Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Saya sebenarnya silap kerana dalam tulisan sebelum ini saya mengatakan bahawa Newsweek edisi khas tahun 2013 tidak diterbitkan kerana majalah itu tidak lagi diterbitkan dalam edisi bercetak, hanya diterbitkan dalam edisi digital. Dalam proses menamatkan edisi bercetak, saya menjangkakan bahawa edisi khas tidak diterbitkan lagi. Namun, tanpa saya sedari bahawa edisi khas itu masih diterbitkan.
Jika saya tidak menemani isteri saya ke klinik gigi di Ampang Park, nescaya saya tidak berpeluang edisi khas tersebut. Sementara menunggu isteri berurusan di klinik gigi, saya mengambil keputusan untuk merayau ke kedai majalah yang masih wujud di pusat beli-belah yang pada tahun 1970-an dianggap "bertaraf tinggi." Masih ada kedai majalah yang terletak bersebelahan pasar raya, manakala beberapa buah yang lain ditutup, dan ada yang digantikan dengan kedai pakaian.
Ketika memerhatikan The Economist, tiba-tiba saya terpandang Newsweek edisi khas keluaran tahun 2013, lalu mengambil majalah itu dan terus membuka halaman kandungannya. Memang saya meminati edisi khas majalah ini sejak awal tahun 2000-an. Ketika saya berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka, saya meminjam setiap tahun keluaran edisi khas daripada Pusat Dokumentasi Melayu DBP. Kemudian, selepas saya bersara, saya membeli edisi khas majalah itu. (Saya gagal memilik edisi khas tahun 2012.)
Ketika membayar saya memberitahu pekerja di kedai majalah itu bahawa saya anggap edisi khas tidak diterbitkan kerana edisi bercetak dihentikan. Dia memberitahu bahawa edisi khas ini diterbitkan sebelum edisi bercetak terakhir. "Yang itu, saya beli, tetapi tidak sangka edisi khas ini juga diterbitkan," jelas saya.
Beredar dari situ saya ke Oldtown White Coffee untuk sambil membaca edisi khas sambil minum - sekurang-kurangnya tidak membuang masa menunggu isteri di klinik gigi. Oleh sebab saya bersama-sama isteri dan anak lelaki saya sudah bersarapan di Oldtown White Coffee di Cheras, maka saya hanya memesan "Pepsi float." Membaca sambil minum, saya hanya sempat membaca sebuah makalah, "The New Compromise" oleh Joseph Rago kerana saya mengagak isteri saya sudah selesai urusannya - lebih baik tidak meneruskan pembacaan.
Melangkah keluar selepas membayar minuman dengan edisi khas di tangan, hati kecil saya berbisik: "Inilah edisi khas terakhir yang beredar dalam pasaran. Selepas ini, saya dan para peminat setia tidak lagi berpeluang melihat edisi khas seperti ini."
Perihal Orang India di Kedai Buku
Terus terang saya katakan bahawa sejak dahulu lagi, iaitu sejak gedung buku, seperti Kinokuniya, belum wujud lagi, saya amat selesa berurusan dengan orang India (sesetengahnya India Muslim) untuk membeli buku. Hal ini demikian kerana mereka sentiasa memperlihatkan diri mereka berpengetahuan dan berpengalaman tentang buku. Ketika saya melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda di Universiti Sains Malaysia, dan seterusnya Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Kebangsaan Malaysia, saya sering mencari buku teks atau buku rujukan di kedai-kedai buku yang terletak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Satu kelaziman orang India yang bertugas di kedai buku yang saya dapat kesani ialah dia tidak sekali-kali menjawab "buku ini tidak dijual di sini." Sebaliknya, dia menjawab, "sudah habis," atau menambah, "baru dua tiga hari lalu, ada orang beli." Biasanya, petugas itu tidak terus memberikan jawapan apabila saya menunjukkan judul buku yang saya cari itu, walaupun buku itu tidak ada. Sebaliknya, petugas berkenaan mengambil judul buku berkenaan seolah-olahnya mencari stok buku itu; sebenarnya, dia menghubungi kedai buku lain untuk mendapatkan judul yang saya cari itu. Tidak lama kemudian, dia keluar memberitahu, sama ada "tunggu sekejap" jika buku itu ada di kedai lain, ataupun "sudah habis."
Hal ini sangat berbeza jika saya berurusan dengan jurujual bukan orang India (lazimnnya, remaja Melayu dan China) di kedai buku. Jika buku saya cari tidak dijual tidak dapat diperoleh di kedai itu, maka jawapan lazimnya, "tidak ada," atau "tidak dijual di sini." Bahkan, saya berasa aib jika diberikan jawapan, "tidak pernah dengar buku ini" - seolah-olahnya saya berlagak ingin tunjuk gah dengan mereka-reka judul buku yang saya cari. Saya pernah memberitahu kawan saya tentang pengalaman seperti ini, lalu dia mencelah, "macam kita main-main."
Bagi saya, antara jawapan "sudah habis" dengan "tidak ada," membentuk tanggapan yang berbeza tentang sesebuah kedai buku: taraf perniagaan kedai buku berkenaan. Orang India di kedai buku selalu memperlihatkan kesungguhan dan komitmen untuk membantu pelanggan mendapatkan buku yang mereka cari. Petugas itu juga menggunakan "rangkaian," iaitu kedai buku lain untuk mendapatkan naskhah yang dicarikan oleh pelanggan.
Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya, jawapan yang tidak menyenangkan itu tidak berlaku di gedung buku, seperti Kinokuniya. Dengan bantuan komputer, petugas di gedung buku itu berusaha mencari judul buku yang ingin saya dapatkan, dan jika ada, dia bersama-sama saya ke rak buku berkenaan. Jika buku baru, tetapi belum dapat diperoleh, jawapan yang diberikan, "kami sudah pesan, tetapi belum sampai lagi."
pada pandangan sayalah...lebih baik jawab "tak ada" "sudah habis" @ "tidak dijual disini" kerana ia lebih jujur dan tidak membuang masa pelanggan,pelanggan boleh terus mencari di kedai lain..maaf ini cuma pandangan peribadi dari diri saya yang cetek ilmu ni..
ReplyDeletepada pandangan saya lebih baik jawab "sudah habis" @ "tidak dijual di sini" karena lebih jujur dan tidak membuang masa pelanggan,pelanggan boleh terus mencari di kedai lain..maaf ini cuma pandangan saya yang kurang arif ini..
ReplyDelete