Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Krisis
ekonomi semasa, seperti yang sering diperkatakan ialah buatan Amerika Syarikat, tetapi Eropah
merupakan rantau yang tidak henti-henti
terpaksa bergelut dengan krisis ini. Eropah seakan-akan menjadi medan serangan wabak penyakit yang sukar dibendung. Ada yang
merasakan diri mereka dirasuk oleh pesimisme Eropah dan zon euro dalam bahaya
maut. Euro untuk awal abad ke-21, bagi sesetengah penganalisis “adalah
seperti Liga Bangsa-Bangsa untuk awal abad ke-20, iaitu idea yang amat bagus,
tetapi akhirnya berkubur.” Jika euro gagal, nescaya Eropah gagal –
demikian bayang-bayang mengerikan sedang
menghantui benua itu.
Sepanjang tahun lalu, Eropah terkenal dengan akronim yang jijik:
PIGS (Portugal, Italy, Greece, dan Sepanyol); PIIGS yang merujuk lima negara zon euro yang
dianggap lemah dari segi ekonomi berikutan krisis kewangan (Portugal, Italy,
Ireland, Greece, dan Sepanyol); dan bagi
orang yang suka melawak di Britain, muncul pula STUPID (lima daripadanya ialah negara Eropah,
iaitu Sepanyol, Turki, United Kingdom, Portugal, dan Italy, manakala sebuah lagi Dubai).
Tidak memadai
dengan semua akronomi tersebut, beberapa negara Eropah yang dikenali
dengan panggilan yang digunakan untuk menggambarkan kesukaran
ekonomi atau kemiskinan: orang sakit Eropah. Dari segi sejarah, Turki mendahului senarai, kemudian disusuli
oleh negara lain, seperti Greece,
Jerman, Ireland, Italy, Perancis, Portugal,
United Kingdom, Rusia, dan
beberapa buah negara Eropah Timur.
Akibat krisis ekonomi semasa, orang sakit Eropah dalam
senarai yang panjang, antaranya
Greece, Italy, dan Britain.
Selepas
berdekad-dekad mengatasi ekonomi benua Eropah,
Britain tidak dapat mengelakkan
dirinya daripada menjadi orang sakit Eropah.
Lebih setahun lalu, negara menderita pada kedudukan bawah dalam jadual liga pertumbuhan
Eropah. Daripada lima ekonomi terbesar
di Eropah, hanya Britain dan Sepanyol pada masa itu yang masih bergelut dengan kemelesetan.
Pada April tahun
2010, Latvia diisytiharkan “daripada Harimau Baltic
kepada orang sakit Eropah.” Selepas
melepaskan diri daripada belenggu Soviet kira-kira dua dekad, Latvia mengalami
ledakan ekonomi yang luar biasa, tetapi telah berakhir. Dengan
pengangguran mencecah 23
peratus, maka dikatakan babi kapitalis (capitalist
pig) kembali semula. Latvia yang
memohon pakej penyelamat daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan
Kesatuan Eropah bernilai 7.5 bilion euro dijangkakan akan jatuh muflis jika
tanpa bantuan itu.
Seterusnya, pada akhir tahun lalu, giliran Ireland: Harimau Celtic menjadi orang sakit
Eropah. Hanya beberapa tahun lalu,
Ireland merupakan salah sebuah negara yang memiliki kisah kejayaan ekonomi yang paling nyata hingga
menyebabkan rasa iri hati Eropah.
Apabila Ireland menggayakan dirinya Harimau Celtic, negara itu
melakukannya dengan penuh kebanggaan.
Akan tetapi, kisah kejayaan itu tiada lagi untuk dikongsikan, digantikan
pula oleh kedukaan yang cukup
dalam. Masa depan ekonomi pada umumnya
kelihatan tidak selamat lagi. Tahun
indah telah berlalu, dan kemewahan
dijangkakan memerlukan masa yang lama
untuk kembali semula ke Ireland. Negara
itu dikatakan kini di ambang maut.
Ireland yang
bertindak lebih awal selari dengan kehendak Kesatuan Eropah, dan mempunyai kadar pertukaran tetap, kini
menempah bahaya, ekonominya menguncup. Ireland kini memasuki tahun ketiga jimat cermat, tetapi keyakinan terus
pudar. Sebaliknya, para pelabur menyedari bahawa semua langkah jimat
cermat adalah menekan ekonomi negara itu. Sementara warga biasa Ireland bukan
sahaja terpaksa menanggung hutang yang besar akibat kegagalan bank, bahkan juga
mereka terpaksa menanggung penderitaan
akibat kejatuhan pendapatan dan pengangguran yang tinggi. Krisis hutang negara itu yang memerlukan
pelan penyelamat AS$100 bilion, memaksa runtuhnya kerajaan.
Tabung Kewangan
Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah
pada bulan Mei lalu, fikir mereka telah
menyelesaikan kesusahan kewangan Eropah.
Mereka dengan teliti menyediakan pelan penyelamat AS$150 bilion untuk
Greece, sebahagian AS$1 trilion dana penyelamat untuk negara yang mudah
terdedah pada bahaya yang menggunakan mata wang euro. Tulis editorial The New York Times, “Greece, Ireland, and Then?” seakan-akan
mengeluh panjang terhadap satu demi satu krisis melanda Eropah. “Enam bulan kemudian, Greece masih
terhuyung-hayang, dan krisis kewangan Ireland menunjukkan bahawa langkah
pencegahan mereka tidak meyakinkan dan tidak berkesan seperti yang mereka
fikirkan.”
Krisis
Greece membarah dan merebak. Apabila pihak berkuasa akhirnya bertindak
bersama-sama, mereka terpaksa menawarkan pakej
penyelamat yang lebih besar daripada yang diperlukan jika mereka
bertindak lebih awal. Sementara itu,
krisis merebak ke negara defisit lain, dan dalam usaha untuk menenteramkan
pasaran, pihak berkuasa berasa berkewajipan untuk sama-sama menyediakan 750
bilion euro dalam Dana Penstabilan Kewangan Eropah, dengan 500 bilion euro
daripada negara anggota dan 250 bilion euro daripada IMF. Namun begitu, menurut pemerhatian, “pasaran tidak reda kerana lembaran terma,
misalnya syarat yang dana itu beroperasi, adalah ditentukan oleh Jerman.”
“Euro dalam situasi ‘serius yang
luar biasa’.” Kata Canselor Angela Merkel ketika Ireland perlu diselamatkan, manakala beberapa
buah negara mungkin dalam senarai, antaranya Sepanyol dan Portugal. “Saya tidak melukis gambar yang dramatik,
tetapi hanya mahu berkata bahawa setahun lalu kita tidak boleh membayangkan
debat yang kita perlu bangkitkan dan langkah yang kita perlu ambil terhadap
Greece.” Baru-baru ini,
dalam usaha untuk menenangkan pasaran dan meyakinkan masa hadapan
kesatuan monetari 16 buah negara, beliau
berkata, “Tiada sebuah negara pun di Eropah akan dibiarkan keseorangan, tiada sebuah
negara pun di Eropah akan ditinggalkan.”
Penerima Hadiah
Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz dilaporkan memberikan amaran pada awal Oktober
lalu bahawa masa hadapan euro “kelihatan suram” dan pemulihan ekonomi Eropah
yang rapuh boleh membawa kerosakan yang tidak boleh dibaiki lagi oleh
“gelombang jimat cermat” yang melanda seluruh benua itu. Beliau juga melahirkan ketakutan bahawa
kerajaan di seluruh dunia akan mencuba untuk memotong defisit terlalu cepat dan
risiko kemelesetan curam berganda.
Sementara Nouriel Roubini, Profesor dari New York University,
dalam wawancara dengan akhbar Diario
Economico, menjangkakan kemungkinan
besar Portugal perlu diselamatkan.
Beliau tidak teragak-agak mencadangkan negara itu memohon bantuan
kewangan daripada IMF. Walau
bagaimanapun, beliau mempertahankan pelaksanaan langkah jimat cermat di Eropah kerana tanpanya benua itu akan
ditimpa bencana.
Selepas Greece
dan Ireland, Portugal dilihat sebagai sebuah ekonomi yang lemah dalam zon euro,
dilumpuhkan oleh daya saing rendah dan defisit belanjawan yang besar. Untuk meredakan kebimbangan pasaran, parlimen
Portugal baru-baru ini meluluskan pakej jimat cermat kedua yang disediakan
untuk mewujudkan simpanan tambahan pada tahun 2011 kira-kira AS$6.85 bilion,
dengan campuran pemotongan upah sektor awam, menaikkan cukai, dan membekukan
kadar pencen.
Banyak
kesukaran dikatakan bermula di negara pinggir zon euro, iaitu
Greece, Sepanyol, Portugal, dan Ireland yang kesemuanya terjebak dalam
kemelesetan pada tahun 2008 – 2009 akibat krisis global. Meskipun
hampir-hampir dapat mengelakkan daripada
bencana, tetapi sebelum negara berkenaan pulih sepenuhnya, Greece,
Sepanyol, dan Portugal dipaksa oleh Kesatuan Eropah supaya memotong
perbelanjaan awam, mengurangkan guna tenaga awam, dan melakukan liberalisasi
pasaran yang seterusnya.
Terperangkap
dalam zon euro. Demikian pandangan
tentang Ireland, Greece,
Portugal, dan Sepanyol, yang kemungkiran terhadap hutang mereka tidak lagi
mustahil. Hanya orang yang benar-benar
berani akan bersikap optimistik tentang masa hadapan zon euro. Jimat cermat dikatakan tersebar luas dan
wujud risiko kebekuan jangka panjang dengan kadar pengangguran yang tinggi
merentas Eropah. Selain itu, ketegangan sosial menjadi-jadi dan perpecahan
dalam kalangan negara anggota kemungkinan semakin melebar. Pada awal Oktober lalu menyaksikan perarakan
dan mogok yang dianjurkan oleh kesatuan sekerja merentas benua itu.
Hingga
pertengahan Disember, krisis kewangan
Eropah terus membara, dengan rusuhan tercetus di Greece sebagai protes terhadap
langkah jimat cermat, isyarat baru kesukaran di Sepanyol, dan tidak banyak
petunjuk bahawa para pemimpin Eropah bergerak sederap untuk mencapai
persetujuan tentang pendekatan sistematik untuk kestabilan jangka panjang. Italy
berhadapan dengan krisis keyakinan, meskipun Perdana Menteri Silvio Berlusconi berjaya melepasi undi tidak percaya di parlimen. Sementara
agensi penarafan Standard &
Poor’s mengeluarkan amaran bahawa agensi itu boleh mengurangkan
tinjauan terhadap penarafan kredit Belgium
kerana ketidakpastian politik di negara
yang dibebani oleh hutang yang berat.
Meskipun Moody’s
Investors Service tidak
menjangkakan Sepanyol mengikuti jejak Greece dan Ireland untuk memohon pelan penyelamat daripada rakan-rakannya di
Eropah, tetapi negara itu menunjukkan kos peminjaman meningkat kerana defisit
belanjawan yang tinggi, bank-bank yang goyah, dan ekonomi yang lemah. Ireland, Greece,
dan Portugal dipercayai tidak banyak membawa kerosakan terhadap prospek Eropah,
sebaliknya kebimbangan lebih tertumpu pada Sepanyol. “Gajah besar dalam bilik,” kata Nouriel Roubini,
“bukannya Portugal, tetapi pastinya
Sepanyol. Tidak cukup wang rasmi untuk
menyelamatkan Sepanyol jika negara itu dalam kesusahan.”
Yang jelas tentang Sepanyol dari perspektif Amerika,
tulis Paul Krugman dalam The New York Times pada akhir November, banyak cerita ekonomi negara itu menyerupai
Amerika: gelembung hartanah yang amat
besar, disusuli oleh peningkatan yang amat besar dalam hutang sektor
swasta. Seperti Amerika, Sepanyol
terjebak dalam kemelesetan apabila gelembung meledak, dan mengalami peningkatan
dalam pengangguran. “Akan tetapi, tidak
seperti Amerika,” Krugman mengingatkan, “Sepanyol adalah di tubir krisis hutang. Negara itu dilihat kos peminjaman meningkat dalam
beberapa minggu kebelakangan ini, mencerminkan ketakutan yang menjadi-jadi
kemungkinan berlakunya kemungkiran pada masa hadapan.” Punca segala masalah Sepanyol, menurut
pemerhatian Krugman, ialah
euro. Jika negara itu mempunyai mata
wangnya sendiri, seperti Amerika atau Britain, Sepanyol boleh membiarkan nilai
mata wangnya jatuh, menjadikan industri berdaya saing semula. “Oleh itu, Sepanyol dalam hubungan ini banduan euro, terumbang-ambing tanpa
opsyen yang baik.”
Zon euro
dikatakan dikuasai oleh hanya beberapa negara teras,
iaitu Jerman, Perancis, Belanda, dan Belgium. Keempat-empat negara berkenaan
mengenakan pakatan kestabilan yang menetapkan had sembarangan tiga peratus
terhadap defisit awam. Mereka juga menggalakkan perlumbaan ke bawah dalam
pasaran buruh. Dasar neoliberal ini
dikatakan, “menyokong euro dan menggalakkan kegiatan global bank dan perbadanan besar
negara teras.” Akibatnya, negara pinggir
menerima bencana. Negara tersebut kehilangan daya saing kerana Jerman memerah
para pekerja sendiri dan memastikan upah dibekukan untuk beberapa tahun. Hasilnya, Jerman mencatatkan lebihan akaun semasa yang
besar, terutamanya dalam Kesatuan Eropah, manakala negara pinggir itu
menanggung defisit yang besar.
Kesalahan banyak
dilontarkan terhadap Jerman, meskipun
orang Jerman melihat diri mereka sebagai
ketua penyelamat “mana-mana sahaja
berlaku kebakaran di zon euro,” dan mereka berasa geram kerana seolah-olahnya
mereka terpaksa menyelamatkan seluruh Eropah.
“Jika zon euro berkecai,” tulis Garton Ash, sejarawan British, “ini adalah kerana Jerman tidak
bersungguh-sungguh untuk menyelamatkannya.
Jika zon euro selamat, maka ucapan terima kasih untuk Jerman.” Beliau yang menulis dalam guardian.co.uk pada akhir November,
iaitu ketika Ireland bergelut dengan krisis,
mengingatkan cabaran yang paling besar terhadap tataurus negara Jerman
sejak negara itu bergabung secara aman 20 tahun lalu. .
Jerman ialah
“protagonis utama” dalam krisis euro dan risiko mengakibatkan deflasi terhadap
Kesatuan Eropah kerana negara itu mendesak pelaksanaan jimat cermat
belanjawan. Kata Soros semasa berucap di Humboldt
University di Berlin akhir Jun lalu,
“sebagai negara yang paling kuat dan paling mempunyai kepercayaan kredit,
Jerman ialah pengemudi. Malangnya,
Jerman tidak sedar apakah yang dilakukannya.
Negara ini tidak mempunyai keinginan untuk mengenakan keazamannya
terhadap Eropah.” Tanpa berselidung,
beliau berkata Jerman hanya mahu melakukan sesuatu untuk mengekalkan daya
saingnya dan mengelakkan daripada menjadi “saku dalam” untuk negara-negara lain
di Eropah.
Krisis euro juga menarik perhatian
George Soros apabila beliau muncul
dengan “The Crisis & the Euro” yang
percaya bahawa tanggapan salah memainkan peranan penting dalam membentuk
sejarah, dan krisis euro merupakan bukti yang jelas. Dengan merujuk bank-bank
Eropah yang memegang hampir satu trilion euro hutang Sepanyol, dengan separuh
daripadanya dipegang oleh bank-bank Jerman dan Perancis, beliau menegaskan,
“jelas bahawa krisis hutang kedaulatan Eropah adalah saling berkait secara
rumit dengan krisis bank Eropah.” Dalam
makalah itu yang diterbitkan dalam The New York Review of Books, hartawan ini mengulangi kritikannya terhadap
Jerman: dengan mendesak dasar prokitaran,
Jerman membahayakan Kesatuan Eropah. Walau bagaimanapun, Soros mengingatkan bahawa Jerman
tidak boleh dipersalahkan kerana mahukan mata wang yang kukuh dan belanjawan
berimbang. Akan tetapi, sambil membawa
kisah Procrustes, Jerman boleh dipersalahkan kerana mengenakan
kegemaran atau kecenderungannya terhadap negara lain yang mempunyai keperluan
dan keutamaan yang berbeza. Macam
Procrustes yang memaksa orang lain berbaring di atas katilnya dan
membaringkan mereka atau memotong kaki
mereka untuk menjadikan mereka sihat.
Selain Jerman, para pemimpin Eropah turut dipersalahkan bukan sahaja
kerana gagal bertindak bersama-sama, bahkan sarat dengan penafian, meskipun
selepas Greece dan Ireland, dijangkakan Portugal dan Sepanyol menunggu giliran.
Selain terpaksa menanggung defisit fiskal, menurut pemerhatian, Eropah berhadapan dengan defisit kepimpinan.
Para pemimpin Eropah dikatakan
masih gagal untuk menghadapi, atau bahkan untuk mengakui sepenuhnya
skala dan perlunya tindakan segera terhadap krisis kewangan Eropah.
Penyelesaian sedikit demi sedikit
untuk krisis Eropah, bahas Alistair Darling, bekas Chancellor of the Exchequer dalam The New York Times, berkesudahan dengan kegagalan. Dalam menyelesaikan krisis ekonomi,
sebagaimana krisis dalam sektor perbankan, sesungguhnya, tidak memadai dengan
negara zon euro menyelamatkan setiap ekonomi apabila ekonomi itu jatuh ke dalam
krisis. Sebaliknya, para penggubal dasar mesti menangani akar umbi masalah
benua itu. Masalah zon euro sekarang mendedahkan kelemahan kesatuan
monetari apabila zon euro berkongsi mata wang yang sama, tetapi tidak
ditunjangi oleh kesatuan politik dan ekonomi..
Tatkala dunia
dilanda krisis kewangan dan terjebak dalam
kemelesetan yang teruk sejak Kemelesetan Besar 1930-an, John Maynard Keynes “bangkit dari kuburannya” untuk menyelamatkan dunia. Apakah Winston Churchill juga akan berbuat demikian
sambil membacakan puisi “darah,
keringat dan air mata” untuk membangunkan Eropah yang masih tidur nyenyak?
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Februari 2011.)
No comments:
Post a Comment