Artikel Popular

Thursday, January 10, 2013

Budaya Minum Kopi

KHAMIS, 10 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Pada pertengahan Mei lalu, Amina Khan menulis dalam akhbar Los Angeles Times, menyatakan    kajian baru yang meneliti kesihatan dan penggunaan kopi dalam kalangan 400,000 orang tua untuk hampir selama 14 tahun, mendapati peminum java kurang berkemungkinan meninggal dunia ketika kajian dijalankan berbanding dengan golongan yang menjauhkan diri mereka daripada minuman ini.  Bahkan, lelaki dan wanita yang secara purata minum empat atau lima cawan kopi sehari mempunyai risiko yang rendah untuk mati.  Memetik  laporan dalam keluaran terbaharu New England Journal  Journal of Medicine  bahawa tidak bukti bahawa kopi wajar mendapat pujian kerana menolong orang hidup lebih lama. Wujud kebimbangan sejak sekian lama bahawa kopi mungkin membawa kelakuan risiko.  Namun, dengan dapatan kajian itu memberikan beberapa jaminan semula bahawa tidak ada faktor risiko untuk penyakit pada masa hadapan.
Kopi di mana-mana  sahaja.  Mungkin kedengaran berlebih-lebihan, tetapi itulah hakikatnya.  Daripada penemuannya di kawasan perbukitan Ethiopia purba kepada peranannya sebagai eliksir milenia pada  Zaman Starbucks, kopi diperhatikan mencorakkan dan membentuk struktur ekonomi, politik, dan sosial di seluruh negara.
Di  Australia, seperti yang ditulis oleh Graham Simmons dalam akhbar  The Star,   tercetus perang kopi di negara yang tidak dikenali wain kopi secara meluas.  Namun, segala-galanya berubah, dari Melbourne ke Syndey apabila kedua-dua kota ini saling bersaing mendirikan bar kopi espreso.  Apabila keluarga Pellegrini mendirikan Pellegrini Bar yang kini terkenal di Bourke Street,  maka “budaya kopi” yang kini terkenal di Melbourne dilahirkan.  Dari situ, trendnya tidak berhenti.  
“Tidak ada kota lain di dunia ‘menjadikan kopi’  bahagian integral sedemikian, seperti di Melbourne,”  Simmon memetik Dave Cameron, penulis terkenal tentang wain dan makanan.  Beliau juga memetik Adam Genovese, dari syarikat kopi Genovese yang menambah, “Melbourne mempunyai gaya hidup kopi yang unik.  Di Sydney, minum kopi semuanya pertunjukan.  Tempat kelihatan hebat, biasanya penuh, tetapi kopi adalah tidak berapa baik.  Di Melbourne, wujud gaya yang berbeza sama sekali. Kami tahu bagaimana kami menyukai kopi kami, dan dengan itu, kami tidak hanya menjangkakannya, kami memintanya.”
Sementara di Eropah, iaitu di Italy,  setiap kota utama mempunyai tradisi kopi sendiri, “dan membataskan diri saya kepada satu atau dua buah kota berasa tidak sempurna,” tulis Erin Meister dalam The Washington Post.  “Saya tidak mahu memenuhi ziarah saya hanya dengan menikmati beberapa cawan  kopi espreso di Rome.”
Meister mencatatkan pengalamannya “kena kopi” di Italy:  “Justeru, saya memilih tempat berhenti yang akan memberi saya pelbagai jenis kopi dan budaya.  Bermula hampir dengan terusan Venice yang beralur, saya ke selatan ke pizza Florence ke jalan-jalan yang sibuk di Rome, dan akhir sekali ke pinggir pantai berceracak Naples, mencuba untuk menghuraikan kod budaya kopi kapucino di tempat kelahirannya.” Tatkala ziarah akan sampai di penghujungnya, Meister menyatakan persoalan utama kekal:  Mampukah kopi sahaja benar-benar memikat budaya Italy? Jawapannya tidak.
Kopi dipercayai ditemui lebih 1000 tahun lalu di Ethiopia, dan tidak digunakan sebagai minuman harian untuk rakyat jelata, tetapi digunakan oleh paderi Ethiopia yang mengunyah biji kopi ketika upacara agama, menyedari bahawa cara  itu menyumbang kepada kecerdasan mereka.  Tidak seorang pun tahu bagaimana paderi itu diperkenalkan dengan biji kopi, tetapi legenda meriwayatkan gembala Ethiopia yang mendapati kambing-kambingnya mengunyah biji, seperti buah ceri melahirkan kawanan yang terlampau bertenaga dan sihat. Gembala  mengutip biji ini dan menggunakannya sebagai bahan penghidup api.  Bau harum muncul daripada biji kopi yang direndang itu melahirkan tindakan berani yang mengubah wajah budaya manusia.  Mereka berani memasukkan biji kopi ke dalam mulut mereka.  Sejak itu kopi tersebar di seluruh wilayah itu.
Kira-kira pada tahun 1300 Masihi, kopi yang digunakan di Ethiopia mula tersebar ke Yaman, di sana kaedah penggunaan beranjak daripada mengunyah kepada memimum kopi.  Perpindahan biji kopi ke semenanjung Arab berlaku berikutan pendudukan kawasan itu oleh Empayar Islam. Pada abad ke-15, berikutan penaklukan oleh Empayar Ottoman di Asia dan Afrika, termasuk Yaman, permintaan terhadap kopi meningkat di seluruh empayar itu. Seterusnya, Empayar Ottoman mara ke Eropah hingga ke pintu kota Vienna yang menyaksikan kekalahan tentera Ottoman.  Dalam usaha menyelamatkan diri, mereka meninggalkan guni yang berisi biji kopi.  Maka, penduduk tempatan mula menikmati kopi.  Oleh sebab wujud perbezaan pendapatan, maka hanya golongan bangsawan yang mampu membeli “minimuman yang menakjubkan” daripada orang Yaman.
Perbincangan tentang kopi pastinya tidak lengkap tanpa menyentuh  warung kopi (coffee-house)   atau kedai kopi, iaitu tempat yang terutamanya menyediakan kopi atau minuman panas lain.  Sesuai dengan namanya, warung kopi menyediakan kopi atau teh, di samping snek ringan. Dari sudut pandangan budaya, warung kopi dikatakan berfungsi sebagai pusat interaksi sosial.  Maksudnya, warung kopi menyediakan anggota sosial tempat untuk berhimpun, bersembang, menulis, membaca, melayan atau antara satu sama lain, atau menghabiskan masa, sama ada secara individu ataupun kumpulan kecil seramai dua atau tiga orang. Pada abad ke-17, kopi muncul pertama kali di Eropah di luar Empayar Ottoman, dan warung kopi diwujudkan dan begitu cepat menjadi popular. Pada abad ke-19 dan ke-20, warung kopi biasanya menjadi tempat pertemuan penulis dan artis di seluruh Eropah.
Kedai kopi di Amerika Syarikat muncul daripada espreso dan kedai kopi orang Italy  tertumpu pada pastri untuk  komuniti pendatang Italy di kota-kota utama negara itu.   Dari akhir tahun 1950-an dan seterusnya, kedai kopi berfungsi sebagai tempat hiburan, terutamanya penghibur folk ketika kebangkitan  muzik folk Amerika.  Oleh sebab budaya belia pada tahun 1960-an berkembang, maka dikatakan orang bukan Italy secara sedar meniru kedai kopi ini. Ciri politik kebanyakan muzik folk pada tahun 1960-an menjadikan muzik secara semula jadi bersesuaian dengan kedai kopi dengan perseikatan kedai kopi dengan tindakan politik.  Sebilangan penghibur yang terkenal, seperti Joan Baez dan Bob Dylan memulakan kerjaya mereka dengan mengadakan persembahan di kedai kopi.  
Seterusnya, pada tahun 1971 dan 1972, muncul rangkaian kedai kopi, Starbucks di Seattle,  yang kini merupakan syarikat kedai kopi terbesar di dunia. Kedai Starbucks lazimnya dipenuhi oleh orang canggih (urbanites), pelancong, dan remaja yang menggunakan komputer riba yang mendekati rangkaian kopi sebagai avatar budaya popular Amerika. Dalam majalah tertentu akan kelihatan artis, seperti Kim Kardashian berlegar-legar dalam Starbucks. 
Di Eropah, seperti yang dibahaskan oleh Liz Alderman dalam akhbar The New York Times, Starbucks menyesuaikan budaya kafe, meskipun pada peringkat awal kehadirannya, Starbucks  sukar diterima oleh penduduk benua itu: tidak bersifat peribadi, kopi tidak berapa baik, dan mahal.  Starbucks bagi mereka, seperti planet yang lain. 
Hampir satu dekad selepas beroperasi di Eropah, Starbucks masih bertungkus-lumus untuk menarik pelanggan yang keberatan menerimanya.  Meskipun mendapat sambutan yang memberangsangkan di Amerika Syarikat dan berkembang mantap di Asia, yang Starbucks masih baru, Starbucks  masih bertungkus-lumus di benua yang melahirkan kafe dan budaya warung kopi.  Kini, Starbucks, jelas Liza Alderman, melancarkan kempen berjuta-juta dolar untuk memenangi lebih banyak peminat kopi Eropah, dengan mengubah suai beratus-ratus kedai eksklusif untuk memenuhi budaya kafe yang telah berurat berakar, dan menyesuaikan minuman adunan untuk menyesuaikan selera wilayah yang berubah-ubah.  
Pada awal tahun 1980-an, apabila “Starbucks” merupakan istilah yang sukar difahami merujuk teman pertama Kapten Ahab dalam bentuk jamak, Persekutuan Kopi Kebangsaan mengeluarkan siri televisyen komersial tentang Coffee Achiever.  Antaranya penontonnya, tulis John Donohue dalam The New Yorker, ialah Robert Galinsky yang kemudiannya terbabit dalam projek penulisan dan penerbitan pertunjukan Broadway yang dikenali Coffee:  The Musical.  Galinsky memberitahu Donohue, lebih setahun lalu, beliau bertemu Mark Schoenfeld, yang menulis Brooklyn:  The Musical yang dipersembahkan di Broadway pada tahun 2004.  Apabila menyebut idea muzik kopinya kepada Schoenfeld, penulis itu teruja. 
Meksipun Galinsky mungkin menulis muzik tentang kopi, jelas Donohue, apabila masuk bak minum kopi, beliau bukannya Balzac. (Honore de Balzac, wartawan dan penulis Perancis yang prolifik.) “Saya tidak minum kopi secara tetap.  Kopi menjadikan saya sengsara.  Saya seorang ayah, dan saya dapati jika saya minum kopi, saya hilang sabar.”  Sebagai ganti kopi, beliau minum tiga cawan espreso sehari.
Ketika asyik berbicara tentang kopi, jangan lupa teh untuk hubungan seks.  Memetik ahli terafi perkahwinan, Andrew G. Marshall, tulis Celia Dodd dalam akhbar The Independent,  “Jika berhenti di tengah-tengah anda sedang mengadakan hubungan asmara untuk menikmati teh atau untuk bersembang antara satu sama lain, ini menunjukkan bagaimana keinginan datang dan pergi bahawa seks bukan hanya perlumbaan ke penamat.  Seks membolehkan masa anda untuk bermesra antara satu sama lain.”
Sebenarnya, kopi dan teh menjadi pilihan manusia dan seterusnya sebahagian budaya mereka.   Bayangkan hidup anda jika tanpa minuman kegemaran anda ini. Namun, dari segi protokol, jika anda ditanya selepas makan, apakah minuman yang anda mahu, pastikan anda menjawab, “kopi.” Jangan sekali-kali meminta teh, jauh sekali teh tarik.  Mungkin   teh  lebih sesuai  untuk keromantikan  di    kamar tidur – memetik semula Celia Dodd,  berbanding dengan kopi untuk aktviti sosial luaran tanpa sebarang kerahsiaan.   
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, Julai 2012.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...