekonomi sedang muncul lebih tidak sama jika
dibandingkan dengan negara kaya. Negara
Scandinavia mempunyai ketidaksamaan pendapatan yang sangat kecil, dengan
koefisien Gini untuk pendapatan boleh guna kira-kira 0.25. Sebaliknya, negara yang paling tidak sama di
dunia, seperti Afrika Selatan, mencatatkan koefisien Gini kira-kira 0.6 – yang bermaksud perbezaan
besar dari segi ketidaksamaan. Hanya
Amerika Latin, benua yang selama ini paling tidak sama di dunia, menyaksikan
koefisien Gini jatuh dengan ketara sepanjang 10 tahun lalu. Akan tetapi, majoriti penduduk yang mendiami
planet ini di negara yang ketidaksamaan pendapatan lebih besar daripada mereka
yang merupakan generasi lalu.
Tidak bermakna bahawa jelas
laporan khas itu dunia secara keseluruhan menjadi lebih tidak sama. Ketidaksamaan global, iaitu jurang pendapatan
antara semua penduduk di planet ini, mula jatuh kerana negara miskin dapat
mengejar negara kaya. Dua orang ahli
ekonomi Perancis, iaitu Francois Bourguignon
dan Christian Morrisson, menghitung “Gini global” yang mengukur skala
ketidaksamaan pendapatan dalam kalangan setiap orang di dunia. Indeks mereka menunjukkan bahawa ketidaksamaan
global meningkat pada abad ke-19 dan ke-20 kerana ekonomi kaya, secara purata,
tumbuh dengan lebih pantas jika dibandingkan dengan ekonomi miskin. Baru-baru
ini pola itu terbalik dan ketidaksamaan global mula jatuh, bahkan ketika
ketidaksamaan dalam banyak negara meningkat.
Menurut ukuran itu, planet ini secara keseluruhan menjadi tempat yang
saksama.
Tambah laporan khas itu lagi,
penyelidikan oleh ahli ekonomi IMF menunjukkan bahawa ketidaksamaan pendapatan
memperlahankan pertumbuhan, menyebabkan krisis kewangan, dan melemahkan
permintaan. Dalam laporan terbaharu Bank
Pembangunan Asia bahawa jika agihan pendapatan Asia yang sedang muncul tidak
semakin teruk sepanjang 20 tahun lalu, pertumbuhan pesat di rantau ini akan
mengeluarkan lebih 240 juta orang daripada kemiskinan melampau.
Akhir sekali, dipetik
semula David M. Smick yang mengibaratkan globalisasi “angsa
bertelur emas” yang seakan-akan dikorbankan demi mendapatkan hasil segera.
(Nota: Tulisan asal makalah yang
pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi,
Disember 2012.)
No comments:
Post a Comment