Artikel Popular

Monday, November 17, 2014

Serbuan Bahasa

ISNIN, 17  November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



“Pencemaran bahasa,” “kerancuan bahasa,” “bahasa rojak,” bagaikan wabak yang melanda bahasa Melayu, yang seakan-akan sukar dibendung.  Daripada papan iklan kepada dialog dalam drama televisyen, sebenarnya  apa-apa yang berlaku amat  menjijikan. 
            Selain itu, bahasa Melayu dan beberapa bahasa lain di dunia menjadi “mangsa serbuan,” yang paling ketara oleh bahasa Inggeris.   Serbuan atau dalam bahasa Inggeris disebut incursion  berlaku dalam beberapa cara, terutamanya melalui Internet, yang memperlihatkan hegemoni bahasa Inggeris ke seluruh pelosok dunia.  Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka memaklumkan bahawa “selfie,”  “hashtag,” dan “tweet” akan dimuatkan ke dalam Kamus Dewan yang untuk “sementara waktu” terpaksa diambil bulat-bulat daripada bahasa Inggeris.  Kepesatan bahasa Inggeris, baik melalui Internet mahupun edisi bercetak, menyukarkan bahasa Melayu (beberapa bahasa lain) untuk bergerak seiringan. 
            Di sini, dikemukakan contoh beberapa istilah yang  diperkenalkan  dalam  krisis kewangan Asia 1997-1998 dan digunakan semula secara meluas sejak  krisis kewangan global 2008-2009, iaitu bail-out, yang hingga kini, belum ada padanannya dalam bahasa Melayu.  Sejak tahun lalu, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menggunakan perkataan tapering,  tetapi belum lagi diterjemahkan  dalam bahasa Melayu.  Ketika berlakunya pemberontakan di dunia Arab beberapa tahun lalu, perkataan Arab Spring amat popular, tetapi bagi pengguna dalam bahasa Melayu, mereka menghadapi kesukaran untuk mencari perkataan yang sesuai dalam bahasa ini, mungkin Pemberontakan Arab, atau mungkin Musim Bunga Arab.
            Serbuan bahasa juga  berlaku apabila terjemahan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu, tetapi singkatannya masih dikekalkan dalam bahasa asal, misalnya IMF untuk Tabung Kewangan Antarabangsa, ILO untuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa, WTO untuk Organisasi Perdagangan Sedunia, MBA untuk sarjana pentadbiran perniagaan, IT untuk teknologi maklumat, TPP untuk Perkongsian Rentas Pasifik, dan banyak lagi. 
            Kebanjiran bahasa Inggeris turut  berlaku di China, tetapi tidak seperti di Malaysia, banyak pihak memandang serius gejala ini,  bahkan  ada usaha untuk membendung serbuan bahasa Inggeris ini.  Walaupun bukan suatu usaha yang mudah, komitmen memang tinggi, dan tidak seperti di Malaysia, mereka tidak membiarkan serbuan berlaku seadanya. 
Makalah dalam Dewan Bahasa  dalam salah satu  keluaran pada tahun 2011, pernah memberikan liputan tentang usaha kerajaan China untuk  melindungi bahasa Cina.  China tidak mudah tunduk pada kuasa asing dan  kerajaan memperlihatkan ketegasan terhadap penggunaan  bahasa Inggeris.  Akhbar, buku, dan laman web Cina tidak   dibenarkan menggunakan perkataan dan ungkapan Inggeris. The General Administration of Press and Publication (GAPP) mengumumkan bahawa “ketulenan” bahasa Cina dalam bahaya.  Badan penerbitan negara itu memaklumkan peraturan baru itu berkata, penggunaan perkataan dan singkatan Inggeris yang semakin meningkat dalam teks Cina menimbulkan kekeliruan dan bermakna “menyalahgunakan bahasa.”  Amalan sedemikian, tegas GAPP, “membawa kerosakan yang teruk terhadap kebakuan dan ketulenan bahasa China dan mengancam keharmonian dan kesegaran persekitaran bahasa dan budaya, menimbulkan impak sosial yang negatif.” 
 “China Central Television dan  Beijing Television dilaporkan memberitahu China Daily bahawa stesen televisyen berkenaan menerima pemberitahuan daripada kerajaan supaya mengelakkan singkatan Inggeris tertentu dalam program China.  Akan tetapi, singkatan Inggeris masih lazim kedengaran dalam berita tetap dan siaran sukan,” catat  makalah  tersebut.  China Central Television pernah mencetuskan tindak balas yang hebat apabila stesen televisyen itu mengubah “NBA” yang kerap digunakan kepada meizhilan, singkatan untuk "American Professional Basketball" dalam bahasa Cina.
Pihak berkuasa di China dan orang Cina masih menunjukkan komitmen yang tinggi untuk “memerangi” “perang”  bahasa  Inggeris dan mereka tidak membenarkan bahasa itu menceroboh kedaulatan mereka dengan sewenang-wenangnya.  Alasan bahawa  bahasa Inggeris ialah lingua franca   dalam bidang perniagaan, sains, dan teknologi, dengan perbendaharaan lebih satu juta perkataan, bukan bermakna mereka terpaksa menyerah kalah, tunduk pada hegomoni bahasa Inggeris
 Beberapa bulan lalu,  “PM2.5” merupakan buzzword dalam kalangan penduduk China yang bimbang akan kualiti udara.  Namun begitu,  sebilangan orang mahu menggantikan istilah itu, yang menjelaskan pencemaran yang berkaitan dengan zarah, yang mengelirukan orang Cina yang ingin melindungi  ketulenan bahasa Cina.  Lebih tiga dekad pembaharuan dan pembukaan China, bilangan perkataan  yang dipinjamkan meningkat diserapkan ke dalam penggunaan harian, daripada Wi-Fi kepada GDP,  NBA, dan VIP.  Penggunaan perkataan asing yang semakin meningkat mencetuskan debat hangat tentang ketulenan  bahasa Cina.
            “Perbincangan atas daya usaha editorial minggu lalu dalam People’s Daily, akhbar kemegahan  Parti Komunis China, yang mengkritik kebanjiran bahasa yang diimport kerana merosakkan ketulenan dan kesuburan bahasa Cina,” lapor China Daily dalam keluaran 7 Mei, sambil memetik Du Chuijian, pakar Confucianisme di Capital Normal University, Beijing, “fenomena mencampuradukkan perkataan Inggeris dengan bahasa Cina, meskipun kelihatan berpunca daripada kemalasan, hakikatnya mencerminkan kurangnya keyakinan dalam budaya.”
            Walau bagaimanapun, bantahan terhadap bahasa asing mencetuskan keberangan dalam kalangan orang awam, yang berkata bahawa  singkatan akronim bahasa Inggeris membantu meningkatkan kecekapan dalam komunikasi harian. Sebagai respons terhadap kebimbangan tentang serbuan bahasa asing, lapor China Daily lagi,  mungkin sesuatu yang wajar dipelajari oleh pencinta bahasa Melayu, pengguna dalam talian mewujudkan buku panduan bagaimana mengekalkan ketulenan bahasa Cina.  Buku panduan ini disebar secara meluas melalui Sina Weibo, perkhidmatan mikroblog yang paling popular di China.
            Sesetengah pihak mengalu-alukan fenomena ini sebagai tanda kosmopolitanisme dan bukannya mengganggap bahasa asing sebagai ancaman.  “Memasukkan perkataan asing bukan sahaja memperkaya bahasa Cina, tetapi juga memudahkan orang Cina berhubung dengan dunia luar,” kata komentar dalam Xinhua Daily Telegraph.  “Melindungi ketulenan bahasa dengan mentaliti xenophobia sebenarnya jenis  nasionalisme linguistik.”
            Dua tahun lalu, sesetengah ahli bahasa mengemukakan petisyen untuk mengeluarkan  perkataan Inggeris daripada  kamus Cina yang autoritatif dan sebaliknya memasukkan perkataan Cina yang sepadan dalam kamus itu. Walaupun diperhatikan bahawa sejak akhir-akhir ini  banyak perkataan asing memasuki bahasa Cina, sesetengah orang merujuk tambahan perkataan Cina ke dalam bahasa Inggeris sebagai bukti pertukaran bahasa.  Pada tahun 2013, ungkapan panas Cina, "no zuo no die",  yang bermakna "if you don't do stupid things, they won't come back to bite you" (“jika anda tidak melakukan perkara bodoh, maka perkara bodoh itu tidak datang semula menggigit anda”)  dimasukkan ke dalam Urban Dictionary, kamus dalam talian.
            Dalam makalah Dewan Bahasa  yang dipetik di atas, dikatakan  lebih 1000 perkataan asal Cina, boleh didapati dalam Oxford English Dictionary, dan sejak pertengahan 1990-an, penerimaan perkataan dan ungkapan  bahasa Cina dalam bahasa Inggeris semakin meningkat.   Bahasa Kantonis dan Hokkien merupakan penyumbang utama  perkataan Cina.  Perkataan Cina diterima pakai dalam bahasa Inggeris biasanya terjemahan harfiah yang digunakan apabila media berbahasa Inggeris membincangkan konsep dan fenomena yang berkait khusus dengan Cina. 
            Walau bagaimanapun, dikatakan  wujud “pertukaran tidak seimbang” antara pengambilan dan penggunaan bahasa Cina dengan bahasa Inggeris. Seperti yang dilaporkan dalam China Daily yang dipetik sebelum ini, sesetengah pakar mengatakan bahawa bahasa Cina tidak berpengaruh seperti bahasa Inggeris.  Mereka menggesa supaya kerajaan merumuskan garis panduan yang lebih spesifik tentang penggunaan perkataan yang dipinjamkan. Akhbar itu  memetik Gao Jian, profesor dari Shanghai International Studies University, yang menegaskan meskipun orang awam boleh memilih apakah yang mereka suka untuk kegunaan harian, kerajaan masih mempunyai obligasi untuk mengawal selia penggunaan berlebih-lebihan perkataan Inggeris yang dipinjamkan dalam bahasa rasmi. “Bahasa ialah manifestasi yang sangat penting dari segi jati diri budaya dan kita sepatutnya melindungi bahasa daripada hilang daya tarikan.”
            Yang menarik, usaha untuk membendung serbuan bahasa Inggeris itu mendapat perhatian antarabangsa, seperti yang dapat dilihat melalui  tulisan Amy Qin dalam akhbar The New York Times pada akhir April lalu.  “Hanya sebilangan bahasa utama yang merasakan kesan globalisasi dan pemodenan lebih peka atau sensitif berbanding dengan Mandarin,” tulis Amy.  “Penggunaan peranti papan kekunci yang semakin meningkat misalnya, menyebabkan banyak orang Cina lupa bagaimana menulis abjad dengan tangan, sehingga kepada takat  bahawa bahkan ada pertunjukan televisyen popular yang para peserta bersaing untuk menulis abjad yang rumit daripada memori.”  Kesan lain kemaraan China dalam integrasi global, hujah beliau, ialah kurang keunikan untuk Cina, iaitu penggabungan perkataan asing.  “Meskipun penyerapan perkataan tersebut kerap kali dilihat sebagai tanda positif kosmopolitanisme masyarakat, reaksi di China, sekurang-kurangnya menurut media negara, segalanya tidak positif,” tulis Amy yang juga merujuk editorial  People’s Daily yang menggasak kebanjiran perkataan asing, dengan mendakwa perkataan itu “merosakkan ketulenan dan kesuburan” bahasa Cina.
            Selain China, Perancis juga mengambil  pendirian yang tegas terhadap penggunaan bahasa asing.  Negara itu  mempunyai undang-undang yang menyatakan bahawa jika tanda awam (public signage) diterjemahkan ke dalam bahasa lain, mesti diterjemahkan sekurang-kurangnya ke dalam dua bahasa lain lagi.  Langkah ini dengan mudah   menyekat bahasa Inggeris daripada menguasai tanda awam di negara itu. 
            Sementara itu,  di  Quebec  – satu-satunya wilayah di Kanada, yang sejumlah besar penduduknya menggunakan bahasa Perancis,   daripada menu makanan kepada nama syarikat, pihak berkuasa memastikan  tidak berbau bahasa lain, seperti bahasa Itali dan bahasa Inggeris.  Seekor  burung kakak tua yang bertutur dalam bahasa Inggeris di Montreal Biodome, Quebec, dihantar pulang ke Toronto. Menurut cerita, wakil Office québecoise de la langue française (OQLF), badan yang dipertanggungjawabkan memastikan keagungan bahasa Perancis di Quebec mengadakan lawatan mengejut ke zoo tempat kakak tua  tinggal, dan burung malang itu bertutur dalam bahasa Inggeris. Kisah  itu yang diterbitkan dalam majalah Beaverton, menjadi olok-olokan, tetapi mencerminkan sikap tidak tolak ansur Quebec terhadap bahasa rasmi wilayah itu memang sentiasa benar.  Pihak berkuasa wilayah itu pernah menolak permohonan seorang ahli perniagaan untuk menyenaraikan firmanya dengan pendaftar syarikat.  Alasannya, nama syarikat itu terlalu berbunyi bahasa Inggeris. 
            Bersempena  57 tahun Malaysia  merdeka, sepatutnya bahasa Melayu terus berkembang maju sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, kalaupun tidak mahu disebut peranan bahasa ini dalam pembentukan negara bangsa dan pembinaan bangsa.  Malangnya, impian murni ini belum menjadi kenyataan dan mungkin tidak akan menjadi kenyataan untuk selama-lamanya.  Serbuan kalaupun tidak mahu disebut pencabulan bahasa Inggeris berlaku dengan berleluasa, sewenang-wenangnya, tanpa wujud usaha untuk mencegahnya.  Slogan “bahasa jiwa bangsa” yang pernah menjadi kebanggaan, semakin luntur serinya.

            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa, Ogos 2014.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...