Artikel Popular

Wednesday, July 31, 2013

Mesir yang Bergolak: Pembantah Terbaik Dunia, Demokrat Terburuk Dunia

RABU,  31  Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Mesir terhumban ke dalam kancah kacau-bilau, huru-hara.  Protes  menjadi-jadi, peraturan   jalanan  bermaharajalela dengan jumlah pembantah yang terkorban, semakin hari semakin  meningkat, dengan protes terbaharu meragut nyawa 127 orang. 

Tatkala protes jalanan terus  tidak terbendung, Jeneral Abdul Fatah al-Sisi, yang memainkan peranan penting dalam penggulingan Presden Mohamad Morsi pada 3 Julai, diperhatikan mengheret Mesir ke dalam kancah perang saudara, manakala sesetengah rakyat Mesir dilaporkan hilang kepercayaan terhadap angkatan tentera.

Dalam keluaran 22 Julai, Time muncul dengan rencana utama "Street Rule" oleh Karl Vick, dengan kulit judul kulit depan, "Egypt:  World's Best Protesters, World's Worst Democarat." Khalayak adalah segala-galanya dalam politik Mesir. Mereka penuh sesak membanjiri Dataran Tahrir menumbangkan Presiden Hosni Mubarak, tulis Vick. Hanya selepas setahun presiden pertama dipilih dalam sejarah Mesir selama 6000 tahun, pada 30 Jun, berjuta-juta khalayak muncul semula, mendesak angkatan tentera menyingkirkan Morsi.  "Bagi kebanyakan rakyat Mesir," isytihar Vick, "protes sama dengan demokrasi."

Dalam keluaran itu juga terkandung tulisan Fareed Zakaria, "After the Coup" dan  "Democracy's Rorschach Test" oleh  Ayman Mohyeldin.


Tuesday, July 30, 2013

Apakah Wanita Mahu Ketika di Atas Katil?

SELASA, 30  Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Menanyakan soalan apakah wanita tentang keinginan mereka ketika di atas katil bersama-sama pasangan lelaki masing-masing seakan-akan menunjukkan kebodohan, atau "sudah tahu bertanya semula."  Selain itu, menunjukkan kejahilan lelaki yang seolah-olah gagal menyelami lubuk hati wanita ketika bersama-sama dalam persekitaran dan suasana sedemikian. 

Difahami secara lazim bahawa keseksualan lelaki agak jelas dan mudah, manakala keseksualan wanita adalah kompleks dan diselubungi rahsia.  Daniel Bergner, dalam buku terbaharunya, What do Women Want?, seperti yang dipetik oleh Rachel Pomerance, keseksualan wanita adalah lebih  nuansa berbanding dengan lelaki.  Lelaki diibaratkan menghidupkan satu butang, manakala bagi wanita, wujud himpunan butang, dan kita tidak mengetahui butang itu untuk apa.  Hal ini sedemikian, menurut Bergner,  kerana penyelidikan yang terhad terhadap keseksualan wanita, sebahagiannya kerana dari segi sejarah dikuasai oleh lelaki.  Beliau mencatatkan contoh bahawa ahli sains hanya baru-baru ini sedar takat luas kelentit dan belum lagi menjelaskan kewujudan titik-G yang sukar ditemui.

Walau bagaimanapun, Bergner menjelaskan bahawa beberapa usaha penyelidikan sedang dilaksanakan, banyak penyelidikan itu diterajui oleh wanita yang menunjukkan bahawa andaian selama ini tentang kesekualan wanita adalah silap. Di sini biggie:  Monogami mungkin lebih mencabar wanita berbanding dengan lelaki.

Sementara itu, satu kajian juga tentang keseksualan wanita menunjukkan bahawa lebih 60 peratus wanita  British melihat telefon mereka ketika mengadakan hubungan seks.  Kajian tersebut yang dipetik oleh The Huffington Post, menilai respons lebih 1700 orang British, mendapati 62 peratus wanita dan 48 peratus lelaki mengganggu hubungan seks untuk melihat telefon bimbit.  Lebih 30 peratus memberitahu bahawa mereka menjawab panggilan telefon, tinggi sedikit daripada 20 peratus yang mengaku, sama ada membaca ataupun menjawab mesej teks atau e-mel.



Monday, July 29, 2013

Meletusnya Revolusi Melati

ISNIN,  29  Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH


Sekali lagi, impian Karl Marx dan mereka yang sehaluan dengan beliau, seperti Lenin,  Rosa Luxemburg, dan Antonio Gamsci yang sering  dimomokkan, kini menjadi kesayangan media. Pemimpin revolusioner, iaitu Che Guevera, seperti yang diketahui, gagal dalam usahanya    mengimport revolusi ke Afrika,   tetapi  kini,  revolusi  bergegar di Afrika Utara, sesuatu yang   jarang-jarang berlaku di dunia Arab. Golongan cerdik pandai menyebut tunjuk  perasaan    di Tunisia sebagai Revolusi Melati  (Jasmine Revolution) sempena bunga kebangsaan negara itu.
Revolusi Melati, yang dianggap sungguh cantik, berlaku secara spontan, tanpa arahan, tanpa pemimpin, dan  tanpa organisasi.  Revolusi itu juga dikatakan revolusi bukan Islam kerana  penunjuk perasaan itu datangnya daripada pelbagai lapisan dan golongan, daripada ibu-ibu miskin bersama-sama anak-anak mereka kepada penghuni kelas atasan kota, semuanya  menyanyikan lagu kebangsaan dan meneriakkan slogan utama “Ben Ali Berambus.” Rakyat mahukan  kehidupan, dan rantai yang membelenggu mereka berdekad-dekad telah putus.
Tercetusnya pemberontakan popular di Tunisia, sememangnya memeranjatkan, apatah lagi untuk membayangkan impak yang cukup besar terhadap  dunia Arab. Tunisia dengan 10 juta orang penduduk, yang terkenal dengan taraf pendidikan yang tinggi, hidup mewah secara relatifnya,  dan berbangga dengan kesedaran sivik, menjadi rakyat pertama di rantau itu  melancarkan demonstrasi jalanan yang berjaya menyingkirkan rejim.  Berbanding dengan negara-negara Arab yang lain, sehingga tercetusnya Revolusi Melati, Tunisia  dianggap stabil, walaupun pernah berlaku serangan pengganas.   Kekecewaan dan   kegelisahan di Jalan Arab (Arab Street)  boleh dikatakan bukannya fenomena negara itu.   Apabila dibangkitkan bahawa bolehkah rejim yang mengecewakan rakyat mereka benar-benar  terus menguasai kira-kira 350 juta orang rakyat,  yang menjadi tumpuan ialah Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Qaddafi di Libya.  Daripada barisan  autokrat yang bakal ditelan pasir,  Zine el-Abidine Ben Ali bukan yang terawal dalam senarai, dan barangkali terkeluar sama sekali. 
Dalam keluaran Julai 2010, majalah The Economist muncul dengan “Shifting  Sands: Change is Coming to the West’s Arab Allies”   yang  dipetik dalam “Politik Pasir” Dewan Masyarakat, dengan tumpuan terhadap peralihan  kuasa di  Mesir dan Arab Saudi kerana keuzuran pemimpin.  Majalah itu  juga dalam  “A Special Report on Arab World: A Silent Social Revolution”  dalam keluaran pada tahun sebelumnya, meskipun menjangkakan  tercetusnya revolusi politik di dunia Arab,  tidak membayangkan turut berlaku di Tunisia.   Yang jelas daripada kedua-dua keluaran majalah itu, Mubarak hampir sampai ke hujung perjalanan, hanya tarikh yang belum dapat dipastikan.
Tiga tahun lalu, atas nasihat mendiang Edward Said, maka    Christopher Hitchens melawat Tunisia.   Beliau yang  menulis dalam majalah Vanity Fair, “At the Desert’s Edge,”   menjelajah titik tekanan di sebuah negara yang paling berjaya di benua Afrika dan  memetik  2006–2007 World Economic Forum Global Competitiveness Report yang menyenaraikan Tunisia menduduki tangga pertama di Afrika dari segi daya saing ekonomi, bahkan secara kebetulan, mengatasi tiga buah negara Eropah, iaitu Italy, Greece, dan Portugal.  Pemilikan rumah adalah 80 peratus.  Jangkaan hayat, ialah 72 tahun, tertinggi di benua itu.  Kurang empat peratus penduduknya di bawah garis kemiskinan, dan mengurangkan kesengsaraan dengan “dana perpaduan” yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai program model.  Sembilan daripada 10 isi  rumah menikmati bekalan elektrik dan air bersih. 
Meskipun Hitchens   bimbang akan kemenangan  Ben Ali dalam setiap pilihan raya dengan mendapat 90 peratus undi dan beliau menganggap Tunisia rapuh serta terdedah pada ancaman golongan ekstremis, namun beliau  tidak membayangkan tercetusnya pemberontakan popular di negara itu. Apabila  diberitahu bahawa  “golongan belia boleh dilemahkan oleh satu daripada seratus stesen satelit yang dipancarkan ke dalam masyarakat mereka,” beliau fikir itu mungkin  dibesar-besarkan, atau mungkin rasa tidak selamat.
Sebaik-baik sahaja rejim yang memerintah  selama 23 tahun  itu tumbang, Christopher Hitchens menulis dalam majalah Slate, “Tunisia Grows UP,” dengan harapan Revolusi Melati mekar atas legasi Habib Bourguiba, Presiden pertama,   yang digulingkan oleh Ben Ali.  Selain mengisahkan semula  lawatannya ke negara itu,  beliau menulis  bahawa mungkin satu alasan khalayak Tunisia mampu bergerak pantas dan mencapai hasil dengan segera, memisahkan kepimpinan tentera daripada polis hanya dalam beberapa hari adalah semata-mata kerana mereka tahu mereka boleh melakukannya.  Tambah beliau, “Oleh itu, dan dengan sedihnya, mungkin terlalu awal untuk mengatakan bahawa peristiwa di Tunis merupakan pengarak atau tanda akan datangnya gerakan akar umbi di negara lain di rantau itu.”
Pada tahun 1975,    Robert D. Kaplan     ke Tunisia, dan beliau merakamkan  hasil lawatan itu serta   lawatan susulan  dalam buku kembara/memoirnya,   Mediterranean Winter:  The Pleasures of History and Landscape in Tunisia, Sicily, Dalmatia, and the Peloponnese.   Tunisia, bagi beliau,  merupakan hub Afrika Utara bukan sahaja semasa Carthaginian dan Roman, tetapi juga semasa Vandal, Byzantine, Arab, dan Turki.   Tidak seperti Algeria dan Libya yang tidak mempunyai sejarah, Tunisia mempunyai kebudayaan kebangsaan, dan budaya itu bukannya himpunan kabilah.   “Seperti Maghribi dan Mesir, Tunisia terdiri daripada rumpun tamadun zaman lama.” Tambah beliau,  “Tunisia bukannya demokrasi, tetapi ialah  negara sejati, syukur kepada legasi Carthage dan Rome.” 
Pastinya, Kaplan tidak terbayang  dalam keenakan       simbahan  air yang berbau harum bunga  melati ketika beliau mengambil mandian Turki (Turkish baths) bahawa pada  suatu masa  kelak,  keharuman  bunga itu akan merentasi   seluruh   dunia Arab.  Namun,    di kejauhan beliau seakan-akan dapat melihat realiti masa kini negara yang dikaguminya dari segi sejarah dan budaya itu.  “Tunisia, jika dilihat daripada kedudukan yang baik di  Sicily, kelihatan kurang stabil berbanding dengan yang saya fikirkan sebelum ini:  kemungkinan besar dilemahkan oleh beberapa pergolakan masa hadapan.” 
Ketika buku tersebut  diterbitkan pada tahun 2004,  Ben Ali  telah pun berkuasa,     malangnya Kaplan tidak  menghidu segala   kejahatan dan  kecelakaan yang dilakukannya.     Seperti yang pernah didedahkan pada tahun yang sama  oleh      Kamel Labidi, “The Wrong Man to Promote Democracy” dalam akhbar The New York Times, ketika Presiden itu   diraikan sebagai tetamu  oleh Presiden Amerika, George W. Bush:   “Tunisia di bawah Ben Ali merupakan sebuah negara polis yang paling cekap di dunia yang mencabul hak asasi manusia  dengan sewenang-wenangnya.”   
Di sebalik semua kisah kejayaan dan pencapaian Tunisia,  selain  mendapat sokongan kuat daripada bekas negara penjajahnya, Perancis,   Amerika pula baru sahaja meluluskan AS$12 juta lagi untuk bantuan ketenteraan, dan Kesatuan Eropah sedang berbincang untuk meningkatkan hubungan dengan Tunisia kepada “status maju,” Ben Ali   pergi juga akhirnya. Namun, agak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Tunisia menjadi mangsa kejayaannya sendiri.
Apabila  rejim itu melarikan diri bersama-sama Lady Macbeth, Leila Trabelsi, satu persoalan yang paling popular ialah adakah kemekaran dan keharuman bunga melati akan menyelubungi dunia Arab.  Dilihat segi sejarah, seperti yang dicatatkan oleh Robert Kaplan, “di Tunisia, Rome muncul sebagai kuasa dunia” dan “di situlah  Rome bersungguh-sungguh membina emparnya”  seakan-akan memberikan jawapan  tentang  kemungkinannya: bumi yang subur untuk meniupkan api revolusi.
“Berakhirnya zaman diktator di dunia Arab? Tanya Robert Fisk dalam akhbar The Independent.  Pastinya, mereka menggeletar dalam but kereta mereka merentas Timur Tengah, syeikh yang banyak duit, amir, dan raja, termasuk yang paling tua di Arab Saudi dan yang muda di Jordan, dan presiden – satu lagi yang tua di Mesir dan yang muda di Syria kerana tidak difikirkan berlaku di Tunisia.  Jika boleh berlaku di destinasi percutian, Tunisia, pastinya boleh berlaku di tempat lain.  “Tunisia diraikan oleh Barat kerana ‘kestabilannya’ di bawah pemerintahan Ben Ali yang berani bertindak tegas terhadap golongan Islamis” tulis Fisk, seolah-olahnya  menyindir bahawa akhirnya tumbang juga.
Mohamed ElBaradei, bekas Ketua Senjata Nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan pemimpin pembangkang Mesir,  awal-awal lagi memberikan amaran bahawa “ledakan gaya Tunisia” akan meletus  di Mesir. Apabila tunjuk perasaan berlaku  di Kaherah, Iskandariah, dan Suez, antara komen ialah “kapal terbang sedang bersiap sedia untuk membawa  Mubarak keluar.”  Cerita jenaka, seperti yang diterbitkan dalam akhbar The Telegraph, bahawa kapal terbang  Ben Ali   sebelum ke Arab Saudi, singgah di istana Mubarak yang terletak di tepi laut, iaitu di Sharm el-Syeikh.  “Datang untuk tinggal di sini?” tanya Mubarak.  “Tidak, datang  untuk menjemput anda sekali,” jawab Ben Ali. 
 Selepas Tunisia, dipercayai bahawa komuniti risikan, komuniti diplomat, dan Rumah Putih semuanya menjangkakan protes akan merebak. Tunisia, bagi sebilangan cerdik pandai, ialah Gdansk dunia Arab –  tempat lahirnya gerakan umbi, Solidarity di Poland yang menjadi titik tolak berkecainya Komunis di Eropah Timur. Pemecatan pekerja limbungan,   Anna Walentynowicz  pada tahun 1980,   lalu mencetuskan mogok di negara itu   adalah sama dengan nasib Mohamed Bouazizi di Tunisia, seorang daripada banyak siswazah menganggur, yang mencari rezeki dengan menjual buah-buahan.   Apabila polis   menyita  kereta sorongnya, beliau bertindak  membakar dirinya di hadapan  jabatan kerajaan di  Sidi Bouzid yang akhirnya mencetuskan pemberontakan popular Arab. Revolusi Melati bermula pada Disember lalu dilakukan seorang diri oleh penjual buah  ini yang tidak menganggotai mana-mana parti politik, tidak menegakkan apa-apa slogan, dan bahkan tidak menuntut pembaharuan demokratik.   Selepas itu,  baru disedari bahawa banyak   Mohamed Bouazizi di Tunisia.  
Ada  yang melihat  bahawa dari Maghribi ke Mesir ke Jordan dan seterusnya, perlumbaan berita melalui Internet dan telefon sel melanda rakyat  Arab yang sekian lama tertindas, membangkitkan memori tentang kejatuhan Tembok Berlin dan runtuhnya Empayar Soviet. Maka, diisytiharkan bahawa “ini merupakan detik Berlin di dunia Arab.”   Dataran Tahrir di Kaherah  2011, dikatakan,  tidak ubah seperti  Dataran Wenceslas di Prague   1989.  
Tatkala rakyat Arab memperlihatkan keseronokan mereka untuk menggulingkan seorang demi seorang rejim,  dan warga dunia turut merasakan keterujaan, Robert Kaplan muncul dengan makalahnya dalam The New York Times pada 22 Januari, “One Small Revolution” menyatakan  rasa pesimistik beliau terhadap usaha membawa demokrasi di rantau itu. Tulis Kaplan,    “Banyak terdapat perbandingan antara Tunisia pada 2011 dengan Eropah 1989, tetapi idea bahawa kemaraan demokrasi di Timur Tengah tidak banyak membawa kemusnahan berbanding dengan yang berlaku di Eropah Timur berikutan runtuhnya Komunisme kelihatan naif.”    Meskipun berbaloi mengharapkan Revolusi Melati sekular Tunisia dapat menyemai pemberontakan yang sama di Timur Tengah yang resah, namun beliau cuba menarik perhatian tentang kepentingan Amerika dan keamanan di rantau itu. 
“Bukannya demokrat,” tegas Kaplan, “tetapi autokrat Arab, iaitu Anwar Sadat dan Raja Hussein yang mengadakan perdamaian dengan Israel. Autokrat yang berkuasa sepenuhnya dapat berkompromi dengan mudah jika dibandingkan dengan pemimpin dipilih yang lemah.  Dan demokrasi yang membawa  golongan ekstremis Hamas  berkuasa di Gaza.” Beliau mengingatkan, “Kita patut berhati-hati apakah yang kita hajatkan untuk Timur Tengah.”
Antara begitu banyak tulisan tentang Revolusi Melati dan pemberontakan popular yang sedang melanda dunia Arab, tulisan bekas Presiden Iran, Abolhassan  Bani-Sadr “The Tunisian Revolt: Learning From the Mistakes of the Iranian Revolution” dalam akhbar Internet,  The Huffington Post  memberikan sesuatu yang berharga. Dengan menyingkirkan pemerintahan kuku besi yang menjadi penghalang utama demokrasi, Bani-Sadr, memulakan penulisannya, “pemberontakan Tunisia mempunyai kepentingan yang cukup besar untuk dunia Arab dan Islam.” 
Sebagai Presiden Republik Islam Iran pertama, beliau ingin berkongsi pengalaman dan memberikan nasihat kepada para pejuang Revolusi Melati  supaya tidak terperangkap dalam keghairahan mewujudkan demokrasi, berkesudahan dengan memunculkan kediktatoran dalam bentuk baru.  Justeru, mereka perlu menjauhkan diri daripada rejim lama dan elitnya, bahkan jangan sekali-kali berunding untuk membentuk kerajaan pakatan dengan elit lama.  Setakat ini, perkara ilni belum berlaku di Tunisia, elit era Ben Ali masih lagi berkuasa. Atau dengan kata lain,   “Ali Baba telah  melarikan diri, bagaimana dengan   40 orang penyamun” – satu pemerhatian yang cukup menarik oleh  The Economist  baru-baru ini. 
            “Revolusi hanya berlaku,” tulis Bani-Sadr,  “apabila sistem yang wujud dirombak secara keseluruhan dan dibina yang baru.”  Tambah beliau, “Seluruh struktur rejim  kuku besi, iaitu badan eksekutif, kehakiman, dan perundangan sepatutnya direvolusikan.”  Bagi pejuang revolusi, beliau mengingatkan jangan sekali-kali beranggapan bahawa tugas  selesai  dengan penggulingan  rejim  dan mereka boleh hidup senang-lenang di rumah masing-masing, dan menyerahkan tugas seterusnya kepada organisasi politik. Sebaliknya, mereka mesti memperlihatkan kehadiran mereka di setiap penjuru negara dan di setiap lapisan kerajaan, mungkin menerusi pembentukan majlis revolusioner tempatan.
            Berdasarkan pengalaman selepas Revolusi Iran, Bani-Sadr membantah perbicaraan dan pengenaan hukuman terhadap anggota bekas rejim. Hak setiap warganegara mesti memasukkan hak anggota rejim lama yang dituduh melakukan jenayah dan rasuah.  “Seperti yang kita saksikan (dan mungkin terus menyaksikan), jelas beliau, “mereka yang berkuasa akan mengenakan kekerasan dalam usaha untuk memaksa masyarakat.” 
Setelah Pemberontakan Arab pertama pada tahun 1916 yang dipimpin oleh Syarif Hussein bin Ali untuk membebaskan dunia Arab daripada Empayar Ottoman, kini dunia menyaksikan Pemberontakan Arab kedua yang memperoleh suntikan semangat daripada kejayaan Tunisia. Tentang Pemberontakan Arab kedua ini, banyak diperkatakan peranan rangkaian sosial, seperti Facebook, YouTube, dan Twitter, serta  tidak kurang  peranan saluran televisyen al-Jazeera dan kabel diplomatik WikiLeaks.  Tanpa menafikan  peranan  media baru itu yang boleh disamakan dengan peranan mesin faks yang meruntuhkan  Kesatuan Soviet, tetapi peranan yang paling besar terletak pada  keazaman dan keberanian rakyat Arab sendiri. Memang tidak mudah untuk menentang rejim autoritarian yang menguasai tentera dan memiliki  sumber kewangan yang  dapat digunakan untuk meredakan serta melemahkan demonstrasi jalanan. Namun, rakyat Arab bangkit untuk  menunjukkan tempat sebenar  kepada diktator yang tidak biasa mati di atas katil atau tidak mengenal dunia persaraan.
Sejauh mana pemberontakan popular  mampu menerobos seluruh dunia Arab, dipetik   Immanuel Wallerstein dalam komentar  dwibulanan dalam laman webnya  pada awal Februari: “Pemberontakan spontan mewujudkan situasi seperti yang berlaku di Rusia pada tahun 1917 apabila dalam ungkapan terkenal Lenin, ‘kuasa terbentang di jalan,’ dan dengan itu, kekuatan yang teratur dan nekad dapat menawannya, seperti yang dilakukan oleh Bolshevik.”
Adakah   Pemberontakan Arab kedua   mempunyai cukup kekuatan itu menawan kuasa yang terbentang di jalan?
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Mac 2011.)

Sunday, July 28, 2013

Silap Eja dalam Bahasa Inggeris, Bagaimana Jika Berlaku di Malaysia?

AHAD, 28  Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Apabila melihat 18 foto tentang kesilapan mengeja dalam bahasa Inggeris yang ditunjukkan oleh The Huffington Post, maka terlintas dalam fikiran saya, bagaimana jika kesilapan itu berlaku di Malaysia? 

Pastinya,  The Star  dan pendukung bahasa Inggeris yang kebanyakannya berkubu di akhbar itu, melalak, menjaja satu negara akan perlunya Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris dan Sains dan Matematik  (PPSMI) diteruskan dan sekolah aliran Inggeris diperkenalkan semula.  Akhbar itu bersama-sama golongan tersebut akan menggunakan kesilapan seperti itu sebagai bukti kelemahan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Walaupun akhbar Internet itu tidak menyatakan di negara manakah kesilapan ejaan tersebut  berlaku, melihat satu demi satu foto berkenaan, seseorang itu pasti dapat mengagaknya.


Friday, July 26, 2013

Eropah Keluar daripada Kemelesetan?

JUMAAT,  26 Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Setelah tahun demi tahun bergelut dengan kemelesetan, Eropah akhirnya dilaporkan membawa berita gembira, iaitu zon euro  dijangkakan  pulih. Untuk kali pertama dalam masa 18 bulan, firma sektor swasta di seluruh wilayah itu mencatatkan peningkatan output, lalu membawa kepada ramalan bahawa blok mata wang  tunggal itu mula keluar daripada kemelesetan.

Dengan prestasi baik ini diterajui oleh Jerman, manakala Perancis sedang kembali semula kepada normal, menurut Larry Elliot adalah kerana rangsangan pertumbuhan yang disediakan oleh Bank Pusat Eropah, pengurangan jimat-cermat pada tahun 2013 berbanding dengan tahun 2012, dan bantuan peningkatan tahun lalu dalam ekonomi global yang memberikan manfaat kepada ekonomi Eropah yang bergantung pada eksport.

Namun, mampukah  pemulihan di Eropah mengimbangi ekonomi China yang mula perlahan? 


Thursday, July 25, 2013

Geronimo Tumbang Sebelum Tumpas

KHAMIS,  25 Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jerat tidak pernah lupakan pelanduk.  Barangkali itulah mesej tersirat dalam pengumuman  Presiden Barack Obama tentang kematian Musuh Orang Ramai No.  1 menjelang tengah malam Ahad, atau menjelang tengah hari Isnin di Malaysia -  tatkala  kebanyakan rakyat negara ini menghabiskan   cuti gantian Hari Pekerja. “Untuk selama dua dekad, Bin Laden menjadi pemimpin al-Qaeda dan simbol,” kata Obama dalam kenyataan yang disiarkan di seluruh dunia. “Kematian Bin Laden menandakan pencapaian yang paling bermakna setakat ini dalam usaha negara kita untuk mengalahkan al-Qaeda.  Akan tetapi, kematiannya tidak menandakan berakhirnya usaha kita.  Tidak ragu-ragu bahawa al-Qaeda akan terus melakukan serangan terhadap kita. Kita mesti dan kita akan terus berjaga-jaga dalam negara dan di luar negara.” Selepas Obama   mengesahkan kematian Osama bin Laden, rakyat Amerika  berkumpul di New York, Washington, dan banyak bandar lagi,  bersorakan dan berteriakan seakan-akan meraikan sebuah kemenangan selepas hampir satu dekad mereka hidup dalam ketakutan.      
Perburuan Amerika Syarikat untuk mendapatkan  Osama bin Laden hidup atau mati, sesungguhnya memakan masa yang lama, iaitu 15 tahun, melibatkan tiga orang Presiden Amerika, iaitu Bill Clinton, George W. Bush, dan Barack Obama, dan memakan belanja peperangan AS$3 trilion. Selain menjadikan  Afghanistan sasaran,  Amerika juga menceroboh Iraq dan menumpaskan Saddam Hussein, rejim yang tidak terlibat dalam 11 September dan tiada hubungan dengan Osama dan al-Qaeda. Atas nama Perang terhadap Keganasan,” lebih 50,000 tentera Amerika Syarikat dan tentera bersekutu terbunuh atau cedera, dan beratus-ratus ribu orang awam Afghanistan, Iraq, dan Pakistan terkorban.  Dalam operasi yang mengambil masa 40 minit, akhirnya  Navy SEALs menyerbu dan  membunuh Osama  di kediamannya di Abbottabad, kira-kira 70 batu dari Islamabad, dan dengan itu, memetik Presiden Obama dalam pengumumannya,  “keadilan dilaksanakan.”
            Sebagaimana serangan 11 September 2001, kematian Osama bin Laden yang diberikan  nama kod Geronimo oleh CIA, mengambil sempena pejuang   peribumi Amerika, mendapat liputan media yang amat luas.  Majalah Time dalam keluaran 20 Mei muncul dengan “Special Report:  The End of Bin Laden.”   Untuk empat kali dalam sejarah kami, kami meletakkan X berwarna merah pada  muka di  kulit depan majalah kami, jelas Richard Stengel, Editor Urusan, dalam “The Story of X.”  Kali pertama menandakan kematian Adolf Hitler pada tahun 1945.  Pada tahun 2003, kami menghidupkan semula X untuk Saddam Hussein.  Tiga tahun kemudian, kami meletakkan tanda itu pada muka  Abu Mousab al-Zarqawi, orang yang ditakuti di Iraq.  “Kini, kami menggunakannya untuk menandakan kematian pengganas yang paling dahsyat di dunia, Osama bin Laden.” 
Tulis Stengel lagi, “dia mati pada waktu apabila pengaruhnya yang sedang surut.”  Dalam editorial itu, beliau mengulangi komen yang lazim kedengaran sejak  tercetusnya pemberontakan popular  bahawa rakyat Arab tidak mempedulikan Osama:   “Dalam semua konflik dan kemenangan Pemberontakan Arab yang merusuh ini, tidak seorang pun meneriakkan namanya atau membawa imejnya.”  Namun, Stengel mengakui bahawa dalam cara ingin tahu, kematiannya membawa semula dia ke hadapan dan ke tengah, jika hanya untuk seketika.  Berakhirnya era dalam sesetengah cara, tetapi tidak menamatkan perjuangan kita menentang keganasan.
Peter Bergen yang pernah menemui Osama di bahagian timur Afghanistan pada tahun 1997, turut menulis dalam laporan khas Time   itu, “A Long Time Going” mengisytiharkan bahawa lelaki ini boleh jadi dibunuh pada 5/1, tetapi ideologinya yang membahayakan mula mati pada 9/11.  “Mayat Osama boleh jadi kebumikan di laut pada 2 Mei,” tulis Bergen yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Program Pengajian Keselamatan Negara di New American Foundation, “pengebumian bin Ladenisme adalah satu dekad dalam pembikinan.  Sesungguhnya, pengebumian itu bermula betul-betul pada hari kemenangan besar Osama, iaitu  serangan terhadap Washington dan New York City, tetapi   tidak mencapai matlamat strategik utama:  pengunduran Amerika Syarikat dari Timur Tengah, yang dia bayangkan akan membawa keruntuhan semua rejim autoritarian yang disokong Amerika di rantau itu.  Sebaliknya, tegas Bergen Amerika menceroboh dan menduduki pertama Afghanistan dan kemudian Iraq.
Mengakui bahawa bahaya masih wujud, Fareed Zakaria yang juga menulis dalam majalah itu berkata, tetapi Pemberontakan Arab dan kematian Osama bin Laden sepatutnya menamatkan al-Qaeda.  Dalam “When Terror Loses its Grip” Fareed yang dari satu segi mengakui banyak perbezaan antara Osama dengan Hitler, namun tetap mengakui kedua-duanya ada persamaan yang besar.  Kematian Hitler menandakan berakhirnya cabaran Nazi dari Jerman.  Dan kematian Osama akan menandakan berakhirnya ancaman global daripada al-Qaeda. Organisasi ini percaya bahawa hanya cara untuk menggulingkan kediktatoran di dunia Arab adalah melalui keganasan.  Namun, bahas Fareed, “sejak beberapa bulan lalu, berjuta-juta penduduk Arab menggulingkan rejim dengan cara aman secara relatif, dan apa yang mereka carikan bukannya khalifah, bukannya teokrasi, tetapi demokrasi moden.”  Bahkan, rakyat Arab Saudi, bahas beliau lagi, sedar bahawa mereka tidak mahu pulang ke abad ketujuh, dan mereka tidak banyak menyukai orang yang dikehendaki untuk mengebomkan mereka balik ke sana.”
Sebaik-baik sahaja Presiden Obama “mengeluarkan sijil kematian”  untuk Osama bin Laden (dua tiga hari sebelum itu,  Obama mengeluarkan sijil kerakyatannya untuk membuktikan dirinya rakyat Amerika, lahir di Hawaii), wujud  kecenderungan dan keghairahan dalam kalangan cerdik pandai untuk mengisytiharkan bahawa al-Qaeda turut terkubur.  Selain itu,  mereka menegaskan bahawa Pemberontakan Arab dari Tunisia ke Mesir dan mara ke beberapa negara lain, seperti Libya, Yaman, dan Bahrain, bukan sahaja untuk menggulingkan rejim,  tetapi juga penolakan terhadap perjuangan Osama bin Laden. 
Seperti yang dibahaskan oleh Robert Fisk dalam akhbar The Independent akan detik-detik kesunyian Osama:  “Revolusi massa di dunia Arab sejak empat bulan lalu bermakna bahawa al-Qaeda telah pun mati dari segi politik.  Osama memberitahu dunia, sesungguhnya, dia memberitahu saya secara peribadi, bahawa dia mahu memusnahkan rejim pro-Barat di dunia Arab, iaitu kediktatoran Mubarak dan Ben Ali.  Dia mewujudkan Khalifah Islam baru. Akan tetapi, beberapa bulan ini, berjuta-juta Muslim Arab bangkit demi kesyahidan mereka sendiri, bukan untuk Islam, tetapi untuk kebebasan dan hak kebebasan (liberty) dan demokrasi.  Osama gagal menghapuskan penzalim.  Rakyat melakukannya. Dan mereka tidak mahu khalifah.”
Bagi Robert Fisk,  dalam makalah yang berikutnya, pemimpin al-Qaeda itu tahu bahawa dia gagal.  Kini, Amerika Syarikat mengubah nasibnya mati syahid.  “Kematiannya tanpa senjata,” tulis beliau, “mengubahnya menjadi mati syahid yang hebat jika dibandingkan jika dia mati dalam ‘padam kebakaran’ yang pada mulanya dikatakan oleh Obama – amat silap menyebabkan kematiannya.  Lelaki yang mengaggap pencapaiannya sendiri sebagai pencipta al-Qaeda hidup cukup lama untuk menyedari bahawa organisasi itu   sama sekali gagal dalam objektifnya.”
Kematian Osama, seperti yang cuba dibahaskan oleh Ali H. Soufan yang menulis dalam akhbar The New York Times,  berakhirnya impian jihadis kerana bagi anggota al-Qaeda yang pernah beliau soal siasat di Teluk Guantánamo dan tempat-tempat lain selepas Peristiwa 11 September, Osama bin Laden tidak pernah hanya sebagai pengasas kumpulan itu, tetapi juga idea.  Dia mewujudkan kepercayaan bahawa versi Islam mereka adalah betul, bahawa keganasaan ialah senjata yang betul, dan mereka akhirnya muncul sebagai pemenang.  “Kematian Osama,” tulis Soufan, “tidak mematikan idea itu, tetapi memberikan tamparan maut.”
Reaksi segera anggota al-Qaeda terhadap kematian Osama, menurut jangkaan Soufan, adalah dalam bentuk merayakan kematian syahidnya.  Ideologi kumpulan menjadi jaguh kematian untuk mati cara itu: Lagu digubah, video dirakamkan, dan kem latihan sebagai penghormatan dinamakan sempena nama para pejuang yang mati. Timbalan-timbalan  Osama akan cuba menyuntikkan semangat orang ramai dengan menjadikan dia tokoh  seperti Che Guevara bagi al-Qaeda, alat  propaganda yang lebih berkesan untuk yang telah mati jika dibandingkan dengan masih hidup. Namun, Soufan mengingatkan bahawa tidak mengambil masa yang lama untuk al-Qaeda untuk mula mengucapkan Osama bin Laden tidak mati. Dia bukan hanya jelmaan ideologi al-Qaeda, tetapi juga adalah utama untuk kumpulan berjaya mengumpulkan dana mengambil anggota baru.  Tanpa Osama, al-Qaeda akan mendapati dirinya kekurangan wang dan anggota.
Kematian Osama, dipercayai tepat dengan masanya, iaitu tatkala berlakunya Pemberontakan Arab yang nyata memperlihatkan dirinya tidak relevan sama sekali. Hanya laman Web jihadis dikatakan meratapi dan berkabung dengan kematian pemimpin mereka, sedangkan “jalan Arab” yang selalunya mencerminkan pendapat awam dunia Arab, seakan-akan tidak mempedulikannya.  Seandainya Amerika Syarikat tidak  mengebumikan Osama di Laut Arab Utara,  yang bercanggah dengan Islam,  pastinya  tidak ada simpati terhadap kematiannya.  Selain itu, seandainya Osama bin Laden dibunuh ketika Presiden George W. Bush menjadi Presiden, dia mungkin menjadi orang yang mati syahid yang dikenang bagi gerakan anti-Barat di seluruh dunia Islam. Hari-hari indah itu telah berlalu.
Sejak bertahun-tahun, Obama cuba meniupkan semangat kebangkitan dalam rakyat Arab untuk menentang dan seterusnya, menggulingkan rejim mereka.  Sebaliknya, Muhammad Bouazizi, siswazah  mampu melakukannya dalam sekelip mata tanpa perlu mengapi-apikan perasaan anti-Barat, khususnya Amerika. Sebaliknya, siswazah menganggur ini yang mencari rezeki dengan menjual buah, bertindak nekad membakar dirinya pada 17 Disember lalu  di Sidi Bouzid, sebuah pekan   di Tunisia yang akhirnya mencetuskan Revolusi Melati yang kemekaran dan keharumannya merebak ke seluruh dunia Arab.  Secara perbandingan, Bouazizi berjaya melakukannya, Osama gagal akhirnya. Ideologi dan  karismanya yang gagal  memarakkan Pemberontakan Arab dijangkakan berkubur bersama-samanya di Laut Arab.  
Merosotnya kerelevanan al-Qaeda dan kesahan autoritarian, tulis Gilles Kepel dalam The New York Times, “Bin Laden Was Dead Already,” membuka ruang politik untuk Revolusi Melati di Tunis dan pemberontakan Dataran  Tahrir di Mesir.  “Golongan Islamis dan orang bersimpati dengan mereka terlibat dalam gerakan antikerajaan.  Sesetengahnya terpikat dengan mitologi al-Qaeda, tetapi kebanyakannya cuba untuk mengadunkan demokrasi dan pluralisme dengan rukun peradaban Islam.  Turki sebagai contoh negara sekular dengan perisa Islam lebih dibahaskan dalam media Arab berbanding dengan visi jihadis al-Qaeda.”
Untuk terus memerangi al-Qaeda, Washington dikatakan memerlukan kerjasama negara Arab dan negara Islam.  Seperti revolusi bersejarah Pemberontakan Arab tunjukkan, al-Qaeda secara terang-terangan tewas dalam pertarungan idea di sana.  Jalan-jalan di Mesirm Syria, Bahrain, Yaman, dan negara lain dahagakan bukannya pertembungan peradaban, tulis editorial majalah The Nation, tetapi demi demokrasi, pembangunan, dan berurusan dengan dunia.  “Hanya dengan menganjak dasar luar kita daripada melihat Islam sebagai musuh kepada menyokong pemberontakan tanpa keganasan yang melanda dunia Arab kita dapat mengambil peluang ini untuk mencapai keamanan.”
Disedari  secara meluas bahawa Taliban menjauhkan diri mereka daripada al-Qaeda dan Osama dalam usaha mereka untuk kembali berkuasa semula di Afghanistan. Taliban, seperti yang diketahui kehilangan kuasa akibat pencerobohan  dan penaklukan  Amerika ke atas negara itu sebagai tindak balas terhadap serangan 11 September 2001.  Seandainya Osama tidak melancarkan  serangan ke atas  bumi Amerika, barangkali Taliban kekal seadanya.  Kematian Osama, menurut pemerhatian Immanuel Wallerstein dalam laman Webnya, hanya boleh memperkukuh kedudukan mereka dalam Afghanistan, dan mempercepat proses yang Amerika Syarikat diasak keluar, sesuatu yang membuatkan tentera Amerika Syarikat pada dasar berasa gembira. “Sesetengah orang di Amerika Syarikat akan berkata bahawa ‘kemenangan’ ini membolehkan mereka mengadakan rundingan politik dengan Taliban.  Dan sesetengahnya pula yang menentang Amerika Syarikat campur tangan pada mulanya lagi akan berkata bahawa ini membuktikan tidak wujud lagi ancaman yang munasabah yang mewajarkan Amerika terus kekal di negara itu.”
Untuk seketika dengan kematian Osama bin Laden tumpuan diberikan terhadap al-Qaeda, iaitu tentang kelangsungan dan masa hadapannya.  Namun, perhatian yang sebenar  adalah terhadap Pemberontakan Arab yang berjaya  menumbangkan seorang demi seorang rejim, manakala beberapa yang lain menunggu giliran.  Pemberontakan yang melanda dunia Arab sejak beberapa bulan lalu memperlihatkan kebangkitan rakyat yang sebenar yang nyata merupakan detik-detik kesunyian dan keterasingan Osama dan organisasinya, al-Qaeda.  Meskipun dunia diberitahu bahawa Navy SEALs yang menamatkan riwayat Osama, tetapi  penamatan yang  hakiki dilakukan oleh rakyat Arab sendiri. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Julai 2011.)


Tuesday, July 23, 2013

Takut Bercerai?

SELASA,  23 Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ada kalanya perkahwinan yang tidak bahagia itu berakhir dengan perceraian. Pastinya, ada alasan tertentu pasangan suami isteri yang tidak bahagia itu tidak memilih jalan tersebut, antara yang lazim ialah demi kepentingan anak-anak yang masih kecil.

Kajian perceraian,  dipetik oleh The Huffington Post, pasangan suami isteri walaupun tidak bahagia, masih takut untuk bercerai.  Menurut kajian terbaharu oleh firma guaman di United Kingdom, iaitu Slater & Gordon, alasan nombor satu pasangan yang tidak bahagia masih tinggal bersama-sama kerana mereka kurang keberanian untuk bercerai.  Dan daripada 2000 orang yang berkahwin yang dikaji, satu perlima memberitahu mereka berasa terperangkap dalam hubungan mereka, tetapi tidak memikirkan perceraian, kecuali kestabilan kewangan terjamin.  

Lebih daripada itu, 15 peratus responden memberitahu bahawa mereka berhasrat berkahwin dengan orang lain, dan 29 peratus memberitahu bahawa mereka ingin menasihati generasi yang lebih muda supaya jangan berkahwin sama sekali.


Monday, July 22, 2013

Carla Bruni, "Setiap yang Besar Tarik Perhatian"

ISNIN,  22  Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Majalah Time dalam ruang "10 Soalan" dalam keluaran 22 Julai, memuatkan wawancara dengan Carla Bruni, isteri Nicolas Sakrozy, bekas Presiden Perancis. Wawancara yang meliputi kemunculan album terbaharu Bruni, pengalaman beliau sebagai wanita pertama dan selepas suami tewas dalam pilihan raya, bapa angkat dan bapa sebenarnya, dan kempen untuk produk Bulgari, turut mencatatkan bahawa cinta pandang pertamanya dengan Sarkozy dalam majlis makan malam tahun 2007.

Dalam soalan terakhir, Belinda Luscombe, Bruni dicadangkan memakai topi besar, namun jawab beliau, "Tidak, topi kecil" sambil menambah, "Setiap yang besar  menarik perhatian,  Jika anda memakai kaca mata besar dan topi besar, pastinya setiap orang akan perhatikan anda.  Akan tetapi, jika anda memakai kaca  mata baca, topi besbol, dan pakaian sukan, tidak ada orang yang perasan."

Untuk "mak-mak datin" isteri pemimpin Malaysia, nasihat Carla Bruni supaya elakkan berpakaian yang besar-besar, seperti kaca mata, topi, dan sebagainya.  Begitu juga gaya rambut kerana kalau kita perhatikan, ada "mak datin" yang mungkin merasakan dirinya hebat dengan rambut seperti "sarang tebuan."


Saturday, July 20, 2013

Pesan Orang Tua-tua Terbukti Benar

SABTU, 20 Julai 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Orang tua-tua pernah berpesan, "jauh di mata dekat di hati," dan "sayangkan isteri tinggal-tinggalkan."  Maksud pesanan itu memang jelas, dan oleh itu, tidak perlu diberikan tutorial.

Namun, apa yang menarik ialah pesanan tersebut terbukti benar, menurut kajian baru yang diterbitkan dalam Journal of Communication,  yang dipetik oleh Belinda Luscombe dalam Time bahawa jangan risau jika berjauhan kerana itu membolehkan hubungan semakin mesra, asalkan pasangan berkenaan berhubung melalui sembang video, IMing, telefon atau penteksan.  

Kira-kira tiga juta pasangan suami isteri di Amerika Syarikat, menurut Belinda, tinggal jauh berasingan antara satu sama lain, meskipun mereka lebih inginkan hidup bersama-sama, tetapi kajian baru itu mendapati bahawa pengasingan tidak banyak membawa kesan negatif terhadap hubungan mereka.

Para penyelidik meminta 63 pasangan heteroseks, separuh yang tinggal bersama-sama, separu lagi yang dalam hubungan jarak jauh, menyimpan diari satu minggu interaksi dengan orang yang mereka kasihi. Pasangan yang muda (kebanyakan pelajar kolej berusia kira-kira 21 tahun) dan dalam percintaan.  Pasangan yang tinggal berasingan secara geografi selama 17 bulan secara purata.  Para penyelidik itu, mendapati, tidak memeranjatkan bahawa pasangan yang tinggal berjauhan saling berhubung beberapa kali sehari, tetapi interaksi ini lebih bermakna.



Thursday, July 18, 2013

Cantik Punya Fasal!

KHAMIS, 18  Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Demi kecantikan, orang, terutamanya wanita, sanggup melakukan apa-apa sahaja.  Bagi wanita Korea misalnya, mereka taasub dengan pembedahan plastik, manakala wanita di United Kingdom gemar melakukan implan tetek.  Dalam kalangan wanita di Asia Tenggara, sebilangannya menggunakan rawatan tradisional, dan tidak kurang pula jampi dan serapah supaya kelihatan jelita.

Sementara di Jepun pula, yang mendapat liputan meluas, antaranya oleh The Telegraph, Daily MailThe Wall Street Journal, dan CBS News,  wanita, kebanyakannya berusia antara 30-an hingga 50-an tahun, mengunjungi spa Ci:z.Labo, untuk mendapat rawatan muka yang menggunakan siput bulan hidup.  Meskipun rawatan seperti itu terbuka untuk  lelaki, setakat ini, mereka belum mengunjungi spa itu.  Hal ini menunjukkan wanita rela menanggung kesakitan dan kesengsaraan berbanding dengan lelaki semata-mata untuk kecantikan.


Enam Buah Negara yang Rakyat Kerja Kuat

KHAMIS,  18  Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sumber daripada Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, yang dipetik oleh The Huffington Post, menunjukkan enam buah negara yang rakyat kerja kuat, mengatasi rakyat Amerika Syarikat. 

Mendahului senarai tersebut ialah Mexico dengan jam tahunan purata per pekerja 2226 jam, dan upah tahunan purata AS$9885, diikuti  oleh Chile, Korea, Estonia, Persekutuan Rusia, dan  Poland.  

Tuesday, July 16, 2013

Sumbangan terhadap Pertumbuhan

SELASA,  16 Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pertumbuhan ekonomi di dunia maju masih lembap, bahkan zon euro masih  terjebak dalam kemelesetan, jauh ditinggalkan oleh China yang terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan, meskipun rentaknya mula lemah. 

Menurut sumber terbaharu yang dikeluarkan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), yang dipetik oleh The Economist,  kebanyakannya kumpulan negara maju, perbelanjaan pengguna merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi dalam suku pertama tahun ini.  Perbelanjaan ini menambah separuh titik peratusan kepada perubahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Amerika, Jerman, dan Jepun. 

Di Britain pula, yang sumbangan perbelanjaan pengguna kepada pertumbuhan meningkat untuk tiga suku tahun lalu, eksport bersih memberikan sumbangan besar kepada pertumbuhan KDNK baru-baru ini, terutamanya kerana import dan paun sterling jatuh. 


Monday, July 15, 2013

Protes Jalanan: Mengapa?

ISNIN, 15 Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala tercetusnya protes di Turki, Timothy Garton Ash dalam pengenalan tulisannya menyorot  protes yang berlaku di serata dunia.  Tegas beliau,  "lain tahun, lain negara, lain dataran: selepas Wenceslas di Prague,  Kemerdekaan di Kiev, Azadi di Teheran, Merah di Moscow, dan Tahrir di Kaherah, kini Taksim di Istanbul."  Setiap dataran, tambah Garton Ash menjangkaui dunia menerusi  imej fotografi totem.  Simbol, bendera, dan warna kebangsaan berubah, iaitu hijau di Iran, jingga di Kiev, merah di Istanbul, tetapi intipati imej sama.  Belia, golongan moden, warga bandar, kemungkinan wanita muda sekular menghadapi lelaki yang bersenjata, bertopi keledar, dan tidak dikenali. 

Kira-kira dua tahun setengah, iaitu sejak tercetusnya Pemberontakan Arab yang bermula di Tunisia, boleh dikatakan dunia gamat dengan bermacam-macam protes di serata tempat, di bandar-bandar utama dunia, daripada keberangan rakyat terhadap rejim atau golongan pemerintah kepada ketidakpuasan terhadap keputusan mahkmah, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat kini. 

Protes di seluruh dunia, demikian liputan The Economist ketika berlakunya protes di Turki dan Brazil. Protes menurut majalah itu, banyak mempunyai asal usul yang berbeza.  Di Brazil, orang ramai bangkit menentang kenaikan tambang bas, di Turki menentang pembinaan projek.  Rakyat Indonesia menolak harga bahan api yang tinggi, rakyat Bulgarian menentang kronisme kerajaan.  Di zon euro, orang ramai berarak menentang jimat-cermat, dan Pemberontakan Arab menjadi protesperma menentang setiap yang kusut. Setiap demonstrasi kemarahan ialah kemarahan dalam caranya sendiri.

Namun, tambah The Economist lagi, sebagaimana tahun 1848, 1968, dan 1989, apabila orang ramai juga menemui suara kolektif, penunjuk perasaan banyak mempunyai persamaan.  Sepanjang minggu lalu, dari sebuah negara ke sebuah negara lain, pembantah bangkit dengan  kelajuan membingungkan.  Mereka lebih aktif dalam demokrasi berbanding dengan kediktatoran.  Mereka cenderung merupakan orang biasa, iaitu golongan kelas menengah, tidak melobi dengan senarai tuntutan.  Campuran pesta dan keberangan mengutuk rasuah, ketidakcekapan dan keangkuhan golongan yang berkuasa.  Menurut majalah itu lagi, rentak protes dipercepat  oleh teknologi.  


Protes global, seperti yang dibahaskan oleh Slavoj Zizek dalam London Review of Books,  ialah semua tindak balas terhadap aspek berbeza globalisasi kapitalis.  Kecenderungan umum kapitalisme global, menurut ahli falsafah Marxis ini, adalah terhadap pengembangan selanjut pasaran, penutupan satu demi satu ruang awam, pengurangan perkhidmatan awam (penjagaan kesihatan, pendidikan, budaya), terhadap kuasa politik autoritarian yang meningkat.  Dalam konteks ini bahawa rakyat Greece membantah  peraturan modal kewangan antarabangsa dan negara mereka yang korup dan tidak cekap, yang semakin kurang dapat menyediakan perkhidmatan sosial asas.  Dalam konteks ini juga, rakyat Turki membantah pengkomersialan ruang awam dan menentang autoritarianisme agama; bahawa rakyat Mesir menentang rasuah dan fundamentalisme agama, dan sebagainya.  "Tidak ada suatu pun protes ini boleh diperkecilkan kepada isu tunggal," tulis Zizek.  "Semua protes ini berurusan dengan kombinasi khusus sekurang-kurangnya dua isu, iaitu ekonomi (daripada rasuah kepada ketidakcekapan kepada kapitalisme itu sendiri), dan ideologi politik  (daripada tuntutan terhadap demokrasi kepada tuntutan bahawa demokrasi multiparti konvensional disingkirkan).

Pemberontakan di sana sini, di serata tempat, ulas Immanuel Wallerstein, yang cuba mengenal pasti ciri lazimnya.  Pertama, menurut beliau, semua pemberontakan cenderung bermula dengan amat kecil, iaitu bilangan kecil orang berani melancarkan demonstrasi berhubung dengan sesuatu.  Kemudian kumpulan ini semakin membesar, yang tidak diramalkan sama sekali.  Tiba-tiba bukan sahaja kerajaan yang diserang, tetapi pada takat tertentu, negara sebagai negara.  Pemberontakan ini, jelas Wallerstein, ialah gabungan mereka yang mendesak kerajaan digantikan dengan yang lebih baik dan mereka yang mempersoalkan negara yang benar-benar sah.  Kedua-dua kumpulan ini menggunakan tema demokrasi dan hak asasi manusia, meskipun takrif yang mereka berikan tentang dua istilah ini sangat berbeza.  Secara keseluruhannya, tonaliti pemberontakan ini bermula pada sebelah kiri arena politik.

Ciri lazim kedua, menurut Wallerstein, pemberontakan ini tidak dapat diteruskan pada kelajuan tinggi untuk terlalu lama.  Pembantah tunduk pada langkah penindasan.  Atau mereka mendapat sesuatu yang diterima kerajaan.  Atau mereka naik bosan terhadap usaha yang besar yang diperlukan oleh demonstrasi berterusan.  Hal seperti ini adalah lazim, tetapi tidak menunjukkan kegagalan protes.

Wujud ciri lazim ketiga pemberontakan, meskipun menuju ke pengakhiran, pemberontakan meninggalkan legasi. Pemberontakan mengubah sesuatu dalam politik sesebuah negara, dan selalunya untuk yang lebih baik.  

Ciri lazim keempat, menurut Wallerstein, adalah bahawa dalam setiap pemberontakan, banyak yang menyertainya, terutamanya jika mereka lewat menyertainya, tidak meneruskan objektif awal, tetapi memutarbelitkan objektif itu atau membawa kuasa politik untuk kumpulan sayap kanan yang berbeza daripada mereka yang sedang berkuasa, tetapi tidak bermakna lebih demokratik atau mengambil berat hak asasi manusia.

Ciri lazim kelima adalah bahawa pemberontakan terbabit dalam penyulapan geopolitik.  Kerajaan yang sangat berkuasa di luar negara yang kacau-bilau berlaku kerja keras, jika tidak selalunya berjaya, untuk membantu kumpulan yang mengutamakan kepentingan kerajaan luar, untuk berkuasa.

Akhir sekali, kita perlu ingat, setiap yang berlaku kini, adalah bahawa kita di tengah-tengah peralihan struktur daripada ekonomi-dunia kapitalis yang sedang malap kepada jenis baru sistem.  Akan tetapi, jenis baru sistem ini mungkin lebih baik atau lebih teruk. Inilah pertarungan sebenar 20-40 tahun akan datang.

Pankaj Mishra yang meninjau protes yang berlaku di banyak tempat di dunia ini, sambil memetik The Economist, Francis Fukuyama dengan revolusi kelas menengah, dan Slavoj Zizek, menegaskan bahawa dunia kembali semula kepada penghalang. Apa yang kita saksikan sekarang, menurut Mishra, ialah warganegara memberontak menentang sikap apati mereka sebelum ini. 


Saturday, July 13, 2013

Emas Berkilau Semula?

SABTU,  13 Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Dalam beberapa hari ini, harga emas yang merudum, kelihatan bingkas semula.  Niaga hadapan emas, seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg, rancak, meningkat dua minggu. Untuk penyerahan Ogos, harga meningkat 2.6 peratus, iaitu pada AS$1,279.90 per auns pada 1.46 petang di Comex, New York, peningkatan terbesar untuk kontrak paling aktif sejak 1 Julai.  Sebelum waktu  itu, harga emas mencecah AS$1,297.20, tertinggi sejak 24 Jun,  kali terakhir harga komoditi itu melebihi AS$1,300.  Kenaikan harga ini dikaitkan dengan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Ben Bernanke bahawa Amerika Syarikat perlu mengekalkan rangsangan.

Menurut data yang disusun oleh Bloomberg, perniagaan emas adalah  24 peratus lebih tinggi daripada purata sepanjang 100 hari lalu untuk waktu itu pada hari berkenaan. Sentimen terhadap emas kini dikatakan meningkat, dan pasaran akan cuba mencecah AS$1,300 per auns.

Peniaga emas kebanyakannya merasakan "larian lembu jantan" dalam lima minggu selepas kenyataan Bernanke itu.   Menurut Bloomberg, 19 orang penganalisis yang ditinjau menjangkakan harga emas meningkat minggu depan, sembilan orang menjangkakan "lenggok beruang," manakala tiga orang berkecuali.  


Pandang ke Finland

SABTU,  13  Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Mengikut piawai antarabangsa, Finland dan Korea Selatan berjaya dalam sistem pendidikan mereka.  Harap-harap tidak ada orang Malaysia yang "muka tak malu" mengaitkan kejayaan itu dengan penggunaan bahasa Inggeris!

Bagi Finland, seperti yang bahaskan oleh Olga Khazan dalam The Atlantic, negara itu mempunyai rahsia kejayaan segala-galanya.  Finland berjaya dengan negara kebajikan, mempunyai kadar kematian bayi yang paling rendah, penarafan sekolah yang lebih baik, dan kadar kemiskinan yang jauh lebih rendah, jauh meninggalkan Amerika Syarikat.  Finland juga merupakan negara kedua paling gembira di dunia, sedangkan Amerika Syarikat tidak pernah tergolong dalam kalangan negara 10 teratas.  Menurut Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), yang dipetik oleh Khazan, rakyat Finland memberikan purata 8.8 mata untuk kepuasan hidup keseluruhan, manakala rakyat Amerika 7.5 mata.

Khazan juga mengesyorkan supaya Amerika Syarikat mencontohi Finland, misalnya dari segi pendidikan, pencukaian, dan jaringan keselamatan sosial.


Friday, July 12, 2013

Revolusi Tanpa Hegemoni Gagal

JUMAAT,  12  Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Eric Hobsbawm dalam buku terakhirnya sebelum sejarawan  Marxis ini  meninggal dunia, iaitu How to Change The World:  Tales of Marx and Marxism menulis dua bab tentang Antonio Gramsci.   Gramsci yang meninggal dunia pada tahun 1937, menurut Hobsbawm pada mulanya kurang dikenali, kecuali dalam rakan seperjuangannya, kerana tulisan beliau kurang diterbitkan atau dapat diperoleh.  Bagi Hobsbawm, intelektual Marxis dari Italy ini  penting dari segi teori politiknya.

Gramsci yang  terkenal dengan konsep  hegemoni dan karya, Prison Notebooks, yang menurut  Hobsbawm, di negara yang menyaksikan revolusioner menggulingkan pemerintah lama, seperti di Portugal, tanpa kuasa hegemoni, bahkan revolusi akan menempuh kegagalan. Masalah asas hegemoni, tambah Hobsbawm lagi, bukannya bagaimana revolusioner berkuasa, meskipun persoalan ini penting.  Sebaliknya, bagaimana revolusioner diterima, bukan hanya sebagai kewujudan dari segi politik atau pemerintah yang tidak dielakkan, tetapi sebagai panduan dan pemimpin.  Maka, wujud dua persoalan, iaitu bagaimana memenangi perkenan, dan sama ada revolusioner bersiap sedia untuk melaksanakan kepimpinan.

"Perjuangan untuk hegemoni sebelum, semasa, dan selepas peralihan, masih kekal," tulis Hobsbawm.

Mengapa revolusi Mesir  kini huyung-hayang di tepi curam kegagalan, atau berakhir dengan tragedi, kerana  pemimpin yang dipilih melalui proses demokrasi, iaitu Muhammad Morsi,  tidak mempunyai kuasa hegemoni, sehingga mendorong berlakunya rampasan kuasa, tetapi dianggap bukan rampasan kuasa, seperti yang dibahaskan oleh Dana Milbank dan Kristen Powers. Morsi dianggap sebagai pemimpin yang tidak cekap, meskipun faktor ini tidak sepatutnya membawa kepada penggulingan pemimpin yang dipilih oleh rakyat.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...