Artikel Popular

Sunday, January 27, 2013

Davos 2013: Najib Sertai Kelab Orang yang Gagal

AHAD, 27 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Najib tarik perhatian dunia, demikian tajuk depan Mingguan Malaysia hari ini, penyertaan Malaysia di Forum Ekonomi Dunia (WEF) dikongsi antarabangsa. Sementara dalam halaman seterusnya, akhbar itu menerbitkan  wawancara Perdana Menteri Najib Razak dengan Fareed Zakaria, yang turut mendapat liputan Sunday Star.  Kedua-dua akhbar berkenaan juga melaporkan kegembiraan Najib tentang sambutan para hadirin Malam Malaysia:  1000 orang yang hadir, mengatasi anggaran bahawa 400 orang.  Najib sendiri berciak tentang kejayaan Malam Malaysia itu: 

Malaysian Night in Davos was hugely successful . Overwhelming attendance n very good presentation of what we can offer to the world.


Sebagaimana pada tahun-tahun sebelum ini, Davos 2013, tempat ketua negara, penggubal dasar, ahli ekonomi, ketua eksekutif, dan hartawan,  berkumpul dan berkampung terus mendapat liputan media, seperti The Washington Post, The Huffington PostThe GuardianThe TelegraphThe Daily Beast, Bloomberg, CNN, BBC, dan Time. Antara penyampai ucaptama, termasuk Perdana Menteri British David Cameron yang menyasarkan pengelak cukai,  Canselor Jerman Angela Merkel yang mempertahankan langkah jimat-cermat,  dan Perdana Menteri Rusia Dmitry Medvedev yang menegaskan bahawa ketakutan akan kestabilan negaranya tidak berasas.  Tidak kurang ulasan, antaranya oleh Ian Bremmer, Dan Gross, Rana Foroohar, Kamal Ahmed, Larry Elliot, dan Heather Stewart.

Untuk mengatakan bahawa "Najib tarik perhatian dunia" sempena Mesyuarat Tahunan WEF, sesungguhnya, berlebih-lebihan dan sekadar gembar-gembur.  Sebenarnya, banyak lagi pemimpin   yang mendapat perhatian di WEF,  di samping tiga pemimpin yang menyampaikan ucaptama, antaranya Raja Abdullah  dari Jordan, Presiden Aquino dari Filipina, dan Ehud Barak dari Israel.  Bahkan, George Soros, Nouriel Roubini,  dan Sheryl Sandberg,  lebih mendapat perhatian berbanding dengan Najib Razak.  Najib juga tidak tersenarai dalam kalangan pemimpin global yang membuat ramalan tahun 2013.  Walaupun beliau diwawancara oleh Fareed Zakaria, tulisan terkini Fareed dalam GPS, tertumpu pada Raja Abdullah dan Medvedev.

Meskipun saya tidak berani mengatakan bahawa gambaran yang diberikan terhadap Najib di Davos tidak lebih sebagai "syok sendiri," satu hakikat yang wajar dipertimbangkan sebelum tersadung dalam kemegahan, ialah Davos ialah kelab orang yang gagal - memetik editorial The Guardian.  Justeru, tidak banyak perkara yang dapat dibanggakan tentang WEF, seperti yang dibahaskan oleh editorial itu.  Davos sepatutnya kelab pemenang, tetapi lima tahun selepas keruntuhan Lehman Brothers,  WEF gagal menyelesaikan masalah ekonomi dunia, meskipun perhimpunan berlangsung setiap musim sejuk.  Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, Davos pada tahun ini dijangkakan terus terhegeh-hegeh  dengan "Resilient Dynamism."

Sebelum berbangga diri, bermegah-megah, seseorang itu perlu perhatikan pentas tempat dia berdiri.  Takut kalau-kalau pentas itu sedang menunggu masa untuk roboh. Dengan kata lain, memetik semula editorial tersebut, pastikan anda menganggotai kelab yang betul, dan bukannya kelab yang dianggotai orang yang gagal!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...