ISNIN, 27 Mei 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Malaysia telah menyambut Hari Kemerdekaan ke-43 dan
bendera Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh tanah air. Sesuai dengan tema,
“Keranamu Malaysia,” ditegaskan betapa pentingnya kestabilan serta perpaduan
dan diperingatkan bahaya perkauman. Penegasan dan peringatan itu memang wajar kerana
satu demi satu ketidakpastian berlaku di Malaysia dan di dunia. Jika ketidakpastian
berleluasa, nescaya situasi itu akan mengundang ketidakstabilan. Misalnya, ketidakpastian
dari segi perkauman dan perpaduan kaum setelah 43 tahun merdeka dan setelah
rakyat serta negara amat bersemangat menyambut alaf baharu.
Walaupun
Malaysia sentiasa disebut sebagai negara yang aman dan stabil dan rakyatnya
pula hidup harmoni tanpa mengira keturunan dan anutan agama, sekali-sekala tercetus
perkauman dan perpaduan tergugat. Ketegangan ini bukannya dicetuskan oleh
golongan bawahan, tetapi oleh segelintir individu atau kumpulan yang terpelajar
dan lebih bijaksana. Meskipun golongan ini memang arif tentang kepekaan dan
perasaan setiap kaum di negara ini, mereka sengaja dengan pelbagai alasan yang retorik
dan bersifat meminta maaf membangkitkan
isu tertentu.
Ketegangan
yang tercetus sekali-sekala mencerminkan bahawa perpaduan kaum dibuat-buat dan
tidak didukung oleh asas yang kukuh. Banyak asas yang kukuh yang dibina sejak
merdeka, tetapi kian dilupakan. Misalnya, Rukun Negara yang diperkenalkan pada
tahun 1970-an sebagai ekoran Peristiwa 13 Mei, kini jarang-jarang disebut, apatah lagi dihayati.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun 1971 mengalami nasib
yang sama kerana sering dibayangi oleh kejayaan (dan kegagalan) Dasar Ekonomi
Baru (DEB).
Malahan,
Dasar Bahasa Kebangsaan yang merupakan teras perpaduan dan semakin mantap, mula
tergugat sejak tahun 1993, apabila kerajaan
membenarkan kursus sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi diajarkan
dalam bahasa Inggeris. Sejak itu, kedaulatan bahasa kebangsaan kian tercabar bukan sahaja dalam bidang
pendidikan, tetapi bidang lain, termasuk dalam urusan rasmi dan media.
Memang
benar bahawa di Malaysia, perbezaan budaya bukan sahaja diterima, malahan
dihayati, seperti iklan yang disiarkan pada kaca televisyen menjelang Hari
Kebangsaan ke-43. Namun begitu, penerimaan dan penghayatan itu tidak perlu
ditonjolkan berlebih-lebihan sehingga mengorbankan yang hakiki, iaitu bahasa. Apabila
satu bahasa sahaja ditonjolkan dalam iklan tersebut dan seperti, “ayam bercakap
dengan itik,” maka wujudlah gambaran bahawa kaum tertentu yang terpaksa
berkorban demi toleransi.
Dari
segi yang lain, hak keistimewaan orang Melayu dicabul oleh orang Melayu sendiri
yang terdiri daripada pemimpin, birokrat, cendekiawan, dan ahli korporat.
Golongan ini tidak menunjukkan iltizam dan teladan tentang cara memupuk dan
mempertahankan hak keistimewaan dari semasa ke semasa. Misalnya, demi
kepentingan ekonomi, sains, dan teknologi, kedaulatan bahasa kebangsaan
diperlekeh dengan sewenang-wenangnya. Tindak-tanduk orang Melayu sendiri yang mudah leka dan lupa daratan melemahkan kedudukan
hak keistimewaan tersebut.
Sebenarnya,
Datuk Davi Chua dan Suqui merupakan pendatang baharu yang sekadar mempersoalkan
dan bukannya mengkhianati hak keistimewaan orang Melayu. Orang Melayu yang
berfikiran waras dan rasional sepatutnya berterima kasih kepada David Chuan dan
Suqui kerana rela membangkitkan isu itu tanpa berselindung. Setidak-tidaknya
mereka membangunkan orang Melayu daripada tidur nyenyak dan dibuai mimpi alaf baharu yang menjanjikan kehadiran “dewa”
baharu.
Jalur Gemilang akan terkoyak dan lampu akan terpadam
sekiranya yang hakiki sentiasa diremehkan.
“Keranamu Malaysia” bergantung pada kedaulatan bahasa dan penghayatan
kebudayaan kebangsaan. Jika perkauman ingin dibanteras dan perpaduan ingin dipupuk,
bahasa dan kebudayaan kebangsaan perlu diletakkan di landasan yang betul
sebelum majoriti senyap semakin meluat dan terus menyisihkan diri mereka
daripada arus perdana.
(“Memo Ketua Editor,” Dewan
Budaya, Oktober 2000.)
No comments:
Post a Comment