Artikel Popular

Friday, November 7, 2014

Belanjawan 2013: Ke Arah Pertumbuhan Mapan

JUMAAT,  7 November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak membentangkan Belanjawan 2012, antara komen atau ulasan yang mewarnai perbincangan, baik melalui  kaca televisyen, mahupun melalui penulisan, ialah belanjawan pilihan raya.  Selain belanjawan pilihan raya, seperti lazim, komen atau ulasan tertumpu pada habuan yang diberikan kepada penjawat awam dan golongan masyarakat yang lain sehingga membayangi persoalan yang lebih besar, seperti defisit belanjawan yang berterusan lebih 10 tahun, dan usaha memacu pertumbuhan di tengah-tengah kelembapan ekonomi global.
            Namun, seperti yang diketahui, pilihan raya yang dijangkakan tidak kunjung tiba sehingga Najib yang juga  Menteri Kewangan pertama,  membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 September lalu.  Pastinya, orang ramai tidak memerlukan cerdik pandai dan ahli politik untuk memberitahu mereka bahawa belanjawan terbaru ini ialah belanjawan pilihan raya kerana masa untuk pilihan raya semakin hampir, paling tidak, selewat-lewatnya  pada awal tahun depan. 
            Belanjawan 2013 dibentangkan tatkala ekonomi dunia masih muram selepas mengalami kemelesetan terburuk sejak  Kemelesetan Besar tahun 1930-an:  sektor pembuatan di China menguncup untuk bulan ke-11 berturut-turut, ekonomi Amerika Syarikat hanya berkembang 1.3 peratus pada suku tahun kedua, dan ekonomi United Kingdom dalam tempoh yang sama, menguncup 0.4 peratus, manakala akaun semasanya  mencatatkan defisit 20.8 bilion paun. 
            Belanjawan 2013 juga dibentangkan ketika zon euro masih dilanda krisis, dan pada minggu sama dengan pembentangan belanjawan itu, berlaku protes antijimat-cermat dari Madrid ke Athens.  Pada minggu sebelum ini, lebih setengah juta orang berarak di kota-kota seluruh Portugal untuk membantah potongan keselamatan sosial.  Sepanyol yang menghadapi kebangkitan sentimen pemisahan daripada penduduk Catalonia, dijangkakan menjadi Greece baru.  Antijimat-cermat yang berlaku di Eropah, tidak menunjukkan tanda akan reda, bahkan pada 30 September lalu, mereka ke Perancis.
Meskipun empat tahun berlalu selepas  keruntuhan Lehman Brothers dan pasaran saham global lintang-pukang,   krisis kewangan global masih belum reda. Seperti yang dimaklumkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), bahawa risiko masih wujud dalam sistem kewangan kerana para pelabur  Amerika Syarikat ketakutan.  Sementara dalam Global Financial Stability Report terbaru  yang kebetulan  dikeluarkan sebelum pembentangan belanjawan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), mengingatkan bahawa di sebalik ribut salji (blizzard) peraturan baru, sistem perbankan masih mudah terjejas.  Sementara Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO) pada akhir September lalu,  mengingatkan bahawa tinjauan perdagangan global terjejas kerana krisis zon euro membantutkan pertumbuhan.  WTO mengurangkan ramalan pertumbuhan perdagangan global tahun ini daripada 3.7 peratus kepada 2.5 peratus, kurang separuh daripada purata 20 tahun sebelum ini, membayangkan bahawa keadaan semakin buruk dan bukannya bertambah baik. Pada tahun 2013, WTO menjangkakan bahawa perdagangan tumbuh sebanyak 4.5 peratus, berbanding dengan ramalan sebelum ini, pertumbuhan 5.6 peratus.
Melihat data ekonomi yang teruk yang mencurah-curah, seperti krisis hutang kedaulatan Eropah, harga komoditi yang tinggi, legasi keruntuhan kewangan empat tahun lalu, dan ketegangan antara tiga ekonomi terbesar di dunia, iaitu Amerika Syarikat, China, dan Jepun, maka dijangkakan berlaku  kelembapan global. 
“Ekonomi global terpaksa melalui perjalanan yang jauh untuk mencapai pertumbuhan mapan,” tulis Larry Elliott dalam The Guardian, antara memetik kemerosotan sektor pembuatan di China.  Beliau mengemukakan tiga masalah besar dan saling terikat.  Pertama, Eropah yang terus menerus menggunakan petua yang sama untuk menyelesaikan krisis menyembunyikan hakikat bahawa kelemahan ekonomi merebak dari pinggi ke pusat.  Kedua, masalah adalah bahawa hanya sedikit kemajuan dicapai dalam menangani ketidakseimbangan global yang mewujudkan keadaan untuk keruntuhan pada tahun 2007.  Akhir sekali, bank-bank pusat dan para menteri kewangan telah pun menggunakan amaun yang besar amunisi yang dapat diperoleh.
Semasa menyentuh aspek prestasi ekonomi 2012 dan prospek 2013 dalam pembentangan  Belanjawan 2013, Najib nampaknya menyedari realiti yang sedang melanda dunia, yang beliau nyatakan, “persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar.”  Namun, beliau menjelaskan  bahawa kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang, dengan asas ekonomi negara yang kukuh  serta disokong oleh sistem monetari akomodatif membolehkan ekonomi negara berada di landasan yang teguh.  Beliau juga merujuk prestasi ekonomi separuh pertama tahun 2012 yang tumbuh pada kadar 5.1 peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta.  Pada tahun ini, menurut beliau, pertumbuhan ekonomi negara dijangkakan berkembang pada kadar 4.5 peratus hingga lima peratus, manakala pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus. 
Belanjawan 2013 yang berjumlah RM251.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan, dengan pelbagai habuan atau  bantuan kepada setiap lapisan rakya demi mengurangkan beban kos sara hidup mereka, seperti bonus untuk penjawat awam, BR1M 2.0 untuk setiap isi rumah yang berpendapatan RM3000 ke bawah dan RM250 seorang bagi individu bujang 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2000, bantuan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, rebat telefon pintar 3G bagi belia yang berumur 21 - 30 tahun berpendapatan RM3000 ke bawah, pelepasan cukai bagi pendidikan tinggi anak-anak dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional, diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  antara 10 – 20 peratus, baucar buku mahasiswa, insentif khas tentera, insentif nelayan,  dan bermacam-macam lagi.
Meskipun kerajaan berusaha mengurangkan defisit belanjawan kepada 4.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2013, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012,  kerajaan tidak mendakap langkah jimat-cermat  yang  dilaksanakan di Eropah dan Amerika Syarikat. Seperti yang sering diperdebatkan mengapa benua Eropah terus terbenam dalam kemelesetan, antaranya kerana pelaksanaan jimat-cermat yang tidak sesuai dengan masanya, iaitu ketika pucuk hijau baru bertunas, iaitu pemulihan masih lemah. “Kegilaan jimat-cermat Eropah,” seperti yang dibahaskan oleh Paul Krugman dalam The New York Times pada 27 September, “akan membawa banyak kesakitan, baik dari segi ekonomi mahupun politik.”  Dari segi ekonomi, menurut beliau, jimat-cermat tidak dapat menyelesaikan masalah kadar pengangguran yang tinggi, manakala dari segi politik, mencetuskan keberangan rakyat, seperti yang berlaku di Greece dan Sepanyol.
Dengan tidak menunjukkan keterujaan dan ketaksuban terhadap jimat-cermat yang memungkinkan zon euro berkecai, Malaysia dijangkakan mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada tahun depan, seperti yang diunjurkan. Dengan pelbagai habuan dan bantuan  tersebut, sekurang-kurangnya kerajaan dapat merangsangkan penggunaan isi rumah untuk keperluan harian dan seterusnya merancakkan  industri peruncitan.  Pastinya, langkah ini mampu memacu  pertumbuhan ekonomi, kerana salah satu faktor pertumbuhan ekonomi  Amerika Syarikat dan Eropah lembap ialah rendahnya permintaan domestik. Tatkala pertumbuhan perdagangan global lemah, seperti yang diperingatkan oleh WTO,  tidak dapat tidak, pertumbuhan ekonomi Malaysia perlu bergantung pada aktiviti ekonomi domestik.
Tatkala kadar pengangguran di seluruh 17 buah negara yang menggunakan mata wang euro mencecah 11.3 peratus pada bulan Julai dan Amerika Syarikat 8.1 peratus pada bulan Ogos, pasaran buruh Malaysia, seperti yang ditunjukkan dalam Laporan Ekonomi 2012/2013, kekal stabil sepanjang tahun 2012, dengan kadar pengangguran yang rendah, iaitu 3.2 peratus, kerana aktiviti domestik yang rancak.  Seperti yang sering dihujahkan bahawa kadar pengangguran yang tinggi yang diburukkan oleh pelaksanaan jimat-cermat tidak akan mewujudkan permintaan agregat dan seterusnya membantutkan pertumbuhan ekonomi. Kadar pengangguran yang tinggi, jimat-cermat, dan kemelesetan, merupakan masalah yang berangkaian dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Komitmen  kerajaan untuk memastikan pertumbuhan mapan dapat dilihat pada fokus pertama: merangsang aktiviti pelaburan.  Seperti yang ditegaskan oleh Najib dalam pembentangan belanjawan itu, “pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik,” dan “terus memperhebat  pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara.”  Dalam fokus pertama ini juga kerajaan menggalakkan pelaburan domestik, menjadikan Malaysia hab minyak dan gas, merancakkan sektor pelancongan, meningkatkan aktiviti pertanian, melestarikan jaminan bekalan makanan, membela nasib petani dan nelayan, mencergaskan pasaran modal dan kewangan, menggalakkan amanah perniagaan, merangka Wakaf Korporat,  dan membangunkan usahawan bumiputera.
Tanggapan umum, tetapi tidak semestinya tepat, ialah ekonomi negara digerakkan sebahagian besarnya  oleh sektor korporat, sedangkan peranan   perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak kurang pentingnya dari segi  pemacuan  pertumbuhan ekonomi dan pewujudan peluang pekerjaan.  Di bawah fokus pertama, kerajaan mempergiat PKS, dan seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2013,    “PKS memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara.”  Sehubungan dengan itu, untuk mempercepat pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, kerajaan menyediakan dana RM1 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS yang dikendalikan oleh SME Bank.
Belanjawan 2013 dan enam lagi belanjawan yang seterusnya dijangkakan mengubah Malaysia daripada status sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi kepada negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.  Untuk mencapai matlamat tersebut kerajaan perlu memperluas dan memperkembang golongan kelas menengah, iaitu golongan yang di peringkat global semakin mendapat perhatian kerana semakin mengecil, antaranya kerana kesan kemelesetan ekonomi, kebekuan upah,  dan kemerosotan pendapatan  serta kekayaan. Kewujudan dan pengembangan  golongan kelas menengah adalah penting  dari segi kuasa beli dan pencukaian, dan dengan itu, untuk  merangsangkan pertumbuhan ekonomi.

Pertumbuhan ekonomi, pastinya  kurang signifikan, dan bahkan akan terjejas sekiranya ketidaksamaan pendapatan semakin melebar.   Perlu dipastikan tidak wujud golongan “99 peratus”  dan golongan “satu peratus” yang mencermikan ketidaksamaan pendapatan yang amat ketara, yang memboleh membawa kepada persengketaan antara kedua-dua golongan tersebut.  Pertumbuhan ekonomi mapan dan negara maju berpendapatan tinggi hanya benar-benar bermakna sekiranya jurang ketidaksamaan diperkecil dan    kekayaan diagihkan secara  lebih adil dan saksama.  Jika tidak,  tema belanjawan “Memakmur Negara Menyejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati” sekadar retorik yang muluk-muluk yang sarat dengan gembar-gembur.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2012.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...