Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Di Malaysia,
sebarang usaha untuk mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan
pelajar selalunya melalui dasar. Maka, pada tahun 2003, kerajaan
memperkenalkan Pengajaran dan Pembelanjaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI). Dolak-dalih Kementerian Pelajaran ketika itu
untuk memansuhkan dasar itu disambut oleh protes jalanan pada tahun 2009, suatu
tindakan yang mengejutkan kerajaan.
Kira-kira
satu dekad pelaksanaan, nyata dasar tersebut merupakan langkah langkah mundur
dalam sistem pendidikan negara: yang dikejar tak dapat yang dikendong
keciciran. Walaupun beberapa tahun lalu
kerajaan mengumumkan PPSMI dimansuhkan dengan “pendaratan lembut,” desakan supaya dasar ini dikekalkan masih
kedengaran di sana sini. Antara alasan
yang diketengahkan golongan pendesak ini ialah bahawa kita hidup pada zaman
Internet yang menandakan bahawa warga global perlu menguasai bahasa Inggeris,
dan Malaysia tidak terkecuali. Mereka
lupa bahawa Internet dan media sosial
sebenarnya memudahkan orang untuk belajar dan seterusnya menguasai bahasa asing
tanpa perlu kerajaan memperkenalkan dasar atau program baharu.
Di
negara asing, pelajar muda sering membuka televisyen Amerika untuk
menambahbaikkan kemahiran bahasa Inggeris mereka. Sementara itu, sekolah bahasa CAN di Liberdade, Brazil, menemui cara yang tidak dijangkakan untuk
remaja Brazil belajar bahasa. Seperti yang dilaporkan pada Mei tahun ini,
menerusi program yang disebut “Pertukaran Pertuturan,” CAN dan agensi FCB Brazil menghubungkan
remaja menerusi sembang Web dengan orang Amerika yang tua di Komuniti Persaraan
Windsor Park, Chicago. Pelajar
merakamkan perbualan mereka dengan orang tua itu, supayaa guru dapat menilai
kemajuan mereka.
Remaja
Brazil mahu belajar bagaimana bertutur
dalam bahasa Inggeris, manakala orang tua Amerika mahukan teman untuk berbual.
“Apa yang pelajar kami benar-benar mahukan adalah untuk bertutur dalam bahasa
Inggeris dengan fasih,” kata Vanessa Valenca, penyelaras program, yang tahu
bahawa banyak pelajar tidak mampu menanggung kos untuk pergi ke Amerika
Syarikat untuk belajar bahasa Inggeris.
Daya
usaha remaja Brazil itu boleh diibaratkan, “di mana ada kemahuan di situ ada
jalan.” Program yang dilaksanakan di negara itu pastinya menjimatkan kos kerana
remaja berkenaan tidak perlu ke Amerika Syarikat, atau “pakar” bahasa tidak perlu dibawa ke Brazil.
Sememangnya
mudah untuk mempelajari bahasa asing,
seperti yang dilaporkan dalam akhbar The Independent akhir Jun, “anda
dapat belajar bahasa asing ketika anda tidur,” yang memetik ahli psikologi
Switzerland. Penyelidikan yang
diterbitkan dalam jurnal Cerebral Cortex
oleh Swiss National Science Foundation, mengatakan bahawa mendengar perbendaharaan kata asing
yang baharu dipelajari ketika tidur dapat membantu memantapkan memori perkataan
itu. Dalam kajian yang diketuai oleh
ahli biopsikologi, Bjorn Rasch, 60 puluh orang pelajar yang bertutur dalam
bahasa Jerman yang diminta belajar beberapa perkataan Belanda yang mereka tidak
pernah lihat sebelum jam 10.00 malam.
Separuh pelajar daripada kumpulan kemudian dibenarkan pergi tidur,
dengan perkataan dimainkan balik untuk mereka, manakala separuh lagi dibiarkan
berjaga untuk mendengar perkataan itu.
Kumpulan
pertama kemudian bangun daripada tidur jam 2.00 pagi dan kesemua 60 orang pelajar diuji
tentang perkataan baru. Ahli sains
mendapati bahawa pelajar yang mendengar perkataan Belanda ketika tidur jauh
lebih baik dalam mengingat perkataan baru.
Kajian itu juga mempertimbangkan hakikat bahawa kumpulan yang dibiarkan
berjaga itu berprestasi teruk kerana mereka dinafikan untuk tidur, menggunakan
pengukuran EEG pelajar yang tidur untuk
menunjukkan aktiviti yang meningkat dalam lobus parietal, iaitu bahagian
penting otak dalam memproses bahasa.
Kajian
ini memperkukuhkan lagi kajian sebelum ini bahawa manusia dapat mempelajari
maklumat baharu ketika tidur. Kajian yang diterbitkan dalam Nature
Neuroscience yang menunjukkan ketika tidur, manusia dapat memperkukuh
memori yang diperoleh sebelum ini, tetapi sama ada mereka dapat memperoleh
maklumat baru keseluruhan masih tidak diketahui.
Wujud
beberapa penemuan yang dapat membantu
seseorang mempelajari bahasa asing.
Selain teknologi, seperti yang dimanfaatkan oleh remaja Brazil dan
teknik mudah, iaitu sewaktu tidur,
penemuan terbaru menunjukkan
betapa mudahnya mempelajari bahasa,
seperti telan pil. Pada masa akan
datang, menurut Nicholas Negroponte:
“Kita banyak melakukan penggunaan maklumat seluruh mata kita. Cara itu
mungkin saluran yang sangat tidak cekap. Ramalan saya adalah bahawa kita akan
makan maklumat. Anda akan telan pil dan
tahu bahasa Inggeris. Anda akan telan
pil dan tahu Shakespeare.” Pengasas MIT
Media Lab itu berkata bahawa manusia mampu mempelajari seluruh bahasa dengan
makan pil.
Negroponte
yang dipetik oleh antaranya oleh The Huffington Post dan The Daily
Mail awal Julai, berkata bahawa pil yang beliau bayangkan akan mengikuti
aliran darah ke otak, tempat pil itu akan menyimpan cebisan maklumat di tempat
yang betul.
Beberapa
tahun lalu para penyelidik di
Microsoft membina program yang menggunakan perisian pengenalan pertuturan untuk menterjemahkan
apakah yang seseorang itu katakan ke dalam bahas lain menggunakan versi yang
diubah suai suara individu itu sendiri.
Menurut Technology Review, perisian itu dapat menterjemahkan mana-mana
kombinasi 26 bahasa yang berbeza.
Selain itu, dengan menggunakan
Pimsleur Approach, seseorang dapat mempelajari bahasa baharu hanya dalam masa 10
hari. Pimsleur
Approach membantu seseorang
mempelajari bahasa baharu dengan cepat, bahkan FBI dan Agensi Keselamatan
Negara Amerika Syarikat membeli program yang diperkenalkan oleh Dr. Pimsleur, pakar
dalam bidang linguistik terapan. Beliau mengenal pasti menerusi penyelidikan
yang meluas bahawa komunikasi berkesan dalam mana-mana bahasa bergantung pada
penguasaan bilangan terhad perkataan secara relatif dan bukannya mencuba
mempelajari banyak perkataan pada peringkat permulaan.
Walau
bagaimanapun, penilaian terhadap Pimsleur
Approach mendapati program ini membosankan, tetapi berkesan. Walau membosankan, seseorang akan selalu
belajar sesuatu. Program yang terpantas yang dapat diperoleh untuk kebanyakan
bahasa popular. Alasan yang paling penting program bahasa Pimsleur berkesan
adalah bahawa Pimsleur menggunakan sesuatu yang disebut “pengulangan
terjarak” (spaced repetition). Selain itu, Pilmsleur dikatakan selalu
membuat dakwaan pemasaran yang memang tidak realistik, seperti yang dapat pada
iklannya, “Belajar Bahasa Sepanyol dalam Sepuluh Hari.” Memang seseorang dapat belajar banyak bahasa
Sepanyol dalam masa sepuluh hari, tetapi tidak ada orang akan berkata dengan
serius bahawa orang itu bertutur dalam bahasa Sepanyol selepas sepuluh hari
belajar dengan Pimsleur.
Tidak
dinafikan bahawa teknologi dan penemuan terbaru banyak memberikan manfaat
kepada manusia, tetapi bergantung pada
manusia untuk memanfaatkannya, misalnya dari segi mempelajari dan seterusnya
menguasai bahasa asing. Namun begitu, yang sering berlaku, perubahan budaya
tidak bergerak seiringan dengan perubahan teknologi yang begitu pesat.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Pelita Bahasa, September 2014.)
No comments:
Post a Comment