Artikel Popular

Friday, May 24, 2019

Satu Dunia, Sebuah Mimpi, Suatu Utopia


JUMAAT, 24 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Pada April 1943, Wendell Willkie menerbitkan  buku One World berdasarkan perjalanannya ke seluruh dunia.  Buku tersebut bukannya sekadar travelog, kerana perjalanan Willkie pada tahun 1942 adalah sebagai duta khas, Presiden Amerika Syarikat, Franklin Delano Roosevelt.    Hakikatnya, buku ini merupakan manifesto Willkie untuk Amerika Syarikat pasca-Perang Dunia Kedua:  obligasi moral untuk membantu penduduk di negara-negara lain mendapat hak keperluan bersama mereka, iaitu keselesaan kebendaan, penentuan nasib diri, dan kebebasan individu. 
Selepas 50 tahun  penerbitannya, One World dilihat agak terlalu  mudah, mungkin sedikit naif tentang hal ehwal dunia dan terlalu optimistik tentang para pemimpin dunia.  Namun begitu,  buku yang pernah mencapai jualan terlaris ini sepatutnya dilihat sebagai wawasan apakah yang patut dunia muncul, apakah dunia mempunyai potensi untuk muncul.  Dengan berjaya mengetepikan beban retorik yang lazimnya berlaku dalam perbincangan tentang bangsa, bahasa, keetnikan (etnisiti), kaum, patriotisme, sejarah, dan politik serantau, Willkie memberikan tumpuan terhadap apakah yang menyatukan manusia dan bukannya apakah yang memecahbelahkan mereka.
Gagasan tentang satu dunia boleh diibaratkan sebuah mimpi indah yang cukup panjang dan masih belum menjadi kenyataan. Atau boleh juga dikatakan sebagai suatu utopia dalam perjalanan sejarah manusia.  Satu dunia terus menjadi idaman sesetengah  pemimpin,  negarawan,  dan bahkan para cendekiawan, baik melalui keamanan dan saling mempercayai, mahupun melalui peperangan,  penaklukan, dan  revolusi.  Lebih  150 tahun lalu, Marx dan Engels melalui The Communist Manifesto  mengimpikan sosialisme Utopian, iaitu satu dunia yang dikuasai oleh kaum proletar dan sebuah masyarakat tanpa kelas.
Walaupun belum lagi kesampaian,  hasrat untuk mewujudkan satu dunia tidak pernah luntur, lalu dikatakan bahawa  “di dunia yang dibina dari segi sosial, maka adalah kita yang membina dunia ini.”  Ada juga yang menyebut   “satu dunia, banyak budaya” tetapi realitinya tidak begitu, kerana    kadangkala tercetus perang budaya, seperti yang berlaku antara Indonesia dengan Malaysia akibat perebutan terhadap  tarian, lagu, dan batik.  “Budaya Indonesia dirompak oleh Malaysia.”
Edward Said semasa hayatnya  memang gigih dalam menggalakkan dialog antara budaya, kerana menurut beliau,   persoalan dialog adalah berkait dengan persoalan yang ada kena mengena dengan faham pelbagai budaya dan hubungan antara budaya.  Bagi Said adalah  karut jika dikatakan bahawa budaya Barat mempunyai jenis kewujudan bebas yang berbeza dengan semua budaya lain.  Dari segi sejarah, memang pendapat ini tidak betul: pemalsuan pengalaman manusia dan sejarah manusia.  Beliau memaklumkan bahawa  satu motivasi utama dalam banyak karyanya,  sama ada dalam Orientalism ataupun  The Question of Palestine  adalah untuk mencuba mendedahkan akar umbi sejarah tentang pertembungan antara budaya dalam usaha untuk menggalakkan kemungkinan dialog antara budaya.
 “Dialog juga” tegas Said dalam Power, Politic and Culture:  Interview with Edward W. Said,  “ada kena mengena dengan hubungan antara anggota dalam komuniti yang berbeza di Amerika Syarikat, di luar Amerika, di Eropah, dan sebagainya.”  Walau bagaimanapun,  Said mengingatkan bahawa: “Kita berhadapan  dengan contoh yang tanpa kesudahan bukannya dialog budaya, tetapi pertembungan budaya yang ada kalanya berlumuran darah.  Banyak orang berkata bahawa budaya atau  peradaban pada hari ini terlalu berbeza dan kita terpaksa akur dengan idea bahawa budaya atau peradaban pastinya mengalami pertembungan, bahawa budaya atau peradaban  tidak boleh berhubung, kecuali menerusi penentangan, dan malah kadangkala,  menerusi perhubungan yang bersifat penghapusan. Saya sangat tidak bersetuju dengan idea itu.  Saya fikir sejarah budaya, jika anda mengambil pandangan yang lebih jauh mengenainya, menunjukkan bahawa  sesuatu budaya terbuka kepada setiap budaya.”   
Semasa berucap  di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1988, Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev dengan berani mengemukakan konsep yang wujud sejak beratus-ratus tahun dalam budaya bukan Barat, iaitu “kesatuan dalam kepelbagaian,”  meskipun ketika itu  Tembok Berlin belum runtuh, dan Kesatuan Soviet belum berkecai, dan Perang Dingin belum berakhir. Seterusnya,   badan dunia itu mengisytiharkan tahun 2001 sebagai Tahun Dialog Peradaban. 
Dalam kalangan ahli ekonomi pula, Jeffrey Sachs mengimpikan satu dunia yang bebas daripada belenggu kemiskinan “yang boleh direalisasikan pada zaman kita.” Ini kerana, kemiskinan dan bukannya keganasan yang merupakan punca utama ketidakstabilan dunia. Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz dengan idea  penyusunan semula globalisasi supaya penduduk di dunia maju dan dunia membangun, generasi masa kini dan generasi akan datang semua mendapat manfaat, mengharapkan “sebuah lagi dunia adalah suatu kemungkinan,” bahkan “sebuah lagi dunia adalah perlu dan tidak dapat dielakkan.”   Stiglitz menegaskan: “Kita boleh memiliki ekonomi yang lebih kuat dan masyarakat yang lebih mengutamakan nilai, seperti budaya, alam sekitar, dan kehidupan itu sendiri.”
Apabila Thomas Friedman berkata bahawa “ketika saya tidur, ‘dunia adalah datar’” dan sekali gus menafikan pertemuan Christopher Columbus lebih 500 tahun lalu bahawa dunia ini bulat, tidak dapat tidak, beliau cuba berbicara tentang satu dunia yang “padang permainan sedang disamaratakan.”  Dengan menggunakan metafora, beliau cuba melakarkan landskap sebuah dunia selepas runtuhnya Tembok Berlin, meskipun dari segi empirikal, beliau gagal melakukannya, kerana dunia dari segi ekonomi, politik, geografi, sejarah, dan budaya, masih bulat, manakala padang permainan tidak disamaratakan.
Setelah bertahun-tahun  menyaksikan kemuraman “kesatuan dalam kepelbagaian” dan kelesuan “dialog peradaban” akibat dibayangi oleh perang terhadap keganasan,  Presiden Barack Obama membangkitkan semula mimpi indah tentang satu dunia, iaitu  menghindarkan pertembungan peradaban. Semasa berucap di Universiti Kaherah pada awal Jun 2009,  beliau menyeru supaya  dibuka “lembaran baru” dalam hubungan antara Amerika Syarikat  dengan dunia Islam. Dua bulan sebelum ini, semasa melawat Turki, beliau bercakap dengan nada yang  sama yang ditafsirkan dalam editorial The New York Times sebagai “berakhirnya pertembungan peradaban.”
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak melangkah sedikit jauh,   mengemukakan secara jelas dan penuh imaginasi tentang  gagasan satu dunia:  falsafah nasional, 1Malaysia diperluaskan kepada konsep 1Rantau dan seterusnya 1Dunia.  Ketika menyampaikan  ucap utama dalam persidangan agung UNESCO ke-35 di Paris awal Oktober 2009, Najib dilaporkan mempromosikan  gagasan 1Malaysia kepada dunia yang beliau percaya merupakan satu formula paling jitu untuk mengekal dan menjamin keamanan sejagat pada masa ini dan akan datang.  Beliau  berkata, gagasan 1Malaysia yang diyakini mampu mencapai matlamat “1impian, 1negara,1bangsa” boleh diangkat kepada pelaksanaan konsep 1Rantau, seterusnya 1Dunia, berasaskan falsafah kepercayaan bersama dan hormat menghormati antara semua komuniti.
Najib mengetengahkan semula konsep dialog antara budaya dengan menyatakan kesanggupan Malaysia untuk memainkan peranan dalam mengadakan dialog antara budaya. Beliau juga  menegaskan bahawa  keamanan hakiki hanya boleh dicapai melalui dialog dan bukannya dengan paksaan melalui kuasa hegemoni. Beliau turut memetik kata-kata  profesor Hans Kung, seorang ahli falsafah teologi Jerman bahawa tidak akan ada keamanan di dunia ini jika tiada keharmonian dalam kalangan agama dan budaya dan juga tiada keharmonian antara agama, jika tiada dialog dalam kalangannya. 
“Sesungguhnya,” tegas Najib, “kejahilan, ketakutan, prejudis, dan sikap ambil mudah yang tidak ditangani dengan sewajarnya, merupakan tempat yang subur untuk membiakkan kebencian, sikap melampau, sikap mudah menyerah pada nasib dan sikap fanatik, yang merupakan punca bagi semua penyakit yang melanda dunia hari ini.” 
Mimpi indah tentang satu dunia bukan sahaja belum menjadi kenyataan, bahkan   bertukar menjadi igauan negeri dengan  kejahatan dan kecelakaan  memakai topeng baru. Di mana-mana jua, akibat tergugatnya kesahan atau kedaulatan negara bangsa,  dikatakan bahawa manusia hidup dalam ketakutan, dan  ketakutan  selalunya bukan kaunselor yang bijak.  Penyataan ketakutan ini dalam dua realiti yang jelas seperti yang sering dimaklumkan oleh media, iaitu jenayah dan yang dikenali sebagai persengketaan etnik. 
Manusia hilang tempat berlindung, hilang pegangan, segala-galanya menjadi cacamarba.  Meskipun manusia kini hidup dalam masyarakat berilmu, kejahilan masih bermaharajalela dan banyak mencorakkan hidup mereka. Malah,  seperti yang dikatakan oleh   Goenawan Mohamad dalam bukunya, Tuhan & Hal-hal yang Tak Selesai,   agama seakan-akan tidak mampu memberikan perlindungan: “Semua ditulis di masa yang seperti kita alami sekarang, ketika Tuhan tidak bisa ditolak dan agama bertambah penting dalam hidup orang banyak, memberi kekuatan, menerangi jalan, tapi juga membingungkan dan menakutkan.”
Satu dunia yang rusuh,  suatu perjalanan yang suram. Dan jalan penyelesaiannya bukannya melalui dialog antara  budaya semata-mata. Sesungguhnya, dua perkara yang menguasai dunia sejak dekad terakhir abad ke-20:  globalisasi dan keganasan.  Yang pertama diwarnai  dengan harapan yang sangat indah, manakala yang kedua bergelut dengan bahaya yang sangat dahsyat. Hakikatnya,   “bahagian pertama abad ke-21, jauh lebih sukar, lebih goyah, tetapi lebih terbuka jika dibandingkan dengan apa-apa yang diketahui pada abad ke-20.  Antara premisnya, sistem-dunia moden, sebagai sistem sejarah yang wujud sejak kira-kira 500 tahun lalu, kini memasuki krisis terminal dan mustahil dapat wujud dalam masa 50 tahun lagi.  Seperti yang ditegaskan oleh Immanuel Wallerstein dalam beberapa penulisannya, “kita hidup dalam peralihan daripada sistem-dunia kita yang wujud sekarang, iaitu ekonomi-dunia kapitalis kepada satu lagi sistem-dunia atau sistem-sistem.  Kita tidak tahu, sama ada peralihan ini untuk lebih baik ataupun lebih teruk.”   Tegas beliau lagi, “kita tahu bahawa tempoh peralihan merupakan sesuatu yang sukar: sukar untuk yang berkuasa, sukar untuk orang biasa.”  Oleh sebab peralihan itu memakan masa yang panjang dan sukar, dua persoalan mendepani kita: Apakah bentuk dunia yang pada hakikatnya kita hajati; dan apakah cara atau laluan yang kemungkinannya kita akan ke sana?  Lebih daripada itu, berdasarkan jurang geopolitik pada abad ke-21, timbul persoalan, apakah masa depan dunia ini? Jawapannya, tidak pasti.
Satu dunia memang sebuah gagasan yang indah dari segi konseptual, tetapi di peringkat operasinya masih menempuh jalan buntu.  Hal ini demikian  kerana, realiti sistem dunia-moden, iaitu ekonomi-dunia kapitalis adalah berpaksikan hierarki, tidak seimbang, dan pengumpulan modal tanpa kesudahan, dengan negara  kuat menunjukkan keazamannya terhadap negara lemah  sewenang-wenangnya.  
Selain itu,  sindiran  Goenawan Mohamad dalam bukunya itu mungkin menambahkan lagi rasa pesimistik  dan  putus asa terhadap gagasan satu dunia: “Satu itu palsu. Seperti sapu lidi.  Satu itu palsu, meskipun padat dan pejal.  Mungkin itu sebabnya menara Babel adalah sebuah hikayat tentang kegagalan.”

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...