Artikel Popular

Wednesday, May 1, 2019

Demokrasi Baharu


RABU, 1 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Kemajuan dalam bidang komputer, satelit, telefon, Internet, dan rangkaian komunikasi lain  membolehkan anggota masyarakat membuat keputusan politik mereka sendiri. Teknologi maklumat akan mengubah budaya politik dan mendemokrasikan politik dengan melemahkan genggaman pemerintah terhadap maklumat. Sebelum ini, pengundi menerima berita dan menatap iklan politik daripada beberapa rangkaian televisyen dan akhbar utama yang terkawal sifatnya. Namun begitu, kini mereka menerima berita dan maklumat daripada pelbagai sumber, seperti e-mel, Internet, laman web, malah Harakah sudah memiliki web televisyen.
            Perubahan ke arah demokrasi baharu telah kelihatan dalam pilihan raya umum ke-10 tahun lalu. Peranan televisyen dan akhbar utama sebagai saluran menyampaikan maklumat, berita, dan propaganda politik telah digugat oleh kemudahan teknologi, seperti e-mel, laman web, dan Internet. Perang media yang berlaku dalam pilihan raya lalu tidak lagi memihak kepada pemerintah. Parti pembangkang menggunakan segala kemudahan teknologi maklumat untuk melemahkan kebolehpercayaan pengundi terhadap media utama dan pemerintah. Kecanggihan teknologi maklumat melemahkan jentera dan cara kerja konvensional, yang jelas memihak kepada pihak pembangkang.
            Melalui pengetahuan  tentang laman web, setiap pihak yang terlibat  dalam proses demokrasi akan menyebarkan propaganda mereka dan mengatur strategi  untuk melemahkan pihak lawan. Ruang siber memberi peluang kepada setiap pihak bergerak dan bertindak dengan lebih berkesan untuk meraih simpati dan sokongan. Rakyat jelata berkesempatan mengikuti kempen pilihan raya melalui ruang siber dan saling melemparkan tohmahan serta fitnah melalui sembang Internet. Calon yang bertanding pula melalui pasukan kempen mereka menggunakan Internet untuk merayu dan meraih sokongan.
            Laman web dan Internet merupakan wadah baharu yang lebih berkesan untuk  melemahkan struktur politik yang sedia ada. Perrtubuhan politik menggunakan kemudahan teknologi ini  untuk mengumpulkan dan menggembleng penyokong bawahan atau penyokong akar umbi. Generasi politik baharu menggunakan kemudahan ini untuk perbincangan politik, melobi, dan menyatakan pendirian mereka dalam tinjauan pendapat. Bagi gerakan politik yang sering tertekan, laman web membolehkan mereka terus hidup dan aktif.
            Anggapan bahawa UMNO hidup dalam masyarakat yang bermusuhan, sebenarnya ialah hakikat kemunculan demokrasi baharu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.  Masa depan atau jatuh bangun sesebuah  parti politik terletak pada keupayaan parti itu mengharungi dan menyesuaikan diri dengan demokrasi baharu.
            Demokrasi baharu mengajar warga politik tentang budaya baharu dalam era teknologi maklumat yang melahirkan masyarakat yang lebih termaklum. Mereka menerima berita, maklumat, dan propaganda daripada pelbagai sumber, menyebabkan  mereka lebih bijaksana dalam membuat keputusan.
            Benarkah dalam demokrasi baharu, individu yang mempunyai kuasa terdiri daripada mereka yang mempunyai kebolehpercayaan dan senarai e-mel?

(“Memo Ketua Editor,” dalam Dewan Budaya, Jun 2000.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...