Artikel Popular

Thursday, April 18, 2019

Kefahaman Ekonomi


KHAMIS, 18 April 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Buku ini yang kata pengantarnya ditulis oleh Tun Daim Zainuddin mengandungi beberapa konsep ekonomi. Penulisnya, Mustapa Mohamed telah menyampaikan beberapa konsep ekonomi dengan cara yang semudah mungkin. Beliau juga berjaya mengemukakan konsep ekonomi yang dapat memenuhi keperluan masa kini dan cuba mencorakkan selera pembaca pada masa depan. Ini dapat dibuktikan dengan penekanan penulis terhadap setengah-setengah konsep tertentu.
Dalam Bab 1 Kefahaman Ekonomi: Untuk yang Memimpin dan yang Dipimpin (Cahaya Pantai Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1993, RM12.00),   penulis menitikberatkan kepentingan ilmu pengetahuan, pengurusan, dan tingkat teknologi sebagai faktor pengeluaran berbanding dengan sumber asli dari segi meningkatkan taraf hidup di sesebuah negara. Ini bermakna bahawa ilmu pengetahuan, pengurusan, dan tingkat teknologi akan menjadi nadi kepada kelebihan bersaingan sesebuah negara.
Seterusnya, Mustapa memperkenalkan dua konsep untuk mengukur pendapatan negara, iaitu Keluaran Negara Kasar (KNK) dan Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK). Beliau  juga menegaskan bahawa dalam menganalisis pertumbuhan ekonomi, konsep KDNK sebenar lebih tepat digunakan. Selain itu,  beliau  membahaskan bahawa konsep pendapatan per kapita amat penting dari segi pengukuran taraf hidup atau kebajikan di sesebuah negara. Penulis turut meletakkan kepentingan kuasa beli pendapatan untuk mengukur taraf ekonomi sesebuah negara.
Bab 4,  antara lain, Mustapa  membincangkan indeks harga pengguna (IHP) dan wajaran untuk mengukur kenaikan harga dan perbelanjaan terhadap sesuatu barang.
Dalam bab ini beliau juga membincangkan kadar pengangguran di Malaysia yang semakin berkurangan antara tahun 1986-93. Kadar pengangguran di Malaysia (1991-93), lebih rendah daripada Amerika Syarikat dan United Kingdom, walaupun agak tinggi daripada Jepun.
Bab 5-8 membincangkan perdagangan dan kewangan antarabangsa. Mustapa cuba membahaskan bahawa semakin maju ekonomi sesebuah negara, maka semakin perlu keterbukaan ekonominya. Oleh yang demikian, secara tidak langsung, beliau  cuba menafikan bahawa pergantungan dan keterbukaan ekonomi yang menyebabkan kemunduran, seperti yang pernah dilaung-laungkan oleh ahli-ahli ekonomi radikal.
Bab 9 membincangkan dasar fiskal dan dasar kewangan. Dalam bab ini penulis mengemukakan cara bagaimana dasar fiskal dapat membendung inflasi. Sementara dasar kewangan dilaksanakan untuk mengawal permintaan di sesebuah negara demi memastikan pertumbuhan ekonomi tanpa mewujudkan inflasi yang tinggi dan masalah pengangguran.
Sementara sumber pendapatan dan perbelanjaan kerajaan Malaysia dibincangkan dalam Bab 10. Seterusnya, bab ini membincangkan peranan bank pusat, iaitu Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan. Sebagaimana Bab 2, ekonomi Islam, iaitu perbankan tanpa faedah turut ditonjolkan. Dalam bab ini, peranan Bank Islam Malaysia, di samping bank perdagangan dan bank saudagar telah dibincangkan. Sebagai lanjutan Bab 11, wang dan penawaran wang dibincangkan dalam Bab 12, manakala pasaran modal dan pasaran saham dibincangkan dalam Bab 13. Dalam bab ini, latar belakang dan peranan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) turut diulas oleh Mustapa.
Bab 14, mungkin bab yang paling menarik jika dilihat dalam konteks semasa ialah petua pelaburan saham, misalnya pelaburan portfolio dan nisbah harga-perolehan. Sementara dalam bab terakhir, iaitu Bab 15, penulis mengemukakan satu pandangan yang positif tentang ekonomi Malaysia jika dilihat dari segi kadar pertumbuhan dan sumbangan mengikut sektor. Sebenarnya buku ini bukan setakat memperkenalkan konsep ekonomi. Sebaliknya, penulis telah mengaitkan sesetengah konsep dengan isu-isu ekonomi semasa. Misalnya, bagaimana Malaysia dapat mengekalkan dan meningkatkan kelebihan bersaingan pada masa depan dengan mengambil kira beberapa faktor kritikal, seperti teknologi canggih, kekurangan buruh, dan kemunculan negara perindustrian baru (NPB).
Begitu juga dengan kesan kenaikan nilai yen Jepun terhadap ekonomi Malaysia, sama ada positif mahu negatif. Mustapa telah mengemukakan satu analisis yang menarik tentang kenaikan nilai yen dan kesannya terhadap ekonomi Malaysia.
Isu “kerugian kertas" yang dialami oleh Bank Negara Malaysia yang menjadi perhatian umum pada bulan Mac tahun lalu turut dijelaskan dan dijawab oleh Mustapa  dengan mengemukakan beberapa alasan yang konkrit berdasarkan konsep ekonomi.
Tidak dapat dinafikan bahawa penulis telah mencapai matlamatnya, iaitu mengemukakan konsep ekonomi untuk difahami oleh ahli-ahli politik dan orang ramai. Konsep ekonomi telah diolah dan disampaikan dengan menarik kerana penulis mengaitkan konsep tersebut dengan contoh dan isu tertentu. Oleh yang demikian, penulisan buku ini tidak menjemukan pembaca.

(Dewan Ekonomi, Februari 1994.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...