Artikel Popular

Sunday, May 5, 2019

Sekolah, Media, dan Kapitalisme Globalisasi


AHAD, 5 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Kejadian pelajar membakar sekolah, memukul guru, dan memeras ugut dan memukul pelajar lain, bukan sahaja ditafsirkan, malahan disebut dengan  istilah yang berbeza-beza. Sesetengah pihak menyebut gangsterism yang menurut Kamus Inggeris Melayu Dewan, bermaksud kegiatan gengster dan gengster pula bermaksud kumpulan penjenayah atau samseng. Oleh sebab sebutan tersebut agak keras dan mungkin tidak sesuai dengan perbuatan, ada pihak menyebut salah laku. Walau apa-apa pun sebutannya, hakikatnya, benih keganasan mula subur di sekolah.
Keganasan di sekolah berlaku juga di Amerika Syarikat, malahan lebih dahsyat kerana melibatkan penggunaan senjata api. Misalnya, Don Foresta, dalam “World Trade, Media, and Culture,” mempersoalkan jenis teladan yang ditunjukkan kepada pelajar sejak 30 tahun sehingga mereka begitu berani menggunakan pistol di sekolah. Grace Lee Boggs lebih lantang mengemukakan kritikannya dalam “School Violence: A Question Place” kerana beliau menyalahkan kapitalisme globalisasi yang menyebabkan berlakunya keganasan di sekolah.
Kedua-dua makalah tersebut ada kaitannya dengan salah laku pelajar di Malaysia. Sekolah, media, barangkali kapitalisme globalisasi, menyebabkan salah laku di sekolah. Memang benar bahawa mustahil sekolah dapat melahirkan semua pelajar yang berakhlak melalui pendidikan  Islam dan moral. Pastinya, wujud segelintir yang salah laku dan ganas. Walau bagaimanapun, mengapa pelajar yang terlibat begitu berani menunjukkan salah laku di sekolah mereka sendiri, iaitu tempat mereka dididik? Benarkah sekolah sekadar tempat menjaga remaja”?
Sekolah di negara ini kurang menumpukan perhatian terhadap aktiviti budaya kerana kecemerlangan sekolah diukur dari segi pencapaian akademik. Hanya sekolah yang gigih sanggup berusaha mengadakan aktiviti budaya. Untuk menjalankan aktiviti ini, pihak sekolah terpaksa mencari peruntukan sendiri, melalui pungutan derma. Akibatnya, aktiviti budaya diabaikan dan bakat  pelajar dalam bidang ini tidak dipupuk.
Sudah pasti, media banyak mempengaruhi tindak-tanduk dan kelakuan pelajar. Apabila saban hari media menyiarkan  berita keganasan, nescaya sebilangan pelajar akan terpengaruh. Tanpa keganasan, seks, dan hiburan, pasti media menjemukan khalayak yang lebih berminat terhadap keseronokan atau hedonisme.
Anehnya, setiap kali keganasan berlaku, media meletakkan kesalahan pada pihak lain, seperti sekolah, ibu bapa, pelajar, dan masyarakat. Media jarang-jarang menyebut benih keganasan yang ditabur  dan dibajai sehingga subur dan akhirnya mempengaruhi pelajar supaya salah laku, malahan melakukan keganasan.
Tanpa disedari, kapitalisme globalisasi turut mempengaruhi salah laku pelajar. Kapitalisme globalisasi menghakis sifat cakna dalam kalangan masyarakat dan kesedaran tempat. Menurut Brogg, kesedaran tempat menggalakkan masyarakat berkumpul demi kepentingan bersama, berkongsi pengalaman setempat, dan meletakkan harapan masa depan untuk masyarakat dan bandar mereka. Dengan itu, mereka lebih cakna terhadap segala yang berlaku di sekeliling mereka, seperti jenayah dan keganasan. Mungkin kapitalisme globalisasi telah mencemari masyarakat penyayang dan satu petandanya ialah salah laku pelajar.
(“Memo Ketua Editor,” Dewan Budaya, Ogos 2000.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...