Artikel Popular

Tuesday, May 14, 2019

Pemulihan Demokrasi


SELASA, 14  Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH
Sejak  pelantikan Tun Abdul Razak Hussein sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran), yang mempunyai kuasa mutlak, beliau dikhuatiri menjadi “diktator”  untuk mentadbir negara. Beliau boleh terus kekal di mercu kuasa dengan cara merancang kekacauan sekali-sekala untuk mengaburi mata rakyat bahawa negara belum aman lagi.  Namun begitu,  “sebagai seorang diktator yang bukan atas kemahuan sendiri, Tun Abdul Razak meminta pertolongan daripada Tan Sri Ghazali Shafie untuk melakukan tugas memulihkan keamanan negara yang semakin memburuk akibat rusuhan ini (Paridah, 2009: 83).   Selaku pengarah Mageran, Tun Abdul Razak diberikan kuasa yang boleh menjadikan beliau seorang diktator, tetapi Tun Razak bukan Templer, dan jauh sekali Hitler atau Mussolini.  Sebagai seorang politikus dan pentadbir yang cukup  berpengalaman, Tun Abdul Razak cukup sedar akan bahaya menggunakan pemerintahan kuku besi dalam masyarakat majmuk yang unik seperti di Malaysia.  Oleh itu, kuasa kediktatoran yang ada padanya itu digunakannya untuk kebajikan seluruh rakyat, tidak kira bangsa (Mohd. Salleh, 1998: 157). 

Pemerintahan tertinggi Mageran berlanjutan mencetuskan rasa bimbang kepada pemerintahan orang Melayu secara diktator mula menular (Ahmad, 1988: 41).  Tun Razak dijangkakan  dengan mudah boleh menjadi diktator waktu itu, tetapi dengan adanya  Tun Dr. Ismail yang menyertai Kabinet semula dan menganggotai  Mageran,  beliau tidak pernah menggunakan kuasa dengan maksud begitu (Ooi, 2007: 190).  Keadaan  menjadi baik  apabila  kerajaan mengembalikan pemerintahan demokrasi berparlimen. Bagi mengurangkan tekanan yanga ada, beberapa perubahan peraturan dan perundangan dibuat  berdasarkan Perundingan 1957, iaitu mengenai perjanjian kemerdekaan Malaysia, setelah mengambil kira terhadap beberapa persetujuan dari segi dasar. Satu siri mengenai perubahan terhadap Perlembagaan, termasuklah Akta Hasutan diluluskan apabila Parlimen bersidang semula pada tahun 1970. Daripada perkara yang dibincangkan, tiada suatu pun dibenarkan mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, “keistimewaan” orang Melayu, dan hak kerakyatan orang bukan Melayu, sungguhpun ia adalah jelas berkemungkinan menimbulkan persoalan dalam pelaksanaan. Bagaimanapun, adalah dirasakan perlu bahawa demokrasi boleh diamalkan dengan batas-batas ini (Ahmad, 1988: 41).
Tan Sri Noordin Sopiee, dalam belangsukawa yang ditulis apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia:  “Tun barangkali bekerja lebih keras daripada mana-mana diktator dalam sejarah untuk menyingkirkan kuasa diktator dari tangannya sendiri dan berusaha menjauhinya” (dipetik daripada Ooi, 2007: 190). Dalam pada itu, Tun Abdul Razak sendiri tidak mahu memanjangkan pemerintahan Mageran, walaupun sehari.  Beliau sedar bahawa beliau berada dalam Mageran kerana dipilih oleh rakyat dan mereka semua dalam Mageran mesti kembali kepada rakyat (Zainuddin, 1997: 37). Dengan mengembalikan kuasa kepada rakyat dan Parlimen, bermakna Tun Abdul Razak masih percaya dan yakin pada demokrasi (demokrasi berparlimen) dan sekali gus, mengelakkan dirinya daripada menjadi diktator.
Berbanding dengan Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Ismail, Tun Abdul Razak dikatakan pada mulanya masih tidak komited untuk memulihkan sistem berparlimen (Means, 1991: 11). Sebagai pengarah Mageran, Tun Abdul Razak menjelaskan bahawa demokrasi tidak berfungsi di Malaysia dari segi kesamaan politik semata-mata. Proses demokratik mesti diterjemahkan juga dari segi agihan saksama kekayaan dan peluang (Means, 1991: 11). 
Namun begitu, di luar jangkaan banyak pihak, demokrasi dipulihkan demi kepentingan terbaik negara, “sungguh bercanggah dengan pernyataan  Acton, “power corrupts [sic – power tends to corrupts];  absolute power corrupts absolutely,” Tun Abdul Razak ialah penjaga kuasa yang bertanggungjawab (Ahmad Sarji, 2016: 29). Menurut Lord Acton, sejarawan British pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, pertimbangan waras seseorang tentang kemoralan berkurangan apabila dia semakin berkuasa.
Tun Abdul Razak membuktikan komitmen untuk menghidupkan semula demokrasi, bermula dengan mengadakan pilihan raya yang ditangguhkan di Sabah dan Sarawak.  “Setelah keadaan semakin pulih, pada 12 Mei 1970, beliau memutuskan untuk menyambung semula pilihan raya di Sarawak dan Sabah yang tertangguh akibat rusuhan kaum (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 285).  Di Sarawak, pilihan raya disambung semula pada 6 Jun 1969 [sic] hingga 4 Julai 1970, manakala di Sabah pilihan raya diadakan pada 21 – 27 Jun 1970 (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 286). Keputusan pilihan raya di buah negeri penting untuk pemulihan demokrasi di Malaysia, seperti yang diberikan amaran  oleh Dr. Ismail, “sekiranya keputusan pilihan raya di Sabah dan Sarawak tidak dapat memberikan majoriti dua pertiga kepada Perikatan dalam Parlimen, demokrasi berparlimen tidak mungkin diwujudkan kembali (Milne dan Mauzy, 1982: 217). 
Tun Abdul Razak memberitahu sidang Parlimen pertama selepas negara kembali kepada demokrasi pada 23 Februari 1971:  “Saya sentiasa memikir dan menjalankan berbagai-bagai usaha untuk memulihkan keadaan dan suasana di dalam negara ini seperti sedia kala supaya dapatlah diadakan semula sidang Parlimen di mana Ahli-ahli Yang Berhormat dapat melaksanakan tugas masing-masing sebagai wakil rakyat” (Zainuddin, 1997: 37). 
Sememangnya,  Tun Abdul Razak  berjaya memulihkan keamanan dan menghidupkan semula demokrasi, juga memastikan negara bangsa Malaysia tidak runtuh dan menghindarkan Balkanization. Selepas terbenam dalam sisi gelap seketika, akhirnya demokrasi dipulihkan. Bagi Tun Abdul Razak, beliau nekad untuk memulihkannya, meskipun beliau mempunyai peluang untuk menangguhkannya.

Usaha dan tindakan memulihkan demokrasi menepati kata-kata Francis Fukuyama, bahawa demokrasi liberal moden  berjaya menggabungkan semua tiga set institusi dalam keseimbangan yang stabil, iaitu negara, kedaulatan undang-undang, dan kerajaan yang bertanggungjawab. Fukuyama yang terkenal dengan gagasan demokrasi liberal, dalam buku terbarunya,The Origins of Political Order:  From Prehuman Times to the French Revolution, menegaskan negara menumpukan dan menggunakan kuasa, untuk melaksanakan pematuhan undang-undang terhadap warganegaranya dan mempertahankan dirinya terhadap negara dan ancaman lain.  Sebaliknya, kedaulatan undang-undang dan kerajaan yang bertanggungjawab, mula-mulanya dengan memaksa negara menggunakan kuasanya menurut peraturan awam tertentu dan telus, dan kemudian dengan memastikan bahawa negara tertakluk kepada keazaman rakyat jelata.” 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...