Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Makalah ini siap ditulis pada 23 September dan memasuki
pasaran ketika Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012, pada 6
November, telah pun diketahui keputusannya.
Tatkala kempen semakin rancak, model peramalan, tuduh menuduh, cabar
mencabar menjadi-jadi, tinjauan pendapat
dan cerdik pandai pula berlumba-lumba untuk meramalkan siapakah
pemenangnya: Adakah Presiden Barack
Obama kekal untuk penggal kedua, ataupun pencabarnya, Mitt Romney daripada
Parti Republikan mengambil tempat beliau untuk bertakhta di Rumah Putih?
Sememangnya, diakui bahawa perlumbaan kali ini memang
sengit; faktor pekerjaan dan ekonomi, seperti kadar
pengangguran yang tinggi dan kadar pertumbuhan yang rendah menyukarkan kedudukan
penjawat kini, sebaliknya memberikan kelebihan kepada pencabarnya. Kira-kira 23
juta orang yang hidup tanpa pekerjaan, yang tidak dapat tidak, sesetengahnya menunjukkan keberangan mereka melalui peti
undi.
Begitulah tafsiran yang mudah, sedangkan hakikat
perlumbaan dalam pilihan raya tidak semudah itu. Namun, apabila hari demi hari berlalu, Barack Obama sememangnya, tidak mudah ditewaskan dan kedudukannya
sebagai Presiden dianggap sebagai kelebihan, meskipun ada kalanya sebagai
beban. Tambahan pula, beliau mempunyai
kempen yang mantap, yang diakui oleh Republikan dan kempen Romney. Sebaliknya, kempen Romney, dalam masa kian
suntuk, seakan-akan kelihatan goyah kerana bercakaran sesama sendiri.
Lebih-lebih kali ini, Obama
mendapat sokongan kuat daripada bekas Presiden Bill Clinton. Semasa Persidangan Kebangsaan Parti
Demokratik di Charlotte, North Carolina, pada awal September, Clinton berucap
menamakan Obama sebagai calon Presiden serta memastikan kemenangan beliau, dan pada masa yang sama, Clinton menyuntik
semangat para perwakilan sambil menyerang Republikan. Dengan sokongan Clinton, maka Republikan
terpaksa akur bahawa laluan calon mereka semakin sukar.
Beberapa model peramalan yang dikeluarkan pada bulan
Ogos, menjangkakan Obama muncul sebagai pemenang. Demikian juga dengan tinjauan pendapat yang
dikeluarkan hampir setiap minggu, kebanyakannya menunjukkan beliau terus mara,
meninggalkan pesaingnya, Romney, walaupun diakui bersaing rapat. Jika pilihan
raya berlangsung pada bulan September, menurut pandangan banyak pihak, pastinya
beliau menang. Sementara pertarungan di
beberapa negeri berayun, menunjukkan
bahawa, sama ada dikuasai oleh Obama
ataupun kedudukan terikat. Dari segi matematik, dengan “deposit tetap” 237 berbanding 191 untuk
Romney, Obama dijangkakan tidak
menghadapi kesukaran untuk memperoleh 270 undi badan perwakilan pemilih untuk
melayakkan beliau menjadi Presiden bagi tempoh satu penggal lagi. Beliau hanya perlu menang di Florida yang
mempunyai 29 undi badan perwakilan pemilih dan sebuah negeri berayun lain, seperti
Ohio yang mempunyai 18 undi badan perwakilan pemilih. Kedua-dua negeri tersebut kelihatan memihak
kepada beliau.
Sejak
Mitt Romney memenangi pemilihan awal Republikan, tetapi belum disahkan oleh
Persidangan Parti Republikan, beliau diperhatikan bukan saingan Barack Obama.
Bahkan, kempen Obama berasa selesa apabila Romney dipilih oleh
partinya sebagai calon Presiden. Romney
yang terpaksa menghadapi persaingan sengit daripada Rick Santorum dan Newt
Gingrich pada peringkat pemilihan awal, belum sempat memperkukuh kedudukannya, dibelasah oleh kempen Obama habis-habisan
sehingga beliau kelihatan terhuyung-hayang.
Belum pun sempat Romney memperkenalkan dirinya kepada rakyat
Amerika, kempen Obama, melalui iklan,
bertindak mentakrifkan beliau
mengikut kehendak mereka. Langkah ini
kelihatan berkesan di beberapa buah negeri berayun bahawa Romney digambarkan
sebagai orang yang hidup kaya-raya, tetapi terpisah daripada rakyat dan tidak
merasai denyut nadi mereka. Romney juga digambarkan sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai dan
gemar berahsia. Beliau, antaranya dikatakan mempunyai akaun bank di
Switzerland dan mengelakkan daripada membayar cukai pendapatan. (Setakat ini, beliau mengumumkan penyata
cukai pendapatan tahun 2010, dan pada 21 September, penyata cukai pendapatan
tahun 2011.)
Melihat
tindak-tanduk Romney yang membiarkan dirinya diterjah bertalu-talu oleh
Obama dan kempennya, anggota dan para
penyokong Republikan bersama-sama cerdik
pandai yang memihak kepada parti itu mula gelisah. Mereka seakan-akan dapat
merasakan bahawa Romney menolak “tuah yang datang bergolek,” yang pada
mulannya terbentang luas. Hal ini
mendorong editorial The Wall Street
Journal, William Kristol dalam Weekly
Standard, dan Rupert Murdoch, antaranya,
bersuara meluahkan keresahan mereka
bahawa adakah calon pilihan mereka bersedia untuk menang atau sebaliknya.
Romney
memasuki gelanggang dengan menggalas bagasi yang dengan mudah dijadikan oleh
kempen Obama untuk melancarkan serangan.
Tempoh pemegangan jawatan Romney di Bain Capital sebagai ketua pegawai
eksekutif dan pengerusi yang beliau dengan bangga menggunakannya sebagai “kad
panggilan,” akhirnya membawa padah. Bain
Capital, menurut kempen Obama dan pendedahan oleh beberapa akhbar dan majalah,
seperti Boston Globe, The Washington Post, The New York Times, The Huffington Post, Los
Angeles Times, The Associated Press,
Mother
Jones, dan Vanity Fair, menyumberluarkan
pekerjaan ke China, India, dan Mexico, melabur di Kepulauan Cayman untuk
mengelakkan cukai, memecat pekerja dengan sewenang-wenangnya, mengaut keuntungan dengan membiarkan syarikat
yang diambil alih jatuh muflis, dan bermacam-macam cerita yang tidak elok
tentang tentang firma ekuiti ini.
Pemilihan
Paul Ryan oleh Romney sebagai regunya, iaitu sebagai calon Naib Presiden,
dianggap oleh banyak pihak sebagai langkah yang silap, meskipun pada
mulanya dianggap sebagai pengubah
permainan dan sebagai usaha penjenamaan semula. Romney semata-mata dikatakan
memilih Ryan atas desakan puak konservatif dalam Republikan, walaupun penasihat
Romney tidak bersetuju dengan pemilihan
itu. Ryan yang gemar berdusta, dianggap
lebih teruk daripada Sarah Palin, iaitu calon Naib Presiden dalam pilihan raya
tahun 2008. Rekod prestasinya sebagai anggota
Perwakilan dari Wisconsin dan Pengerusi
Belanjawan Dewan Perwakilan dijadikan modal oleh kempen Obama. Hari demi hari berlalu, Ryan kelihatan lebih
banyak merosakkan daripada membantu Romney.
Musim
panas secara keseluruhannya tidak memihak kepada Romney, bahkan Persidangan
Kebangsaan Parti Republikan di Tampa, Florida, pada akhir Ogos tidak banyak
membantu beliau. Tokoh yang diundang
untuk berucap, kebanyakannya cenderung memperkenalkan dirinya masing-masing,
dan bukannya memperkenalkan calon mereka.
Kehadiran bintang veteran, iaitu Clint Eastwood yang semasa berucap
bercakap dengan kerusi kosong yang dianggap sebagai Barack Obama, merosakkan
seluruh persidangan yang penting itu kerana tumpuan banyak diberikan terhadap
kerusi kosong itu berbanding dengan ucapan penerimaan pencalonan oleh
Romney yang berucap selepas itu.
Akibatnya, menurut pelbagai tinjauan pendapat, tidak
seperti yang diharapkan, tidak banyak lantunan yang berlaku hasil persidangan
itu. Hal ini jauh berbeza dengan
Persidangan Parti Demokratik yang dianggap begitu berjaya, walaupun ucapan
Obama agak mengecewakan. Hasil
persidangan parti itu
menyaksikan lantuntan yang tinggi, iaitu kepopularan Obama meningkat, jauh
meninggalkan Romney, dan rentak ini berlanjutan pada minggu kedua dan minggu seterusnya selepas
persidangan.
Dalam analisisnya tentang beberapa tinjauan pendapat
pascapersidangan, Harry J. Enten yang menulis dalam The Guardian pada 20 September, menegaskan bahawa muktamad bahawa
Obama memperkukuh kedudukannya yang mendahului lawannya. “Berita buruk untuk
Romney,” tulis Enten, “tidak ada calon Presiden yang dapat bangkit daripada
ketinggalan tiga titik peratusan selewat ini dalam kempen dalam masa 60 tahun.”
Dalam tulisannya sehari selepas itu, Harry J. Enten,
masih menegaskan bahawa walaupun Obama memperoleh sokongan kurang daripada 50
peratus, beliau ialah calon pilihan
untuk bulan November ini. Dengan
sokongan 48 peratus, Obama sebagai penjawat kini, pada kedudukan yang selesa,
dengan andaian, pertama, kemunculan beberapa calon parti ketiga yang lazimnya
meraih undi hingga dua peratus; kedua,
dari segi sejarah, para pengundi yang tidak membuat keputusan, tidak akan pergi
kepada pencabar; dan ketiga, para pengundi yang tidak membuat keputusan,
sebahagian besarnya bukan penyokong Romney.
Sementara kajian di seluruh negara oleh Pew Research
Center menunjukkan bahawa Obama mempunyai kedudukan yang lebih baik untuk
memenangi pilhan raya November ini jika dibandingkan dengan mana-mana calon
Presiden sejak Bill Clinton. Kajian yang
dikeluarkan pada akhir September menujukkan bahawa beliau mendahului lawan
sebanyak lapan titik peratusan dalam kalangan kemungkinan pengundi, iaitu 51
peratus berbanding dengan 43 peratus.
Mitt Romney cenderung melakukan kesilapan yang bodoh,
yang boleh menjejaskan peluangnya untuk ke Rumah Putih, walaupun Barack Obama
juga melakukan kesilapan seperti itu.
Semasa di kota London sempena Sukan Olimpik, beliau mengeluarkan komen
bahawa tuan rumah, tidak bersedia sehingga mencetuskan keberangan Perdana
Menteri David Cameron, Datuk Bandar Boris Johnson, dan media di Britain.
Seterusnya, ketika di Israel, Romney membandingkan taraf sosioekonomi rakyat
Israel yang jauh lebih baik berbanding dengan umat Palestin. Apabila pada bulan September, kedutaan
Amerika Syarikat di Kaherah dan di Benghazi diserang sehingga seorang diplomat
dan tiga orang lain terbunuh, Romney mengambil kesempatan untuk mengkritik
Pentadbiran Obama dan bukannya untuk memperlihatkan dirinya sebagai seorang
negarawan. Akibatnya, beliau dikritik
oleh pelbagai pihak, manakala Obama menuduh beliau, “tembak dahulu, sasar
kemudian,” dan John McCain, bekas calon Presiden tahun 2008, mengingatkan
“Romney perlu melihat gambar yang lebih besar.”
Kesilapan bodoh yang teruk yang Romney lakukan adalah
ketika majlis pengumpulan dana kempennya
di Florida, pada 17 Mei, yang pita videonya didedahkan oleh David Conn
dalam Mother Jones, pada pertengahan
September. Beliau dilaporkan berkata
bahawa 47 peratus penduduk Amerika, iaitu mereka yang menyokong Presiden Obama
ialah “mangsa” yang “bergantung pada kerajaan” dan “tidak membayar cukai
pendapatan.” Beliau menegaskan: “Tugas saya tidak perlu bimbang akan golongan
ini. Saya tidak akan meyakinkan mereka
bahawa mereka sepatutnya mengambil tanggungjawab peribadi dan menjaga diri
mereka.” Kata-kata itu digunakan oleh
Obama dan kempennya untuk menyerang Romney, manakala pengulas politik menganggap
Romney bodoh dan angkuh, dan beliau menjurus ke arah kekalahan. “Dalam menghitung detik 48 hari, Romney,”
catat Howard Fineman dalam blog The
Huffington Post. Melihat minggu yang
penuh gelora yang terpaksa diharungi oleh Romney, maka ulas David Brooks,
kolumnis The New York Times yang
muncul dalam program televisyen NBC, “calon yang kurang popular dalam sejarah.”
Obama mempunyai
kekuatan dari segi dasar luar, manakala Romney dari segi ekonomi. Malangnya, kekuatan Romney ini mula disaingi
oleh Obama. Romney dan Republikan
juga mempunyai kelebihan dari
segi kewangan kerana dikelilingi oleh penderma besar, tetapi kekuatan ini juga
dapat diimbangi oleh Obama dan Parti Demokratik. Sebaliknya, kekuatan Obama selain kempen,
iaitu tenaga manusia yang sanggup turun ke lapangan untuk mendekati pengundi
dan media sosial, tidak dapat disaingi oleh Romney.
Secara keseluruhannya, Mitt Romney kelihatan terhuyung-hayang di curam kekalahan kerana
terpaksa bergelut dengan masalah dirinya dan masalah kempennya, walaupun masih
awal untuk mengatakan beliau berkubur, manakala Barack Obama, terlalu awal
untuk meraikan kemenangan. Bahkan, kempennya terpaksa melipatgandakan usaha
demi mengelakkan sikap berpuas hati dalam kalangan pengundi. Selagi permainan belum tamat, maka selagi itulah
wujud persaingan. Di samping faktor dalam negara, seperti pekerjaan dan
ekonomi, faktor luar negara, seperti krisis zon euro, pergolakan di Timur
Tengah, berikutan penyebaran Innocence of
Muslims, dan program nuklear Iran, boleh mengubah permainan yang
menyebabkan penjawat kini terpaksa mengharungi minggu yang panjang.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, November 2012.)
No comments:
Post a Comment