Artikel Popular

Thursday, August 2, 2012

China Cuba Ambil Hati Orang Islam?

JUMAAT, 3 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dalam makalahnya yang diterbitkan dalam The National Interest, "Is China Courting American Muslims?"  Massaoud Hayoun mendedahkan bahawa tatkala kesahan wacana politik terhadap  orang Islam semakin menjadi-jadi di Amerika Syarikat, China membina masjid untuk menarik negara jirannya, Kazkhstan ke Guangzhou untuk Sukan Asia tahun 2010.  Syarikat pembinaan milik negara China menyiapkan landasan yang membolehkan orang Islam berulang-alik antara kota suci Makkah dengan Madinah pada tahun yang sama dan memecah tanah dalam pembinaan Masjid Agung monumen Algiers pada tahun 2012.

Sementara Hong Kong berusaha mewujudkan perundangan untuk mewujudkan "pasaran modal Islam keseluruhannya dalam mempromosikan kewangan Islam," satu usaha untuk menarik modal dan perniagaan Islam ke wilayah itu, menurut Financial Services and Treasury Bureau.

Sebaliknya, di Amerika Syarikat, Islamofobia semakin menjadi-jadi, contoh terbaharu kenyataan Michele Bachmann terhadap Huma Abedin, dan jika sikap seperti ini berterusan,  orang Islam di negara itu beralih arah ke China dan India.  

Tinjauan pendapat yang dikeluarkan oleh Arab American Institute  pada tahun 2011, kecuali Arab Saudi, dari Maghribi, Mesir, Lubnan, Jordan, dan Amiriah Arab Bersatu, mempunyai pendapat yang memihak kepada China berbanding dengan Amerika Syarikat.

Jurang perdagangan semakin melebar dalam beberapa tahun ini.  Volum perdagangan China-Timur Tengah mengatasi volum perdagangan Amerika Syarikat-Timur Tengah pada tahun 2009 sebanyak AS$3 bilion dan pada tahun 2010 sebanyak AS$67 bilion.  Pada tahun 2011, perdagangan Amerika Syarikat-Timur Tengah bernilai AS$153 bilion, tetapi perdagangan China-Timur Tengah telah pun mencecah AS$120 bilion hanya dalam separuh pertama tahun fiskal yang lalu.

Walau bagaimanapun, Hayoun tidak menulis sikap China terhadap orang Islam secara sembarangan kerana beliau juga membangkitkan layanan buruk China terhadap orang Islam Uighur dan pendirian Beijing yang memihak kepada rejim Assad di Syria, boleh mengubah sikap Arab dan Islam: menghakis kepercayaan.

Layanan buruk dan penindasan  Beijing terhadap orang Islam Uighur yang mendiami wilayah Xinjiang telah pun diketahui umum. Bersempena bulan Ramadan sekarang, dilaporkan bahawa pihak berkuasa melarang mereka daripada berpuasa.  Bahkan, pemimpin Uighur diberikan makanan dan minuman supaya makan pada waktu siang.  Selain itu, aktiviti bulan Ramadan disekat, seperti mendesak sekolah memastikan pelajar tidak memasuki masjid.


Kais Pagi Makan Pagi

KHAMIS, 2 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kemiskinan di Amerika Syarikat, seperti yang dilaporkan mencecah pada kadar tertinggi sejak tahun 1960-an.  Kadar kemiskinan di negara itu dijangkakan meningkat daripada 15.1 peratus pada tahun 2010 kepada 15.7 peratus pada tahun 2011.  Sementara itu, ketidaksetaraan, seperti yang dibahaskan oleh William Julius Wilson dalam The Nation, sejak tahun 1980-an, tidak seperti antara tahun 1947 hingga 1970 apabila setiap kumpulan menikmati kemajuan ekonomi.

Derek Thompson yang menulis dalam The Atlantic, mengetengahkan graf yang menyedihkan tentang rakyat Amerika, iaitu berapa banyak lagi wang yang tinggal untuk membeli  keperluan.  Bagi yang berpendapatan AS$16,000 setahun, lebih separuh pendapatan digunakan untuk perumahan dan utiliti.  Akan tetapi, bagi mereka yang menghasilkan AS$160,000 setahun, mereka masih berbaki hampir dua pertiga pendapatan boleh guna selepas membayar bil bulanan.

Thompson memetik graf Planet Money tentang bagaimana keluarga Amerika membelanjakan pendapatan mereka.  Tidak memeranjatkan bahawa orang miskin membelanjakan wang mereka untuk keperluan mereka berbanding dengan orang kaya.


Selepas membelanjakan untuk keperluan, seperti perumahan, pengangkutan (termasuk gas), makanan, utiliti, dan pakaian, golongan miskin hanya berbaki 15 peratus pendapatan boleh guna mereka. 


Sesungguhnya, di negara kaya juga wujud sebilangan besar golongan orang miskin yang boleh dikatakan hidup "kais pagi makan pagi."


Keistimewaan Bola Tampar Pantai

KHAMIS, 2 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Bagi sesetengah orang, mungkin bagi lelaki terutamanya,    bola tampar pantai mempunyai keistimewaannya: sambil menonton cuci mata. Lagipun, sukan ini melibatkan wanita  yang tinggi dan kurus dalam pakaian mandi yang ketat dan terlalu terdedah yang menyebabkan bertambah galak mata memandang.

Namun, Eleanor Barkhorn yang menulis dalam The Atlantic, menegaskan bahawa bola tampar pantai ini mempunyai beberapa keistimewaan yang patut dimanfaatkan oleh kaum wanita sendiri, dan mereka tidak sepatutnya diperbodohkan oleh pakaian yang seksi itu.

Sukan ini, menurut Eleanor menjadi daya tarikan adalah hakikatnya bahawa pasukan bola tampar wanita Amerika veteran.  Kerri Walsh dan Misty May-Treanor memenangi pingat emas dalam dua Sukan Olimpik yang lalu, dan mereka tidak pernah kalah dalam set, apatah lagi dalam perlawanan sukan itu. Mereka meneruskan prestasi cemerlang dalam Sukan Olimpik tahun 2012.

"Walsh dan May-Treanor dalam bentuk fantastik,  tetapi hujah Eleanor, "sukan ini lebih daripada tentang atletiksisme, iaitu melibatkan strategi dan kerja berpasukan yang Walsh dan May-Treanor kuasai."

Berbanding dalam gimnastik dan renang, pemain bola tampar lebih tua usia mereka.   "Wanita boleh cemerlang dalam bola tampar pantai melepasi zaman remaja mereka dan awal 20-an.  Walsh berusia 33 tahun, dan May-Treanor masuk 35 tahun minggu ini.  Pasukan Brazil yang menduduki tempat tertinggi terdiri daripada pemain berusi 29 tahun dan 30 tahun."  Pendek kata, meskipun tua dari segi relatifnya, mereka tetap bersemangat dan cemerlang.

Kejayaan kedua-dua pemain wanita itu, jelas Eleanor menyerlahkan keseimbangan unik antara  rendah hati dengan keyakinan. 

Justeru, selamat menonton bola tampar pantai wanita kerana banyak yang dapat dipelajari, sekurang-kurangnya tentang kegigihan dan kecekalan; tentang disiplin dan kerja berpasukan.  Usia bukan penghalang! 


Dari Poland Tanpa Perpaduan

KHAMIS, 2 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Mitt Romney menamatkan lawatan enam hari "dasar luar" beliau ke London, Israel, dan Poland, dengan kegagalan.  Atau secara berlapik, seperti yang dikatakan oleh  Bruce Crumley, tidak dapat memenuhi harapannya untuk memperlihatkan dirinya sebagai negarawan antarabangsa, atau gagal mencari suara diplomatiknya.  

Setelah mengaibkan tuan rumah Sukan Olimpik, London, Romney semasa di Israel, mengeluarkan komen yang menyakitkan terhadap umat Palestin.  Beliau, seperti dibahaskan oleh Peter Coy dalam Bloomberg Businessweek, keliru tentang Palestin dan budaya yang menyebabkan tercetusnya keberangan Palestin terhadap komen itu yang menurut editorial Los Angeles Times tidak memberikan faedah.

Ketidakberhasilan lawatan beliau itu diakui oleh anggota Republikan sendiri, menurut Bloomberg,  lalu mereka menggesa segera memberikan perhatian terhadap rancangannya untuk mewujudkan pekerjaan. Mereka seolah-olahnya mahu bakal calon Presiden mereka, cepat-cepat melupakan episod buruk itu. Setakat mana kegagalan lawatan Romney itu mempengaruhi pendirian para pengundi di negara, tidak dapat dipastikan kerana Presiden Barack Obama sendiri tidak dalam kedudukan yang selesa.  Dijangkakan para pengundi tidak mempedulikan kebodohan Romney itu.

Kekecohan lawatan itu terbawa-bawa ke Poland apabila seorang pegawainya bertelagah dengan para wartawan yang ingin mengemukakan soalan kepada Romney.  Dalam usaha meraih sokongan para pengundi keturunan Poland di negeri yang menjadi medan pertarungan,  beliau menggunakan kesempatan melawat Poland dengan mengatakan pertemuan dengan bekas Presiden negara itu yang juga bekas pemimpin Solidarity, Lech Walesa.

Walau bagaimanapun, pihak  kesatuan sekerja yang mempunyai 700,000 ahli itu memaklumkan bahawa mereka tidak terlibat dengan pertemuan itu, menurut John Nichols yang menulis dalam The Nation. Solidarity juga memberitahu bahawa mereka tidak mengundang Romney supaya melawat Poland.  Para pegawainya, dilaporkan mengkritik pertemuan antara Romney dengan Walesa. 

"Kami mendapat tahu daripada kawan kami di pusat kesatuan sekerja Amerika, iaitu AFL-CIO yang mewakili lebih 12 juta orang pekerja tentang sokongan Mitt Romney untuk menyerang kesatuan sekerja dan hak buruh." 


Romney sesat di Eropah.  Tulis Anne Applebaum dalam Slate,  lupakan sahaja kebodohan beliau semasa di London kerana ada masalah yang lebih besar:  Romney ke sana dengan pemikiran yang ketinggalan zaman dan naratif yang semakin mengelirukan tentang dasar Amerika Syarikat.  Beliau seakan-akan beranggapan bahawa beliau melawat "Eropah Baru," iaitu British, Sepanyol, dan Italy yang tidak wujud lagi.

Lawatan Romney telah pun berakhir, tetapi memori paling tidak,  berbekas seketika.  Romney yang masih kepenatan itu, menerima berita bahawa Presiden Barack Obama mendahului beliau di tiga buah negeri yang menjadi medan pertarungan, iaitu Ohio, Florida, Pennyslvania, menurut tinjauan pendapat  Quinnipiac University/New York Times/CBS News.  Di tiga buah negeri itu, Obama memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 50 peratus.  Sejak tahun 1960, tidak seorang pun yang menang sebagai Presiden tanpa memenangi dua buah negeri berkenaan.


Mengagak Kewarganegaraan Atlet Melalui Senyuman

KHAMIS, 2 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Lazimnya kita dapat mengenali negara mana-mana atlet melalui pakaian sukan mereka, atau kalau yang berpasukan melalui jersi mereka. Rupa paras dan bentuk badan mereka juga membolehkan kita mengenali negara yang mereka wakili.

Setelah membahaskan  ekspresi muka untuk mengenali asal usul seseorang, Daniel  Lametti yang menulis dalam Slate, berhujah bahawa kewarganegaraan para atlet dapat diagak menerusi senyuman mereka.  Dalam makalah itu, Lametti menjemput para pembaca mengagak negara atlet, sama ada Amerika Syarikat, Great Britain, atau Australia.

Selamat mencuba!


Wednesday, August 1, 2012

Romney: Keselamatan Israel, Serang Iran

RABU, 1 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Bagi sesiapa yang mengikuti kenyataan bakal calon Presiden Amerika Syarikat, Mitt Romney tentang keselamatan Israel, ketika beliau melawat negara itu baru-baru ini, pastinya mereka dapat merumuskan bahawa adalah dengan sokongan Amerika Syarikat, Israel  serang Iran.  Walaupun pelbagai pihak di Israel tidak bersetuju negara itu bertindak menyerang Iran, Romney demi kepentingan politiknya, mengapi-apikan Israel supaya mengambil tindakan terlebih dahulu.  Beliau mengisytiharkan pendiriannya untuk "sehidup semati" dengan Israel berhubung dengan ancaman nuklear Iran.

Sepintas lalu, Romney nampaknya bijak untuk mengambil kesempatan daripada fantasi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa Iran benar-benar mengancam Israel, meskipun menurut Immanuel Wallerstein bahawa tidak ada sesiapa pun yang bertanggungjawab di Israel, di Amerika Syarikat, dan di mana-mana sahaja mempercayainya. Romney memperlihatkan kesediaan beliau jika dipilih sebagai Presiden,   untuk memenuhi impian Bibi untuk menyerang Iran dengan alasan sekatan yang dilakukan terhadap negara itu adalah gagal sama sekali.

Selain China yang menjadi sasaran setiap kali Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat diadakan, Iran nampaknya dimasukkan dalam kem yang sama semata-mata untuk meraih undi Yahudi.  Bahkan, Presiden Barack Obama, seperti yang diperhatikan oleh Robert Wright dalam Atlantic, "bergerak perlahan-lahan ke arah peperangan dengan Iran."  Justeru, jangan terperanjat dalam tempoh dari sekarang hingga menjelang pilihan raya, Obama mengambil keputusan menyerang Iran sekiranya kedudukannya untuk kekal di Rumah Putih tidak kukuh. 


Tambahan pula, seperti yang pernah dinyatakan oleh Presiden Shimon Peres, "hanya Amerika dapat mengurus situasi Iran" - suatu pernyataan yang penuh makna bahawa "segala-galanya terletak dalam tangan Amerika atau secara lebih khusus Pentadbiran Obama.


Keselamatan Israel kini  terjamin akibat tercetusnya Pemberontakan Arab, seperti yang dihujahkan oleh Michael Koplow dalam The National Interest.  Negara Arab yang terjebak dalam satu demi satu pemberontakan dan tambahan ekonomi yang lemah, mustahil mampu mengancam Israel.  Sementara rakyat Arab pula menumpukan tenaga dan usaha  untuk menggulingkan rejim autokrat mereka.  Kemenangan beberapa pemimpin atau parti Islamis dalam beberapa pilihan raya, seperti di Tunisia, Maghribi, dan Mesir bukannya bererti wujud ancaman terhadap Israel. 


Justeru, satu-satunya musuh yang direka dan digembargemburkan ialah Iran dengan program senjata nuklearnya.  


Olimpik yang Paling Seksi

RABU, 1 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Semasa Sukan Olimpik, liputan yang diberikan dan tumpuan orang ramai lazimnya terhadap kehebatan atlet dan sesebuah negara yang menyertai sukan ini.  Namun, tidak bermakna bahawa cerita sampingan tidak diberikan perhatian langsung.

Seperti yang dituliskan oleh Tracy Clark-Flory dalam Salon, "jika makhluk memintas liputan media tentang Sukan Olimpik, mereka dengan mudah mendapat gambaran bahawa bahawa pertandingan bukannya dalam gimnastik, renang, atau perlumbaan, tetapi pertandingan dalam seks.

Sukan Olimpik di London, tegas Tracy akan dikenangi sebagai sukan seksi selama-lamanya.  Beberapa liputan media turut memberikan perhatian terhadap perkara ini, seperti liputan oleh The Sun, ESPN, dan Daily Mail.

Sambil menyelam minum air!

Memaksa Senyum Mengurangkan Stres

RABU, 1 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Senyum ada bermacam-macam: senyum sinis, senyum sumbing, senyum kambing, senum paksa. Ada orang berpesan supaya kita tidak kedekut mengukir senyum, maksudnya senyum sokmo, dan dikatakan juga bahawa senyum itu banyak manfaatnya kepada orang yang empunya diri.

Juga jangan kedekut untuk senyum paksa kerana seperti yang dibahaskan oleh Lindsay Abrams dalam The Atlantic, memaksa senyum benar-benar mengurangkan stres. Justeru, jadikan senyum sebagai amalan hidup anda demi mengelakkan stres. "Kegembiraan membuatkan kita senyum," tulis Lindsay, "tetapi, dapatkah senyuman membuatkan kita gembira?"  Berdasarkan kajian yang membabitkan 169 orang responden, maka jawapannya, "ya."

Maka, beliau menegaskan apabila kita berasa stres atau menggelabah, bahkan senyum paksa benar-benar dapat mengurangkan stres kita dan menjadikan kita gembira.

Pertandingan YouTube

RABU, 1 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Selepas meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Turus di Rumah Putih,  untuk memikul tanggungjawab baru, iaitu sebagai Pengurus Kempen Barack Obama, Jim Messina, seperti yang diliputkan dalam BloombergBusinessweek, "sangkut" di Apple, Facebook, Zynga, Google, Microsoft, Salesforce, dan Dreamworks.  Tujuannya adalah untuk menimba pengalaman tentang pertumbuhan organisasi, teknologi yang sedang muncul, dan pemasaran. Pastinya, beliau ingin menggunakan dan memanfaatkan media sosial sebaik mungkin dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012.

Setakat ini, kempen kedua-dua belah pihak begitu agresif menggunakan iklan, khususnya untuk menyerang lawan dan mempertahankan diri. Selain itu, calon yang bertanding, iaitu Barack Obama dan Mitt Romney menerusi kempen masing-masing menggunakan media sosial, antaranya Twitter dan YouTube. 

Brian Havig yang menulis dalam Forbes, cuba menganalisis pertandingan antara Obama dengan Romney, pertama dalam menggunakan Twitter, yang keputusannya, menurut beliau, terikat.  Namun, Twitter Romney mencetuskan kontroversi, seperti yang dibahaskan dalam The Atlantic.


Kemudian, yang terbaharu, Havig menulis pertandingan antara penjawat kini dengan pencabar dalam menggunakan YouTube.  Pemenangnya, menurut beliau,  ialah pasukan Obama.  

Yang tidak kurang menarik, seperti yang dinyatakan oleh Havig, YouTube Obama disokong oleh 15 orang selebriti, antaranya  Eva Longoria, Beyonce, Sarah Jessica Parker, Josh Harnett, Nia Long, Kerry Washington, dan Marc Anthony.






Friedman Penyelamat Kapitalisme?

RABU, 1 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada 31 Julai semalam, sekiranya Milton Friedman masih hidup, maka  genap 100 tahun usia ahli ekonomi "sekolah Chicago" dan pendukung neoliberalisme ini.  Beliau meninggal dunia pada tahun 2006, mungkin tidak menjangkakan bahawa krisis begitu teruk, terutamanya di sebelah menyebelah Atlantik.

Ketika hayatnya, Friedman pernah menjadi penasihat ekonomi kepada Presiden Ronald Reagan, Perdana Menteri Margaret Thatcher, dan diktator  Augusto Pinochet.  Bersempena 100 tahun itu, Friedman masih tidak dilupakan.  Michael Moore yang menulis dalam The Wall Street Journal menyifatkan Friedman penyelamat kapitalisme, membantu menjadikan pasaran bebas popular semula pada abad  ke-20.  

Namun, apabila Moore menegaskan bahawa "idea beliau,  bahkan lebih penting sekarang"  menimbulkan keraguan menurut kajian,  pasaran bebas muram,   dan    bahkan menyaksikan kebangkitan kapitalisme negara, seperti yang pernah dibahaskan dalam Bloomberg BusinessWeek dan The Economist.  

Mampukah Friedman, sekiranya masih hidup  menyelesaikan kemerosotan ekonomi yang teruk sekarang ini?  Atau beliau sekadar menyaksikan bagaimana kegagalan neoliberalisme yang beliau dukung dan canang sehingga  menyebabkan berlaku krisis ekonomi dan mencetuskan Pemberontakan Arab?  Adakah beliau masih mempertahankan Kerajaan Besar, iaitu menggalakkan kerajaan melaksanakan jimat-cermat?  Antara jimat-cermat dengan pertumbuhan, apakah pilihan beliau?

Meskipun Friedman masih mempunyai pengikut setia, termasuk dalam kalangan penggubal dasar, sejak beberapa tahun lalu, orang lebih mengingati John Maynard Keynes, bahkan menggali semula idea beliau tatkala dunia terjebak dalama kemelesetan terburuk sejak Perang Dunia Kedua, atau selepas Kemelesetan Besar. 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...