Artikel Popular

Thursday, January 17, 2013

Pelancongan Budaya

KHAMIS, 17  Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Hari-hari terakhir di California, kami berkesempatan melawat Disneyland dan Disney California  yang terletak bersebelahan.  Pada hari itu, pukul 7.00  dari bilik Hotel Double Tree, saya dapat melihat hujan turun.  Seperti biasa, selepas bersarapan, kami bersiap-siap untuk ke sana. Kami bertolak 9.15 pagi dengan  menaiki bas ulang-alik, dan  bukan lagi dengan bas Lion Express,  yang membawa kami ke sana ke mari sejak hari pertama.

Dalam perjalanan, pemandu pelancong, Benny Low, berceloteh di hadapan sambil berpesan bahawa jika keluar dari Disneyland untuk ke Disney California, pastikan tangan kami dicop di pintu masuk untuk membolehkan kami masuk semula.  Tiket tidak memadai sebagai bukti.  Dia juga memberitahu bahawa dia tidak sepanjang hari bersama-sama kami.  Jangan lupa menyaksikan pertunjukan jalanan  pada waktu petang dan pertunjukan bunga api pada waktu malam.

Tiba di sana dia menunjukkan tempat kami menunggu bas ulang-alik untuk pulang ke hotel dan pengenalan bas: biskut.  Selain mengagihkan tiket dan peta Disneyland kepada kami semua, dia memberikan kad alamat hotel tempat kami menginap sekiranya kami pulang dengan menaiki teksi.  Saya perhatikan ketika itu orang ramai mula beratur panjang untuk masuk.

Ketika masuk ke dalam kawasan Disneyland dan kami berkumpul seketika, saya dapati sebilangan ibu bapa menyewa kereta sorong bayi.  Demikian juga anggota rombongan kami, iaitu Azeil menyewa sebuah kereta sorong untuk salah seorang anaknya. Apabila ditanya,  dia memberitahu sewanya AS$15. Ketika mula bergerak, Benny sekali lagi memberitahu supaya kami bergerak pantas, jangan asyik ambil gambar, dan tidak berpeluang untuk membeli cenderamata.   

Di sini, saya dan isteri bersama-sama anggota rombongan yang lain singgah di Adventureland untuk jungle cruise.  Kemudian, di New Orleans untuk "bertemu" Pirates of the Carribean, dan seterusnya "it's small world" Holiday  di Fantasyland. Sementara di Tomorrowland, kami menaiki kapal selam



Ketika menaiki bot untuk jungle cruise, isteri saya sempat bertanya seorang gadis seakan-akan gadis Korea tentang hiasan di kepalanya, harga dan di mana dia beli.  Isteri saya mula berkenan untuk dihadiahkan kepada dua orang cucu kami; harganya AS$10 menurut gadis  itu. 

Saya dan isteri tidak mengikuti mana-mana acara lasak  kerana khuatir  membahayakan kesihatan kami, maka kami sekadar duduk menunggu. Ketika menunggu, saya perhatikan para pengunjung meletakkan kereta sorong bayi, sama ada yang disewa atau milik mereka sendiri di tempat tertentu bersama-sama jaket dan minuman seolah-olahnya tidak berlaku kecurian.

Selepas mengikuti beberapa acara, pemandu pelancong memberitahu bahawa  kami mempunyai acara bebas.  Dia tidak lagi bersama-sama kami. Saya dan isteri menyertai Go Kok Ling  dan Lim bersama-sama keluarga masing-masing.  Kami bersetuju melantik Go sebagai ketua kumpulan kami. Selepas makan tengah hari, kami menaiki monorail dan menyertai perlumbaan kereta Ferrari, walaupun terpaksa beratur panjang.  


Saya perhatikan banyak kanak-kanak  yang memandu kereta itu tanpa  masalah kerana perjalanan kereta ditetapkan pada landasan, dan dibantu oleh orang dewasa - ibu atau bapa  - untuk tekan minyak dan brek. Malangnya, kereta Ferrari yang saya pandu kerap mati.  Ketika hampir tiba di perhentian, petugas mengarahkan saya memberhentikan kereta, tetapi saya tekan minyak, dan akibatnya terlanggar kereta di hadapan.



Isteri saya masih belum dapat membeli hiasan kepala untuk dua orang cucu kami, ingin mencari barang itu di kedai, tetapi masa agak suntuk kerana kami perlu menyaksikan perarakan yang berlangsung pukul 4.00 petang.  

Selesai menyaksikan pertunjukan ini terus ke Disney California.  Di sini, saya dan isteri tidak banyak mencuba pengalaman kerana acaranya agak lasak.  Sekadar menyertai The Little Mermaid.   Sementara menunggu Go Kok Ling bersama-sama isteri dan anaknya, dan Lim dari Johor Bahru mengikuti acara lasak, saya dan isteri serta isteri Lim "masuk kedai dan keluar kedai."  Isteri  mencari hiasan kepala untuk cucu kami, tetapi tidak ada yang berkenan. Ketika itu hari semakin gelap: malam.





Beredar dari Disney California dengan membeli makanan, kami berpatah balik ke Disneyland untuk menyaksikan pertunjukan bunga api yang dijadualkan berlangsung pukul 9.30 malam.  Tiba di sana, kami diberitahu bahawa pertunjukan itu dibatalkan.  Tanpa ingin membazirkan masa yang terluang  kami  menonton Captain EO  lakonan Michael Jackson.  Sementara menunggu pertunjukan 3D itu, kami menikmati makanan yang kami beli tadi di Redd Rockett's Pizza Port - restoran yang sama ketika makan tengah hari.  Di sini juga minuman soda boleh ditambah sekehendak hati.  Sementara menunggu tayangan itu juga, isteri saya sempat membeli hiasan kepala yang dicari-cari itu di Star Trader yang terletak berhampiran.

Selesai menonton Michael Jackson, kami mendapat tahu bahawa pertunjukan api diadakan, seperti yang dijadualkan.  (Sebenarnya, pada malam pertama saya menginap di Hotel Double Tree saya sempat melihat dari bilik hotel pertunjukan bunga api kerana pemandu pelancong menghubungi saya bahawa pertunjukan sedang berlangsung.)  Orang ramai kelihatan berkumpul dan berasak-asak untuk menyaksikan pertunjukan bunga api. 


Sebaik-baik sahaja pertunjukan selesai, kami terus beredar menuju ke tempat menanti bas untuk pulang ke hotel.  Isteri saya yang  kepenatan terpaksa berpegang pada saya dan berjalan perlahan-lahan.  Ketika menunggu,  kami bernasib baik kerana ada tempat duduk, maka dapatlah dia berehat. Menunggu bas kira-kira setengah jam, kami mula berasa ragu-ragu adakah di situ sepatutnya  kami menunggu.  Dalam pada kami bertanya antara kami, tiba-tiba "bas biskut" muncul.  

Tiba di hotel, saya membawa isteri  ke Starbucks Coffee yang terletak di lobi untuk dia menikmati minuman coklat.  Sebenarnya, minuman kopi yang diambil pada waktu siang menyebabkan dia kurang selesa.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...