Artikel Popular

Friday, May 31, 2019

Ideologi yang Gagal


JUMAAT, 31 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Tiga ideologi politik utama  Barat moden yang wujud kini, iaitu konservatisme, liberalisme, dan sosialisme, kesemuanya mencapai kematangan antara akhir abad ke-18 hingga pertengahan abad ke-19. Satu ideologi lagi, yang sejak akhir-akhir ini menyaksikan kebangkitan semula, iaitu fasisme merupakan inovasi politik pada abad ke-20.
Di dunia Barat, ketika abad ke-19, menurut Immanuel Wallerstein, dalam bukunya After Liberalism,  wujud tiga ideologi, iaitu konservatisme, liberalisme, dan sosialisme yang sering bergelut antara satu sama lain.  Konservatif ialah “reaksionari,” dan seperti semua ideologi, konservatisme ialah pertama-tama program politik.  Tahap seterusnya dalam cerita ialah pembinaan liberalisme, yang mentakrifkan dirinya sebagai berlawan dengan konservatisme, pada asas apa yang disebut “kesedaran menjadi moden.”  Liberalisme selalu meletakkan dirinya di tengah arena politik, mengisytiharkan dirinya universalis.  Sosialisme ialah yang terakhir daripada tiga ideologi yang dirumuskan.  Sebelum tahun 1848, seseorang belum  memikirkannya lagi sebagai membentuk ideologi yang berbeza.  Alasan utama bahawa mereka yang mula pada tahun 1789 mengatakan diri mereka “sosialis,” melihat diri di setiap tempat sebagai pewaris dan partisan Revolusi Perancis, yang tidak benar-benar membezakan diri mereka dengan golongan yang mula mengatakan mereka “liberal.” Bahkan, di Great Britain tempat Revolusi Perancis  dikecam  secara meluas, dan tempat dengan itu, “golongan liberal” meletakkan tuntutan terhadap asal usul sejarah yang berbeza, “golongan radikal” (yang lebih kurang “golongan sosialis” masa depan), dilihat terutamanya sangat-sangat lebih   merupakan  golongan liberal militan.  Teras program sosialis, secara ringkas, terletak dalam memacu perjalanan sejarah.  Itulah sebabnya perkataan “revolusi” menjadi daya tarikan kepada mereka  berbanding dengan “reform,” yang dianggap hanya bermaksud sabar, jika hemat, aktiviti politik, dan difikirkan untuk menjelmakan kebanyakan sikap tunggu dan lihat.
Menurut  Wallerstein lagi,   oleh sebab ideologi pada hakikatnya ialah program politik untuk membincangkan  kemodenan, maka setiap ideologi itu memerlukan “subjek”, atau pelaku politik utama.  Dalam peristilahan dunia moden, hal ini dirujuk sebagai persoalan  kedaulatan. Liberalisme tidak pernah merupakan doktrin Puak Kiri; liberalisme merupakan contoh unggul doktrin Puak Kanan, yang memperjuangkan penyederhanaan, kebijakan, dan kemanusiaan. Liberalisme selalunya di tengah-tengah antara ideologi konservatif dengan ideologi sosialis/radikal.
Runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989 dan disusuli oleh kehancuran Kesatuan Soviet, menandakan bahawa kapitalisme memenangi Perang Dingin. Dengan kemenangan kapitalisme, persaingan antara kapitalisme dengan sosialisme berakhir dalam tempoh kurang daripada 75 tahun. Kekalahan ini diungkapkan  dengan penuh simbolik, tetapi bernada rintihan, “pada akhir abad ke-20, impian sosialis  ditinggalkan. Selepas beberapa dekad kekalahan sejarah, sosialisme bercempera, bagaikan sebuah impian sejarah.”
Berakhirnya Perang Dingin menyebabkan puak konservatif terus mara, liberal membetul-betulkan  kedudukan, dan sosialis berundur. Kemenangan kapitalisme bermakna bahawa tiada alternatif dan “berakhirnya sejarah.” Sosialisme sebagai gerakan politik bangkit daripada usaha untuk menewaskan kapitalisme yang merupakan sebahagian daripada sejarah dunia sejak kemunculan kapitalisme pada abad ke-16 dan ke-17, seolah-olahnya telah berakhir. Orang  sering bertanya: “Adakah sosialisme telah mati pada abad ke-20?” Dalam kalangan pelajar universiti, ada yang terpinga-pinga apabila  pensyarah mereka menyebut, “sosialisme.”
Namun begitu,  akibat beberapa krisis kewangan atau ekonomi  yang melanda,  antaranya krisis kewangan Asia 1997-1998,  seakan-akan membuka ruang kepada sosialisme untuk bangkit semula. Peluang semakin terbuka luas akibat  krisis kewangan global pada tahun 2008-2009 yang mengheret dunia ke kancah kemelesetan yang terburuk sejak Kemelesetan Besar. Oleh itu,  memetik sejarawan Eric Hobsbawm, “sosialis muflis, kapitalis krisis.”
Di sana sini, kita dapat menyaksikan bahawa ideologi tidak berfungsi secara berkesan. Kalaupun tidak mahu dianggap gagal. Di United Kingdom, puak konservatif terkial-kial mencari jalan keluar untuk “Brexit” sehingga Perdana Menteri Theresa May terpaksa menghadapi dua kali undi tidak percaya, yang pertama, daripada partinya sendiri, Konservatif dan yang kedua, daripada Parti Buruh. Di Perancis, Presiden Emmanuel Macron, sejak akhir tahun lalu, terpaksa menghadapi protes puak Rompi Kuning, dan sekali gus menandakan kegagalan pemimpin liberal. Di Amerika Syarikat, kemenangan  Donald Trump, konservatif, dalam pilihan raya presiden tahun 2016, menyaksikan kebangkitan puak kanan jauh atau ketuanan kulit putih dan politik jati diri  secara menonjol.
Namun begitu, yang terburuk berlaku di Venezuela, yang mengalami krisis ekonomi, kekacauan  sosial, dan pergolakan politik.  Negara itu ketika harga minyak dunia melambung dan ketika    di bawah kepimpinan  Presiden Hugo Chavez, dijangkakan akan  menyebarkan sosialisme di Amerika Latin. Pada Mac 2013, Chavez meninggal dunia, Nicolás Maduro, yang berkhidmat sebagai naib presiden, dipilih sebagai presiden melalui pilihan raya khas. Maduro cuba menyatupadukan negara yang berpecah-belah, tetapi ketika bahagian pertama tahun 2014, warganegara yang terdiri daripada kelas menengah di banyak kota Venezuela turun di jalanan sebagai protes terhadap kerajaan Maduro. Walau bagaimanapun, penduduk Kawasan melarat berdiri teguh di belakang beliau, dan tentera dan polis pula dikerah supaya menyokong beliau.
Berikutan kejatuhan harga minyak dunia beberapa tahun lalu, ekonomi Venezuela dalam keadaan teruk. Ekonomi dibebankan dengan kemerosotan pengeluaran perindustrian dan kejatuhan eksport bukan minyak.  Inflasi pula melambung, meningkat kepada tahap tertinggi dunia. Negara yang pernah dianggap terkaya di Amerika Latin, Venezuela dan rakyatnya sengsara akibat kebinasaan inflasi melampau. Pada Oktober tahun lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan inflasi negara itu akan mencapai 10 juta  peratus pada akhir tahun 2019, salah satu krisis  inflasi melampau terburuk dalam sejarah moden.
Rakyat di negara itu dilaporkan hidup dalam keadaan  ekonomi terburuk di dunia sehingga mereka tidak mampu membelil kertas tandas.   Kelaparan dan tanpa peluang untuk mendapatkan ubat, rakyat Venezuela sengsara akibat  krisis politik yang meruncing. Di negara yang kaya dengan sumber minyak itu, rakyat tidak mempunyai makanan yang cukup, mengalami  kadar kematian bayi yang tinggi, bahkan lebih tinggi daripada di Syria, dan menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira tiga juta orang meninggalkan negara itu sejak tahun 2015. Krisis ekonomi mendorong rakyat  daripada setiap lapisan meninggalkan negara itu demi mencari makanan, ubat, dan kehidupan yang lebih baik. Daripada jumlah itu, sejuta berhijrah ke negara jiran, Colombia.
Mula-mula rakyat kekurangan wang. Kemudian, makanan, elektrik. Kini, air. Berjuta-juta rakyat di negara yang kaya minyak, tidak menikmati perkhidmatan  asas dan terpaksa berhempas-pulas untuk memenuhi keperluan asas mereka. Kanak-kanak tidak seimbang pemakanan mereka. Penyakit berjangkit semakin meningkat. Hospital ditutup; lebih 22,000 orang doktor meninggalkan negara itu sejak tahun 2015. Kadar kematian akibat kanser meningkat kerana tiada rawatan kimoterapi yang dapat diperoleh dan seluruh situasi musnah akibat salah urusan ekonomi dan kacau-bilau politik. Sementara itu, kaum wanita, dilaporkan oleh CNN,   mengadu nasib di Colombia, menjual tubuh mereka demi  menyara hidup mereka dan keluarga di kampung halaman mereka.
Pada permulaan tahun 2014, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu mencecah AS$371.34 bilion, dengan hampir separuh datangnya daripada minyak yang merupaakan hampir 100 peratus eksport). Akan tetapi, selepas harga tertinggi AS$105.54 setong pada Jun, harga minyak mentah menjunam lebih 50 peratus kepada AS$48.51 setong pada akhir tahun itu. Sejak itu, harga minyak stabil dalam julat AS$50 setong, membolehkan dasar sosialis negara itu menjadi kenyataan tanpa kelihatan harga minyak mentah tinggi dan malapetaka ekonomi menyusul.
Selama bertahun-tahun, rakyat Venezuela menyokong Presiden Nicolás Maduro, yang sebagaimana Hugo  Chavez, menggunakan kekayaan minyak negara untuk membiayai program sosial. Akan tetapi, apabila harga minyak mula jatuh, dan ekonomi terhuyung-hayang, banyak rakyatnya mula melancarkan protes terhadap tangan yang menyuap mereka. Harga minyak jatuh daripada AS$112 setong kepada hampir AS$60 setong, dan kejatuhan ini menyebabkan tabung kerajaan terjejas teruk. Selain itu, kerajaan sendiri menanggung hutang.  
Pada 23 Januari tahun ini, pemimpin perundangan, Juan Guaido, mula berusaha untuk mengetepikan Presiden Maduro dengan mengisytiharkan dirinya sebagai presiden interim. Amerika Syarikat mengenakan embargo terhadap syarikat minyak negara Venezuela, PDVSA, dengan sekatan yang bertujuan memindahkan kawalan kekayaan minyak negara itu kepada mereka yang menentang Maduro. Bahkan, ketika ketegangan politik memuncak dan berlaku pergelutan kuasa antara Maduro dengan Guaido, Amerika Syarikat dilaporkan bersiap sedia untuk campur tangan.  Di tengah-tengah cubaan rampasan kuasa yang diarahkan oleh Amerika Syarikat terhadap Venezuela pada Januari – Februari 2019, Presiden Donald Trump melancarkan serangan lisan tergadap sosialisme di Venezuela, Cuba, dan Nicaragua. Matlamat segera adalah untuk mewajarkan percubaan Amerika Syarika untuk menggulingkan Republik Bolivarian itu.
Di  balik kriikan tajam Trump, menurut The Editors yang menulis dalam   Monthly Review  terhadap sosialisme di Venezuela, Nicaragua, dan  Cuba, ialah perisytiharan beliau apa yang disebut Doktrin Trump, yang berpendapat kewujudan sosialisme di setiap tempat  di dunia ini hanya mewajarkan perang ekonomi, politik, dan ketenteraan Washington terhadap negara berkenaan.
Walau bagaimanapun, Maduro menggesa rakyat Amerika tidak membiarkan Donald Trump mengubah Venezuela menjadi “sebuah lagi Vietnam.” Guaido setakat ini mendapat sokongan Amerika Syarikat, banyak negara Eropah dan Amerika Latin, mankala China, Rusia,  Turki, Bolivia, Cuba, dan Iran  memihak kepada Maduro. China, Iran, dan Rusia mempertahankan sokongan mereka terhadap Presiden Maduro berikutan kritikan warganegara Amerika Syarikat terhadap tiga buah negara itu kerana menyokong pemimpin sosialis itu yang mereka cuba guling. Rusia bertindak lebih jauh dengan mengirimkan 400 orang  tentera upahan untuk melindungi Maduro daripada diguling dan ditawan. Sementara China yang menafikan laporan yang mengatakan negara itu mengirimkan tentera, hanya mengirimkan bantuan perubatan ke Venezuela.
Pada Julai 2014, Ivona Iacob muncul dalam Forbes dengan “Venezuela's Failed Socialist Experiment.” Republik Bolivarian, iaitu Venezuela beralih kepada sosialisme pada tahun 1998 apabila Hugo Chaves dipilih sebagai presiden selepas dua percubaan rampasan gagal  untuk menyingkirkan pemimpin sebelum beliau. Rejim baharu ini bukan sahaja membawa perlembagaan baharu, tetapi juga harga minyak yang tinggi. Pada tahun berikutnya, Chavez meluluskan undang-undang pengagihan semula tanah dan kekayaan, yang beliau susuli pada tahun 2005 dengan dekri pembaharuan tanah yang akan menghapuskan estet besar demi manfaat golongan miskin di kawasan luar bandar. Pada tahun 2007, kerajaan mengambil kawalan projek minyak yang penting di Delta Orinoco dan kemudian merampas dua buah syarikat minyak Amerika Syarikat, meneruskan rancangan pemiliknegaraan Chavez.
Kini, Venezuela mengalami krisis kemanusiaan dan Maduro, rejim sosialis, menanggung akibatnya. “Mungkin contoh yang paling ketara kegagalan ekonomi ialah Kesatuan Soviet. Dengan kerajaan dan ekonomi yang sangat terpusatnya, Kesatuan Soviet takat selama 69 tahun hingga keruntuhannya pada tahun 1991, mewakili masa terpanjang negara yang diterajui oleh Parti Komunis,” tulis Iacob.
Pegawai Venezuela suka menyalahkan krisis terhadap Amerika Syarikat dan pemilik perniagaan sayap kanan yang bertujuan mensabotaj sistem, namun jelas kelihatan bahawa sistem yang dikendalikan negara yang terlalu terpusat yang diwarisi daripada Chavez yang menghereta negara Maduro ke kancah kemusnahan. Dengan perubahan peratus KDNK tolak lapan peratus (-8 peratus) dari tahun 2015 ke 2016 dan kadar pengangguran lebih     17 peratus, hanya yang dapat menyelamatkan Venezuela ialah meninggalkan sosialisme.
Bagi puak kanan dan antisosialisme, mereka mengambil kesempatan daripada malapetaka yang menimpa  Venezuela untuk menyerang ideologi yang bukan anutan mereka. Puak kanan Amerika menggunakan kegagalan sosialisme Venuezela sebagai alat untuk menyerang gerakan sosialis. 
Meskipun kritikan sedemikian dilemparkan dengan niat jahat, puak kiri Barat perlu memandang serius pada diri sendiri berhubung dengan Venezuela, terutama sekali kerana apa yang dikatakan tentang unsur keteguhan puak kiri bahawa di Britain dan di tempat lain, hampir mencapai kuasa sebenar. Demikian tulis James Bloodworth dalam Foreign Policy, “The Left Keeps Getting Venezuela Wrong.” Namun begitu, puak kiri sosialis Barat terus menerus mengabaikan trajektori Venezuela untuk mengekalkan fantasi “sosialisme abad ke-21.” Kesediaan untuk menyokong diktator yang kejam, meskipun secara pasif, menampakkan kebingungan mendalam terhadap puak kiri sezaman. Sejak keruntuhan Kesatuan Soviet, hanya sebilangan puak kiri yang mempunyai banyak idea sebenar, seperti apakah program ekonomi sosialis sezaman, atau sepatutnya – untuk diamalkan.
Sosialisme abad ke-21 di Venezuela sepatutnya memberikan harapan, tetapi berakhir dengan malapetaka. Memang tidak sukar untuk mencari kebenarannya bagaimana malapetaka yang  dilakukan oleh Chavez dan penggantinya Maduro terhadap negara itu.  Sekali lagi puak kiri melihat impian mereka musnah dan selebihnya, sejarah. Mungkin kerawanan akibat musnahnya  impian mereka dapat diubati oleh China dan Vietnam – dua buah negara sosialis yang mengalamai kemajuan ekonomi yang pesat.

Thursday, May 30, 2019

Demi Kesinambungan Organisasi


KHAMIS, 30 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Pada tahun 2000, di samping merumus strategi, ketua pegawai eksekutif perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran pengurusan sumber manusia. Organisasi diurus dan dianggotai oleh manusia. Tanpa manusia, organisasi tidak akan wujud. Setengah-setengah organisasi berpunca daripada masalah manusia. Setengah-setengah pengurus lebih mengutamakan pembangunan potensi manusia, misalnya Konosuke Matsushita mempunyai pegangan bahawa perusahaan adalah manusia. Seandainya sumber manusia tidak ditangani dengan baik, sesebuah organisasi akan mengalami kemusnahan.
Memandangkan betapa pentingnya sumber manusia dalam sesebuah organisasi, Kenneth N. Wexley dan Gary P. Latham dalam Sumber Manusia dalam Organisasi:  Pembangunan dan Latihan (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994, RM30.00),  mengemukakan aspek penting dalam pengurusan manusia, iaitu pembangunan dan latihan. Tanpa pembangunan dan latihan, pengetahuan dan kemahiran warga organisasi tidak dapat dimajukan, bahkan menjadi jumud. Jika wujud gejala sedemikian, kesinambungan sesebuah organisasi akan terbantut.
Melalui latihan dan pembangunan, individu mempunyai kesedaran diri dan motivasi yang dapat memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada organisasi tempat dia bekerja. Program ini akan membolehkan individu mempunyai kemahiran atau kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.
Kebanyakan organisasi mempunyai misi atau wawasan yang dinyatakan secara abstrak. Namun begitu, misi atau wawasan ini tidak mempunyai makna sekiranya latihan terpisah daripada strategi dan budaya korporat. Setiap warga organisasi akan mempunyai keyakinan terhadap misi dan strategi korporat sekiranya mereka mempunyai latihan yang cukup.
Oleh sebab pembangunan dan latihan amat penting, maka pegawai latihan mesti mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kemampuan sebagai jurulatih. Kedua-dua penulis buku ini menekankan betapa pentingnya kakitangan latihan. Mereka mesti mempunyai keupayaan menentukan keperluan latihan dalam sesebuah organisasi secara sistematik. Jurulatih sendiri perlu dilatih sebelum mereka membimbing pelatih.
Meskipun hakikat pentingnya latihan dan pembangunan telah diiktiraf demi memastikan kesinambungan organisasi, tidak bermakna bahawa program ini boleh dijalankan secara sembarangan. Wexley dan Latham menyarankan supaya setiap program latihan dinilai untuk mengukur keberkesanannya berdasarkan kriteria reaksi, pembelajaran, kelakuan, dan penghasilan.
Untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kakitangan, tidak semestinya mereka perlu mengikut latihan di luar kerja. Sebenarnya, kakitangan boleh dilatih di tempat kerja, seperti sosialisasi organisasi, latihan semasa kerja, latihan perantisan, alat bantu kerja, ajar, latihan berasaskan komputer, pusingan kerja, dan pembangunan kerjaya.
Namun begitu, kedua-dua penulis tidak menafikan kepentingan kaedah latihan di luar tempat kerja, seperti kulit, teknik pandang dengar, persidangan jarak jauh, pengajaran terancang, arahan bantuan komputer, dan simulasi peralatan.
Salah satu kaedah latihan di luar tempat kerja yang semakin terkenal di negara maju dan mula mendapat tempat di Malaysia ialah kelas korporat. Kelas  ini menyediakan latihan kepada kakitangan mereka boleh dianggap sebagai kolej, institut atau universiti bagi sesebuah syarikat. Di Malaysia, beberapa syarikat besar, seperti Telekom, Tenaga Nasional, Celcom, Intel, dan sebagainya telah menubuhkan kelas korporat. Antara kelas korporat yang terkemuka di Amerika Syarikat ialah Universiti Holiday Inn, Universiti Hamburger McDonald’s, Pusat Pembelajaran Xeroj, Kampus ARCO.
Sebenarnya, latihan tidak semestinya diberikan kepada kakitangan bawahan sahaja. Bahkan pemimpin dalam sesebuah organisasi boleh dan perlu dilatih. Berdasarkan penegasan Peter Drucker bahawa tidak ada eksekutif yang secara semula jadi dilahirkan sebagai pemimpin yang berkesan, Wexley dan Latham mengemukakan pendekatan teori untuk melatih pemimpin. Antaranya, teori peranan pengurusan Mintzberg, pembelajaran dua relung Argyris, konsep padanan pemimpin, model Vroom-Yetton, dan seminar grid Blake dan Mouton.
Sekali imbas, buku ini mungkin dianggap lebih banyak berteori. Kedua-dua orang penulis  banyak mengemukakan contoh sebenar untuk merapatkan perbezaan antara teori dengan amali.
Memandangkan bahawa pembangunan dan latihan menjadi agenda penting supaya sesebuah organisasi terus berkembang dan mengharungi pelbagai persaingan, maka buku ini patut dirujuk dan dijadikan panduan untuk menggubal dasar latihan dan pembangunan.(Dewan Ekonomi, Disember 1994.)

Wednesday, May 29, 2019

Dunia Ekonomi Sangat Kompleks


RABU, 29 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Buku ini merupakan terbitan terbahAru   dalam Siri Teks Ekonomi Dewan. Sebelum ini, 13 buah buku telah diterbitkan dalam siri berkenaan. Beberapa buku lagi akan diterbitkan pada tahun 1995. Buku yang diterbitkan dalam Siri Teks Ekonomi Dewan mempunyai beberapa ciri tertentu, seperti berbentuk topikal, berasaskan contoh tempatan, membincangkan implikasi dasar, dan istilah penting serta perbincangan dimuatkan dalam setiap bab.
Buku Analisis Pendapatan Negara (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994, RM18.00) ditulis oleh H. Osman-Rani yang kini berkhidmat sebagai profesor di Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau merupakan salah seorang Editor Perunding siri ini. Pada tahun 1990, beliau (bersama Maisom Abdullah) menghasilkan buku Fungsi Pengeluaran yang juga merupakan Siri Teks Ekonomi Dewan.
Dalam buku  ini, para pembaca dan melihat betapa kompleks dunia ekonomi yang tidak mudah diselesaikan oleh ahli-ahli ekonomi. Keadaan sedemikian berlaku kerana masalah ekonomi sering berubah dan memerlukan cara penyelesaian yang berlainan.
Buku ini  juga mengandungi beberapa konsep asas dan bagaimana ekonomi negara berfungsi. Salah satu konsep yang ditekankan dalam buku yang mengandungi tujuh bab ini ialah akaun negara. Pada hakikatnya, akaun negara amat penting kepada pelbagai pihak.
Urus niaga ekonomi dalam tempoh tertentu yang melibatkan pelbagai sektor ekonomi dan antara sesebuah negara dengan sesebuah negara yang lain dapat dinilai melalui rangka akaun negara. Sebenarnya, akaun ini menunjukkan pelbagai kegiatan ekonomi dan kegunaan maklumat yang terkumpul dalam analisis tentang perjalanan sistem ekonomi.
Akaun negara juga berguna kepada kerajaan untuk menilai ekonomi pada masa lalu dan merancang serta mengawal ekonomi pada masa depan.
Bagi ahli-ahli ekonomi pula, akaun negara digunakan untuk meneliti perubahan ekonomi dalam tempoh tertentu, seperti kecekapan agihan sumber ekonomi dan perubahan struktur ekonomi. Ahli-ahli perniagaan dan para pelabur menggunakan akaun negara untuk menilai prestasi, prospek, dan dasar perniagaan mereka berasaskan latar belakang ekonomi negara dan kedudukan sektor tertentu.
Walaupun  akaun negara memang penting,  akaun ini tidak patut digunakan sebagai ukuran kebajikan sosial di sesebuah negara. Ini kerana akaun negara disusun untuk mengukur kegiatan ekonomi, dan bukannya menilai kualiti hidup masyarakat.
Salah satu perbincangan yang menarik dalam buku ini ialah campur tangan kerajaan dalam ekonomi.  Mengapa kerajaan perlu campur tangan?  Menurut Osman-Rani, kerajaan campur tangan untuk mencapai matlamat makroekonomi jangka pendek (untuk meningkatkan pendapatan melalui pertumbuhan atau mengurangkan kadar pengangguran dan mengawal inflasi). Sebenarnya, kerajaan berperanan sebagai pengurus ekonomi negara.
Melalui campur tangan, kerajaan dapat mengatasi kelemahan yang wujud pasaran, seperti kesan negatif eksternaliti, kuasa monopoli. Dan agihan pendapatan. Di Malaysia, sejak tahun 1971, kerajaan menitikberatkan soal agihan pendapatan untuk mewajar. kan campur tangan kerajaan dalam ekonomi.
Walaupun demikian, campur tangan kerajaan dalam ekonomi tidak berjalan dengan licin kerana kadangkala timbul percanggahan dasar. Ini kerana wujud pelbagai matlamat ekonomi hingga sukai ditentukan keutamaannya hingga terbawa. bawa kepada soal bagaimana cara mat. lamat itu dicapai. Segala percanggahan dasar ini mewujudkan dunia ekonomi yang kompleks yang ada kalanya tidak mampu diselesaikan oleh para penggubal dasar dan ahli-ahli ekonomi.
Keadaan  dipersulitkan lagi kerana para penggubal dasar tidak sekata dalam penentuan dasar. Misalnya, para peringkat awal perbincangan Dasar Ekonomi Baru (DEB), timbul konflik antara golongan propertumbuhan dengan golongan proagihan.
Begitu juga, timbul konflik aliran pemikiran atau fahaman dalam  kalangan penggubal dasar. Setengah-setengahnya berpegang pada fahaman Keynes yang percaya kepada keseimbangan, manakala golongan lain berpegang pada fahaman kewangan yang dipelopori oleh Milton Friedman, dan ada pula yang menganuti fahaman klasik baharu.
Buku ini amat sesuai dibaca dan d: gunakan oleh penuntut ekonomi di univeristi tempatan yang mengikuti kursus makroekonomi yang utama dan bagaimana ahli ekonomi cuba menganalisis masalah tersebut.
(Dewan Ekonomi, November 1994.)

Tuesday, May 28, 2019

Kegelapan pada Abad ke-21


SELASA, 28 Mei 2009
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Kegirangan untuk menyambut alaf baharu dan abad ke-21 diselang-seli oleh kerisauan terhadap ancaman pepijat alaf (Y2K). Mulai tahun 2000, penduduk dunia berhadapan dengan ketakutan, keraguan, dan ketidakpastian yang menghantui mereka sejak penghujung abad ke-20. Krisis kewangan yang melanda Asia sejak Julai 1997 yang merebak ke Amerika Latin dan Rusia bukan sahaja meletakkan dunia pada ambang Kemelesetan Besar yang berlaku pada tahun 1930-an, bahkan mencetuskan ketegangan politik dan kegelisahan sosial. Kenaikan harga minyak pada tahun ini menambah penderitaan dan kesengsaraan rakyat di sesetengah negara. Sebenanyarnya, abad ke-20 yang dianggap seabgai “abad Amerika Syarikat” membawa kegelapan di kebanyakan negara.
            Kegelapan ini terus berpanjangan pada abad ke-21 dan turut dirasai di Malaysia. Sejak krisis kewangan, Malaysia terpaksa berhadapan dengan satu demi satu kesukaran. Pilihan raya umum 1999 jelas meletakkan Malaysia dalam ketidakpastian, walaupun mungkin tidak mencetuskan ketidakstabilan. Meskipun pilihan raya telah setahun berlalu, pertentangan politik semakin sengit. Antara parti politik yang bertelegah, amalan toleransi dan politik yang beradab terhakis sama sekali. Sejak kebelakangan ini, politik di negara ini merupakan rangsangan untuk menyerang pihak lawan tanpa rasa bertanggungjawab dan hormat menghormati. Sementara rakyat pula amat ketagi dan taksub terhadap politik sehingga mencapai tahap fanatik.
            Sejak Malaysia merdeka dan rakyatnya mengenali demokrasi, tidak pernah berlaku pertentangan politik yang sesengit kini. Kehadiran golongan yang berpendidikan tinggi dalam parti politik bukannya melestarikan kemurnian demokrasi, tetapi menambah kebiadaban. Ahli politik yang bertarung dalam satu-satu isu, seperti menentukan sama ada royalti ataupun wang ihsan, seakan-akan berhadapan dengan satu masalah tanpa penyelesaian sehingga hilang rasa hormat dalam kalangan mereka.
            Di peringkat antarabangsa, Malaysia menghadapi situasi yang genting lagi runcing. Beberapa buah negara jiran yang dianggap sebagai serantau sering menyindir dan mencabar Malaysia. Selain itu, hubungan dengan Amerika Syarikat dalam keadaan dingin. Keputusan pilhan raya presiden 2000 tidak banyak membantu memulihkan keadaan kerana, walaupun seluruh dunia menumpukan perhatian terhadap pilihan raya tersebut dengan penuh minat dan harapan, kedua-dua calon yang bertanding tidak mempedulikan segala perhatian itu.
            Oleh sebab pertentangan yang berpanjangan, maka campur tangan asing semakin menjadi-jadi dan maruah negara terjejas di mata dunia. Kini, kedaulatan negara sedang dipertaruhkan dan kesejahteraan sedang diperdagangkan demi kepentingan politik.
            Perselisihan kaum dan agama yang melibatkan pertumphan darah yang pernah tercetus di Eropah, Afrika, Asia Barat, dan Asia Selatan, kini merebak ke Indonesia. Kesan daripada pergaduhan itu sedkit banyak akan melimpah ke Malaysia. Ketidakpastian dan ketidakstabilan di Indonesia akan mendorong sebilangan rakyatnya menjadi pelarian ke Malaysia. Keadaan ini menyebabkan banyak pengorbanan yang perlu ditanggung oleh negara. Robohnya Indonesia sebagai negara Islam terbesar turut mengancam kedaulatan Malaysia.
            Yang lebih merisaukan ialah tiada jaminan bahawa ketegangan tidak tercetus di negara ini. Kalau ahli politik sendiri berperangai liar, apatah lagi rakyat jelata yang perasaan mereka sentiasa dibakar. Isu hak keistimewaan orang Melayu dan Sekolah Wawasan  merupakan bibit ketegangan yang menandakan bahawa masih wujud “api dalam sekam.”
            Kini, bahasa diperlekeh, agama diperalat dan dipersenda, ketuanan dicabar, hak dicabul, undang-undang dilanggar, Dewan Rakyat dicemari, dan mahkamah diperolok. Apabila melihat segala galau, timbul persoalan: Siapakah pemenang sebenar, walaupun pilihan raya telah berlalu? Yang pasti, negara kini sedang di ambang “menang jadi arang, kalah jadi abu,” atau lebih teruk, “menang sorok kampung tergadai.” Percakaran lebih dipentingkan daripada mengejar kemajuan pada abad ke-21.
            (“Memo Ketua Editor,” Dewan Budaya, Disember 2000.)

Monday, May 27, 2019

Keranamu Malaysia


ISNIN, 27 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Malaysia telah menyambut Hari Kemerdekaan ke-43 dan bendera Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh tanah air. Sesuai dengan tema, “Keranamu Malaysia,” ditegaskan betapa pentingnya kestabilan serta perpaduan dan diperingatkan bahaya perkauman. Penegasan dan peringatan itu memang wajar kerana satu demi satu ketidakpastian berlaku di Malaysia dan di dunia. Jika ketidakpastian berleluasa, nescaya situasi itu akan mengundang ketidakstabilan. Misalnya, ketidakpastian dari segi perkauman dan perpaduan kaum setelah 43 tahun merdeka dan setelah rakyat serta negara amat bersemangat menyambut alaf baharu.
            Walaupun Malaysia sentiasa disebut sebagai negara yang aman dan stabil dan rakyatnya pula hidup harmoni tanpa mengira keturunan dan anutan agama, sekali-sekala tercetus perkauman dan perpaduan tergugat. Ketegangan ini bukannya dicetuskan oleh golongan bawahan, tetapi oleh segelintir individu atau kumpulan yang terpelajar dan lebih bijaksana. Meskipun golongan ini memang arif tentang kepekaan dan perasaan setiap kaum di negara ini, mereka sengaja dengan pelbagai alasan yang retorik dan bersifat meminta maaf membangkitkan  isu tertentu.
            Ketegangan yang tercetus sekali-sekala mencerminkan bahawa perpaduan kaum dibuat-buat dan tidak didukung oleh asas yang kukuh. Banyak asas yang kukuh yang dibina sejak merdeka, tetapi kian dilupakan. Misalnya, Rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1970-an sebagai ekoran Peristiwa 13 Mei,  kini jarang-jarang disebut, apatah lagi dihayati. Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun 1971 mengalami nasib yang sama kerana sering dibayangi oleh kejayaan (dan kegagalan) Dasar Ekonomi Baru (DEB).
            Malahan, Dasar Bahasa Kebangsaan yang merupakan teras perpaduan dan semakin mantap, mula  tergugat sejak tahun 1993, apabila kerajaan membenarkan kursus sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi diajarkan dalam bahasa Inggeris. Sejak itu, kedaulatan bahasa kebangsaan kian  tercabar bukan sahaja dalam bidang pendidikan, tetapi bidang lain, termasuk dalam urusan rasmi dan media.
            Memang benar bahawa di Malaysia, perbezaan budaya bukan sahaja diterima, malahan dihayati, seperti iklan yang disiarkan pada kaca televisyen menjelang Hari Kebangsaan ke-43. Namun begitu, penerimaan dan penghayatan itu tidak perlu ditonjolkan berlebih-lebihan sehingga mengorbankan yang hakiki, iaitu bahasa. Apabila satu bahasa sahaja ditonjolkan dalam iklan tersebut dan seperti, “ayam bercakap dengan itik,” maka wujudlah gambaran bahawa kaum tertentu yang terpaksa berkorban demi toleransi.
            Dari segi yang lain, hak keistimewaan orang Melayu dicabul oleh orang Melayu sendiri yang terdiri daripada pemimpin, birokrat, cendekiawan, dan ahli korporat. Golongan ini tidak menunjukkan iltizam dan teladan tentang cara memupuk dan mempertahankan hak keistimewaan dari semasa ke semasa. Misalnya, demi kepentingan ekonomi, sains, dan teknologi, kedaulatan bahasa kebangsaan diperlekeh dengan sewenang-wenangnya. Tindak-tanduk orang Melayu sendiri  yang mudah leka dan lupa daratan melemahkan kedudukan hak keistimewaan tersebut.
            Sebenarnya, Datuk Davi Chua dan Suqui merupakan pendatang baharu yang sekadar mempersoalkan dan bukannya mengkhianati hak keistimewaan orang Melayu. Orang Melayu yang berfikiran waras dan rasional sepatutnya berterima kasih kepada David Chuan dan Suqui kerana rela membangkitkan isu itu tanpa berselindung. Setidak-tidaknya mereka membangunkan orang Melayu daripada tidur nyenyak dan dibuai mimpi  alaf baharu yang menjanjikan kehadiran “dewa” baharu.
Jalur Gemilang akan terkoyak dan lampu akan terpadam sekiranya yang hakiki sentiasa diremehkan.  “Keranamu Malaysia” bergantung pada kedaulatan bahasa dan penghayatan kebudayaan kebangsaan. Jika perkauman ingin dibanteras dan perpaduan ingin dipupuk, bahasa dan kebudayaan kebangsaan perlu diletakkan di landasan yang betul sebelum majoriti senyap semakin meluat dan terus menyisihkan diri mereka daripada arus perdana.

(“Memo Ketua Editor,” Dewan Budaya, Oktober 2000.)

Friday, May 24, 2019

Satu Dunia, Sebuah Mimpi, Suatu Utopia


JUMAAT, 24 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Pada April 1943, Wendell Willkie menerbitkan  buku One World berdasarkan perjalanannya ke seluruh dunia.  Buku tersebut bukannya sekadar travelog, kerana perjalanan Willkie pada tahun 1942 adalah sebagai duta khas, Presiden Amerika Syarikat, Franklin Delano Roosevelt.    Hakikatnya, buku ini merupakan manifesto Willkie untuk Amerika Syarikat pasca-Perang Dunia Kedua:  obligasi moral untuk membantu penduduk di negara-negara lain mendapat hak keperluan bersama mereka, iaitu keselesaan kebendaan, penentuan nasib diri, dan kebebasan individu. 
Selepas 50 tahun  penerbitannya, One World dilihat agak terlalu  mudah, mungkin sedikit naif tentang hal ehwal dunia dan terlalu optimistik tentang para pemimpin dunia.  Namun begitu,  buku yang pernah mencapai jualan terlaris ini sepatutnya dilihat sebagai wawasan apakah yang patut dunia muncul, apakah dunia mempunyai potensi untuk muncul.  Dengan berjaya mengetepikan beban retorik yang lazimnya berlaku dalam perbincangan tentang bangsa, bahasa, keetnikan (etnisiti), kaum, patriotisme, sejarah, dan politik serantau, Willkie memberikan tumpuan terhadap apakah yang menyatukan manusia dan bukannya apakah yang memecahbelahkan mereka.
Gagasan tentang satu dunia boleh diibaratkan sebuah mimpi indah yang cukup panjang dan masih belum menjadi kenyataan. Atau boleh juga dikatakan sebagai suatu utopia dalam perjalanan sejarah manusia.  Satu dunia terus menjadi idaman sesetengah  pemimpin,  negarawan,  dan bahkan para cendekiawan, baik melalui keamanan dan saling mempercayai, mahupun melalui peperangan,  penaklukan, dan  revolusi.  Lebih  150 tahun lalu, Marx dan Engels melalui The Communist Manifesto  mengimpikan sosialisme Utopian, iaitu satu dunia yang dikuasai oleh kaum proletar dan sebuah masyarakat tanpa kelas.
Walaupun belum lagi kesampaian,  hasrat untuk mewujudkan satu dunia tidak pernah luntur, lalu dikatakan bahawa  “di dunia yang dibina dari segi sosial, maka adalah kita yang membina dunia ini.”  Ada juga yang menyebut   “satu dunia, banyak budaya” tetapi realitinya tidak begitu, kerana    kadangkala tercetus perang budaya, seperti yang berlaku antara Indonesia dengan Malaysia akibat perebutan terhadap  tarian, lagu, dan batik.  “Budaya Indonesia dirompak oleh Malaysia.”
Edward Said semasa hayatnya  memang gigih dalam menggalakkan dialog antara budaya, kerana menurut beliau,   persoalan dialog adalah berkait dengan persoalan yang ada kena mengena dengan faham pelbagai budaya dan hubungan antara budaya.  Bagi Said adalah  karut jika dikatakan bahawa budaya Barat mempunyai jenis kewujudan bebas yang berbeza dengan semua budaya lain.  Dari segi sejarah, memang pendapat ini tidak betul: pemalsuan pengalaman manusia dan sejarah manusia.  Beliau memaklumkan bahawa  satu motivasi utama dalam banyak karyanya,  sama ada dalam Orientalism ataupun  The Question of Palestine  adalah untuk mencuba mendedahkan akar umbi sejarah tentang pertembungan antara budaya dalam usaha untuk menggalakkan kemungkinan dialog antara budaya.
 “Dialog juga” tegas Said dalam Power, Politic and Culture:  Interview with Edward W. Said,  “ada kena mengena dengan hubungan antara anggota dalam komuniti yang berbeza di Amerika Syarikat, di luar Amerika, di Eropah, dan sebagainya.”  Walau bagaimanapun,  Said mengingatkan bahawa: “Kita berhadapan  dengan contoh yang tanpa kesudahan bukannya dialog budaya, tetapi pertembungan budaya yang ada kalanya berlumuran darah.  Banyak orang berkata bahawa budaya atau  peradaban pada hari ini terlalu berbeza dan kita terpaksa akur dengan idea bahawa budaya atau peradaban pastinya mengalami pertembungan, bahawa budaya atau peradaban  tidak boleh berhubung, kecuali menerusi penentangan, dan malah kadangkala,  menerusi perhubungan yang bersifat penghapusan. Saya sangat tidak bersetuju dengan idea itu.  Saya fikir sejarah budaya, jika anda mengambil pandangan yang lebih jauh mengenainya, menunjukkan bahawa  sesuatu budaya terbuka kepada setiap budaya.”   
Semasa berucap  di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1988, Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev dengan berani mengemukakan konsep yang wujud sejak beratus-ratus tahun dalam budaya bukan Barat, iaitu “kesatuan dalam kepelbagaian,”  meskipun ketika itu  Tembok Berlin belum runtuh, dan Kesatuan Soviet belum berkecai, dan Perang Dingin belum berakhir. Seterusnya,   badan dunia itu mengisytiharkan tahun 2001 sebagai Tahun Dialog Peradaban. 
Dalam kalangan ahli ekonomi pula, Jeffrey Sachs mengimpikan satu dunia yang bebas daripada belenggu kemiskinan “yang boleh direalisasikan pada zaman kita.” Ini kerana, kemiskinan dan bukannya keganasan yang merupakan punca utama ketidakstabilan dunia. Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz dengan idea  penyusunan semula globalisasi supaya penduduk di dunia maju dan dunia membangun, generasi masa kini dan generasi akan datang semua mendapat manfaat, mengharapkan “sebuah lagi dunia adalah suatu kemungkinan,” bahkan “sebuah lagi dunia adalah perlu dan tidak dapat dielakkan.”   Stiglitz menegaskan: “Kita boleh memiliki ekonomi yang lebih kuat dan masyarakat yang lebih mengutamakan nilai, seperti budaya, alam sekitar, dan kehidupan itu sendiri.”
Apabila Thomas Friedman berkata bahawa “ketika saya tidur, ‘dunia adalah datar’” dan sekali gus menafikan pertemuan Christopher Columbus lebih 500 tahun lalu bahawa dunia ini bulat, tidak dapat tidak, beliau cuba berbicara tentang satu dunia yang “padang permainan sedang disamaratakan.”  Dengan menggunakan metafora, beliau cuba melakarkan landskap sebuah dunia selepas runtuhnya Tembok Berlin, meskipun dari segi empirikal, beliau gagal melakukannya, kerana dunia dari segi ekonomi, politik, geografi, sejarah, dan budaya, masih bulat, manakala padang permainan tidak disamaratakan.
Setelah bertahun-tahun  menyaksikan kemuraman “kesatuan dalam kepelbagaian” dan kelesuan “dialog peradaban” akibat dibayangi oleh perang terhadap keganasan,  Presiden Barack Obama membangkitkan semula mimpi indah tentang satu dunia, iaitu  menghindarkan pertembungan peradaban. Semasa berucap di Universiti Kaherah pada awal Jun 2009,  beliau menyeru supaya  dibuka “lembaran baru” dalam hubungan antara Amerika Syarikat  dengan dunia Islam. Dua bulan sebelum ini, semasa melawat Turki, beliau bercakap dengan nada yang  sama yang ditafsirkan dalam editorial The New York Times sebagai “berakhirnya pertembungan peradaban.”
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak melangkah sedikit jauh,   mengemukakan secara jelas dan penuh imaginasi tentang  gagasan satu dunia:  falsafah nasional, 1Malaysia diperluaskan kepada konsep 1Rantau dan seterusnya 1Dunia.  Ketika menyampaikan  ucap utama dalam persidangan agung UNESCO ke-35 di Paris awal Oktober 2009, Najib dilaporkan mempromosikan  gagasan 1Malaysia kepada dunia yang beliau percaya merupakan satu formula paling jitu untuk mengekal dan menjamin keamanan sejagat pada masa ini dan akan datang.  Beliau  berkata, gagasan 1Malaysia yang diyakini mampu mencapai matlamat “1impian, 1negara,1bangsa” boleh diangkat kepada pelaksanaan konsep 1Rantau, seterusnya 1Dunia, berasaskan falsafah kepercayaan bersama dan hormat menghormati antara semua komuniti.
Najib mengetengahkan semula konsep dialog antara budaya dengan menyatakan kesanggupan Malaysia untuk memainkan peranan dalam mengadakan dialog antara budaya. Beliau juga  menegaskan bahawa  keamanan hakiki hanya boleh dicapai melalui dialog dan bukannya dengan paksaan melalui kuasa hegemoni. Beliau turut memetik kata-kata  profesor Hans Kung, seorang ahli falsafah teologi Jerman bahawa tidak akan ada keamanan di dunia ini jika tiada keharmonian dalam kalangan agama dan budaya dan juga tiada keharmonian antara agama, jika tiada dialog dalam kalangannya. 
“Sesungguhnya,” tegas Najib, “kejahilan, ketakutan, prejudis, dan sikap ambil mudah yang tidak ditangani dengan sewajarnya, merupakan tempat yang subur untuk membiakkan kebencian, sikap melampau, sikap mudah menyerah pada nasib dan sikap fanatik, yang merupakan punca bagi semua penyakit yang melanda dunia hari ini.” 
Mimpi indah tentang satu dunia bukan sahaja belum menjadi kenyataan, bahkan   bertukar menjadi igauan negeri dengan  kejahatan dan kecelakaan  memakai topeng baru. Di mana-mana jua, akibat tergugatnya kesahan atau kedaulatan negara bangsa,  dikatakan bahawa manusia hidup dalam ketakutan, dan  ketakutan  selalunya bukan kaunselor yang bijak.  Penyataan ketakutan ini dalam dua realiti yang jelas seperti yang sering dimaklumkan oleh media, iaitu jenayah dan yang dikenali sebagai persengketaan etnik. 
Manusia hilang tempat berlindung, hilang pegangan, segala-galanya menjadi cacamarba.  Meskipun manusia kini hidup dalam masyarakat berilmu, kejahilan masih bermaharajalela dan banyak mencorakkan hidup mereka. Malah,  seperti yang dikatakan oleh   Goenawan Mohamad dalam bukunya, Tuhan & Hal-hal yang Tak Selesai,   agama seakan-akan tidak mampu memberikan perlindungan: “Semua ditulis di masa yang seperti kita alami sekarang, ketika Tuhan tidak bisa ditolak dan agama bertambah penting dalam hidup orang banyak, memberi kekuatan, menerangi jalan, tapi juga membingungkan dan menakutkan.”
Satu dunia yang rusuh,  suatu perjalanan yang suram. Dan jalan penyelesaiannya bukannya melalui dialog antara  budaya semata-mata. Sesungguhnya, dua perkara yang menguasai dunia sejak dekad terakhir abad ke-20:  globalisasi dan keganasan.  Yang pertama diwarnai  dengan harapan yang sangat indah, manakala yang kedua bergelut dengan bahaya yang sangat dahsyat. Hakikatnya,   “bahagian pertama abad ke-21, jauh lebih sukar, lebih goyah, tetapi lebih terbuka jika dibandingkan dengan apa-apa yang diketahui pada abad ke-20.  Antara premisnya, sistem-dunia moden, sebagai sistem sejarah yang wujud sejak kira-kira 500 tahun lalu, kini memasuki krisis terminal dan mustahil dapat wujud dalam masa 50 tahun lagi.  Seperti yang ditegaskan oleh Immanuel Wallerstein dalam beberapa penulisannya, “kita hidup dalam peralihan daripada sistem-dunia kita yang wujud sekarang, iaitu ekonomi-dunia kapitalis kepada satu lagi sistem-dunia atau sistem-sistem.  Kita tidak tahu, sama ada peralihan ini untuk lebih baik ataupun lebih teruk.”   Tegas beliau lagi, “kita tahu bahawa tempoh peralihan merupakan sesuatu yang sukar: sukar untuk yang berkuasa, sukar untuk orang biasa.”  Oleh sebab peralihan itu memakan masa yang panjang dan sukar, dua persoalan mendepani kita: Apakah bentuk dunia yang pada hakikatnya kita hajati; dan apakah cara atau laluan yang kemungkinannya kita akan ke sana?  Lebih daripada itu, berdasarkan jurang geopolitik pada abad ke-21, timbul persoalan, apakah masa depan dunia ini? Jawapannya, tidak pasti.
Satu dunia memang sebuah gagasan yang indah dari segi konseptual, tetapi di peringkat operasinya masih menempuh jalan buntu.  Hal ini demikian  kerana, realiti sistem dunia-moden, iaitu ekonomi-dunia kapitalis adalah berpaksikan hierarki, tidak seimbang, dan pengumpulan modal tanpa kesudahan, dengan negara  kuat menunjukkan keazamannya terhadap negara lemah  sewenang-wenangnya.  
Selain itu,  sindiran  Goenawan Mohamad dalam bukunya itu mungkin menambahkan lagi rasa pesimistik  dan  putus asa terhadap gagasan satu dunia: “Satu itu palsu. Seperti sapu lidi.  Satu itu palsu, meskipun padat dan pejal.  Mungkin itu sebabnya menara Babel adalah sebuah hikayat tentang kegagalan.”

Tuesday, May 21, 2019

Komoditi Baharu

SELASA, 21 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Daripada  perbincangan Kongres Pustakawan dan Ilmuwan Maklumat Kedua di Universiti Utara Malaysia pada 20-22 Oktober 1986, Ziauddin Sardar, sarjana Islam yang tidak asing lagi telah menghasilkan buku Strategi Dunia Islam Abad ke-21 (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993, RM14.00).
Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, ekonomi maju secara beransur-ansur berubah kepada ekonomi maklumat, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat. Kira-kira 52 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu berkaitan dengan maklumat. Lantaran itu, maklumat dianggap sebagai komoditi baharu bagi ekonomi maju.
Dalam buku ini, Ziauddin Sardar   menekankan peri pentingnya maklumat dalam dunia Islam. Selama tiga dekad pembangunan, banyak maklumat yang muncul di negara perindustrian telah terpisah sama sekali dengan negara Islam dan negara membangun. Negara perindustrian telah memperalat dan memanipulasi maklumat yang merupakan komoditi baharu. Akibatnya, negara Islam dan negara membangun terus bergantung pada dan “dijajah" oleh negara perindustrian.
Maklumat tidak boleh dianggap baik dan tidak pula boleh dianggap buruk. Baik buruk maklumat bergantung pada penggunaannya - gejalanya berpunca daripada angkara manusia sendiri. Maklumat juga tidak bebas nilai. Oleh itu, maklumat Barat mendukung sistem nilai, norma, dan kepentingan mereka.
Dari perspektif Islam, maklumat hanya memberikan  makna apabila maklumat itu berada dalam rangka pengetahuan tentang masyarakat. Oleh yang demikian, strategi
maklumat di dunia Islam harus berusaha menempatkan maklumat dalam konteks ilmu pengetahuan tentang masyarakat dan kebijaksanaan tradisional. Strategi ini mesti mampu memulihkan dan membangunkan peradaban Islam,
Malangnya, menurut  Sardar, di setengah-setengah negara, seperti Iran (semasa pemerintahan Syah), Argentina, Chile, Brazil, Iraq, dan Syria, teknologi maklumat digunakan untuk menindas rakyat jelata dan menegakkan pemerintah kuku besi.
Kemunculan teknologi maklumat juga menyebabkan berlaku pengangguran besar-besaran. Penggunaan pengautomatikan dan komputer boleh menyebabkan beribu-ribu orang menganggur. Tenaga manusia tidak diperlukan lagi dalam proses pengeluaran. Penggantian manusia dengan komputer telah melanggar gagasan keadilan,
Penulis menyarankan bahawa penggunaan teknologi yang cenderung mengendalikan, mengatur, dan memanipulasi fikiran serta pergantungan pada komputer secara berleluasa hingga menafikan keupayaan manusia perlu dihindarkan oleh masyarakat Islam,
Namun demikian, teknologi maklumat akan memberikan manfaat kepada masyarakat Islam sekiranya digunakan sebagai rangkaian dan terpencar. Golongan miskin mampu menangani masalah mereka menjadi lebih autonomi sekiranya maklumat dirancang sebagai pengendali dan pengatur. Teknologi maklumat juga dapat digunakan untuk menyatukan negara Islam, seperti penggunaan komputer untuk  mendukung program membanteras buta mendapat maklumat perubatan, dan sebagainya. Begitu juga yang dapat membuka peluang kepada usahawan untuk mengembangkan kecil.
Dalam konteks penyebaran maklumat di negara Islam dan negara membangun, Sardar menekankan betapa pentingnya industri penerbitan. Penulisan dan penterjemahan buku perlu diutamakan. Para penulis, guru, penyelidik, dan ilmuwan perlu digembleng untuk menghasilkan buku yang bermutu dan yang membahaskan masalah tempatan. Dengan merujuk zaman peradaban Islam, Ziauddin Sardar menegaskan bahawa buku diperoleh dengan mudah dan buku juga merupakan alat yang menyebarkan ilmu pengetahuan dan maklumat. Pada dasarnya, kebudayaan Islam ialah kebudayaan buku.
Di samping itu, penulis menunjukkan kepentingan perpustakaan dan ilmuwan maklumat untuk menyebarkan maklumat. Perpustakaan merupakan agen sosial dan pengantara perubahan. Selain masyarakat bandar, masyarakat desa perlu disediakan kemudahan perpustakaan. Para ilmuwan maklumat Islam pula patut mempunyai kemahiran dan keahlian yang diperlukan untuk mengenal pasti sumber pengetahuan dan maklumat. Ilmuwan maklumat dianggap sebagai pengampang peradaban dan pembekal gagasan.
Untuk mengharungi abad ke-21, penulis mengajak masyarakat Islam khususnya dan masyarakat di negara membangun amnya supaya memanfaatkan maklumat demi kepentingan umat manusia. Masyarakat ini juga diseru supaya memecahkan penguasaan maklumat Barat yang boleh melemahkan dan menghancurkan mereka sendiri. Dengan kata lain, gelombang maklumat memang tidak dapat elak sama sekali. Yang penting, bagai: mana kita harus mengharungi gelombang tersebut.
Buku yang mengandungi pemikiran intelektual yang bernas ini mungkin mengecewakan para pembaca kerana terjemahan dan penyuntingan yang kurang baik.
(Dewan Ekonomi, Oktober 1994.)

Monday, May 20, 2019

Persediaan Mencapai Wawasan 2020


ISNIN, 20 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Mulai penghujung abad ke-20, dunia menghadapi kejutan masa depan, dunia tanpa sempadan, limpahan teknologi maklumat, masyarakat pascakapitalis, dan masyarakat berilmu. Sementara abad ke-21 menanti dengan penuh cabaran dan perlu dihadapi dengan persediaan yang rapi. Dalam konteks Malaysia, Wawasan 2020 mengajak seluruh rakyat memikirkan realiti negara maju bukan sahaja dari segi ekonomi, bahkan dari segi pembangunan masyarakat dan budaya bangsa.
Tidak ada tempat bagi pendekatan pesta yang menjadikan Wawasan 2020 sebagai slogan dan dendangan semata-mata. Begitu juga, tidak ada tempat bagi pendekatan anti-establishment yang menentang Wawasan 2020 kerana Wawasan ini merupakan anjuran dan gagasan kerajaan. Pendekatan pasif yang melihat kesan dan implikasi Wawasan terhadap masyarakat Islam pun perlu dijauhi. Begitulah penegasan Nik Azis Nik Pa dalam Penghayatan Wawasan Pembangunan Negara (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994, RM25.00).
Menurut  beliau, satu-satunya pendekatan yang boleh diamalkan dan dihayati oleh masyarakat ialah pendekatan konstruktif. Melalui pendekatan ini, masyarakat perlu memberikan tumpuan yang beranalisis dan kritis terhadap peranan utama dari segi memahami, mengisi, dan mencorakkan Wawasan 2020.
Masyarakat bertamadun tinggi yang diidam-idamkan oleh Wawasan 2020 tidak akan menjadi kenyataan tanpa didukung oleh budaya kerja yang baik dan canggih. Budaya kerja ini menjadi tunjang kepada pencapaian Wawasan melibatkan tiga kedinamikan, iaitu kedinamikan perubahan, kedinamikan perancangan, dan kedinamikan motivasi.
Menurut Nik Azis Nik Pa, budaya kerja yang perlu menjadi pegangan, khususnya oleh masyarakat Islam ialah penilaian yang tinggi terhadap penguasaan ilmu dan teknologi, dan menyanjung tabiat tekun belajar serta gigih bekerja. Pemilikan budaya kerja seperti ini akan melahirkan masyarakat Islam yang maju.
Sesungguhnya, Wawasan 2020 merupakan cabaran yang hebat kepada masyarakat Islam. Bahkan, berdasarkan perubahan dan cabaran yang sedang menunggu pada abad ke-21, Wawasan 2020 akan menentukan jatuh bangun, maju mundur masyarakat Islam di Malaysia. Tugas mereka semakin mencabar lebih-lebih lagi memandangkan tiada negara Islam di dunia ini yang boleh dijadikan contoh atau model. Mesir, Iran, Iraq, dan sebagainya sedang menghadapi kemelut masing-masing.
Untuk menyahut cabaran tersebut, umat Islam perlu mempunyai kekuatan akidah, ilmu, jihad, dan ijtihad. Tanpa kekuatan tersebut, umat Islam akan tersisih daripada Wawasan 2020 dan tidak dapat membebaskan diri daripada belenggu kemunduran dan kedaifan.
Sesungguhnya juga, tidak ada mudah untuk mencapai Wawasan 2020. Dari segi realiti, pelaksanaan Wawasan 2020 perlu didukung oleh pemikiran yang kritis.  Satu pemikiran yang dapat melihat situasi yang jelas, mengenal pasti  masalah, dan mencari penyelesaian yang sesuai.
Penulis turut menekankan peri  pentingnya sumber manusia yang berkualiti dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian maju, seperti yang diidam-idamkan oleh Wawasan 2020. Sehubungan dengan itu, masyarakat Malaysia perlu berjiwa besar, berfikiran besar, gigih berusaha, berdedikasi, berdaya kreatif, berdisiplin tinggi, mementingkan kualiti, cekap menyesuaikan diri dengan perubahan pesat yang melanda dunia perniagaan.
Memang tidak dapat dinatikan penulis telah menjalankan kajian yang tuntas dalam usahanya menghasilkan buku yang boleh dianggap cemerlang seperti ini. Keupayaan penulis menggabungkan beberapa perspektif, misalnya perspektif pengurusan Barat (walaupun kadangkala dikritik) dan perspetif Islam  patut dihargai. Penulis juga berjaya  melontarkan ideanya dengan bernas dan  kritis. Sebenarnya, banyak pihak menjadi sasaran kritikan beliau. Sesungguhnya, idea seperti ini amat penting untuk mencapai Wawasan 2020.
Namun begitu, Nik Azis telah melakukan kesilapan fakta dalam halaman 138 apabila beliau menyebut “Wawasan 2020 merupakan satu cita-cita tegas untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tiga abad dari sekarang.” Sepatutnya, beliau   menyebut tiga dekad (30 tahun) dan bukannya tiga abad (300 tahun).
Bagi sesiapa sahaja yang tidak mahu tersisih daripada arus Wawasan 2020,  buku ini perlu dibaca dan dihayati. Bagi sesiapa yang mengkritik Wawasan 2020 dengan lantang, buku ini pun patut dibaca. Setidak-tidaknya, dengan membaca buku ini mereka menjadi lebih kritis,  kreatif, dan inovasi.
(Dewan Ekonomi, September 1994.)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...