Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Secara
relatif, tahun 2010 lebih baik jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya,
sekurang-kurangnya krisis ekonomi telah pun reda, dan banyak negara boleh
menarik nafas lega. Sinar pemulihan kelihatan di hujung terowong, meskipun
kadangkala malap, kadangkala suram. Bayang-bayang krisis yang menakutkan mula
diselebungi oleh impian indah tentang pemulihan,
lebih-lebih lagi kerana dunia dapat mengelakkan daripada terhumban ke dalam
kemelesetan curam berganda.
Dengan berarak lalu kemelesetan terburuk sejak tahun 1930-an, manusia
yang lazimnya mempunyai memori yang pendek mula melupakan mimpi ngeri. Ada yang mengatakan krisis ini tidak seteruk
mana, lupa bahawa bagaimana kerajaan terpaksa berhempas-pulas bertindak
campur tangan secara besar-besaran:
pemiliknegaraan, pelan penyelamat, dan pakej rangsangan ekonomi. Banyak negara, khususnya di Eropah, tidak
sabar-sabar melaksanakan jimat cermat, meskipun rentak pemulihan masih lemah.
George Soros dalam makalahnya, “The Real
Danger to the Economy,” cuba menarik
perhatian tentang bahaya yang sedang menunggu dalam perjalanan
pemulihan yang penuh
liku. Beliau mengingatkan bahaya tanggapan salah bahawa defisit belanjawan mesti dikurangkan
untuk membantu pemulihan ekonomi. Wujud bahaya sebenar bahawa usaha pramasa kejujuran fiskal mungkin meranapkan
pemulihan. Tulis Soros dalam The New York Review of Books pada
November lalu. “Idea bahawa kita mesti
memotong defisit belanjawan pada masa pengangguran tinggi merupakan tanggapan
salah.”
Dasar
Keynesian akibat kemuflisan Lehman
Brothers merupakan kemenangan teori ekonomi, isytihar Joseph Stiglitz, dalam guardian.co.uk, pertengahan Oktober
lalu. “Di Eropah, Amerika Syarikat, dan
Asia,” tulis Penerima Hadiah Nobel Ekonomi
itu, “pakej rangsangan
berkesan. Mana-mana negara yang
mempunyai pakej rangsangan yang besar (berbanding dengan saiz ekonomi mereka)
dan direka bentuk cara terbaik, membuahkan hasil dengan baik, misalnya China
yang mengekalkan kadar pertumbuhan lebih lapan peratus.” Bagi Stiglitz, rangsangan selalunya
difikirkan sebagai langkah sementara sehingga sektor swasta dapat pulih. Beliau juga mengingatkan
bahaya melaksanakan jimat
cermat: “Kita tidak mampu melaksanakan
jimat cermat.”
Krisis yang berlaku mendedahkan
kecacatan yang ketara akibat pembatalan kawal selia; justeru, banyak negara kini mula kembali kepada
kawal selia. Pasaran tidak boleh
dibiarkan bebas sewenang-wenangnya, tetapi perlu diimbangi oleh peranan kerajaan. Krisis yang berlaku juga mendedahkan tidak
wujud tindakan bersepadu antara negara
di dunia untuk menanganinya secara
berkesan, meskipun agensi antarabangsa, seperti Tabung Kewangan Antarbangsa (IMF) dan Bank
Dunia, serta kumpulan kerjasama ekonomi, seperti G-20, sering mengadakan
pertemuan dan perbincangan. Tatkala
bergelut dengan krisis, banyak negara boleh diibaratkan “enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing,” dan bahkan, secara diam-diam mendakap mesra fahaman perlindungan.
Kemelesetan ini ialah akibat krisis
kewangan. Lazimnya, pemulihan selepas krisis kewangan adalah lemah
dan perlahan kerana sistem perbankan dibaiki dan kunci kira-kira dibina semula.
Bagi kebanyakan orang, pemulihan yang berlaku diwarnai oleh pengangguran yang
tinggi yang berpanjangan. Justeru, IMF World Economic Outlook terbaharunya mencadangkan bank-bank pusat perlu
mengekalkan kadar faedah paling rendah dan mempertimbangkan suntikan wang
seterusnya menerusi quantitative easing
jika kekenduran dalam rentak pertumbuhan berlaku berterusan.
Pada akhir September lalu,
dunia dikejutkan oleh “perang mata wang antarabangsa” kerana kerajaan memaksa turun nilai mata wang
mereka untuk merancakkan ekonomi mereka.
Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn, memberikan amaran bahawa
dunia terjebak dalam perang mata wang,
yang hasilnya “akan memberikan impak negatif dan sangat merosakkan dalam
jangka panjang.” Mata wang, seperti yang
pernah dibahaskan, merupakan masalah
ekonomi yang sangat khusus kerana mata wang ialah satu hubungan menang-kalah
sebenar. Apa-apa jua merit menilai
semula atau menurunkan nilai wang tertentu, merit in hanya menang jika ada
pihak lain yang kalah. Status dolar
sebagai mata wang rizab dunia merupakan
kelebihan utama terakhir yang Amerika Syarikat miliki dalam sistem dunia hari ini. Maka, Amerika Syarikat akan melakukan apa-apa yang boleh dilakukannya
demi mengekalkan kelebihan ini.
Krisis ekonomi masa kini diibaratkan epidemik, iaitu merebak dari sebuah negara ke
sebuah negara, meskipun negara yang mula-mula terkena wabak itu telah pulih. Dengan kata lain, krisis ini sentiasa merayau-rayau mencari mangsanya. Apabila Greece dilanda krisis hutang pada Mei
lalu, soalan spontan ialah apakah negara
selepas ini? Kemudian, pada akhir
November, giliran Ireland
bergelut dengan krisis hutang
sehingga memerlukan pelan penyelamat
antarabangsa yang bernilai lebih AS$100
bilion, lalu disenaraikan negara yang dijangkakan menerima nasib yang
sama: Portugal, Sepanyol, dan
Italy. Tinjauan Reuters
terhadap 50 penganalisis mendapati
bahawa 34 orang menjangkakan Lisbon terpaksa mencari bantuan kewangan dari
luar, manakala empat orang berkata bahawa Sepanyol juga perlu diselamatkan.
Sesunggguhnya, masalah
yang membelenggu Eropah tidak memeranjatkan sama sekali, kerana
IMF mengakui
bahawa pemulihan daripada kemelesetan adalah lemah dan tidak
seimbang. Ekonomi global masih rapuh dan
IMF menekankan bahawa kadar pengangguran yang tinggi boleh mencetuskan
pergolakan sosial.
Meskipun kacau-bilau berlaku di
sana sini, IMF dalam World Economic
Outlook yang dipetik sebelum ini menjangkakan
aktiviti global berkembang sebanyak 4.8 peratus pada tahun 2010 dan 4.2 peratus
pada tahun 2011. Pada 2010, ekonomi
maju, Amerika Syarikat dijangkakan berkembang 2.6 peratus, Jepun 2.8 peratus,
Kanada 3.1 peratus, Jerman 3.3 peratus, Perancis 1.6 peratus, dan
United Kingdom 1.7 peratus. China dan India merupakan ekonomi sedang muncul
yang berkembang dengan pesat pada tahun 2010, masing-masing 10.5 peratus dan
9.7 peratus.
Untuk Asean-5 pada 2010, tinjauan IMF itu mengunjurkan Indonesia tumbuh
6.0 peratus, Thailand 7.5 peratus, Filipina 7.0, Malaysia 6.7 peratus, dan
Vietnam 5.3 peratus. Dalam kalangan negara Asean-5 ini, hanya Thailand dan Malaysia mengalami kemelesetan pada tahun
2009, masing-masing negatif 2.2 peratus
dan negatif 1.7 peratus. Sementara
Singapura yang tergolong dalam Newly
Industrialized Asian Economies dijangkakan
mengalami pertumbuhan yang paling tinggi, iaitu 15.0 peratus, bingkas daripada negatif 1.3 peratus pada tahun 2009.
Walaupun banyak negara mencatatkan pertumbuhan sekurang-kurangnya dalam
tiga suku tahun, dan bermakna
pertumbuhan untuk 2010 adalah sesuatu yang pasti, tetapi ada orang yang merasakan tidak ubah hidup dalam kemelesetan. Hal ini demikian kerana kadar pertumbuhan
adalah rendah, manakalah kadar pengangguran tinggi. Apabila National Bureau of Economic Research mengumumkan pada 21 September 2010 bahawa
kemelesetan terburuk yang dialami oleh Amerika sejak Kemelesetan Besar berakhir
pada Jun 2009, banyak orang yang masih tidak percaya, dan merasakan “terlalu
awal untuk membuka champagne” – tidak ada keterujaan yang menyambut berita baik itu: Pertumbuhan tidak cukup untuk mengurangkan pengangguran.
“Walaupun perisytiharan itu menandakan satu peristiwa penting,” tulis
Sara Murray, “ekonomi masih berhadapan dengan pertumbuhan perlahan yang sukar
dielakkan, dan dengan itu, kadar pengangguran terus tinggi. Sara yang muncul dengan makalahnya, “Slump
Over, Pain Persists” dalam The Wall
Street Journal, merujuk kepada
laporan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang tidak
menjangkakan kadar pengangguran Amerika jatuh pada kadar prakemelesetan hingga
sekurang-kurangnya tahun 2013. Bagi beliau, ekonomi terpaksa menempuh
perjalanan yang panjang untuk mendapatkan semula tahap sebelum dilanda oleh
kemerosotan. Amerika hanya baru-baru ini
mula menambahkan pekerjaan, itu pun pada kadar yang terlalu rendah, yang
bermakna “negara yang kehilangan 7.6 juta pekerjaan sejak bermula kemelesetan
pada Disember 2007.” Hanya untuk
menambah pekerjaan yang cukup untuk memastikan kadar pengangguran malar,
ekonomi perlu berkembang pada kadar 2.5
peratus.
Akibat kemelesetan yang bermula pada tahun 2008, berjuta-juta orang di Amerika dan seluruh
dunia hilang rumah dan pekerjaan mereka.
Krisis yang bermula di Amerika, serta-merta merebak di peringkat global,
dengan berjuta-juta orang hilang
pekerjaan di seluruh dunia. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan
bahawa 27 juta orang kehilangan pekerjaan
di seluruh dunia pada tahun 2009.
Kira-kira 12 juta orang yang baru menganggur di Amerika Utara, Jepun,
dan Eropah Barat. Golongan penganggur
meningkat hampir empat juta orang di Eropah Timur dan Amerika Latin, manakala
kadar pengangguran adalah lebih stabil di Asia, Afrika, dan Timur Tengah. Dalam laporan setebal 82 halaman yang
disiarkan sempena hari perasmian World Economi Forum di Davos, menjangkakan
pengangguran kekal tinggi sepanjang tahun 2010, dengan kemungkinan tambahan
tiga juta orang lagi di dunia kaya yang
kehilangan pekerjaan mereka atau tidak dapat mencari pekerjaan apabila mereka
memasuki pasaran pekerjaan. ILO dalam
laporannya itu memaklumkan bahawa pengangguran dalam kalangan belia meningkat lebih 10 juta orang dalam dua
tahun lalu, terburuk sejak ILO mula menyusun statistik global pada tahun 1991.
“Menyelamatkan generasi yang
hilang,” demikian seruan Dominique Strauss-Kahn semasa beliau di Oslo pada pertengahan September, yang menggambarkan
betapa serius kadar pengangguran dalam kalangan orang muda berbanding dengan
orang yang lebih tua. Beliau
memberitahu bahawa setiap kerajaan perlu mengenal pasti cara untuk menjanakan
pekerjaan demi mencegah generasi pekerja kehilangan kemahiran mereka dan
menyertai kumpulan penganggur jangka panjang.
Bagi Strauss-Kahn, pemotongan perbelanjaan awam mempunyai “kos insan” dan
boleh mengakibatkan “tragedi” terhadap
berjuta-juta golangan muda.
Oslo
menyaksikan peristiwa yang luar
biasa yang mengumpulkan para pemimpin global daripada kerajaan, perniagaan,
kesatuan sekerja, dan ahli akademik untuk membincangkan apakah yang disebut
oleh kebanyakan mereka “isu yang paling besar mendepani dunia hari ini: krisis
pekerjaan.” Mereka berbincang tentang
210 juta orang yang pada masa sekarang tanpa pekerjaan di seluruh dunia, tahap
paling tinggi pengangguran rasmi dalam sejarah. Mereka berbincang tentang impak
manusia dari segi kehilangan pendapatan yang berterusan, harapan hidup yang
kurang, dan pencapaian pendidikan yang rendah bagi anak-anak daripada keluarga
yang menganggur.
“Pasaran buruh dalam keadaan teruk.
Kemelesetan meninggalkan tanah tandus pengangguran, dan kemusnahan ini
mengancam mata pencarian, keselamatan, dan maruah berjuta-juta orang di seluruh
dunia,” kata Strauss-Kahn. Dengan merujuk kepada United Kingdom,
Ireland, Sepanyol, dan Amerika Syarikat yang mengalami krisis perbankan, beliau berkata: “Kehilangan pekerjaan adalah lebih besar di
negara yang pasaran perumahan dan kewangan runtuh.”
Menurut anggaran ILO, sepanjang 10
tahun akan datang, lebih daripada 440 juta pekerjaan tambahan diperlukan untuk
menyerap kemasukan baru untuk tenaga buruh. ILO yang menganjurkan persidangan itu
bersama-sama IMF dan kerajaan Norway, menganggarkan 34 juta orang di seluruh
dunia menganggur akibat krisis.
Daripada Persidangan Oslo itu Strauss-Kahn merumuskan antaranya: Kita tidak
boleh mengatakan krisis kewangan berakhir hingga kadar pengangguran
berkurangan. Kita memerlukan
pertumbuhan, tetapi pertumbuhan yang meningkatkan guna tenaga. “Pemulihan” ekonomi yang tidak menterjemahkan
ke dalam pekerjaan akan banyak bermakna kepada kebanyakan orang.
Semasa di Oslo beliau yang juga diwawancara oleh Bloomberg Television,
memberitahu bahawa pemulihan tidak mencipta pertumbuhan pekerjaan. Ekonomi global mungkin tidak menjanakan
banyak pertumbuhan pekerjaan dalam tahun-tahun mendatang, dengan Eropah dan
tempat-tempat lain paling berhadapan dengan risiko kelembapan dan pemulihan
pengangguran. Tegas beliau, “Pemulihan
tidak cukup, anda memerlukan pemulihan dengan pekerjaan. Perkara yang paling teruk yang perlu dilihat
ialah kepercayaan bahawa kerana kita selamat daripada krisis yang teruk yang
berlaku satu tahun setengah lalu, kita merasakan kita selamat. Kita belum selamat lagi.”
Kadar pengangguran yang tinggi yang tidak akan pulih hingga tahun 2015,
dua tahun lebih lewat daripada anggaran awal bahawa pasaran buruh akan pulih ke
tahap prakrisis pada tahun 2013. Untuk tahun 2010, ILO meramalkan pengangguran
global melibatkan 213 juta orang, iaitu pada kadar 6.5 peratus. Kira-kira 22 juta pekerjaan baru diperlukan,
iaitu 14 juta di negara kaya dan lapan juta di negara membangun. Melihat angka yang sedemikian rupa, seseorang boleh membayangkan sesuatu yang
menakutkan: pergolakan sosial. ILO yang
memberikan amaran “kemelesetan pasaran buruh” yang panjang, menarik perhatian bahawa
pergolakan sosial yang berkait dengan krisis telah pun dilaporkan berlaku di
sekurang-kurangnya 25 buah negara, termasuk beberapa ekonomi sedang muncul yang
sedang pulih. Pada akhir September lalu,
menyaksikan mogok pekerja di Sepanyol, protes di Greece, Portugal, Ireland,
Slovenia, dan Lithuania, di samping di Brussels yang melibatkan berpuluh-puluh
ribu pekerja dari seluruh Eropah sebagai sebahagian hari tindakan Eropah
menentang pemotongan perbelanjaan awam.
Sebagaimana negara
lain, Malaysia, yang turut terjebak dalam kemelesetan dan
turut melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion, kini mula
menayang-nayangkan angka kegembiraan. Meskipun pada suku tahun ketiga,
pertumbuhan agak rendah jika dibandingkan dengan suku tahun pertama dan kedua, tetapi
pertumbuhan enam peratus pada tahun 2010 adalah “dalam tangan.” Tatkala banyak negara dilanda oleh kadar
pengangguran yang tinggi, setakat Jun 2010, kadar pengangguran di Malaysia ialah 3.7 peratus,
meningkat sedikit jika dibandingkan dengan kadar tahun sebelumnya, iaitu 3.2
peratus. Dari 1998 hingga 2010, kadar
pengangguran purata ialah 3.43 peratus. Secara keseluruhannya, kadar pengangguran di
negara masih rendah jika dibandingkan dengan banyak negara lain. Suatu angka
yang perlu diamati dengan hati terbuka oleh pejuang bahasa Inggeris yang sering
membesar-besarkan kadar pengangguran untuk menjadikan bahasa Melayu sasaran
kritikan!
Pada tahun 2010, Perdana
Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak melancarkan Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011-2015 (RMK-10) bertemakan “rancangan
kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial.”
Kemudian, kerajaan mengumumkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang
merupakan pelan drastik untuk membawa Malaysia mencapai taraf negara maju dan
negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Ketika menjelaskan ETP pada
September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala menyatakan bahawa ETP menerusi 12 bidang
utama ekonomi nasional telah mengenal pasti 131 pintu masuk projek untuk
menghasilkan RM1.4 trilion yang diperlukan daripada sektor swasta untuk mentransformasikan negara
menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Beliau memperincikan sumber pelaburan RM1.4 trilion
tersebut untuk tempoh 10 tahun akan datang, iaitu 60 peratus pelaburan sektor swasta, 32 peratus
syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan
kerajaan sebanyak lapan peratus.
Harapan yang tinggi
yang diberikan terhadap pelaburan swasta, bagi sesetengah penganalisis,
merupakan sesuatu yang tidak “masuk akal.”
Selepas krisis kewangan Asia 1997-1998, Malaysia belum lagi berjaya menebus “dekad yang
hilang,” iaitu kemerosotan pelaburan swasta yang berpanjangan. Sebelum krisis, pelaburan swasta meningkat secara berterusan dan
bergerak seiringan dengan KDNK. Pada
tahun 1980, nisbah pelaburan swasta dengan
KDNK kira-kira 19 peratus,
kemudian meningkat kepada 22 peratus (1990), dan mencecah 32 peratus KDNK pada
tahun 1997. Namun begitu, pada tahun 1998,
pelaburan swasta merudum sebanyak 55
peratus dan 23 peratus lagi pada 1999 akibat kesan sampingan krisis kewangan Asia.
Bank Dunia dalam Malaysia
Economic Monitor November 2009 menyatakan pelaburan di
Malaysia mencapai tahap tertinggi dalam kalangan negara di rantau ini sebelum
krisis kewangan Asia, tetapi juga kejatuhan seterusnya paling dramatik dan
berkekalan. Pelaburan swasta yang pernah menjadi jentera
petumbuhan Malaysia dari awal 1980-an hingga tercetus krisis, kekal
pada kira-kira 10 peratus KDNK antara tahun 2003 hingga 2007.
RMK-10 dan ETP banyak dibincangkan, dan tidak kurang pula
yang memperlekehkannya. Malaysia boleh
dikatakan agak ke hadapan dari segi modal fizikal, iaitu tanah, bangunan, dan
jentera, dan kini mengorak langkah untuk membangunkan modal insan, seperti yang dapat dilihat pada
teras keempat daripada lima teras RMK-10: “Membangun dan mengekalkan
modal insan bertaraf dunia.” Selain modal fizikal dan modal insan, yang kurang
diberikan perhatian modal sosial –
istilah yang diperkenalkan oleh
Francis Fukuyama, iaitu modal yang menghasilkan kekayaan, dan oleh itu,
nilai ekonomi untuk ekonomi negara.
Modal sosial, seperti dibahaskan oleh Fukuyama, iaitu “nilai
atau norma yang tidak formal yang dikongsi dalam anggota kumpulan yang
membolehkan wujud kerjasama antara mereka. Norma-norma yang melahirkan modal
sosial mesti secara substantif adalah termasuk sifat baik (virtues), seperti memberitahu kebenaran, memenuhi obligasi atau
tanggungjawab, dan kesalingan (reciprocity).” Ketiadaan modal sosial ini mendorong kerakusan sesetengah kaum di negara ini merebut habuan
daripada “kek ekonomi,” yang mungkin mengakibatkan terjebak dalam permainan hasil tambah
sifar.
Krisis ekonomi buatan Amerika yang melanda
dunia menyaksikan keruntuhan ideologi pasaran bebas. Laungan kemenangan
kapitalisme yang diraikan selepas berakhirnya Perang Dingin, semakin
sayup-sayup kedengaran. Bahkan, ada yang
tidak sabar-sabar mengisytiharkan berakhirnya kapitalisme, sekurang-kurangnya
kapitalisme yang kita kenali selama beberapa dekad lalu. Apabila ideologi pasaran bebas runtuh, maka
tidak wajar sekiranya dasar yang diperkenalkan oleh sesebuah negara, misalnya
bagi Malaysia, masih berpaut rapat pada “dahan yang patah” ini.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Januari 2011.)
No comments:
Post a Comment