Artikel Popular

Wednesday, May 15, 2019

Kuasa Besar Perindustrian Jepun

RABU, 15 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Dekad 1980-an menunjukkan keupayaan Jepun menyingkirkan Amerika Syarikat sebagai pengeluar kereta yang utama di dunia. Seterusnya, sistem komputer keluaran Jepun menembusi pasaran dunia. Bahkan,  Jepun menunjukkan keunggulannya dalam bidang pengurusan dengan memperkenalkan teknik pengurusan, pemasaran, dan gabungan aset manusia serta teknologi.
Proses perancangan untuk membangunkan struktur perindustrian Jepun tidak ada tolak bandingnya, sama ada dalam ekonomi pasaran campuran Barat ataupun ekonomi terancang rejim komunis. Jepun dianggap sebagai model negara  perindustrian oleh setengah-setengah negara membangun. Meskipun banyak negara Barat mengalami proses perindustrian lebih awal daripada Jepun,  kebanyakan negara Asia Tenggara memilih Jepun sebagai model perindustrian mereka.
Sejajar dengan kemajuan perindustriannya, Jepun juga berjaya melahirkan minat baharu terhadap bidang pengurusan, strategi sumber manusia, dan teknik pengeluaran yang cenderung menekankan aspek yang positif dan menguntungkan. Kejayaan ekonomi Jepun seperti yang dibuktikan oleh kemajuan perindustriannya menyebabkan minat masyarakat dunia terhadap pengurusan dan organisasi sosial Jepun semakin bertambah.
Menurut Charles J. McMillan dalam Sistem Perindustrian Jepun (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994, RM30.00),  faktor utama yang dapat menjelaskan kejayaan sistem perindustrian negara matahari terbit ini ialah pengurusan pengetahuan dan teknologi. Jepun mengutamakan sains dan teknologi sebagai alat dasar ekonomi dan perindustrian. Malahan, kerajaan Jepun lebih banyak mengumpul dan menganalisis statistik tentang perdagangan teknologi jika dibandingkan dengan kebanyakan negara lain. Dalam bidang penyelidikan, Jepun banyak memberikan tumpuan kepada penyelidikan tenaga dan sumber. Pada tahun 1980-an, penyelidikan tenaga dan sumber melibatkan 20 peratus daripada seluruh penyelidikan teknologi.
Lantaran penekanan Jepun terhadap teknologi, maka negara itu mampu mengejar, menyaingi, dan mengatasi kemajuan negara Barat. Selain pihak kerajaan, peranan usahawan, institusi penyelidikan, dan universiti dalam bidang penyelidikan tidak boleh dipandang sepi.
Jepun juga amat gigih mencari maklumat sehingga timbul tema kesedaran maklumat. Untuk mencari maklumat, rakyat Jepun digalakkan mempelajari teknologi asing.
Namun begitu, setengah-setengah pihak menganggap bahawa Jepun merupakan pengikut  dan bukannya pemimpin teknologi. Salah satu kekuatan negara ini ialah meniru atau mencontohi teknologi asing dan bukannya mencipta atau merintas teknologi. Akan tetapi,  satu kesimpulan dapat dikemukakan ialah sama ada pengikut ataupun pemimpin tidak penting, asalkan sesebuah negara itu mampu ke dari segi kemajuan perindustrian, seperti yang dibuktikan oleh Jepun.
Demikian juga dengan Amerika dalam bidang kejuruteraan dianggap mempengaruhi amalan rusan Jepun. Di Jepun, pengurusan saintifik yang dipelopori oleh Frederick Taylor mendapat tempat dan berkembang  beberapa generasi di Jepun.  Pengurusan inventori, pengurangan pembaziran,  kawalan kualiti, robot, dan kilang automatik merupakan amalan kejuruteraan perindustrian masa kini sangat terserlah  di Jepun jika dibandingkan dengan  negara-negara lain, termasuk Amerika Syarikat.
Menurut McMillan  lagi, kekuatan perdustrian, Jepun bergantung pada sistem pemasarannya, seperti teknologi dan pengeluaran, dan sistem pemasaran Jepun memberikan sumbangan kepada kemajuan perindustrian negara itu. Seperti ditegaskan oleh McMillan, daripada perkara-perkara yang menakjubkan tentang Jepun, pemasarannya paling menonjol.
Dari segi pemasaran, keluaran Jepun berkuat pada harga. Harga keluarannya yang dijual dalam pasaran antarabangsa lebih murah daripada harga keluarannya yang dijual di Tokyo atau Osaka. Keupayaan Jepun menjual keluarannya pada harga yang bersaingan ini berkaitan  dengan keupayaan pengilang-pengilang Jepun menghasilkan keluaran pada kos yang lebih rendah akibat keupayaan teknologi, pengurangan pembaziran, dan kawalan mutu.
Pengilang-pengilang Jepun juga menggunakan saluran peruncit asing dalam usaha menjual keluarannya. Kadangkala pengilang-pengilang Jepun menggunakan jenama peruncit berkenaan, seperti Montgomery Ward dan Sears Roebuck.
Berdasarkan pengalaman dan perindustrian Jepun, maka dapat dirumuskan bahawa kita jangan segan belajar  daripada kejayaan orang lain, walaupun kita dianggap sebagai pengikut, peniru,  pencedok, dan sebagainya. Ini kerana dasarkan pengalaman Jepun, yang mengikut, meniru, dan yang mencedok itu akhirnya menjadi raja.
 (Dewan Ekonomi, Julai 1994.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...