Artikel Popular

Saturday, April 27, 2019

Masyarakat Berilmu


SABTU, 27 April 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Edisi bahasa Inggeris buku ini diterbitkan oleh Harvard University Press pada tahun 1979, manakala edisi bahasa Melayu, Jepun Nombor 1:  Pengajaran untuk Amerika (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, RM18.00) diterbitkan pada tahun 1994. Memandangkan perbezaan tempoh antara penerbitan edisi asal dengan edisi terjemahan begitu lama, iaitu kira-kira 15 tahun, mungkin persoalan utama dibangkitkan oleh para pembaca ialah adakah buku ini telah ketinggalan zaman?
Jika dilihat dari segi perkembangan semasa, iaitu Jepun masih menari di atas pentas dunia hingga mengagumkan penduduk di buana ini, idea Ezra F. Vogel masih dapat dipertahankan. Kejayaan Jepun dan keunggulan pengurusan ala Jepun telah banyak diperkatakan. Perkara pokok di sebalik kejayaan dan keunggulan itu ialah kegigihan rakyat Jepun menimba ilmu pengetahuan, seperti ditegaskan oleh Vogel.
Kegigihan mereka untuk menimba ilmu pengetahuan telah meletakkan Jepun sebagai sebuah negara yang mempunyai daya saing yang kebal dan tidak mudah digugatgagitkan oleh mana-mana negara di buana ini. Bahkan, Amerika Syarikat yang menyebabkan Jepun tersungkur dalam Perang Dunia Kedua,. kini terpaksa akur dan melutut kepada Jepun. Jika ketika perang itu  tentera Jepun berkeliaran di Asia Tenggara, kini barang keluaran Jepun pula membanjiri bukan sahaja rantau Asia Tenggara, malahan seluruh pelosok dunia.
Sebenarnya, saranan Daniel Bell dan Peter Drucker bahawa masyarakat pascaperindustrian (kini Drucker menyebut masyarakat pascakapitalis) ialah masyarakat berilmu telah mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan tokoh terkemuka Jepun. Malahan, para sarjana Amerika yang terkemuka yang dianggap paling inovatif memikirkan masa depan, seperti Herman Kahn, Peter Drucker, John Kenneth Galbraith, dan Daniel Bell telah diberi masa dan perhatian yang lebih banyak oleh ahli perniagaan di Jepun jika dibandingkan dengan Amerika.
Jepun telah meletakkan iltizam yang tinggi terhadap usaha menimba pengetahuan secara berkumpulan. Oleh yang demikian, setiap lapisan rakyat, organisasi, kerajaan, swasta, kota, dan desa telah digembleng  untuk menimba ilmu dan maklumat.
Sehubungan dengan itu, rakyat Jepun mempunyai minat dan kegemaran membaca yang tinggi. Mereka menghabiskan masa yang banyak untuk membaca buku, akhbar, dan majalah. Dalam bidang ilmu yang boleh dikatakan tidak terbatas, banyak terbitan bersiri dihasilkan supaya menjadi sumber maklumat bagi pakar Jepun. Setiap tahun, hampir 30,000 judul buku baharu telah diterbitkan, dan sejak Perang Dunia Kedua (hingga tahun 1970-an, kira-kira 150,000 judul telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun.
Sementara televisyen pendidikan mendapat peruntukan yang paling banyak,
dengan sebahagian rancangan kepada pendidikan asas dan bukannya  hiburan elit.
Jepun juga amat gigih menghantar kakitangan ke luar negara semata-mata untuk menimba pengetahuan. Misalnya, Kementerian Kewangan menghantar pegawai muda ke luar negara untuk mengkaji sistem cukai, undang-undang  cukai, pentadbiran, perniagaan, ekonomi, dan sebagainya. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), menghantar  pegawainya ke luar negara ketika Jepun mengantarabangsakan perdagangannya
Pakar asing, terutamanya yang berpengetahuan luas diundang supaya memberikan ceramah, menulis atau mengunjungi Jepun. Masyarakat Jepun amat  menghargai sumbangan intelektual mereka. 
Sesungguhnya,  banyak lagi kegigihan Jepun menimba ilmu telah dikemukakan dalam buku ini. Secara ringkas, dapat dikatakan bahawa rakyat Jepun menimba ilmu sepanjang hayat mereka.
Hasil kegigihan tersebut Jepun dikatakan mempunyai kelebihan bersaingan dari segi pendidikan yang berjaya melahirkan masyarakat berilmu. Dengan kata lain, Jepun mengutamakan pembangunan manusia. Jepun telah memandang jauh ke hadapan bahawa masyarakat pasca perindustrian dan pasca kapitalis ialah masyarakat berilmu untuk menggantikan modal sebagai sumber terpenting.
Meskipun Vogel mengehadkan buku ini kepada pengajaran untuk Amerika, namun negara-negara lain patut menimba pengalaman Jepun. Kejayaan Jepun telah mendorong kita supaya memikirkan bahawa faktor pengeluaran, seperti sumber asli dan modal tidak lagi penting, sebaliknya ilmu pengetahuan. Apakah negara yang rakyatnya kurang minat membaca, dan oleh itu, kurang meminati ilmu dapat mengikuti jejak Jepun?
Walaupun banyak negara mengagumi Jepun,  satu persoalan ialah sampai bilakah Jepun terus menari di atas pentas dunia? Apakah suria akan terbenam jua? Sejarah membuktikan dalam persaingan antarabangsa, Amerika Syarikat telah menyingkirkan British, manakala Amerika Syarikat pula disingkirkan oleh Jepun.
 (Dewan Ekonomi, Jun 1994.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...