Artikel Popular

Monday, June 25, 2012

Kerja Jerih, Upah Tidak Meningkat

ISNIN, 25 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sementara eksekutif Wall Street menikmati kenaikan gaji yang lumayan, para pekerja kelas menengah dan bawahan terpaksa berputih mata dengan upah yang tidak meningkat.  Hal ini meluaskan lagi jurang ketidaksamaan, seperti yang dibahaskan oleh Joseph Stiglitz, yang pernah dipetik dalam blog beberapa kali. 

"Semuanya kerja dan tidak ada gaji, majikan mendesak para pekerja meningkatkan output tanpa meningkatkan upah," tulis Monika Bauerlein dan Clara Jeffrey dalam Mother Jones. Produktiviti meningkat, tetapi upah dan pendapatan beku untuk kebanyakan rakyat Amerika.


Ekonomi tumbuh semula, tetapi pekerjaan tidak kunjung tiba.




Dan, banyak lagi carta yang membuatkan darah anda mendidih.


PIGS Kuasai Euro 2012

ISNIN, 25 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Apabila beberapa buah negara zon euro dilanda krisis hutang sejak kira-kira tiga tahun lalu, akronim yang jika diberikan kepada negara berkenan, iaitu PIGS (Portugal, Ireland, Greece, dan Sepanyol), kemudian muncul PIIGS, melibatkan Italy. 

Namun, tiga negara PIGS/PIIGS (Portugal, Italy, dan Sepanyol) itu berjaya mara ke peringkat separuh  akhir Euro 2012 bersama-sama negara yang dianggap "saku dalam," iaitu Jerman.  Seandainya Greece menewaskan Jerman dalam perlawanan suku akhir, pastinya PIGS/PIIGS benar-benar menguasai Euro 2012.  Dengan selesainya perlawanan peringkat suku akhir, maka  sekurang-kurangnya sebuah negara PIGS/PIIGS, pasti mara ke peringkat akhir.

Tewas dalam krisis euro, tetapi menang dalam Euro. "Meskipun pada masa yang sukar, dengan ekonomi dalam krisis dan ahli politik bertelagah tentang euro,  tulis Eric Pfanner dalam The New York Times, bola sepak Eropah kebal daripada krisis. Meskipun berlaku krisis, kos hak bola sepak Eropah meningkat."



Mengikuti Tinjauan Pendapat

ISNIN, 25 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Meskipun secara rasmi belum dipastikan siapa lawan siapa dalam Pilihan Raya Presiden Amerika tahun 2012 - yang jelas antara  Barack Obama dengan Mitt Romney, kerancakan kempen sudah kelihatan.  Selain usaha untuk pendanaan di kedua-dua belah pihak, tinjauan pendapat (poll) mula mencurah-curah. 

Tinjauan pendapat yang cukup terperinci dikemukakan oleh Pew Research Center, yang menunjukkan Barack Obama masih mendahului Romney, manakala The Economist menunjukkan bahawa persaingan semakin sengit di negeri-negeri yang Obama fikir beliau selamat.  Tinjauan  Pew itu dikatakan memberikan kelebihan kepada Romney daripada pembabitan Republikan. 

The Huffington Post yang menyediakan papan pemuka Pilihan Raya Presiden 2012, baru-baru ini melalui tulisan Mark Blumenthal mempersoalkan pengkaedahan tinjauan pendapat Gallup yang didapati kurang menyokong Presiden Barack Obama. Dengan perlumbaan Presiden antara Mitt Romney dengan Barack Obama memasuki gear tinggi, maka ahli politik, wartawan, dan dan pendapat awam meneliti setiap tinjauan baru.  "Antara banyak tinjauan pendapat yang dikeluarkan setiap hari,"tulis Blumenthal, "tinjauan pendapat Gallup, diakui kajian yang paling dipercayai di dunia, hakikatnya disamakan dengan tinjauan pendapat awam."

Namun, hujah beliau, sepanjang beberapa tahun lalu, penagih tinjauan pendapat menyedari bahawa sesuatu yang menimbulkan rasa ingin tahu bahawa tinjauan pendapat Gallup menghasilkan keputusan kelihatan sedikit, tetapi secara konsisten lebih negatif terhadap Presiden Obama jika dibandingkan dengan tinjauan pendapat yang dikeluarkan oleh firma lain.  Walau bagaimanapun, hujah Blumenthal tidak mudah diterima, dan bahkan beliau dipersoalkan seolah-olah terasing. 


Tatkala perlumbaan Presiden dianggap sengit, tinjauan pendapat Bloomberg baru-baru ini menunjukkan Barack Obama jauh mendahului Romney dengan 53 peratus berbanding dengan 40 peratus, meskipun orang ramai memberikan markah yang rendah untuk Obama dari segi cara beliau menangani ekonomi dan defisit.  Sementara bagi Romney, menurut kajian itu, bekas Gabenor Massachusetts perlu membaiki kerosakan yang dilakukan terhadap imej beliau semasa pemilihan awal Republikan. Selain itu, Romney dianggap terpisah daripada para pengundi. 


Pastinya, hasil tinjauan pendapat yang menunjukkan Obama jauh meninggalkan pencabarnya, Romney sukar dipercayai, seperti yang dibangkitkan dalam Los Angeles Times dan boleh dipersoalkan, tulis Mark Blumenthal. Selepas itu, Bloomberg muncul dengan liputan bahawa Obama mendahului mendahului secara berbeza-beza  dalam tiga tinjauan pendapat, tetapi tidak ada satu pun yang mengatakan yang terbaik, yang menyenangkan hati Rumah Putih. Sementara analisis The Huffington Post, berdasarkan pelbagai tinjauan pendapat, Obama mendahului Romney hanya kurang daripada satu titik perpuluhan. 




Sunday, June 24, 2012

Pilihan Raya Presiden Mesir, Mengesahkan Tesis Huntington

AHAD, 24 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




"Musim Bunga Arab," menurut Patrick Cockburn, "tidak disusuli oleh musim panas yang diharapkan,  manakala Robert Fisk menegaskan, "sudah terlewat untuk revolusi, Dataran Tahrir diambil alih oleh Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood)." 

Setelah 500 hari tumbangnya Presiden Hosni Mubarak, dan keputusannya tertangguh seketika sehingga mencetuskan ketegangan,  maka hari ini, kira-kira jam 10.35 malam waktu Malaysia, Mesir mempunyai pemimpin yang baru, iaitu Dr. Mohammed Morsi daripada Ikhwanul Muslimin. 

Kemenangan ini, sesungguhnya mengesahkan tesis mendiang Samuel Huntington kira-kira satu dekad lalu,  bahawa di negara Islam, jika diadakan pilihan raya, pastinya parti atau pemimpin yang kelihatan pro-Islam akan mencipta kemenangan.  Sebelum ini, seperti yang diketahui, Tunisia dan Maghribi memperlihatkan keputusan yang sama.


Imigran: Obama Memperkukuh Kekuatan

AHAD, 24 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Presiden Barack Obama yang baru-baru ini menempuh minggu yang serba tidak kena, menghadapi realiti yang muram, akhir-akhir ini mula memperkukuh kedudukannya.  Beliau mula memperlihatkan kelebihan atau keistimewaannya: apabila dalam kesusahan, beliau menyampaikan ucapan yang besar dan beliau kelihatan serius, seperti ketika beliau berucap di Cleveland baru-baru ini.  

Dalam ucapan itu, Obama memilih topik ekonomi yang dikatakan beliau mempunyai kekurangan berbanding dengan Romney, menurut tinjauan pendapat.  Obama memberikan peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan, sama pendekatan ekonomi beliau atau pendekatan ekonomi pencabarnya, Mitt Romney.

Tidak cukup dengan cabaran itu, Obama mengasak Romney dengan membuat keputusan menyekat penghantaran anak-anak imigran ke negara masing-masing, yang meletakkan lawannya dalam keadaan sukar dan  terutamanya,   Senator Marco Rubio (Florida), yang pernah mencadangkan Akta Impian, dalam keadaan serba salah. Di negeri itu - Florida juga baru-baru ini,  Obama berjanji dengan penduduk  Latino untuk melakukan pembaharuan. 

Berbanding dengan pendirian Obama yang menyokong perkahwinan sejenis yang didapati tidak banyak beliau meraih sokongan, tindakan beliau menggunakan perintah eksekutif untuk anak-anak pendatang itu, menyebabkan beliau mendapat sokongan padu dalam kalangan penduduk Latino di Amerika Syarikat. Dalam kalangan penduduk ini,  mesej imigran Obama mengatasi Romney.  Tinjauan pendapat  Bloomberg, seperti yang dipetik oleh National Journal, menunjukkan dua berbanding dengan satu orang pengundi  Amerika bersetuju dengan dasar imigresen Obama itu.

Walaupun Romney juga mengambil pendirian lembut terhadap pembaharuan imigresen, Obama mengingatkan para pengundi Latino jangan sekal-kali percayakan lawan beliau itu. "Penceramah anda sejak semalam mempunyai pandangan yang berbeza.  Dalam ucapannya, beliau berkata apabila beliau berjanji kepada anda, beliau akan menunaikannya.  Baiklah, beliau berjanji untuk memvetokan Akta Impian," ujar Obama pada Jumaat lalu ketika berucap dalam persidangan Persatuan Kebangsaan untuk Pegawai yang Dipilih dan Dilantik. 


Tatkala Romney masih terpinga-pinga, beliau terus diasak.  Yang terbaharu, beliau diasak oleh Datuk Bandar Los Angeles, Antonio Villaraigosa, menuduh beliau "amnesia" terhadap imigresen. 

Obama mengakali Romney, tulis Jacob Weisberg dalam The Slate, "ketangkasan Presiden dari segi perkahwinan sejenis dan imigresen menyebabkan lawannya kelihatan membosankan dan tidak berprinsip."  Obama, hujah Weisberg, menggunakan unsur memeranjatkan, mengambil risiko yang kelihatan menghasilkan pulangan, dan beliau meletakkan lawannya dalam keadaan bertahan atau defensif.

"Presiden jarang-jarang mengambil risiko," tulis Weisberg, "beliau beroperasi dalam sempadan kemungkinan, mengelakkan postur yang tidak membuahkan hasil.  Akan tetapi, beliau dan kempen beliau cara bijak mengenal pasti bahawa Romney lambat bertapak dan kurang imaginasi membuka peluang kepada mereka untuk memperlihatkan perbezaan."

Meskipun, Obama  seperti yang digembar-gemburkan oleh kempen Romney dan Republikan, dengan pelbagai kelemahan dan kegagalan, Michael Bloomberg memberikan penilaian yang seimbang terhadap beliau. Dari segi pendanaan dijangkakan Obama tidak dapat menandingi Romney, tetapi beliau dijangkakan mendapat sumber dari luar negara. 

Namun, yang tidak kurang pentingnya ialah debat The Economist yang menunjukkan 69 peratus peserta bersetuju Obama diberikan peluang kedua. 



Melihat Dunia dari Selatan

AHAD, 24 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Samir Amin, intelektual Marxis, dalam wawancara diterbitkan dalam MRZine membicarakan sesuatu yang mempunyai kaitan rapat dengan krisis ekonomi yang berlaku sekarang, iaitu "modal monopoli" - suatu konsep yang bukannya baru. Konsep ini, menurut beliau, dicipta pada akhir abad ke-19 dan berkembang sedemikian, menerusi fasa berbeza seterusnya pada abad ke-20.  Akan tetapi, jelas Amin, bermula pada tahun 1970-an hingga 1980-an, dari segi kualitatif, tahap baru telah muncul.  Sebelum itu, meskipun wujud, modal monopoli tidak mengawal segala-galanya.

"Dari segi realiti," hujah beliau, "kini tidak wujud aktiviti ekonomi kapitalis yang autonomi atau bebas daripada kapitalisme monopoli yang mengawal setiap setiap satu aktiviti ekonomi kapitalis, meskipun aktiviti itu mempertahankan kewujudan autonomi, misalnya pertanian di negara kapitalis maju."


Dalam wawancara denga Irene Leon itu, Amin membincangkan ledakan kapitalisme dan bukannya krisis kapitalisme, yang menurut beliau berlaku bukan kerana serangan orang ramai, tetapi kerana kejayaan sistem itu sendiri. Kejayaannya, iaitu berjaya mengenakan sistem itu terhadap orang ramai, membawanya kepada punca pertumbuhan ketidaksamaan yang menggayatkan, yang bukan sahaja sungguh memeranjatkan dari sosial, tetapi tidak dapat diterima, tetapi berkesudahan diterima, diterima tanpa bangkangan.  Walau bagaimanapun, hal ini bukannya punca ledakan, tetapi hakikatnya bahawa sistem ini tidak dapat mengeluarkan dirinya semula daripada asasnya sendiri.

Jelas Amin lagi, tiga serangkai imperialis, iaitu Amerika Syarikat-Eropah-Jepun, mengenal pasti musuh mereka yang datangnya dari negara sedang muncul, iaitu China.  Mengapa China dianggap sebagai musuh?  Bagi Amin, kerana golongan pemerintah negara itu mempunyai projek, tetapi beliau tidak memperincikan, sama ada projek itu sosialis ataupun kapitalis. Yang penting, mereka mempunyai projek.  Projek yang tidak mengikut telunjuk modal kewangan diamkan, dikewangankan daripada tiga serangkai itu. "Tanpa apa-apa bising, China muncul untuk mencabar orde itu."

Maka, tidak hairan bahawa mengapa perang terhadap China merupakan sebahagian strategi tiga serangkai itu.  China berjaya dan mengapa dasar luar terlalu aman.  Kini, jelas Amin, muncul Rusia untuk menyertai China dalam kategori negara sedang muncul sebenarnya.


Bahasa dan Sastera Inggeris di Eropah

AHAD, 24 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kira-kira 56 peratus orang Eropah bertutur dalam bahasa kedua, dan 38 peratus daripada mereka bertutur dalam bahasa Inggeris. Di Scandinavia dan Belanda, yang terlalu  lazim untuk menemui kursus universiti diajar dalam bahasa Inggeris, angkanya berkemungkinan lebih 90 peratus.

Tidak dapat tidak, oleh bilangan orang bertutur dalam bahasa Inggeris meningkat, maka demikian juga jualan novel dalam bahasa Inggeris.  Namun, seperti yang dibahaskan oleh Tim Parks dalam blog New York Review of Books, peningkatan tidak sebesar itu.  Mengejutkan bahawa pengetahuan bahasa Inggeris meningkat juga membawa peningkatan yang ketara dalam jualan sastera Inggeris yang ditulis dalam bahasa Inggeris, tetapi dibaca dalam terjemahan dalam bahasa tempatan.  "Apabila anda belajar bahasa, anda bukan hanya sekadar makna komunikasi, tetapi anda membeli budaya, anda menjadi tertarik."

Memetik perangkaan yang disediakan oleh Dutch Fund for Literature, jelas Parks, menunjukkan bahawa walaupun bilangan terjemahan daripada bahasa lain adalah statik, atau meningkat perlahan, oleh sebab bahasa Inggeris diajar semakin meluas di sekolah dan universiti sepanjang tahun 1970-an dan 1980-an, maka wujud kemajuan yang besar dalam terjemahan daripada bahasa Inggeris.  Pada tahun 1946, hanya lima peratus pengeluaran bukan Belanda terdiri daripada terjemahan; pada tahun 2005, terjemahan mencecah 35 peratus dan bidang prosa fiksyen, bahagiannya meningkat kepada 71 peratus.  Daripada terjemahan itu, 75 peratus kini datangnya daripada bahasa Inggeris.  Jelas Parks lagi, "angka yang saya berjaya peroleh untuk Jerman dan Italy, tidak jauh berbeza." 

Di Perancis, seperti yang dinyatakan oleh Parks, rakyat negara itu, sebagaimana orang Belanda dan Jerman, tidak bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi lagi sekali, apabila ditanya, hampir semua mereka yang membeli fiksyen Inggeris dalam terjamahan bahasa Perancis, memberitahu mereka bercakap dalam beberapa bahasa Inggeris secara umum dan lebih mengutamakan novel asing/Inggeris berbanding dengan novel Perancis.


Saturday, June 23, 2012

Jerman Aibkan Greece Sekali Lagi

SABTU, 23 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Krisis euro menyebabkan hubungan antara Jerman dengan Greece pada tahap yang rendah.  Berlin sementara sebelah tangan membantu Greece untuk meredakan krisis hutang melalui pelan penyelamat, tetapi sebelah tangan lagi "memulas" negara itu dengan mendesak pelaksanaan pemotongan belanjawan, pelaksanaan jimat-cermat, dan penswastaan aset negara.  Bahkan, perletakan jawatan Perdana Menteri George Papandreous dikatakan angkara Berlin dan Brussels. Walaupun Jerman banyak membantu Greece yang dalam kesusahan itu, rakyat negara itu terus menunjukkan keberangan mereka terhadap Jerman sehingga mendorong Fareed Zakaria menulis, "masa untuk berkata danke."

"Perseteruan" antara Jerman dengan Greece, seperti yang dibangkitkan dalam The Independent terbawa-bawa dalam Euro 2012 apabila pasukan kedua-dua negara bertemu dalam perlawanan suku akhir: "Ujian stres euro yang sebenarnya."  Greece lawan Jerman, perlawanan pelan penyelamat, ulas BBC.


"Hari-hari hingga perlawanan itu berlangsung," tulis Barbie Latza Nadeau dalam The Daily Beast, "bukan sekadar bola sepak. Ini perlawanan dendam; soal harga diri untuk rakyat Greece yang nyaris-nyaris tersingkir dari zon euro."  Di seluruh Eropah, tulis beliau lagi, perlawanan diibaratkan "Piala Pelan Penyelamat" dan "Perlawanan Hutang."  Akhbar sukan Athenian membesarkan tajuk depan dengan "Mufliskan Mereka," manakala di Berlin muncul "Kali Ini Kami Tidak Dapat Menyelamatkan Kamu."  


Jelas Barbie Latza dalam tulisannya tentang "diplomasi bola sepak" itu,  tinjauan pendapat terbaharu di Jerman menunjukkan hampir separuh rakyat Jerman mahu Greece keluar dari zon euro.  Demikian juga tinjauan pendapat di Greece yang menunjukkan bahawa 78 peratus rakyat Greece mempunyai pendapat "yang tidak baik" terhadap Jerman. 




Para penyokong Jerman dan Greece, menurut The Guardian, mendapati krisis zon euro dan Euro 2012 saling berkait yang tidak dapat dipisahkan. Memang penyokong Greece tidak menjangkakan pasukan mereka mampu menewaskan Jerman, perlawanan terlalu berat dari segi keertian politik dan ekonomi, dianggap di Athens sebagai "ibu segala perlawanan" dan di Berlin sebagai "ujian stres euro yang mutlak." 

Namun, gelagat Canselor Jerman, Angela Merkel bersorak setiap kali pasukannya menjaring gol dalam kemenangan 4-2 mereka, membangkitkan kemarahan rakyat Greece.  "Yang benar-benar mengganggu saya ialah cara beliau bersorak untuk pasukannya, saya benar-benar tidak suka, dan 99.9 peratus rakyat Greece tidak suka."  

Memang sukar untuk memisahkan perlawanan di padang Gdansk, Poland itu dengan krisis zon euro dan ketakutan terhadap masa depan Greece dalam wang itu.  Perlawanan Jerman dan Greece dibawa  ke luar padang.

Selepas kekalahan di tangan Jerman itu, kemuraman rakyat Greece, menurut Joanna Kakissis dalam Time, semakin dalam. Penyokong Greece yang mengharapkan pasukan mereka menumpas Jerman, tidak membayangkan kekalahan yang teruk seperti itu.  Bahkan,  mereka naik meluat melihat Angela Merkel bersorak keriangan setiap kali pasukannya menjaringkan gol.  Bagi rakyat Greece, kemenangan menentang Jerman dapat mengubat jiwa mereka yang rawan bertahun-tahun yang hilang harga diri dan maruah kerana terpaksa mengikut telunjuk Berlin. 

Jerman menewaskan Greece, kali ini dalam bola sepak, tulis John Cassidy dalam blog The New Yorker.  "Sebagaimana dalam perbincangan pelan penyelamat, sebenarnya perlawanan itu berat sebelah, dengan Jerman menguasai permainan sejak awal hingga tamat perlawanan."

Greece diaibkan dalam pelan penyelamat, sekali lagi menanggung keaiban di tangan Jerman,   iaitu  dalam Euro 2012.

Sejarah Ekonomi 2000 Tahun Lalu

SABTU, 23 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Untuk mengetahui sejarah ekonomi untuk satu tempoh yang amat panjang, iaitu kira-kira sejak kelahiran Nabi Is A.S., bukannya sejak Adam Smith atau Karl Marx, seseorang itu pastinya sebuah buku yang tebal dan/atau banyak buku yang berkaitan.

Memang tidak pernah dibayangkan bahawa sejarah ekonomi itu dapat ditatapi dan dihayati melalui sebuah graf, seperti yang diltunjukkan oleh carta harta harian The Economist yang dipetik daripada Michael Cembalest daripada JP Morgan. 


Jika diperhatikan, dari tahun satu hingga kira-kira tahun 1850, bahagian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  dunia untuk China dan India, kemudian mula menguncup.  Sementara  Amerika Syarikat muncul dengan bahagian KDNK yang amat kecil pada tahun 1820, tetapi terus mengembang. India menunjukkan peningkatan semula KDNK-nya dari tahun 1990 hingga 2008, tetapi dalam tempoh itu, peningkatan India tidak ketara. 


Derek Thompson yang menulis dalam The Atlantic juga memetik Cembalest, mempersembahkannya dalam tiga bahagian.  Dalam Bahagian I, Thompson menyatakan bahawa pada tahun satu, India dan China merupakan negara bagi masing-masing satu pertiga dan satu perempat penduduk dunia. Negara itu juga masing-masing menguasai satu pertiga dan satu perempat ekonomi dunia.  

Seterusnya, dalam Bahagian II, Thompson, menegaskan bahawa apa-apa sahaja sebelum tahun 1800 ialah anggaran agihan penduduk di seluruh dunia dan apa-apa sahaja selepas 1800 adalah menunjukkan pencapahan produktiviti di seluruh dunia. Namun, beliau mengakui tafsiran ini benar-benar tepat.  "Revolusi Perindustrian berlaku di Eropah Barat kira-kira tahun 1800, meningkatkan produktiviti dan pendapatan peribadi secara dramatik jauh mengatasi mana-mana negara yang kelihatan pada alaf terdahulu.  Akan tetapi hakikatnya, anggaran untuk produktiviti dan pendapatan mula mencapah abad sebelum enjin wap.

Dalam Bahagian III, Thompson mengulangi pernyataan beliau sebelum ini bahawa India dan China menguasai antara 50 hingga 60 peratus ekonomi dunia untuk bahagian pertama 1500 Masihi, mempunyai kaitannya dengan jumlah penduduk yang besar.  Barat mula mengatasi bahagian lain dunia selepas tahun 1000, tetapi kadar kemajuan teknologinya agak memilukan berbanding dengan yang kita lihat selepas abad ke-19.  Keadaan  berubah sejak Revolusi Perindustrian yang seterusnya menyaksikan kemunculan Amerika Syarikat (dalam biru muda).


Mekipun sejak 200 tahun lalu, makanan adalah murah, hujah Thompson, untuk beribu-ribu tahun, upah yang diukur dalam gandum tidak meningkat. "Anda memerhatikan sumpah Malthus.  Kini, beberapa kebekuan pendapatan yang serius."



Pecah Belah

SABTU, 23 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Laporan baru Pew Research Center yang dipetik menunjukkan bahawa rakyat Amerika lebih berpecah belah dari segi politik, iaitu mengikut garis kepartian, dan perbezaan antara Demokrat dengan Republikan mengatasi perbezaan antara rakyat yang berbeza dari segi ras atau kaum, gender, umur, dan pendapatan. Jurang yang luas ialah perbezaan pendapat antara Republikan dengan Demokrat berhubung dengan jaringan keselamatan sosial. Polarisasi kepartian ini ketara ketika Presiden George W. Bush dan Barack Obama.

Sebenarnya, rakyat Amerika bukan sahaja berpecah belah dari segi politik, tetapi juga dari segi ekonomi, seperti yang dibahaskan oleh Joseph Stiglitz dalam The Washington Post.  Dasar yang dilaksanakan di Amerika Syarikat, hujah beliau, menyumbang kepada pecah belah ekonomi yang lebih besar.  Negara itu di tengah-tengah kitaran ganas ketidaksamaan dan kemelesetan:  Ketidaksamaan memanjangkan lagi tempoh kemerosotan, dan kemerosotan melebarkan lagi ketidaksamaan. Keadaan ini diburukkan lagi dengan agenda jimat-cermat yang diperjuangkan oleh puak konservatif. 

Beliau memetik data terbaharu yang dikeluarkan  bulan ini oleh Rizab Persekutuan yang menunjukkan kesan teruk kemelesetan terhadap kekayaan dan pendapatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. 

Amerika, hujah Stiglitz, "hebat"  dari segi ketidaksamaan sejak sekurang-kurangnya permulaan alaf ini.  Ketidaksamaan lebih besar di Amerika Syarikat jika dibandingkan dengan mana-mana negara maju lain.  "Data mengingatkan kita bagaimana kombinasi dasar monetari, fiskal, dan kawal selia menyumbang ketidaksamaan ini. Kuasa pasaran memainkan peranan, tetapi pasaran juga memainkan peranan di negara lain juga.  Politik banyak mempunyai kaitan dengan perbezaan dari segi hasil (outcomes)." 

Jelas beliau lagi, Kemelesetan Besar menjadikan ketidaksamaan ini teruk, yang berkemungkinan memanjangkan lagi tempoh kemerosotan.  Mereka golongan atasan membelanjakan sebahagian kecil pendapatan mereka jika dibandingkan dengan mereka golongan bawahan dan menengah yang terpaksa membelanjakan segala-galanyan hari ini. Pengagihan semula daripada golongan bawahan kepada atasan jenis yang berlaku di Amerika Syarikat sekarang, merendahkan jumlah permintaan.

Joseph Stiglitz mengkritik langkah jimat-cermat yang diperjuangkan oleh sesetengah anggota Republikan, yang pastinya memburukkan lagi keadaan, akan membawa kepada pengangguran yang tinggi, yang akan membawa upah yang rendah kerana para pekerja bersaing untuk mendapatkan pekerjaan.  Pertumbuhan yang kurang akan bermakna kurang hasil negeri dan kerajaan tempatan, membawa kepada pemotongan dalam perkhidmatan penting untuk kebanyakan rakyat Amerika (termasuk pekerjaan guru, polis, dan ahli bomba.)

"Kalau kita mahukan pemulihan," beliau mengingatkan, "kita tidak tidak ada pilihan, kecuali bergantung pada dasar fiskal. Mujurlah, perbelanjaan yang direka bentuk dengan baik, dapat membawa secara serentak kepada lebih banyak guna tenaga, pertumbuhan, dan kesamaan."

Tambah beliau, "Sebaliknya, jika mengikut laluan jimat-cermat, nescaya kita menempuh risiko kemelesetan curam berganda, terutamanya jika krisis Eropah semakin teruk.  Sekurang-kurangnya, kemerosotan yang kita hadapi berkemungkinan mengambil masa yang lama untuk berakhir berbanding dengan yang sepatutnya. Pertumbuhan kita pada depan akan lemah." 

Namun, keadaan yang lebih serius, seperti yang diperingatkan oleh Stiglitz, "negara kita akan semakin berpecah belah, dan kita akan membayar harga ekonomi yang tinggi untuk ketidaksamaan kita yang semakin menjadi-jadi dan peluang yang merosot. Kesannya akan lebih buruk terhadap demokrasi kita, jati diri kita sebagai negara yang membuka peluang dan kesamaan untuk setiap orang, dan masyarakat kita."

Ketidaksamaan di Amerika, adalah teruk daripada yang difikirkan yang mencetuskan perdebatan tentang golongan kaya dan miskin, satu peratus lawan 99 peratus.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...