Artikel Popular

Tuesday, March 13, 2012

Daya Saing Kota

RABU,  14  Mac 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Kota,  seperti yang diperkatakan dalam kursus sosiologi di peringkat sarjana muda,  sering menjadi daya tarikan,  yang disebut secara simbolik "tarikan lampu neon." Kepadatan atau kesesakan penduduk kota, khususnya di negara Dunia Ketiga,  sebahagian besarnya adalah kerana penghijrahan dari desa ke bandar. Sementara kota di negara maju pula terpaksa menampung penghijrahan penduduk dari negara asing. Sama ada melalui penghijrahan desa-bandar ataupun penghijrahan antara negara, kota sentiasa menjadi daya tarikan manusia. 

Di peringkat global, seperti yang ditunjukkan oleh carta harian The Economist, menyenaraikan daya saing kota yang paling utama di seluruh dunia dengan menggunakan pemboleh ubaha ekonomi, demografi, dan sosial.  Menduduki senarai lima teratas ialah New York, London, Singapura, Hong Kong, dan Paris. 

Sebanyak 120 kota dalam indeks yang menjadi kediaman 750 juta orang dan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS$20.2 trillion, iaitu 29 peratus daripada nilai KDNK dunia. Penumpuan tinggi penduduk mahir, infrastruktur, dan institusi bermakna bahawa kedudukan teratas dalam indeks dikuasai oleh Amerika dan Eropah Barat, dengan 24 kota daripada 30 kota teratas.


Amerika Syarikat Terperangkap antara Greece dengan Jepun

SELASA,  13  Mac  2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Ahli ekonomi, Simon Johnson menulis dalam The Huffington Post bahawa dari segi hal ehwal fiskal, Amerika Syarikat lebih seperti Greece. Satu masalah besar di Greece sepanjang dekad lalu atau lebih, tegas beliau, adalah bahawa kerajaan tidak jujur dengan data mereka.  Pelbagai orang menolong dalam perkara ini, termasuk Goldman Sachs dari segi beberapa isu hutang, tetapi akhirnya, ini merupakan keputusan politik di peringkat tertinggi.  Jelas Johnson, orang yang mentadbir negara itu memutuskan untuk menyembunyikan sifat sebenar belanjawan dan hutang mereka.  

Tambah Johnson, anggota Perwakilan daripada Parti Republikan kini mencadangkan sesuatu yang sama untuk Amerika Syarikat. 

"Oleh sebab keprihatinan defisit dan hutang ini, maka perincian kelihatan penuh misteri, dan bahawa bagaimana perincian yang sama terlepas perhatian oleh kebanyakan orang di Greece.    Mujurlah di Amerika Syarikat, kita mempunyai panduan yang cemerlang, iaitu makalah dalam Nota Cukai oleh John Buckley." 

Republikan, menurut pemerhatian Johnson, mahu memotong cukai, dan perkara ini bukan sesuatu yang rahsia.  Semua empat orang calon Presiden yang masih kekal mempunyai cadangan fiskal dengan unsur pemotongan cukai yang besar.  "Masalah bagi mereka dan rakan-rakan Kongres mereka," tulis beliau, "adalah bahawa kita mempunyai broker yang jujur dalam bidang fiskal, yang bukan partisan, iaitu Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) yang 'menunjukkan' cadangan fiskal menurut kemungkinan impaknya." 

Dalam Amerika Syarikat moden, Johnson mengingatkan, memotong cukai membawa kepada hasil yang rendah dan defisit belanjawan yang besar.  Tidak ada cara yang sebaliknya tentang perkara ini, seperti Presiden Ronald Reagan pernah alami pada awal tahun 1980-an. 

"Jika anda memotong cukai, hasil akan jatuh dan defisit akan meningkat.... Jika anda menyembunyikan fakta..., anda terjerumus ke dalam  betul-betul sama  jenis penipuan yang menjatuhkan Greece."

Sementara itu, Robert J. Samuelson dalam The Washington Post,  membangkitkan bahawa sejak krisis kewangan, sesuatu yang menghantui Amerika Syarikat ialah Jepun. Beliau membayangkan bahawa sebagaimana Jepun pada tahun 1990-an, Amerika Syarikat kini berkemungkinan mengalami nasib yang sama: "dekad yang hilang," iaitu pertumbuhan yang tidak seberapa dan pasaran pekerjaan lemah.

"Pengalaman Jepun adalah relevan dengan pemulihan suam Amerika," tulis Samuelson. " Berapa banyak dasar fiskal (dasar belanjawan kerajaan) dan dasar monetari (kadar faedah, keadaan kredit), mengimbangi masalah struktur yang mendasari?  Sejak awal tahun 1990-an, Jepun mengalami dasar monetari yang longgar dan defisit  belanjawan yang besar.  Mereka tidak menyedarkan semula sepenuhnya ekonomi."

Beliau mengingatkan bahawa Jepun menghadapi tiga masalah struktur utama, dan yang menarik, Amerika juga menghadapinya.  Pertama, model ekonomi asas adalah musnah, iaitu model pertumbuhan diterajui eksport untuk Jepun, manakala untuk Amerika, pertumbuhan ekonomi diterajui penggunaan.  Kedua, Jepun menghadapi masalah penduduk berumur dan berkurangan yang melemahkan pasaran domestik dan meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk golongan tua. Amerika Syarikat juga menghadapi masalah yang sama, meskipun masih ringan. Ketiga, kedua-duanya, iaitu Jepun dan Amerika Syarikat mempunyai hutang kerajaan yang sangat besar, mencerminkan pertumbuhan yang perlahan, penduduk berumur, dan program "stimulus."  Di  Amerika, hutang kerajaan kasar melebihi 200 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding dengan angka Amerika Syarikat yang separuh daripada itu. Setakat ini, kedua-dua kerajaan meminjam sesuka hati.

Samuelson mengingatkan bahawa untuk orang Amerika, pengajaran dari Jepun adalah bahawa kehilangan dinamisme ekonomi mengubah kedua-duanya, iaitu sifat kemakmuran dan keadaan nasional. Beliau juga mengingatkan bahawa pemimpin politik mendapati sukar untuk membuat keputusan yang tegas dalam ekonomi yang lemah, dan sikap tidak dapat membuat keputusan mereka menyumbang kepada  kelemahan ekonomi.

Dari segi hal ehwal fiskal, Amerika Syarikat menyerupai Greece, di samping  mengalami nasib yang sama, seperti  Jepun, iaitu "dekad yang hilang."  


Sunday, March 11, 2012

Dari Rusia dengan Kekayaan

AHAD,  11 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pilihan Raya Presiden Rusia baru sahaja selesai dan seperti yang dijangkakan oleh banyak pihak, Vladimir Putin mencipta kemenangan untuk penggal ketiga, meskipun kemenangan itu mencerminkan bahawa beliau bukan lagi orang kuat.   Walaupun berlaku tunjuk perasaan kerana dikatakan berlaku penipuan dalam pilihan raya itu, kemenangan Putin menyebabkan Barat pening kepala.  

Memang Barat berasa kurang selesa dengan kemenangan Putin, seperti yang dilihat melalui tulisan Condoleezza Rice, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat,  dalam The Washington Post, yang mengisytiharkan:  Kemenangan ini  mungkin kedua-duanya, iaitu yang terakhir untuk Putin dan sesuatu yang akhir untuk Putinisme. Masa depan beralih kepada kelakuan kelas menengah Rusia yang diintegarasikan ke dalam dunia dan diasingkan oleh politik korup Kremlin. 

Namun, di tengah-tengah kehangatan kemenangan Putin belum reda, akhbar The Moscow Times dengan bangganya memaklumkan bahawa Rusia menduduki tempat kedua dari segi bilangan orang terkaya di dunia pada tahun ini, meninggalkan China pada satu takuk di belakang.  

Memetik senarai hartawan dunia yang diterbitkan oleh majalah  Forbes pada Rabu lalu, akhbar itu menyatakan bahawa daripada 1226 hartawan dunia, 96 orang datangnya dari Rusia, menduduki tempat kedua selepas Amerika Syarikat,meningkat dari tempat ketiga pada tahun lalu.  Sementara Amerika Syarikat boleh berbagga dengan 425 orang yang kekayaan melebihi AS$1 bilion, manakala China mempunyai 95 orang hartawan pada tahun ini. 

Rusia dikatakan mempunyai alasan sejarah untuk muncul dalam kalangan orang terkaya di dunia oleh bilangan hartawan kerana kawalan terhadap syarikat besar yang disatukan dalam tangan sebilangan ahli perniagaan ketika penswastaan pada tahun 1990-an.  Alasan kedua, Rusia bergantung pada bahan mentah: kebanyakan orang Rusia yang tersenarai dalam Forbes itu memiliki aset dalam industri logam dan perlombongan atau minyak dan gas. 

Dengan Rusia dan China, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga, sekali lagi negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China), memperlihatkan kekuatan mereka dalam orde baru dunia ekonomi.  Dan sekali lagi kedua-dua negara itu membuktikan bahawa  kapitalisme  negara semakin mencabar kapitalisme liberal. 


Kebekuan dan Krisis Struktur

AHAD,  11 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sudah lebih setahun saya "bermain-main" dengan blog, dan akhirnya saya sedari bahawa saya jarang-jarang merujuk atau memetik Monthly Review,  meskipun  kerap juga saya membaca  terbitan itu. Sebenarnya, lebih setengah abad Monthly Review  menjadi  "kubu" puak Kiri dan Marxis  dengan mengemukakan perbahasan serta kupasan yang kritis, mendalam, dan menarik. 

Dalam keluaran bulan ini, melalui Notes From the Editor, maka diketengahkan persoalan yang mendasari ekonomi dunia pada tahun lalu, iaitu kebekuan. "Dari sudut pandangan Monthly Review, kebekuan semasa bukan semuanya tidak dijangkakan, tetapi mewakili kecenderungan normal modal kewangan monopoli global, terutamanya dalam ekonomi yang matang."  

Jelas nota itu lagi, "Kecenderungan ini disembunyikan dalam bahagian semasa tiga dekad lalu atau lebih oleh  siri  gelembung kewangan (dan sebelum itu oleh perbelanjaan ketenteraan Perang Dingin).  Kini, dengan pengewangan (financialization) terhadap kapitalisme yang bergegar adalah sekali lagi bersemuka dengan bayang-bayang kebekuan yang mengerikan, dengan jalan keluar tidak dapat dilihat."

Krisis ekonomi semasa, ada kalanya dibahaskan sebagai krisis struktur. Dalam hubungan ini, Istvan Meszaros, yang menulis dalam Monthly Review bulan ini,  menegaskan bahawa "krisis yang kita hadapi merupakan krisis struktur yang amat sangat dan mendalam yang memerlukan pengambilan cara struktur jangkauan yang lebih jauh untuk mencapai penyelesaian mapan."   Jelas  beliau, "Juga mesti ditegaskan bahawa krisis struktur pada zaman kita tidak berpunca pada tahun 2007, dengan 'pecahnya gelembung perumahan Amerika Syarikat,' tetapi sekurang-kurangnya empat dekad sebelum ini" - yang beliau sendiri bincangkan seawal tahun 1967, dan tulis pada tahun 1971.

Seterusnya, Meszaros  menjelaskan bahawa memang tidak memadai untuk membincangkan krisis masa kini tanpa merujuk rangka sosial keseluruhan yang lebih luas.  Hal ini bermakna untuk menjelaskan ciri ketegaran dan kedalaman krisis yang berlaku di seluruh dunia hari ini kita mesti menumpukan perhatian terhadap krisis sistem modal dan dalam keseluruhannya.  Untuk  krisis modal yang kita alami adalah semuanya meliputi krisis struktur.

"Dalam istilah yang mudah dan lebih umum," tulis beliau, "krisis struktur menjejaskan keseluruhan kompleks sosial, yang dalam semua hubungannya dengan bahagian unsurnya atau subkompleks, di samping kompleks lain yang berkait dengannya." 


Saturday, March 10, 2012

Pertumbuhan yang Sukar

SABTU,  10  Mac 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Carta harian, The Economist mengunjurkan bahawa  beberapa buah negara mengalami kesukaran untuk mewujudkan pertumbuhan pada tahun 2012, tetapi keadaan lebih baik pada tahun 2013.  Di Eropah, beberapa ekonomi dijangkakan menguncup tahun ini, dengan Italy dan Sepanyol dalam kalangan negara yang dikaji, adalah paling teruk.  

Akan tetapi, selepas menguncup 0.6 peratus pada tahun 2012, kawasan euro dijangkakan mencipta sedikit pertumbuhan pada tahun depan, iaitu sebanyak 0.7 peratus.  

Sementara Jepun, hanya satu-satu negara dijangkakan mencapai pertumbuhan yang lebih pada tahun ini berbanding dengan tahun depan, kerana perbelanjaan jangka terdekat terhadap pembinaan semula gempa bumi dan subsidi kerajaan untuk kereta cekap tenaga. Ekonomi Jepun juga akan dibantu oleh peningkatan kadar pertumbuhan Amerika.  Kedua-dua negara itu, baru-baru ini menyemak semula dengan meningkatkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka pada tahun 2011, meletakkan kedua-dua buah negara dalam kedudukan yang lebih baik pada tahun 2012.

Walau bagaimanapun, The Economist mengakui bahawa secara keseluruhan, pertumbuhan KDNK untuk negara yang diunjurkan, masih perlahan secara relatifnya, secara purata 1.4 peratus untuk tahun ini. 

Kadar Pengangguran di Amerika Syarikat Stabil

SABTU,  10  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jabatan Buruh Amerika Syarikat memaklumkan pada hari Jumaat bahawa kadar pengangguran di negara itu kekal pada 8.3 peratus pada Februari tahun ini, terendah dalam masa tiga tahun. Majikan di negara itu menambah 227,000 pekerjaan pada bulan lalu untuk melengkapkan tiga bulan terbaik dari segi pengambilan pekerja sejak kemelesetan bermula.  Kadar pengangguran ini tidak berubah jika dibandingkan dengan bulan Januari, terutamanya kerana lebih banyak orang memasuki tenaga kerja.  

Dengan kadar pengangguran yang stabil, bermakna munculnya trend pertumbuhan yang penuh makna.  "Apabila sesuatu berlaku sekali, ini ialah fenomena," tulis Daniel Gross.  "Apabila sesuatu berlaku dua kali, ini ialah kebetulan.  Apabila sesuatu berlaku tiga kali, ini ialah trend.  Laporan guna tenaga bulan Februari itu mengesahkan bahawa kita mempunyai trend pertumbuhan pekerjaan yang memuaskan."

Jared Bernstein yang menulis The Huffington Post menganggap kadar pertumbuhan konsisten dengan pasaran pekerjaan bertambah baik secara perlahan dan konsisten. Sementara Rana Forooha yang menulis dalam Time,  pergi lebih jauh dengan menanyakan:  "Adakah angka pekerjaan yang kuat menamatkan ketakutan dalam pasaran?" Bagi Dereck Thompson, hal ini menandakan pemulihan yang berbaloi untuk diterujakan. Walau bagaimanapun, Ezra Klein melihat dari perspektif yang berbeza:  Mengapa peningkatan kadar pengangguran boleh bermakna pemulihan sebenar.

Dengan lebih 227,000 pekerjaan yang diwujudkan untuk bukan ladang, mengatasi 210,000 pekerjaan yang diunjurkan oleh ahli ekonomi, ini memberikan rangsangan kepada Presiden Barack Obama yang akan menghadapi Pilihan Raya Presiden pada November ini.  Beliau pernah berjanji untuk memastikan pengurangan kadar pengangguran menjadi keutamaan. 


Friday, March 9, 2012

Israel Terancam!

JUMAAT,  9  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Gendang perang Israel gegak-gempita semasa Persidangan Tahunan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel Amerika (AIPAC)  di Washington pada hari Ahad lalu.  Presiden Barack Obama yang turut menyampaikan ucapan dalam persidangan   itu, membayangkan peperangan dengan Iran tidak dapat dielakkan dan memberitahu "maksud pencegahan."  Akan tetap, i pada masa yang sama, "meletakkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu di penjuru."   Pentadbiran Obama dikatakan mengubah nada terhadap Israel  kerana Pilihan Raya Presiden pada tahun ini.  

Tidak kurang menarik ialah kritikan terhadap kepura-puraan AIPAC kerana menyokong penyelesaian dua negara:  mengesahkan negara Yahudi Israel dan nyah tentera negara  Palestin.

Gambaran umum yang memihak pada Israel seolah-olanya Iran mengancam Israel.  Bahkan,  Bibi menggunakan kisah  Bible untuk meyakinkan Obama bahawa "Parsi sejak dahulu lagi ingin menghapuskan Yahudi."  Dalam pertemuan dengan Barack Obama di Rumah Putih pada Isnin, Bibi berkata Israel, "mesti sentiasa mempunyai kemampuan untuk mempertahankan dirinya, oleh negara itu sendiri, menentang mana-mana ancaman." Beliau yang juga berucap dalam Persidangan Tahunan AIPAC, menegaskan bahawa Israel  tidak boleh menunggu lama untuk menyerang Iran.

Namun, ancaman sebenar terhadap Israel bukannya datang dari Iran atau mana-mana negara Islam di Timur Tengah.  Sebaliknya, ancaman itu datangnya dari dalam Israel sendiri, seperti yang didedahkan oleh David Remnick dalam The New Yorker keluaran 12 Mac, yang dapat diperoleh lebih awal melalui dalam talian.  

Negara Israel, bahas Remnick kini dilanda krisis demokratik.  Sejak berdekad-dekad, warganya, iaitu orang Yahudi sekurang-kurangnya secara justifikasi menjelaskan negara mereka sebagai satu-satu negara demokrasi di Timur Tengah.  Israel yang diimpikan oleh Theodor Herzl dan dibina oleh generasi David Ben-Gurion, sebagai eksperimen dalam kuasa Yahudi, unik selepas dua alaf penyeksaan dan pelarian, Israel menempuh kebuntuan.  "Konflik nilai yang menjadi-jadi meletakkan sifat demokratik di bawah stres yang amat sangat.  Apabila kerajaan bercakap setiap hari tentang ancaman yang wujud dari Iran, dan mendesak serangan terhadap kemudahan nuklear Iran, mereka lupa bahawa ancaman yang wujud dari dalam Israel sendiri."

Jelas Remnick, meskipun unsur reaksionari menghendap-hendap di banyak negara demokrasi,  di Israel ancaman tersebut amat jelas.  Dan keprihatinan datangnya bukan daripada kebanyakan kritikan yang berterusan, tetapi bekas Perdana Menteri Ehud Barak dan Ehud Olmert, kedua-duanya memberikan amaran bahawa Israel  terjerumus ke dalam aparteid, xenofobia, dan pengasingan. 

Pengakisan politik pastinya bermula dengan pendudukan wilayah Palestin, iaitu penaklukan lelaki, wanita, dan kanak-kanak Palestin yang berakhir untuk 45 tahun.  Remnick juga memetik buku Peter Beinart yang akan diterbitkan, The Crisis of Zionism, kritikan terbaharu yang menunjukkan bahawa antidemokratik yang mendalam, bahkan rasis, budaya politik menjadi endemik dalam kebanyakan penduduk Yahudi di Tebing Barat, dan membahayakan Israel yang sebenar. 

Herzl dikatakan membayangkan Zionisme yang majmuk yang rabai tidak menikmati "suara istimewa di negara itu."  Sekarang, puak fundamentalis yang diberanikan semakin menunjukkan sikap agresif fahaman zaman pertengahan, iaitu puak ultra-Ortodoks yang cuba mengatur kehidupan harian orang ramai.

Tinjauan pendapat demi tinjauan pendapat menunjukkan bahawa banyak orang muda Israel tidak mengikuti prinsip demokratik yang liberal negara itu.  Tinjauan pendapat tahun lalu mendapati 51 peratus orang Israel percaya bahawa orang ramai "sepatutnya dilarang daripada mengkritik secara keras Negara Israel secara terbuka."  Netanyahu menggalakkan pandangan bahawa mana kritikan sedemikian ialah kerja musuh.

Yang cuba diketengahkan oleh David Remnick bahawa ancaman dari dalam Israel sendiri tidak kurang bahayanya berbanding dengan ancaman senjata nuklear Iran yang sering digembar-gemburkan oleh Bibi dan puaknya.  


Thursday, March 8, 2012

Adakah China Benar-benar No. 1?

KHAMIS, 8  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) terus menjadi tumpuan.  Rusia baru sahaja selesai dengan Pilihan Raya Presiden,  yang seperti dijangkakan,  menyaksikan kemenangan untuk Vladimir Putin.  Sementara India, yang mengadakan Pilihan Raya Negeri Uttar Pradesh,  yang padat dengan 200 juta orang penduduk,  menyaksikan kekalahan kepada Parti Kongres, manakala di Gujarat, genap 10 tahun pogrom. 

Tatkala politik Rusia dan India menjadi tumpuan, seperti yang diperkatakan dalam blog semalam, Brazil memotong United Kingdom untuk menduduki tempat keenam dari segi kuasa ekonomi dunia.  Hari ini pula, Robert J. Samuelson menulis dalam The Washington Post, adakah China benar-benar No. 1?  satu persoalan yang sering dibangkitkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan pernah dikaji dalam Pew Global Attitudes Project yang menunjukkan China sedang mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia. 

Meskipun China dijangkakan pada bila-bila masa sahaja akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar dunia, Samuelson memaklumkan, kebanyakan ahli ekonomi tidak fikir begitu.  Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), memetik angka Bank Dunia,  pada tahun 2010, menurut Samuelson, ekonomi China adalah kira-kira 70 peratus saiz Amerika.  Nilai KDNK China ialah AS$10.2 trilion berbanding dengan KDNK Amerika Syarikat yang bernilai AS$14.6 trilion. Walau bagaimanapun, beliau menyatakan wujud  ketidaksepakatan tentang nilai KDNK China pada tahun 2010:  AS$15 trilion, dan bahkan dianggarkan AS$17 trilion. 

Dari segi taraf hidup, seperti yang diukur oleh pendapatan per kapita, bahas Samuelson, Amerika Syarikat jauh mengatasi China, mengikut mana-mana anggaran KDNK. "Ingat bahawa semua pengeluaran dan pendapatan China tersebar dalam kalangan 1.34 bilion penduduk, manakala KDNK Amerika Syarikat dibahagikan dalam kalangan 309 juta orang."  Menggunakan angka Bank Dunia, hujah Samuelson, "pendapatan per kapita Amerika Syarikat berjumlah AS$47,153 pada tahun 2010, berbanding dengan AS$7,599 China.  Andaikan KDNK China AS17 trilion, meningkatkan pendapatan per kapita kira-kira AS$12,700, kira-kira satu perempat Amerika Syarikat.

Dengan andaian pertumbuhan China lapan peratus setahun dan Amerika Syarikat pula tiga peratus setahun, jangkaan Samuelson, maka China akan memotong Amerika Syarikat pada tahun 2018.


Tidak Ada "Tatabahasa yang Betul" dalam Bahasa Inggeris?

KHAMIS, 8  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Michael Rosen yang menulis dalam The Guardian menafikan bahawa wujud "tatabahasa yang betul" dalam bahasa Inggeris. Hujah beliau, meskipun ahli bahasa bersetuju bahawa bahasa mempunyai tatabahasa, apa yang mereka tidak boleh bersetuju adalah bagaimana untuk menjelaskannya.  Walaupun wujud persetujuan minimum bahawa bahasa ialah sistem yang berfungsi dari seg bahagian dan fungsii hubungan antara manusia, tidak wujud persetujuan universal bagaimana bahagian dan fungsi sepatutnya dianalisis dan dijelaskan. 

Bahas Rosen lagi, timbul persoalan, sama ada kita perlu mengetahui tatabahasa supaya "betul," atau supaya dapat menjelaskan apakah yang orang kata atau tulis. 

Rosen menafikan kewujudan "tatabahasa yang betul" itu sebagai respons terhadap langkah Martin Gwynne yang turun ke kedai-kedai di Oxford Street untuk mengajar bahasa Inggeris yang betul.  Seperti yang dilaporkan dalam The Telegraph, Gwynne, ahli perniagaan Old Etonian yang telah bersara kemudian beralih kepada pekerjaan guru, memberikan tunjuk ajar tatabahasa kepada pembeli-belah di situ. Beliau juga menjual panduan yang berguna untuk perkara itu, iatu Gwynne's Grammar. 


Wednesday, March 7, 2012

Ekonomi dalam Krisis

KHAMIS, 8  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) zon euro jatuh 0.3 peratus dalam suku keempat tahun 2011, penguncupan pertama sejak zon euro meninggalkan kemelesetan pada tahun 2009.  Ketakutan bahawa zon euro terjebak semula dalam kemelesetan diperkukuh oleh berita kejatuhan perbelanjaan kerajaan dan pengguna, kejatuhan eksport dan kemerosotan industri, semua merupakan faktor kemerosotan ekonomi pada akhir tahun lalu.  Perbelanjaan pengguna jatuh 0.4 peratus, eksport jatuh 0.4 peratus, perbelanjaan kerajaan jatuh 0.2 peratus, dan industri jatuh dua peratus. 


Dua hari lalu, pasaran Eropah merudum kerana Greece mengancam mungkir  terhadap pemiutang antarabangsa. Sementara Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) pada hari yang sama jatuh sebanyak 1.6 peratus kepada 12,759.20 mata, kejatuhan terburuk sejak 23 November 2011.  

China yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan sejak tahun 2004,  menyasarkan  pertumbuhan tahun ini hanya 7.5 peratus pada tahun 2012.  China juga, seperti yang dibahaskan oleh Michael Schuman dalam Time, akan mengalami krisis ekonomi.

Greece yang dalam kegawatan,  pada bulan lalu menerima pelan penyelamat kedua daripada troika, iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kesatuan Eropah, dan Bank Pusat Eropah (ECB),  yang bernilai AS$172 bilion,   masih lagi bergelut dengan persoalan yang membimbangkan, iaitu runtuh atau menghidupkan semula. Suspens di Athens belum reda berhubung dengan hutang.  


Untuk Eropah pula, akibat krisis euro,  soalan yang tidak jemu-jemu dibangkitkan ialah:  Mampukah Eropah diselamatkan?  Realiti krisis Eropah telah pun dibahaskan oleh Paul Krugman baru-baru ini.  Beliau cuba menjelaskan apa yang merunsingkan Eropah dengan pengangguran  mencecah 13 peratus ialah "pengenalan mata wang bersama." 


Di Eropah, seperti yang dibahaskan oleh Mehdi Hasan, "pengangguran lebih membimbangkan jika dibandingkan dengan KDNK dan inflasi"  dengan merujuk pengangguran yang mencecah 10.7 peratus pada bulan Januari, iaitu 16.9 juta orang tanpa pekerjan di 17 buah negara kawasan euro, manakala 27 negara anggota Kesatuan Eropah lebih 10 peratus untuk pertama kali, iaitu 24.3 juta orang tanpa pekerjaan.  Justeru, untuk menyelesaikan krisis Eropah, wang semata-mata bukan penyelesaian. 


Paul Krugman baru-baru ini menulis bahawa kini dalam tahun keempat krisis ekonomi yang benar-benar mengerikan. Namun, krisis ekonomi masih belum pergi jauh, berlegar-legar untuk mengacau semula. Michael Sivy yang menulis dalam Time pernah membangkitkan bahawa "benih untuk krisis kewangan seterusnya sedang ditabur."  

Kira-kira dua tahun lalu, "pucuk hijau" mula bertunas menyebabkan banyak negara dapat menarik nafas lega: pemulihan dan pertumbuhan menjadi realiti.  Namun, "pucuk hijau" yang menimbulkan perasaan optimis itu kelihatan kekuningan, manakala bumi tempat tumbuhnya kelihatan gersang. 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...