Artikel Popular

Wednesday, March 7, 2012

Ekonomi Brazil Atasi United Kingdom

RABU,  7  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sebuah lagi negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China), iaitu Brazil mengatasi ekonomi maju, iaitu United Kingdom.  Sebelum ini,  China mengatasi Jerman untuk tempat ketiga dan seterusnya Jepun untuk tempat kedua dari segi kedudukan dalam ekonomi dunia.  

Dengan Brazil mengatasi United Kingdom, maka  negara Amerika Latin itu dilaporkan menduduki tempat keenam ekonomi terbesar di dunia selepas angka rasmi menunjukkan ekonomi Brazil meningkat 2.7 peratus tahun lalu berbanding dengan 0.8 peratus yang dicatatkan oleh United Kingdom.  Perancis kekal di tempat kelima di  belakang Jerman, Jepun, China, dan Amerika Syarikat. 

Walau bagaimanapun, pendapatan per kapita penduduk Brazil kekal kurang daripada satu pertiga yang dinikmati oleh penduduk United Kingdom pada AS$11,000 seorang.  Keadaan ini dijangkakan meningkat sepanjang masa kerana ekonomi Barat kebanyakan mengalami kebekuan. 

Meskipun pertumbuhan ekonomi Brazil pada tahun 2011 adalah perlahan, jatuh daripada 7.5 peratus pada tahun 2010 kepada 2.7 peratus, sudah cukup untuk membolehkan negara itu menyingkirkan United Kingdom, satu lagi langkah pada laluan ke arah kebesaran ekonomi dan politik global. Peningkatan harga komoditi menjadikan Brazil bangkit sebagai orde dunia ekonomi.  Ketika berucap di Hanover, Presiden Brazil, Dilma Rousseff memikat mood orang ramai mengisytiharkan bahawa negaranya "tanah  peluang."  

Apabila dari segi ekonomi, Brazil mengatasi United Kingdom, Jon Henley dalam blognya membandingkan antara kedua-dua negara itu,   apa yang Brazil ada, tetapi United Kingdom tidak ada:  ekonomi, penduduk, bola sepak, pantai, hutan hujan tropika, dan penduduk peribumi  eksotik. 

Ekonomi maju Barat diasak dari segenap penjuru,  dari Asia dan kini dari Amerika Latin.  Lagi lama mereka bergelut dengan krisis, maka makin goyah kedudukan mereka sebagai kuasa ekonomi dunia. 


Tuesday, March 6, 2012

Nasib Bahasa Inggeris di Bumi Sendiri

SELASA,  6  Mac 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH



Di negara berbahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, iaitu di Britain, bahasa itu dikuatkuasakan  bukan sahaja  dalam kalangan pendatang atau imigran, tetapi juga terhadap doktor asing yang ingin berkhidmat di negara itu.  Seperti yang diumumkan oleh Setiausaha Kesihatan British, Andrew Lansley,   doktor asing yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris dengan betul akan dilarang daripada berkhidmat di negara itu.  Kini, terdapat 88,000 orang doktor asing yang berdaftar untuk bekerja di Britain, dengan lebih 22,000 orang dari negara Kesatuan Eropah yang kebanyakannya hanya mempunyai kemahiran bahasa Inggeris paling asas.
            Meskipun pihak berkuasa di  Britain memperlihatkan komitmen untuk memartabatkan bahasa Inggeris,  hakikatnya penguasaan bahasa itu dalam kalangan penduduk, khususnya murid, masih wujud kelemahan yang agak ketara.    Pada akhir Jun lalu, akhbar The Telegraph mendedahkan bahawa satu juta murid di negara itu bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.  Atau dengan kata lain, bahasa Inggeris bukan bahasa utama mereka. Satu dalam enam orang murid di sekolah rendah dan satu dalam lapan murid di  menengah bertutur dalam bahasa lain di rumah.  Akibatnya, kadar kanak-kanak yang memulakan persekolahan dengan pemahaman lemah secara relatif terhadap bahasa Inggeris kini meningkat sekali ganda dalam sepanjang satu dekad lalu.  Di sesetengah tempat di London, sebanyak tiga perempat murid bertutur dalam bahasa lain.
            Jumlah yang dinyatakan itu mencetuskan polemik, misalnya Brian Lightman, Setiausaha Agung Association of School and College Leaders, berhujah bahawa “sokongan untuk murid berkenaan adalah sangat penting.  Mereka adalah setanding dengan kemampuan murid lain, tetapi mereka akan gagal untuk mengakses kurikulum jika mereka terkebelakang dari segi celik huruf dan kemahiran bahasa.”  Lightman yang berasa bimbang akan pemotongan  oleh kerajaan Pakatan dalam pendanaan untuk mengajar murid-murid dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, menambah:  “Realitinya adalah bahawa sekolah-sekolah dengan bilangan yang sangat tinggi murid bahasa kedua adalah memerlukan lebih banyak wang.  Jika tiada pendanaan, ini akan menimbulkan masalah.”  Akan tetapi, jurucakap Jabatan Pendidikan mempunyai pandangan yang berbeza:  “Biar jelas, mempunyai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tidak selalunya bermakna bahawa kemahiran bahasa Inggeris semestinya teruk.”
            Angka yang dikumpulkan daripada sekolah pada bulan Januari setiap tahun menunjukkan kira-kira 16.8 peratus murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa lain di rumah pada tahun 2010/11 berbanding dengan 16 peratus pada tahun sebelumnya.  Bilangan ini meningkat hampir satu perempat dalam masa hanya empat tahun.  Di sekolah menengah, 12.3 peratus murid bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, meningkat daripada 11.6 peratus pada tahun lalu.  Dari segi jumlah, kira-kira 957,500 orang kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 16 tahun bertutur dalam bahasa lain di sekolah rendah, menengah, dan sekolah khas, berbanding dengan 905,600 pada tahun 2009/10.  Bilangan lebih tinggi di beberapa tempat di London, dengan hampir 78 peratus murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Tower Hamlet, London timur, berbanding dengan 74 peratus di Newham dan 71 peratus di Westminster.  Kadarnya mencecah kira-kira separuh di Slough, Luton dan Leicester, dan sekurang-kurangnya empat dalam 10 di Birmingham dan Blackburn. 
Sir Andrew Green, pengerusi Migration Watch, menyalahkan peningkatan jumlah murid yang bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua terhadap Parti Buruh yang memerintah sebelum ini:  “Akibat yang tidak dapat dielakkan daripada dasar Parti Buruh tentang penghijrahan massa.”
Lebih dua tahun lalu, akhbar yang sama telah pun mendedahkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam kalangan  kanak-kanak.  Mereka bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama mereka adalah minoriti dalam hampir satu dalam 10 pihak berkuasa tempatan. Dalam 14 kawasan tempatan, lebih separuh murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa lain di rumah.  Di peringkat nasional, jelas akhbar itu, bahasa Inggeris tidak lagi merupakan bahasa ibunda dalam kalangan 900,000 murid sekolah, kira-kira sekali ganda jika dibandingkan satu dekad lalu.  Hal ini berikutan peningkatan yang signifikan dalam penduduk migran bersama-sama dengan peningkatan kelahiran. Para pemimpin guru menegaskan bahawa usaha tambahan yang ditunjukkan oleh murid yang bertutur dalam bahasa lain bertindak sebagai “inspirasi” kepada penutur asli. 
Akhbar The Telegraph itu memetik angka daripada Jabatan Kanak-kanak, Sekolah, dan Keluarga yang menunjukkan hampir 15.2 peratus kanak-kanak di sekolah rendah Inggeris, atau 500,000 orang bertutur dalam bahasa lain di rumah pada tahun 2009 jika dibandingkan dengan 14.3 peratus pada tahun sebelumnya.   Di sekolah menengah, 11.1 peratus murid, atau 364,280 orang bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua berbanding dengan 10.6 peratus pada tahun 2008. Angka berkenaan menunjukkan jumlah berbeza secara signifikan di seluruh England.  Dalam  14 buah majlis tempatan, murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa lain adalah dalam majoriti.  Kebanyakannya adalah di London. Mereka juga terdiri daripada lebih satu pertiga penduduk sekolah rendah di 31 buah pihak berkuasa tempatan, termasuk Blackburn dengan Darwen, Leicester, Birmingham, Luton, dan Bradford.  London merupakan tumpuan terbesar murid yang bertutur dalam bahasa lain.  Kira-kira 77.7 peratus murid di Tower Hamlets, yang mempunyai banyak penduduk Bangladesh, tidak bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah.  Kadar ini ialah 73.2 peratus di Newham dan 69.5 peratus di Westminster.  Kerajaan memberitahu bahawa amaun wang dibelanjakan terhadap murid yang lemah bahasa Inggeris meningkat kepada 206 juta paun pada 2010.
Apa yang berlaku di England itu berpunca penghijrahan penduduk  yang  bahasa Inggeris bukan bahasa asli mereka.  Hal yang serupa berlaku di Amerika Syarikat, iaitu  dalam kalangan penduduk Hispanic yang merupakan golongan minoriti terbesar yang  bertutur dalam bahasa Sepanyol.  Sepatutnya hal seperti itu  berlaku dalam kalangan generasi pendatang pertama; tetapi sebaliknya, berlaku dalam kalangan murid yang lahir dan membesar di negara berkenaan, seperti di England dan Amerika Syarikat. Kecintaan mereka terhadap bahasa leluhur mereka nampaknya tidak luntur, meskipun mereka mereka menjadi rakyat di negara berbahasa Inggeris.
Meskipun wujud hal yang sedemikian dan pihak kerajaan memandang serius, kerajaan   juga menggalakkan murid-murid menguasai bahasa asing,  Pada akhir September lalu, Setiuasaha Pendidikan British, Michael Gove mencadangkan setiap murid berusia lima tahun atau lebih sepatutnya belajar bahasa asing, dan berjanji untuk “menarik setiap pengumpil,” termasuk menggalakkan hari persekolahan yang lebih lama, untuk merealisasikan cadangan tersebut. Beliau dalam wawancara dengan akhbar The Guardian, berkata, “Hanya kerana sesetengah orang mengambil kebanggaan sikap membantah dalam tidak memahami matematik, maka kita mengambil kebanggaan sikap membantah dalam hakikat kita tidak bertutur dalam bahasa asing dan kita hanya perlu bertutur lebih kuat dalam bahasa Inggeris.  Sememangnya, secara harafiah, keadaan bahawa belajar bahasa menjadikan anda lebih pintar.”
Rob Williams dalam mengalu-alukan  cadangan Michael Gove akan pentingnya bahasa asing dan tidak semua orang bertutur dalam bahasa Inggeris, menulis dalam guardian.co.uk:  “Hanya enam peratus penduduk dunia bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, dan 75 peratus penduduk dunia tidak bertutur dalam bahasa Inggeris sama sekali.  Pengaruh British di pusat proses membuat keputusan Kesatuan Eropah paling pasti dipengaruhi oleh hakikat bahawa pegawai British tidak diwakili  dengan baik dalam institusi Kesatuan Eropah.  Daripada 32,140 staf di suruhanjaya Eropah, hanya 1463 (4.6 peratus) ialah British. Britain mewakili 12 peratus penduduk Kesatuan Eropah, tetapi pemohon British hanya sekadar 1.44 peratus kumpulan pemohon untuk kitaran pengambilan  tahun 2010.”
Jelas bahawa  kedudukan bahasa Inggeris di buminya sendiri tidak sekukuh atau sehebat, seperti  yang sering  digembar-gemburkan oleh pentaksub bahasa itu  di negara kita.  Selain itu,  bahasa itu bukan sahaja tidak digunakan secara meluas dalam kalangan warga dunia, tetapi juga di Kesatuan Eropah. Malangnya, masalah  bahasa Inggeris di England sendiri yang sering didedahkan oleh akhbar di negara itu tidak sampai kepada pengetahuan penduduk di negara berkata. Tidak dapat tidak, berlakunya “penggelapan” oleh akhbar berbahasa Inggeris di negara kita yang tidak rela mendedahkan kekurangan bahasa kebanggaan mereka. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa Disember 2011.) 

Monday, March 5, 2012

Terlalu Dihantui Israel

ISNIN, 5 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


"Perisytiharan Kuala Lumpur" bahawa "saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan Israel"  lebih sebulan berlalu, namun polemik dan tuduh menuduh "siapa yang lebih menyayangi Israel" belum reda.  Sebagaimana "lembu,"  Israel juga akan menghantui arena politik Malaysia, sekurang-kurangnya hingga Pilihan Raya Umum akan datang.

Di tengah-tengah  riuh-rendah tentang Israel, mungkin  negara Islam di Timur Tengah tidak segamat Malaysia, Shmuel Rosner menulis dalam Foreign Policy, "America's Israel Obsession" menanyakan mengapa orang Amerika terlalu asyik dengan negaranya, iaitu Israel? Rosner memulakan penulisannya dengan mendedahkan  Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan segala hormatnya menolak pelawaan untuk menulis op-ed untuk The New York Times.  Dalam surat penolakan itu, penasihat kanan Netanyahu, Ron Dermer, mendakwa menghitung makalah dalam akhbar itu (dan International Herald Tribune) dan menyimpulkan bahawa 20 makalah yang berkait dengan Israel diterbitkan antara September hingga November 2011, 19 makalah memberikan gambaran negatif terhadap Israel.

Selepas menerima pelawaan untuk menulis artikel ini dalam Foreign Policy, Rosner melayari laman web jurnal ini dan menghitung makalah tentang topik dan negara yang berbeza.  Beliau mendapati Israel lebih banyak ditulis berbanding dengan Britain, Jerman, Greece, India, atau Rusia.  Tambah beliau, "Minggu depan (minggu ini) akan ditulis, bahkan lebih banyak tentang Israel kerana Netanyahu melawat Washington untuk menyampaikan satu lagi ucapan di Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) dan bertemu Presiden Barack Obama untuk membincangkan strategi Iran dan perkara lain."

Rosner memberitahu bahawa mempunyai tabiat lama, iaitu gemar menghitung  sebutan Israel dalam pelbagai forum Amerika.  "Empat tahun lalu, dalam kempen hingga Pilihan Raya Presiden 2008, saya memohon calon-calon supaya 'menolak godaan' untuk bercakap secara tekal tentang Israel atau menyatakan kecintaan yang mendalam terhadap negara Yahudi. Saya menulis ketika itu: Minggu lalu dalam debat Naib Presiden, nama Israel disebut 17 kali.  China dua kali, Eropah hanya sekali.  Rusia tidak muncul sama sekali.  Demikian juga Britain, Perancis, atau Jerman."

Dengan nada mengeluh, Rosner menulis, "tidak perlu dikatakan, nasihat saya tidak didengari.  Pada Disember 2011, saya mendengar calon-calon Presiden daripada Republikan bersaing untuk membuktikan persahabatan mereka dengan Israel dalam pertemuan Pakatan Orang Yahudi Republikan."  Demikian juga pengalaman beliau bersama-sama dengan penulis lain membuat liputan kokus Republikan di Iowa pada Januari tahun ini:  Israel sentiasa di bibir calon-calon, sedangkan negara lain jarang-jarang sekali.

Rosner mengakui bahawa lebih daripada satu alasan bahawa Israel menjadi topik  perbualan  yang tekal sedemikian dalam kalangan penulis, pembikin pendapat, ahli politik, dan penggubal dasar Amerika.  Tidak dinafikan bahawa Israel adalah menarik.  Kemudian, faktor "hubungan istimewa," iaitu Israel ialah sekutu Amerika Syarikat, dan lobi yang kuat dan lantang kedua-duanya, iaitu Yahudi dan Kristian berusaha untuk memelihara hubungan dua buah negara.  Juga dari segi politik: Israel ialah alat yang digunakan oleh calon untuk menghentam antara satu sama lain.  

"Israel bagi penulis Amerika," hujah Rosner, "adalah apakah bola sepak untuk orang awam: Setiap orang kelihatan pakar, atau sekurang-kurangnya percaya dia pakar.  Hal ini bukan hanya bilangan sebutan dan makalah yang ditulis tentang negara saya adalah membingungkan, tetapi juga bilangan komen yang tidak seragam dan pemerhatian yang tidak bernilai."

Rosner juga menyentuh konflik Israel-Palestin yang sering mendapat liputan yang luas dalam penerbitan Amerika.  Sebaliknya, konflik di tempat lain, seperti baru-baru ini Honduras, kekejaman rejim di Syria, dan ketengangan yang semakin menjadi-jadi di Caucasus Selatan tidak mendapat perhatian di Amerika.

Demikian juga konflik Israel-Iran yang Rosner berasa bimbang jika progam nuklear Iran ditanggapi sebagai isu "orang Israel," maka semakin besar risiko bahawa Israel dipersalahkan untuk akibat negatif ketegangan, seperti harga minyak yang tinggi.  Juga wujud betul-betul bahaya sebenar bahawa jika tercetus peperangan, orang Amerika akan melihat pemusnahan keupayaan nuklear Iran sebagai sesuatu Israel patut tangani sendiri, dan bukannya sokongan pakatan antarabangsa yang mempunyai peluang lebih baik untuk meneutralkan  ancaman itu. 

Seandainya Shmuel Rosner mengikuti polemik tentang Israel di Malaysia sejak sebulan lalu, dan beliau memahaminya, nescaya beliau akan menulis bahawa  Malaysia terlalu  memikirkan Israel,  bahkan lebih daripada  Amerika sendiri.  Dan mungkin beliau menyimpulkan bahawa Israel bagi Malaysia: benci tapi rindu.


Sunday, March 4, 2012

Strategi Karl Rove: Serang Kekuatan Lawan

AHAD,  4 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Mitt  Romney, yang setakat ini, calon pilihan Republikan untuk Pilihan Raya Presiden 2012,  baru-baru ini memenangi pemilihan awal di Michigan dan Arizona, dan hari ini, memenangi kokus negeri Washington, menurut pemerhatian Ben Jacobs, menggunakan strategi Karl Rove:  serang kekuatan lawan.  Romney meskipun melancarkan serangan untuk mencuba serangan dan serangan terlebih dahulu terhadap kelemahan besarnya berbanding dengan Rick Santorum, ketidakonsistenannya tentang isu sosial dan rancangan penjagaan kesihatannya di Massachusetts. 

Dengan menyerang Rick Santorum kerana menyokong senator prapilihan yang menyokong "Obamacare," beliau bertujuan untuk melemahkan garisan serangan dengan mengikuti strategi Karl Rove tentang menyerang lawan pada kekuatannya dan bukannya pada kelemahannya. 

Karl Rove,  ahli strategi yang pernah berkhidmat dengan George W. Bush,  menulis dalam Foreign Policy bersama-sama Ed Gillespie, bagaimana  mengalahkan Presiden Barack Obama. Dalam pilihan raya Amerika yang tertumpu terhadap ekonomi yang teruk dan pengangguran yang tinggi, kebijakan konvensional mengatakan bahawa dasar luar merupakan satu daripada sebilangan kekuatan Barack Obama.  Akan tetapi, Presiden Obama jelas mudah terjejas dalam bidang ini.  


Dengan mengatakan calon Republikan adalah silap kerana menganggap bahawa dasar luar ialah kekuatan Obama, Rove dan Gillespie mengemukakan petua untuk mengalahkan Obama dengan menyerang kekuatannya: dasar luar.

Pertama, calon Republikan sepatutnya menerima pakai keyakinan, iaitu nada nasionalis yang menekankan faham keluarbiasaana Amerika, menyatakan kebanggaan di Amerika Syarikat sebagai kuasa untuk kebaikan di dunia, dan memperjuangkan Amerika untuk muncul sekali algi sebagai kuasa global yang sangat penting.  Tindakan Obama seperti yang beliau perhatikan, Amerika Syarikat gergasi yang cacat, kesilapan yang para pengundi sudah tanggapi.   Meskipun Obama mempercayai fahaman keluarbiasaan Amerika, beliau juga mengakui bahawa orang British dan orang Greece juga mempercayai fahaman keluarbiasaan masing-masing. 

"Calon Republikan," cadang Rove dan Gillespie, "sepatutnya menggunakan kata dan tindakan Presiden sendiri untuk menggambarkan beliau sebagai orang daif dan lemah dari segi dasar luar. Janji yang Obama  gagal, peluang yang beliau terlepas, dan anjakan yang tidak menentu, menunjukkan beliau tidak mengikuti perkembangan dan  fikiran di awang-awangan."  

Pada masa yang sama, calon Republikan sepatutnya tidak teragak-agak untuk menunjukkan di manakah Obama membiarkan dasar Presiden Amerika daripada Republikan sebelum beliau, kebanyakannya tidak terjejas. Beliau berasa tidak selesa jika calon Republikan mengucapkan tahniah kepada beliau kerana menggunakan strategi melanda yang digunakan oleh Presiden George W. Bush terhadap Afghanistan.

Kedua, calon Republikan mesti mengutuk tindakan tergesa-gesa Obama mengundurkan tentera dari Afghanistan dan pemotongan belanjawan pertahanan yang begitu banyak, yang bahaya. Kedua-dua tindakan itu dilihat secara waswas oleh pihak tentera. 

Ketiga, calon Republikan sepatutnya memberikan tumpuan terhadap bahaya negara penyangak, terutamanya Iran dan Korea Utara. 

Keempat, garisan serangan keempat mesti mengenai ekonomi Amerika yang lemah dan bagaimana untuk memulihkan. Banyak pengundi fikir pengawasan Obama terhadap ekonomi tidak konsisten dan bahkan tidak produktif. 

Berhubung dengan serangan keempat ini, mungkin banyak yang meragui kerana apabila pada bulan lalu, kadar pengangguran di Amerika Syarikat jatuh kepada 8.3 peratus, maka didapati calon Republikan kehilangan modal untuk menyerang Obama.  Oleh sebab kadar pengangguran jatuh, mereka tidak dapat lagi mendakwa bahawa dasar ekonomi Obama gagal.   

Bahkan, John Cassidy yang menulis dalam Fortune,  akhir tahun lalu supaya berhati-hati dengan ramalan ekonomi tahun 2012, yang seakan-akan membawa berita baik untuk Barack Obama, terpaksa mengubah pendiriannya. Dalam tulisan terbaharunya, Cassidy  menegaskan ekonomi yang meningkat ini tepat pada waktunya untuk Obama.

Petua bagaimana untuk mengalahkan Barack Obama, sesungguhnya tidak mudah diterima, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan Michael A. Cohen juga dalam Foreign Policy.  "Jika Republikan benar-benar mahu menyerang Presiden tentang dasar luar, maka mereka perlu melakukan banyak yang baik dan bukannya sejadar mengitar semula idea lama, yang basi dan usang.

"Sebenarnya, tegas Cohen lagi,  "Rove dan Gillespie tidak mengikuti perkembangan dan  fikiran di awang-awangan....Lebih daripada itu, Republikan secara terdesak perlu mencari cara baru untuk membicarakan dasar luar; mereka perlu meninggalkan fahaman ketenteraan yang mudah dan fahaman keluarbiasaan Amerika  kebudak-budakan yang mentakrifkan pujukan bakal calon Presiden mereka dalam jejak kempen; mereka perlu menghentikan tuduhan yang tidak henti-henti kelemahan dasar luar terhadap Demokrat kerana ini akhirnya hanya tidak berfungs. " 

Pematahan uga datang daripada Jeremy Rosner dan Stanley Greenberg yang menulis "From Strength to Strength" mendakwa Rove dan Gillespie silap sama sekali.  Rakyat Amerika percaya dasar luar Presiden Barack Obama cekap (kompenten), dan mengambilnya untuk dijadikan modal menyebabkan calon GOP kelihatan pincang.  "Masalah sebenar dengan nasihat mereka adalah bahawa salah baca kedua-duanya, iaitu rekod Presiden dan bagaimana orang awam menilainya. Rakyat Amerika mungkin berpecah belah tentang banyak isu, tetapi secara relatif, sepakat dari segi keyakinan terhadap Obama sebagai Panglima Besar." 


Kejahilan calon Presiden daripada Republikan tentang dasar luar, khususnya Timur Tengah,  telah menjadi pengetahuan umum,  dan pernah dibangkitkan bekas Penasihat Keselamatan Negara, Zbigniew Brzezinski dalam wawancaranya dengan Fareed Zakaria. 


Dengan mengajar serang kekuatan lawan, adakah Karl Rove memberikan petua yang baik untuk calon Republikan dalam menghadapi Barack Obama?  Yang jelas, mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menyerang dasar luar Presiden Obama.

Pesan orang tua-tua, "jika anda ingin menyerang lawan anda, pastikan anda mempunyai kekuatan.  Kalau tidak, 'anda masuk berpakaian lengkap, keluar bertelanjang,' kerana dikerjakan oleh  lawan anda."


Kelas Menengah Menentang Putin

AHAD, 4 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Hari ini berlangsung Pilihan Raya Presiden Rusia.  Pada  tahun lalu, Perdana Menteri Vladimir Putin mengumumkan untuk kembali kepada jawatan Presiden.  Pengumuman itu  disambut dengan protes terhadap Kremlin yang kini diperhatikan tidak boleh ketawa. Demonstrasi besar-besaran terhadap pemerintahan Putin menandakan banyak anjakan penting dalam politik dan kehidupan sivik di Rusia, termasuk kembalinya satira politik. 

Hari-hari Putin akan berakhir.  "Vladimir Putin, Czar yang sedang jatuh," isytihar Jeffrey Tayler. Perubahan politik sebenar di Rusia tidak dapat dielakkan. Gambaran keseluruhan ialah Putin sudah tidak ada tempat lagi di negaranya:  Putinisme melihat berakhirnya Putin. Kalaupun Putin menang, tetapi kestabilan politik Rusia akan berakhir.   Beliau kini, bertarung dengan revolusi borjuis. Playboy hartawan, iaitu Mikhail Prokhorov, seperti yang diperhatikan oleh Anna Nemtsova,   mengancam kedudukannya.  

Namun, Putin tetap yakin  menang, dan beliau nampaknya begitu yakin untuk menguasai Kremlin, meskipun kemenangan itu disambut dengan protes besar-besaran. Empat hari sebelum pilihan raya,  saluran televisyen pro-Kremlin  memberikan amaran tentang apa yang akan terjadi jika kehidupan tanpa Putin. Banyak orang akan mengundi Putin bukan hanya kerana mereka fikir bahawa beliau ditakdir pemenang, tetapi juga kerana tidak ada orang lain untun diundi.  "Kepulangan Putin," tulis Fareed Zakaria yang nampaknya tidak selesa akan kemenangan Putin dengan mendakwa bahawa "beliau akan memerintah untuk tempoh yang lebih lama, mengatasi Stalin."   

"Apabila menyentuh masa depan politik Rusia,"  tulis Andrew C. Kuchins, "hanya jaminan ialah ketidakpastian.  Ya, pada hari Ahad, Vladimir Putin akan dipilih sebagai Presiden Rusia untuk penggal enam tahun, dengan majoriti undi yang selesa." Tambah beliau, "Ya, juga, sejumlah besar penunjuk perasaan, berkemungkinan lebih ratus ribu, akan turun di jalanan pada hari berikutnya untuk melancarkan protes. Apa yang berlaku selepas itu, sukar untuk diramalkan."

Putin kini ditentang oleh golongan kelas menangah.  Hujah Joshua Yaffa dalam Foreign Affairs, menyebabkan Putin yang menanti-nantikan Pilihan Raya Presiden Ahad ini, yang beliau pasti menang, tertanya-tanya:  Mengapa terlalu banyak orang ini, anggota kelas profesional yang berkembang di Rusia, berubah dengan menentang sistem yang benar-benar bertanggungjawab  menaikkan status mereka?

Di bawah pemerintah Putin, pertama sebagai Presiden, kemudian Perdana Menteri, dan kini, bercita-cita menjadi Presiden semula, negara itu mengalami transformasi ekonomi dan sosial yang mendalam, dengan satu kesan yang paling ketara ialah kewujudan kelas menengah Rusia sebenar, yang terdiri daripada golongan profesional bandar yang terpelajar di Moscow dan kota-kota lain di Rusia yang dihuni lebih satu juta orang.  Bahkan, kumpulan ini betul-betul merupakan kuasa yang mendorong di sebalik mood anti-Putin yang berakar umbi di Moscow dan banyak kota Rusia ialah ujian terhadap kedua-duanya, iaitu kejayaan dan kekecewaan era Putin:  Segmen besar penduduk Rusia yang kini memang terjamin dari segi kebendaan bimbang akan suara sivik mereka dan percaya bahawa keadaan lebih baik di bawah sistem yang lebih saksama jika dibandingkan dengan yang pernah diwujudkan oleh Putin. 

Tidak seperti  Pemberontakan Arab, bahas Yaffa, situasi di Rusia, pada hakikatnya berbeza:  Sebenarnya penduduk yang berumur dan stabil secara relatifnya jika tidak positif tinjauan makroekonomi, dan protorevolusioner mereka yang banyak kerugian jika orde politik negara dinyahstabilkan.  

Bahas Yaffa lagi, dalam masa satu atau dua tahun, kelas menengah Rusia ditinggalkan dalam keadaan agak memberontak. Mereka tidak mempercayai, bahkan bermusuhan terhadap negara dan kebanyakannya putus asa dengan kerajaan.  Sebaliknya, golongan kelas menengah ini sibuk dengan membina dunia alternatif mereka sendiri.  Mereka hanya memerlukan pencetus luaran untuk melahirkan perasaan tidak puasa hati yang terpendam.  Yang mereka nanti-nantikan itu muncul dalam bentuk dua peristiwa.  Pertama, Putin mengumumkan pada September lalu bahawa beliau, dan bukannya Dmitry Medvedev, ingin kembali menjadi Presiden.  Kedua, pilihan raya Parlimen pada Disember lalu yang dicemarkan oleh bukti yang sangat banyak bahawa berlaku penipuan untuk memihak kepada Parti Rusia Bersatu yang pro-Kremlin.

Carta harian The Economist, yang mengakui kepulangan Putin, tetapi mengingatkan hari-harinya semakin suntuk. "Apabila Putin berkuasa 12 tahun lalu, pengundi Rusia adalah secara relatifnya homogen dari segi pendapatan dan keperluan. Golongan kelas menengah adalah kira-kira 15 peratus penduduk, tetapi banyak berubah sepanjang dekad yang berselang. Golongan kaya dan kelas menengah berkembang, iaitu terdiri daripada 25 peratus penduduk dan hampir 40 peratus tenaga kerja."  Carta harian itu menunjukkan beberapa petunjuk meningkat dari segi bukan sahaja pendapatan, tetapi percutian, beli-belah, dan Internet.

Secara keseluruhannya, protes yang berlaku di Moscow dan beberapa kota lain di Rusia dikaitkan dengan kemunculan golongan kelas menengah.  Namun, Masha Gessen yang menulis dalam The Observer hari ini menjelaskan bahawa ini bukan sekadar kelas menengah Rusia dalam pemberontakan, tetapi ini merupakan gerakan massa sebenar. 

Saturday, March 3, 2012

Krisis Negara Kebajikan?

SABTU, 3 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Lebih tiga tahun  Lehman Brothers runtuh yang turut menyumbang kepada krisis kewangan dan krisis ekonomi global, manakala dunia terjebak dalam kemelesetan.  Namun, debat tentang krisis ini masih belum reda.  Ada yang mengatakan krisis semasa ialah krisis kapitalisme, tetapi ada yang menafikannya dengan mengatakan krisis globalisasi, dan krisis kepimpinan. 

Yang terbaharu, seperti yang dibahaskan oleh Mark Field dalam The Telegraph, "krisis sebenar dalam negara kebajikan, bukannya krisis kapitalisme."  Bahas beliau, lupakan Davos, politik dalam negara, dan bayaran bonus.  Perusahaan dan pasaran bebas masih kekal sebagai satu-satunya permainan di Britain, sekali gus menyalahkan negara kebajikan. 

Meskipun untuk semua perbincangan tentang jimat-cermat yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan potongan sektor awam yang keras, hujah Field, kerajaan British masih meminjam satu paun sterling dalam setiap lima paun sterling yang kita belanjakan secara kolektif. 

Lama sebelum krisis kewangan, tulis Field, "pembaharuan kebanikan bukan sekadar debat akademik.  Pengembangan model kebajikan Eropah untuk bertahun-tahun berfungsi menjadikan benua kita kurang dan kurang daya saing dari segi ekonomi."

Pastinya, pendirian Field menyalahakan negara kebajikan yang beliau dakwa sebagai punca krisis, bercanggah dengan beberapa pandangan, antaranya seperti yang dikemukakan oleh Paul Krugman.  Seperti yang diketahui, Krugman begitu gigih mempertahankan negara kebajikan, khususnya untuk negara Eropah.  Bagi beliau, krisis euro bukan mengenai negara kebajikan. Tegas beliau, krisis euro bukannya berpunca daripada kegagalan negara kebajikan.  

Meskipun benar bahawa semua negara Eropah lebih murah hati terhadap faedah sosial berbanding dengan Amerika, hakikatnya hujah beliau, "negara yang kini dalam krisis tidak mempunyai negara kebajikan yang lebih besar berbanding dengan negara yang mempunyai prestasi ekonomi yang lebih baik."

Dengan menyalahkan negara kebajikan yang didakwa sebagai punca krisis, maka ini memberikan kewajaran kepada beberapa negara untuk melaksanakan jimat-cermat. Namun, dari segi realiti, seperti yang berlaku di Eropah, jimat-cermat lebih banyak mengundang masalah ekonomi, antaranya pemulihan yang perlahan, pertumbuhan yang lemah, dan pengangguran yang tinggi.

Obama Ingatkan Iran dan Israel: "Sebagai Presiden Amerika Syarikat Saya Tidak Bohong"

SABTU,  3 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Iran, Amerika Syarikat, dan Israel, menurut pemerhatian Martin Indyk,  terpasung dalam kitaran ganas yang boleh membawa konflik.  Bagi Presiden Barack Obama, menjelang pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Isnin ini, beliau dikatakan akan menentang desakan supaya mengenakan dasar Iran yang lebih ketat daripada Israel dan  beberapa anggota Kongres yang menegaskan bahawa Teheran sepatutnya tidak dibenarkan memperoleh, bahkan kemampuan yang akhirnya membina senjata nuklear.

Sementara itu, Israel, seperti yang dikatakan oleh Gul Luft dalam Foreign Policy, semakin hilang sabar dengan respons diplomatik terhadap program nuklear Iran, dan momentum untuk Israel melancarkan serangan udara meningkat hari demi hari.  Dalam pertemuan tersebut, Netanyahu dilaporkan akan meminta Obama untuk mengeraskan retorik terhadap Teheran dan membuat beberapa kenyataan yang jelas tentang persediaan Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan bahawa Iran pasti melintasi garisan merah. 

Namun, sebelum pertemuan  itu, Presiden Barack Obama, seperti yang ditulis oleh Jeffrey Goldberg dalam The Atlantic, mengingatkan Iran dan Israel bahawa sebagai Presiden Amerika Syarikat beliau tidak berbohong.  Dalam pertemuan itu kelak, Presiden Obama akan memujuk Perdana Menteri Israel supaya menangguhkan apa-apa jua rancangan yang beliau mungkin mengebom kemudahan nuklear Iran dalam bulan-bulan mendatang. Obama akan mengingatkan bahawa di bawah kepimpinan, Amerika Syarikat "menyokong Israel," dan bahawa beliau akan mengarahkan tentera Amerika Syarikat untuk memusnahkan program nuklear Iran jika sekatan ekonomi gagal memaksas Teheran menghentikan cita-cita nuklearnya. 

Dalam temu bual yang dipetik secara meluas itu, Obama memberitahu Goldberg bahawa kedua-duanya,  iaitu Iran dan Israel sepatutnya mengambil serius kemungkinan tindakan Amerika terhadap kemudahan nuklear Iran.  "Saya fikir bahawa kerajaan Israel mengakui bahawa sebagai Presiden Amerika Syarikat, saya tidak bohong."  Tambah beliau, "Saya juga tidak, sebagai perkara dasar yang kukuh, pergi ke sana ke mari, mengiklankan benar-benar apa yang kami hajatkan. Akan tetapi, saya fikir kedua-duanya, iaitu kerajaan Iran dan Israel mengakui bahawa apabila Amerika Syarikat berkata bahawa negara ini tidak boleh menerima Iran mempunyai tenaga nuklear, kami akan mengotakan apa yang kami katakan."

Temu bual yang berlangsung sebelum Obama menyampaikan ucapan dalam persidangan tahunan AIPAC, kumpulan lobi pro-Israel, dan keesokannya, bertemu dengan Netanyahu di Rumah Putih, beliau menyatakan secara khusus bahawa "semua opsyen adalah di atas meja," dan bahawa opsyen terakhir ialah "komponen ketentaraan."  Akan tetapi, Obama yakin bahawa sekatan ekonomi akan menyebabkan Iran sengsara, yang lambat-laun memaksa rejim di Teheran memikirkan semula usahanya untuk meneruskan program senjata nuklear.

Obama kelihatan paling kecewa apabila berbincang tentang apa yang beliau lihat kempen yang disengajakan oleh Republikan untuk meyakinkan orang Yahudi Amerika bahawa beliau anti-Israel. "Setiap komitmen yang saya buat untuk negara Israel dan keselamatan, saya tunaikan," Obama memberitahu Goldberg. "Mengapa, meskipun saya tidak pernah gagal untuk menyokong Israel terhadap setiap masalah yang Israel hadapi sepanjang tiga tahun lalu, masih ada soalan seperti itu?"

David Ignatius dalam mentafsirkan pesanan Barack Obama itu, menulis, "Presiden Barack Obama tidak mahu serang Iran.  Akan tetapi, beliau juga tidak mahu Israel serang Iran.  Justeru, sebelum bertemua Perdana Menteri Netanyahu Isnin ini, Obama tahu beliau perlu melakukan sesuatu yang luar biasa untuk menyandiwarakan kesediaannya untuk mengambil tindakan ketenteraan jika langkah lain gagal untuk menyekat Iran daripada memperoleh senjata nuklear." 


Tambah Ignatius, "Obama memilih taktik yang menarik... beliau dari segi paling empatetik dan petah berkata-kata, dan memang cara yang bijak untuk berkomunikasi tentang yang difikirkan oleh Netanyahu dengan pendapat awam yang meragui kejujuran dan ketegasannya."


Dengan memberitahu secara jelas bahawa "Sebagai Presiden Amerika Syarikat saya tidak bohong," kemungkinan bahawa Amerika sendiri akan menyerang Iran tidak dapat disangkal sama sekali.  Kepada Teheran, mesej beliau memang jelas bahawa "harap sedar dengan siapa anda bermusuh."  Justeru, "teruskan atau tinggalkan program nuklear."


Obama juga dengan penyataan tegas beliau itu, seakan-akan bertindak "membunuh burung dengan sebiji batu":  Mengugut Iran dan meredakan keberangan Israel.  Namun, tatkala  Israel yang semakin rancak memalu gendang perang, adakah Netanyahu termakan dengan retorik Obama itu?



Friday, March 2, 2012

Yoga dan Skandal Seks

JUMAAT,  2 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pengharaman amalan yoga dalam kalangan umat Islam di negara ini yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tinggal dalam lipatan sejarah. Mengapa terjadi begini, tidak perlu dijelaskan dan dibahaskan di sini.  Hanya memadai jika dikatakan bahawa pihak berkuasa fatwa ini tidak mempunyai kekuatan untuk mendepani asakan yang datang dari segenap penjuru. 

Namun, kisah yoga di luar negara tidak pernah sunyi.  Baru-baru ini,  William J. Broad menulis dalam The New York Times, mendedahkan sesuatu yang menarik, "yoga dan skandal seks : tidak terperanjat di sini."   Jelas Broad, ini bukan kali pertama bahawa topeng yoga diletupkan dengan skandal seks.  Mengapa yoga melahirkan terlalu banyak kaki perempuan?  Dan mengapa kegemparan yang terjadi itu menyebabkan banyak orang terkejut dan tidak keruan?

Satu faktor, jelas Broad, ialah kejahilan.  Guru-guru yoga dan buku tentang mempelajari yoga jarang-jarang menyebut bahawa disiplin bermula sebagai pendewaan seks, iaitu sesuatu yang tidak dimasukkan yang menjadikan banyak pengamal terdedah pada kejutan nafsu berahi. 

Jelas Broad lagi, yoga Hatha, induk gaya yang kini diamalkan di seluruh dunia, bermula sebagai cabang Tantra.  Di India zaman pertengahan, pengikut Tantra cuba melakur aspek kosmos lelaki dan wanita ke dalam keadaan kesedaran berbahagia. Upacara pendewaan Tantric, meskipun selalunya dijiwai dalam simbilisme, juga boleh memasukkan kumpulan dan individu seks.  Satu teks menasihati pengikut supaya menghormati organ seks wanita dan seronok dengan hubungan seks yang bertenaga dan sihat.  Calon untuk pemujaan, termasuk seniwati  dan pelacur, di samping adik beradik perempuan pengamal. 

"Sepanjang dekad," tulis Broad, "banyak ditemui daripada pengalaman peribadi bahawa amalan yoga dapat menyemarakkan keinginan seksual.  Kawasan pelvis dapat merasakan lebih sensitif dan puncak syahwat lebih bertenaga."

Broad mendedahkan beberapa kajian tentang amalan yoga dengan seksual, yang terbaharu, ahli sains di University of British Columbia mendokumentasikan bagaimana pernafasan pantas yang dilakukan dalam banyak kelas yoga dapat meningkatkan aliran darah menerusi alat kelamin.  Kesannya didapati cukup kuat untuk menggalakkan kebangkitan seksual bukan sahaja individu yang sihat, tetapi dalam kalangan mereka yang libido berkurangan.

"Di India, kajian klinikal terbaharu menunjukkan bahawa lelaki dan wanita yang mengambil yoga melaporkan secara meluas penambahbaikan dalam kehidupan seks mereka, termasuk perasaan yang diperkaya tentang keseronokan dan kepuasan, di samping kekariban emosi dengan pasangan."

Guru yoga, seperti Swami Muktananda (1908 - 1982, Swami Satchidananda (1914 - 2002),  dan Swami Rama (1925 - 1996),  menurut  Broad, terlibat dengan pencabulan wanita. 

Dalam tulisannya itu, Broad juga memetik Elena Brower yang menulis dalam The Huffington Post,  "seni menarik perhatian: salah laku dalam dunia (yoga)." 

Terjemahan Bible

JUMAAT,  2 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi  membenarkan   Herald:  The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah.  Tatkala kes yang mencetuskan kontroversi dan membangkitkan kemarahan umat Islam menunggu proses rayuan, pada akhir  November tahun lalu, pihak Gereja Katolik mengubah liturgi Mass untuk penganut agama Katolik yang bertutur dalam bahasa Inggeris, menggunakan beberapa terjemahan yang lebih hampir pada Latin.  

Tujuan perubahan itu  adalah untuk menyatukan satu bilion penganut agama itu di seluruh dunia.  Pastinya, perubahan tersebut membangkitkan persoalan, manakala Dr. Joel Hoffman yang menulis dalam The Huffington Post, menjelaskan bahawa lima kesilapan dalam terjemahan Bible:  etimologi, struktur dalaman, kognat, kesilapan terjemahan lama, dan metafora yang disalahfahami.  Sebelum ini, beliau menulis bahawa lima cara terjemahan Bible boleh memutarbelitkan makna asal  teks.  

Malangnya, apa yang dinyatakan di atas tidak disebar ke negara kita Malaysia.  Seperti biasa, akhbar berbahasa Inggeris yang selalu menjadi jaguh "keterbukaan global" memerapkan berita atau penulisan seperti ini kerana tidak memihak kepada pendirian akhbar berkenaan.   

Justeru, adakah penggunaan kalimah Allah dalam agama Katolik di Malaysia bercanggah dengan perubahan yang dilakukan oleh pihak Gereja Katolik? Adakah dengan menggunakan kalimah Allah itu cacat menurut tafsiran Joel Hoffman?


Thursday, March 1, 2012

Kemiskinan Dunia Merosot

KHAMIS, 1 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Laporan terbaharu Bank Dunia menunjukkan bilangan orang yang hidup dalam kemiskinan melampau dan kadar kemiskinan merosot di setiap wilayah dunia membangun antara tahun 2005 - 2008.  Penurunan ini adalah  kali pertama berlaku sepanjang kitaran tiga tahun sejak Bank Dunia mengesan kemiskinan melampau. 

Data yang dikeluarkan semalam oleh Kumpulan Penyelidikan Pembangunan Bank Dunia menunjukkan bahawa 22 peratus penduduk di dunia membangun atau 1.29 bilion orang yang hidup dengan pendapatan AS$1.25 atau kurang sehari pada tahun 2008, jatuh daripada 43 peratus pada tahun 1990 dan 52 peratus pada tahun 1981. 

Data yang dikemaskinikan itu berasaskan kajian yang melibatkan 850 isi rumah yang dijalankan oleh hampir 130 buah negara, mewakili 90  peratus penduduk di dunia membangun.  Tempoh kajian adalah dari 1981 hingga 2008,  terutamanya kerana data terbaharu daripada negara pendapatan rendah adalah, sama kurang ataupun tidak boleh dibandingkan dengan anggaran sebelum ini, meskipun statistik lebih terbaharu dapat diperoleh untuk negara pendapatan sederhana dan sebilangan kecil negara miskin untuk membolehkan anggaran awal untuk tahun 2010. 

Menurut laporan itu lagi, sesetengah wilayah menunjukkan kemajuan yang lebih besar jika dibandingkan dengan wilayah lain.  Asia Timur memotong kadar orang yang hidup dengan kurang AS$1.25  sehari kepada 14 peratus pada tahun 2008 daripada 77 peratus pada tahun 1981. China, khususnya, mengeluarkan 663 juta orang daripada kemiskian, iaitu  yang hidup dengan kurang AS$1.25 sehari pada tahun 2008 berbanding dengan tahun 1981, sekitar masa pembaharuan negara itu bermula. 

Akan tetapi, dunia membangun tanpa China memperlihatkan cerita yang bercampur-campur:  Jumlah kemiskinan di semua negara membangun adalah sekitar 1.1 bilion orang, kira-kira sama dengan tahun 1981, meskipun bilangan meningkat dan jatuh sejak tahun 1999.  Afrika Sub-Sahara mengurangkan kadar kemiskinan AS$1.25 sehari kepada 47 peratus pada tahun 2008, kali jatuh di bawah 50 peratus.  Dan wilayah yang menyaksikan bilangan kemiskinan melampau jatuh sejak tahun 2005, menterbalikkan peningkatan jangka panjang sejak tahun 1981. 

Laporan Bank Dunia itu juga menyatakan,  sepanjang tempoh itu secara keseluruhan, hanya penurunan yang kecil dalam bilangan orang yang hidup dengan kurang AS$2 sehari, iaitu kepada 2.47 bilion pada tahun 2008 daripada 2.59 bilion pada tahun 1981, meskipun bilangan meningkat dan  kemudian jatuh dalam tempoh berkenaan, dan jatuh dengan ketara sejak tahun 1999, apabila 2.94 bilion orang hidup di bawab AS$2 sehari. 


Carta harian The Economist yang memetik laporan Bank Dunia itu, mengalu-alukannya,  "kini untuk berita baik." Empat tahun lalu menyaksikan krisis ekonomi berbetulan dengan kenaikan harga makanan. Sesuatu yang pasti, meningkatkan lagi bilangan kemiskinan dunia, terutamanya kerana inflasi makanan lebih menjejaskan golongan miskin, tetapi nyata andaian ini  tidak betul. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...