Artikel Popular

Monday, May 13, 2019

Pilihan Raya Umum 1969 dan Peristiwa 13 Mei


ISNIN, 13 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Bagi Tunku Abdul Rahman dan Perikatan, Konfrontasi yang dilancarkan oleh Sukarno ada rahmatnya.  Apabila sesebuah negara terancam, rakyatnya lazimnya mencari pemimpin untuk keselamatan dan perlindungan dan mereka juga tidak berani mengambil risiko.  Pada pihak Tunku pula, beliau berjaya menggembleng sokongan rakyat untuk pilihan raya umum tahun 1964.  “Dalam pilihan raya yang tidak termasuk Singapura, Sabah, dan Sarawak, Perikatan memenangi 89 kerusi daripada 104 kerusi Parlimen, meningkat daripada 74 kerusi (daripada 104 kerusi) Parlimen pada tahun 1959.  Dalam pilihan raya tahun 1964, para pengundi memberikan sokongan padu di belakang Perikatan  sebagai  tindak balas terhadap ancaman luar, iaitu Konfrontasi  dengan  Indonesia” (Hwang, 2003: 51 – 52,  dan Jadual 3.1; rujuk juga Milne dan Mauzy, 1999: 21). Sebenarnya, kemenangan besar Perikatan pada tahun 1955 tidak berulang lagi, apabila peratusan undi dan kerusi yang diperoleh oleh parti itu jatuh pada tahun 1959, tetapi pulih pada tahun 1964 mungkin kerana kesan perpaduan akibat ancaman Konfrontasi daripada Indonesia. 
Walau bagaimanapun, Perikatan tidak mampu mempertahankan prestasi cemerlang   lima tahun lalu dalam pilihan raya umum  pada tahun 1969, apabila  Perikatan  hanya memperoleh 48 peratus undi dan  66 peratus kerusi Parlimen  (tidak termasuk kerusi Sabah dan Sarawak).  Kejatuhan kira-kira 10 peratus undi Perikatan melibatkan komponen Melayu dan bukan Melayu, meskipun kejatuhan kerusi lebih tinggi untuk  bukan Melayu. Kekurangan majoriti yang diperoleh Perikatan tidak dijangka (Milne dan Mauzy, 1999: 21).
 Dalam pilihan raya  yang berlangsung pada 10 Mei itu,     untuk di Semenanjung, Perikatan  memenangi 66 kerusi Parlimen (48.9 peratus) daripada 103 kerusi Parlimen (satu kerusi ditangguhkan) berbanding dengan 89 kerusi Parlimen (58.4 peratus) daripada 104 kerusi Parlimen tahun 1964 (Hwang, 2003: 52; Jadual 3.1). UMNO kehilangan lapan kerusi Parlimen daripada 59 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Di kawasan bandar,  pembangkang memenangi 13 daripada 14 kerusi Parlimen dengan mengorbankan MCA (Wain, 2009: 25).   Pilihan raya umum itu  juga  menyaksikan Pulau Pinang jatuh ke tangan Parti Gerakan,  Perak dan Selangor “tergantung” (Comber, 2007: 132), manakala Kelantan kekal di tangan PAS. 
Leon Comber yang mengulas pilihan raya itu mencatatkan kedua-dua belah pihak, iaitu Perikatan dan pembangkang meniupkan api perkauman. Emosi orang  Cina dan Melayu telah hampir meletus. Meskipun  kempen berjalan tanpa kejadian buruk, perasaan tegang telah mulai ketara apabila hari mengundi (10 Mei) hampir (Comber, 2007: 123 – 124).  Comber seterusnya mendedahkan seakan-akan pucuk pimpinan Perikatan tidak mempunyai semangat atau motivasi untuk berjuang, atau langsung tidak mempunyai strategi. “Pucuk pimpinan Perikatan tidak mempunyai formula baharu untuk berjuang dalam pilihan raya itu menentang ancaman yang dibuat oleh pembangkang, iaitu Parti Islam se-Malaysia (PAS), DAP,  Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), dan Parti Progresif Rakyat (PPP). Manifesto pilihan raya Perikatan lebih merupakan penyata (Comber, 2007: 124). 
Meskipun Perikatan masih berkuasa dan dijangkakan dapat mengekalkan majoriti dua pertiga dengan mengambil kira kerusi Parlimen  Sabah dan Sarawak, parti-parti pembangkang yang menang besar berasa teruja dan   bersorak keriangan.  DAP dan Gerakan mengadakan perarakan kemenangan di Kuala Lumpur, tetapi disambut oleh UMNO Selangor pimpinan Dato’ Harun Idris.  Akibatnya, tercetus pergaduhan kaum di ibu negara, yang kemudiannya dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei.  Meskipun beberapa rusuhan kaum berlaku sebelum ini, “Peristiwa 13 Mei merupakan rusuhan yang paling dahsyat dalam sejarah negara ini” (Comber, 2007: 136). Yang di-Pertuan Agong mengistiharkan Darurat pada  15 Mei dan  Parlimen digantung (Ooi, 2007: 187; Paridah, 2009: 109; Ramlah, 2014: 37), manakala  pilihan raya di Sabah dan Sarawak ditangguhkan.  Keesokan harinya, Tunku Abdul Rahman, mengumumkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein,.
            Akibat rusuhan kaum itu,  Tunku dipersalahkan oleh sebilangan anggota UMNO dan mereka menggesa beliau meletakkan jawatan.  Beliau dikatakan “lalai menjalankan tugas membangunkan orang Melayu dan terlalu bertolak ansur dalam hal-hal kepentingan orang Melayu” (Abdul Rahman, 2015: 114).   Meskipun Tunku sendiri menuduh pergaduhan 13 Mei itu berlaku disebabkan oleh hasutan komunis dan ada yang berpendapat disebabkan oleh api perkauman yang dimainkan oleh Parti Buruh Malaya (PBM) yang diresapi oleh pengaruh PKM, dan kongsi-kongsi  gelap (Mohd. Reduan, 2008: 140 – 141), beliau secara terang-terangan dijadikan sasaran.
Campur tangan Tunku meringankan hukuman ini 11 orang lelaki yang disabitkan kesalahan menderhaka kepada negara kepada penjara seumur hidup, seperti biasa menunjukkan kesediaan beliau bertolak ansur dan tuntut pada tuntutan orang Cina, menimbulkan kemarahan orang Melayu.  Ini membuatkan Tunku semakin tidak popular. Saya dapat merasakan kekecewaan orang Melayu (Mahathir, 2015: 225 – 226).  Orang Melayu, termasuk polis dan tentera kononnya marah kepada Tunku kerana perbuatan beliau menyelamatkan nyawa  pemuda Cina daripada tali gantung kerana bersubahat dengan Indonesia hendak menghancurkan Malaysia, dengan memujuk Sultan Johor mengampuni mereka (Abdul Ghafar, 2006: 74).  P.G. Lim yang merupakan salah seorang yang berusaha  menyelamatkan nyawa 11 orang pemuda Cina memuji sikap Tunku itu, yang menurut beliau, “sifat kemanusiaan dan belas kasihan Tunku dan keyakinannya bahawa keketatan undang-undang sepatutnya diringankan dengan belas kasihan” (Lim, t.t.: 97). Namun begitu, sikap perikemanusiaan Tunku itu terpaksa dibayar dengan  harga yang tinggi.
Kemuncak desakan supaya Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan datangnya daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kalah dalam pilihan raya  di Parlimen Kota Setar Selatan.  Pada 18 Jun 1969, Tunku Abdul Rahman menerima apa yang dikatakan “surat kaleng” daripada Dr. Mahathir yang menuduh Tunku terlalu menyokong Cina dan menuntut agar Tunku meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Surat ini terlepas ke tangan akhbar dan tersebar luas kepada pengetahuan umum.  Penuntut Universiti Malaya mengadakan tunjuk perasaan di kampus universiti.  Mereka menyeru Tunku meletakkan jawatan kerana beliau tidak begitu tegas dengan orang Cina tentang perkara mengenai pelajaran dan bahasa, dan beliau juga dikatakan gagal memperbaiki kedudukan orang Melayu dalam bidang ekonomi.  Terdapat beberapa pucuk surat layang lain yang menentang Tunku dan orang Cina (Comber, 2007: 147). Dalam surat itu juga Dr. Mahathir berkata, “dasar pro-Cina Tunku Abdul Rahman bertanggungjawab secara langsung terhadap rusuhan ’13 Mei’. Orang Melayu, sama ada dalam  UMNO ataupun PAS, benar-benar benci Tunku (Wain, 2009: 26). Dr. Mahathir menuduh Tunku bermain poker dengan rakan Cinanya ketika Darurat, menggunakan kenderaan polis dan pengiring untuk mencari pemain (Wain, 2009: 26).
            Tunku Abdul Rahman dalam respons terhadap Dr. Mahathir dengan memberikan kata dua: letak jawatan atau dipecat.  Menyedari bahawa wujud simpati di peringkat atasan terhadap Dr. Mahathir, bahkan dengan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, Tunku juga memberikan kata dua: sama ada beliau atau Mahathir  (Wain, 2009: 27). Dr. Mahathir dipecat daripada Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai 1969, dan pada 26 September, beliau  dipecat daripada UMNO (Wain, 2009: 27).     Tun Musa Hitam yang merupakan sekutu kuat Dr.  Mahathir dalam kempen anti-Tunku dipecat daripada jawatannyas sebagai  Menteri Muda (sekarang Timbalan Menteri) kepada Timbalan Perdana Menteri.  Tunku  menyelar puak-puak pelampau, dengan berkata, “Pertama, saya orang Melayu dan sudah semestinyalah saya pemimpin mereka.  Akan tetapi, saya terpaksa menjaga kepentingan mereka yang bukan Melayu juga. Kita tidak boleh mencampakkan mereka itu ke dalam laut” (Comber, 2007: 149). Tunku juga  tidak mempercayai beberapa pelampau muda Melayu dalam UMNO, termasuk Dr. Mahathir dan (Tan Sri) Abdullah Ahmad (Raden Soenarno, 2012: 101)
            Suara tidak puas hati dalam kalangan Pemuda UMNO terhadap Tunku kedengaran selepas Singapura berpisah daripada Malaysia.  Beliau mengetahui bahawa kumpulan Pemuda UMNO mengadakan kempen di kampung-kampung dan di tempat-tempat lain untuk memperoleh sokongan rakyat. “Mereka memperhebatkan rentak kempen mereka, dan apabila meletus kekacauan 13 Mei tahun 1969, mereka meletakkan seluruh kesalahan itu kepada saya, dengan mengedarkan beribu-ribu surat pekeliling dalam percubaan mereka untuk merosakkan nama baik saya.  Usaha mereka tidak berjaya.  Saya tetap memegang jawatan Perdana Menteri sehingga hari Sultan Kedah menjadi Yang di-Pertuan Agong” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 240).  Meskipun Tunku masih menjadi Perdana Menteri, akibat Peristiwa 13 Mei dan perisytiharan Darurat,  maka Mageran  ditubuhkan, dengan Tun Abdul Razak dilantik sebagai pengarahnya, dan ini bermakna, “mengaburkan” kedudukan Tunku sebagai Perdana Menteri.  Seperti yang dicatatkan oleh Tun Abdul Ghafar Baba,  walaupun Kabinet bersidang seperti biasa, negara diperintahkan oleh Mageran yang diketuai oleh Tun Razak  (Abdul Ghafar 2006: 73).
Bagi Tunku Abdul Rahman, beliau  berasa amat sedih sekeping surat yang memerlukan masa 10 minit untuk menulisnya telah memusnahkan khidmat beliau selama 17 tahun. Dr. Mahathir  sendiri tahu untuk bangsa dan negara, beliau mengorbankan segala kesenangan dan menjadi miskin dan papa, malah untuk membayar cukai pendapatan pun beliau terpaksa menjual harta benda (Zainuddin, 1994:  33 – 34).  Walau bagaimanapun, Tunku tidak menafikan dakwaan Dr. Mahathir bahawa beliau bermain judi semasa ketegangan 13 Mei (Zainuddin, 1994: 26).
Dalam surat Tunku kepada Dr. Mahathir pada 30 Jun, Tunku menuduh Dr. Mahathir bertujuan mencemarkan nama baik beliau.  Tunku juga mengatakan bahawa Dr. Mahathir silap apabila mengandaikan bahawa Tunku tidak tahu apa yang diperkatakan mengenai dirinya.  Bahkan, Tunku “tahu” mengenai kegiatan Dr. Mahathir dan beberapa orang rakan Dr. Mahathir untuk  menjatuhkan beliau (Mahathir, 2015: 233).  Mengenai bermain poker, Tunku berkata itulah cara beliau bersantai (Mahathir, 2015:  233).  Dr. Mahathir dikatakan tidak bertimbang rasa dan menyerang peribadi Tunku, tetapi “memadai untuk mengatakan bahawa serangan peribadi dan kebanyakan tuduhan terhadap Tunku dan kepimpinannya tidak berasas, lebih menunjukkan sifat pengkritiknya berbanding dengan ‘kekurangan’ Tunku” (Kobkua, 2017: 207 – 208).
Malang bagi Tunku, kerana beliau  pernah bercadang untuk meletakkan jawatan pada tahun 1968, untuk memberikan peluang kepada Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, tetapi beliau mengubah rancangannya. Beliau mahu bersara selepas pilihan raya tahun 1969 (Abdul Ghafar, 2006: 89).  Yang sebenarnya, beliau masih berminat hendak terus menjadi Perdana Menteri, sedangkan Tun Abdul Razak sudah terlalu lama menunggu giliran. Tun Abdul Razak seolah-olah merajuk dan menawarkan dirinya untuk menjadi Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sehingga Tunku berasa bimbang (Abdul Ghafar, 2006: 78).
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan sisi gelap demokrasi di Malaysia dan titik hitam politik Tunku Abdul Rahman, yang akhirnya meletakkan jawatan.  “Peristiwa 13 Mei 1969 tetap menjadi sebab Tunku Abdul Rahman gagal untuk mengakhiri kegemilangannya sebagai seorang Perdana Menteri yang tetap harum namanya dengan kejayaan silamnya” (Ramlah, 2005: 420). Meskipun puak ekstremis atau pelampau daripada semua fahaman agama, petaksub perkauman, dan golongan fanatik bahasa, dan bahkan orang dalam UMNO sendiri memaksa Tunku meletakkan jawatan, Tunku dapat bertahan untuk seketika.  Namun begitu, Tunku tidak mampu menghadapi keadaan yang tidak dijangkakan sama sekali yang berpunca rusuhan 13 Mei, beliau meninggalkan koridor kuasa (Yap, t.t.: 354). Tunku meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1970. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...