Artikel Popular

Monday, May 13, 2019

Pilihan Raya Umum Tahun 1969 dan Bermulanya Era


ISNIN, 13 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman mencapai kemenangan cemerlang dalam pilihan raya umum tahun 1964, terutamanya kerana ancaman Konfrontasi Sukarno yang mendorong rakyat berdiri teguh di belakang kerajaan.  Namun begitu, selepas itu,  Tunku mula menempuh perjalanan yang berliku. Daripada penyingkiran Singapura kepada soal bahasa kebangsaan, perkauman semakin runcing, Tunku bagaikan dihimpit dari segenap penjuru: orang Melayu dan bukan Melayu, dalam  dan luar UMNO.  Semuanya terpaksa dibayar oleh harga yang tinggi oleh Perikatan.
Pada  bulan Mei 1969, Tunku menghadapi detik penentuan apabila  pada 10 Mei 1969 berlangsung pilihan raya umum.  Seperti biasa ketika itu, keputusannya diketahui lewat malam dan selalunya membawa ke awal pagi. Waktu itu, siaran televisyen belum menyeluruh, maka orang ramai hanya bergantung pada siaran radio, atau berkumpul di bandar tertentu di setiap negeri atau daerah untuk mendengar pengumuman keputusan pilihan raya.  Di Kuala Terengganu misalnya,  orang ramai berkumpul di Padang Maziah; pada malam itu,   tindak-tanduk penyokong PAS memang jelas:  bersorak keriangan setiap kali calon parti pembangkang, tidak kira apa parti sekalipun,  diumumkan menang. Pastinya,   suasana  seperti itu juga wujud di tempat-tempat lain di Semenanjung Malaysia: keriangan yang berlebih-lebihan terhadap  kekalahan calon-calon Perikatan.
Jauh dari situ, Tun Abdul Razak  berada di rumah rehat lama di Pekan  dari malam 10 Mei sehingga pagi 11 Mei, menunggu dengan cemas keputusan pilihan raya. “Pada mulanya Tun Razak kelihatan tenang dan masih boleh berjenaka.  Keputusan yang pertama diumumkan, iaitu   Dewan Undangan Negeri bagi Cameroon Highlands jatuh ke tangan pembangkang” (Tunku Shahriman, 2006: 170 – 171). Satu petanda bahawa Tun Abdul Razak akan menempuh “malam yang panjang” yang di luar jangkaan  beliau sama sekali, meskipun beliau menjangkakan bahawa pilihan raya 1969 yang amat sukar bagi Perikatan, yang menang cemerlang pada tahun 1964.  “Beliau terkejut dengan keputusan itu kerana kawasan tersebut terletak dalam negerinya sendiri, negeri Pahang yang merupakan kubu kuat Perikatan.  Berita buruk ini merupakan permulaan bagi kekalahan lain Perikatan: Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang, begitu juga Perak dan Selangor (Tunku Shahriman 2006: 171).
Walaupun menjelang subuh, apabila hampir semua keputusan diperoleh, Perikatan akan terus memerintah dengan majoriti sederhana, Tun Razak tidak ada minat untuk meraikan kemenangan.  Beliau sangat kecewa dengan keputusan secara keseluruhannya. Beliau kelihatan sungguh murung.  Dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur, beliau mendiamkan diri dan seolah-olah dapat merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku.  Hal ini nyata terbukti apabila dua hari selepas itu rusuhan berlaku (Tunku Shahriman 2006: 171).
Bab  ini tidak bertujuan mengungkit dan membahaskan  sejarah hitam Malaysia pascamerdeka, kerana  peristiwa itu telah pun disentuh dalam bab lain dalam buku ini,  lagipun  banyak buku tentang Peristiwa 13 Mei telah diterbitkan, termasuk penerbitan kerajaan.   Sebilangan penulis bukan Melayu cenderung menyalahkan orang Melayu dan UMNO Selangor pimpinan Dato’ Harun Idris. Memadai jika dipetik  catatan ringkas  oleh  Mohd. Salleh Daud: Soal bahasa, kerakyatan, diskriminasi, “Malaysian Malaysia,” imigrasi, kebudayaan, ekonomi, hak istimewa orang Melayu, dan soal pelajaran, menjadi “api dalam sekam” antara orang Melayu dengan bukan Melayu menjelang pilihan raya umum 1969 (Mohd. Salleh, 1998: 151).  Sebenarnya, benih subur perkauman telah disemaikan sejak sekian lama oleh banyak individu dan  parti politik,  memuncak semasa Singapura dalam Malaysia, dan terus memuncak, meskipun  Singapura disingkirkan daripada Malaysia pada tahun 1965.  Perarakan kemenangan di  Kuala Lumpur pada 11 Mei  oleh DAP dan Gerakan, kemudian disambut oleh orang Melayu yang digerakkan dan diketuai  oleh Harun Idris.
Mengimbas kembali peristiwa tahun 1969 itu, Tun Abdul Ghafar pernah menulis:  (Di Sri Taman, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri.) Kira-kira jam 7.00 malam sedang kami berdua berbincang menganalisis kemerosotan sokongan rakyat kepada Perikatan tiba-tiba datang panggilan telefon daripada Residency (kediaman rasmi Perdana Menteri), Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri mahu Tun Razak ke sana.  Saya ikut serta. Tunku memberitahu kami pergaduhan kaum sudah tercetus di Kuala Lumpur. Kami bertiga ke Balai Polis Dang Wangi untuk mendapatkan maklumat terperinci. Keadaan sudah jadi buruk dan tidak terkawal (Abdul Ghafar, 2006a: 73).
Akibat rusuhan kaum itu, Darurat diisytiharkan pada  15 Mei oleh Yang di-Pertuan Agong dan  Parlimen digantung (Ooi, 2007: 187; Paridah, 2009: 109; Ramlah, 2014: 37; Ahmad Sarji, 2016: 25).  Pada 17 Mei, diumumkan bahawa Tun Abdul Razak dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran) untuk mentadbir Darurat (Ahmad Sarji, 2016: 25), dan pilihan raya di Sabah dan Sarawak ditangguhkan.  Dalam pada itu, “pada 20 Mei, Tunku membentuk  barisan Kabinetnya, yang menyaksikan kepulangan semula Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang meletakkan jawatan pada tahun 1967 atas alasan kesihatan, dilantik   sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (sekarang, Menteri Dalam Negeri).  Tunku kekal sebagai Perdana Menteri manakala Tun Abdul Razak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri juga sebagai Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Kewangan. MCA yang kalah teruk dalam pilihan raya itu enggan menyertai Kabinet, tetapi keesokannya tiga orang anggota parti itu dilantik sebagai Menteri Tanpa Jabatan, iaitu Tun Tan Siew Sin, Khaw Kai Boh, dan Lee Siok Yew” (Comber, 2007: 144).
Meskipun Tunku terang-terang menyatakan bahawa beliau kekal sebagai Perdana Menteri, masih berkuasa di seluruh negara, dan Mageran bertanggungjawab kepada beliau, prestasi buruk Perikatan dalam pilihan raya itu dan Peristiwa 13 Mei memberikan isyarat yang jelas kepada beliau bahawa masa semakin suntuk, perjalanan politiknya sudah tiba di penghujung.  Beliau boleh dikatakan hilang kuasa, hilang wibawa.  Semasa negara dilanda krisis, rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada Tun Abdul Razak.  Pendek kata,  masa pasca-Peristiwa 13 Mei, adalah untuk beliau. 
Namun begitu, tugas berat menunggu Tun Abdul Razak, dan beliau terpaksa mengharungi detik runcing. “Masa yang paling rumit dalam kehidupan Tun Razak adalah antara malam pilihan raya tahun 1969 hingga selepas kejadian 13 Mei 1969”  (Tunku Shahriman, 2006: 170).  Beliau bukan sahaja terpaksa bekerja keras untuk memulihkan ketenteraman dan keamanan, bahkan memastikan detik hitam itu  tidak berulang lagi.  Beliau agak bernasib baik kerana Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang menawarkan dirinya untuk berkhidmat semula kepada negara, menganggotai Mageran.  Anggota lain yang menganggotai Mageran yang diberikan kuasa penuh untuk mentadbir negara, terdiri daripada Dato’  Hamzah Abu Samah (Menteri Penerangan dan Penyiaran), Tan Sri Ghazali Shafie (setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri), Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin (pengarah Perkhidmatan  Awam), Tunku Osman  Jiwa (Ketua Turus Angkatan Tentera), Tan Sri Mohammed Salleh Ismael (Ketua Polis Negara), dan Leftenan Jeneral  Dato’ Ibrahim Ismail selaku ketua pegawai eksekutif.  Turut dilantik,  Tun Tan Siew Sin  dan Tun V.T. Sambanthan (Milne dan Mauzy, 1982: 110; Comber, 2007: 143 – 144; Paridah, 2009: 110).
Tun Abdul Razak bertungkus-lumus untuk mengeluarkan negara daripada kancah krisis yang teruk ini, dan oleh itu, beliau memerlukan kepercayaan dan sokongan semua pihak, orang bukan Melayu dikatakan melihat Mageran dan beliau selaku pengarahnya, dengan perspektif negatif. Namun begitu, “seorang pemimpin pembangkang meluahkan kebimbangannya kepada seorang pegawai Kedutaan Amerika Syarikat tentang beberapa kemungkinan  yang akan berlaku sekiranya orang Cina ditindas.  Satu kemungkinannya, mereka berjuang bersama-sama dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Dia merayu campur tangan Amerika Syarikat dan Malaysia diletakkan di bawah pengawasan antarabangsa (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 277). Dia bukan sahaja tidak memberikan kepercayaan kepada Tun Abdul Razak, bahkan dia membayangkan  Malaysia, iaitu “negeri-negeri di Pantai Barat  yang majoriti penduduknya terdiri daripada kaum bukan Melayu hendaklah dipisahkan dan dicantumkan dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah negara baharu, seperti yang dicadangkan oleh Lee Kuan Yew”  (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 277).  
(Dipetik daripada Bab Satu, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...