Artikel Popular

Monday, August 1, 2011

China dan India Cabul Hak Asasi Manusia, Tetapi Ekonomi Maju

SELASA,  2 Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


China dan India merupakan dua buah negara, di samping Brazil dan Rusia dalam BRIC, iaitu konsep yang diperkenalkan oleh  Goldman Sachs kira-kira 10 tahun lalu, bahawa empat negara daripada pasaran sedang muncul ini akan memainkan peranan baru dan lebih bertenaga dalam ekonomi global. 

Dalam isu 2010, keluaran akhir Disember, Newsweek antaranya memuatkan makalah Jim O'Neill "BRIC are Still on Top" bahawa "sesungguhnya, hari ini, kita fikirkan bahawa Keluaran Dalam  Negara Kasar (KDNK) gabungan negara BRIC mungkin melebih negara G7 pada tahun 2027, kira-kira 10 tahun lebih awal daripada yang kami percayakan pada mulanya."  Kini, melangkah pantas ke tahun 2020, tegas O'Neill, "pada masa itu China akan berkemungkinan mewakili kira-kira 15 peratus KDNK global, dan India kira-kira  antara lima hingga 10 peratus KDNK, yang meletakkan kedua-dua buah negara itu menghampiri kedua-duanya, iaitu Amerika Syarikat dan  Eropah dari segi saiz ekonomi."  Ketika dunia dilanda kemelesetan, banyak negara terjebak, China dan India masih dapat mengharungi keadaan yang cukup getir itu. China kini mengetepikan Jepun untuk menduduki tempat kedua ekonomi terbesar dunia. 

Di sebalik semua kejayaan ekonomi itu, kedua-dua negara berkenaan, iaitu China dan India, sering menjadi sasaran kritikan kerana pencabulan terhadap hak asasi manusia.  Ketika Perdana Menteri China, Wen Jiabao melawat beberapa buah negara Eropah akhir Jun lalu, dilaporkan bahawa negara Eropah juga berhadapan dengan tugas yang halus dalam menyatakan keprihatinan Barat tentang sekatan  China terhadap hak politik dan agama warganegaranya, terutamanya tindakan keras terhadap penentang, dengan menahan berbelas-belas aktivis, penyokong hak asasi manusia, dan sami Tibet.  Kerajaan Kesatuan Eropah membangkitkan keprihatinan tentang kes tersebut, tetapi pegawai China menjadi semakin tidak sbar dengan tekanan Barat berhubung dengan hak asasi manusia, yang mereka kata sama sahaja dengan campur tangan yang tidak munasabah.


Semasa melawat Britain, Perdana Menteri Wen Jiabao memberikan kata dua kepada Perdana Menteri Britain, David Cameron, "jangan cuba mengajar China tentang hak asasi manusia" selepas kedua-dua pemimpin menandatangani  perjanjian perdagangan yang bernilai 1.4 bilion paun sterling.  Seperti yang dilaporkan oleh The Independent, David Cameron  menghadapi tindakan keseimbangan yang rumit dalam memenangi perniagaan baru untuk pengeksport British dan pada masa yang sama, membangkitkan rekod hak asasi manusia kerajaan Beijing yang sangat dikesali.  Dalam sidang akhbar bersama di Pejabat Luar, beliau cuba merukunkan dua isu dengan menegaskan bahawa hak asasi yang lebih baik akan membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi.  Beijing dilaporkan mengetepikan potensi halangan besar untuk perbincangan dengan membebaskan artis Ai Wei dan pencinta alam sekitar Hu Jia atas jaminan beberapa hari sebelum Perdana Menteri Wen tiba di Britain.  China yang tidak mudah tunduk pada tekanan asing, sekali lagi memperlihatkan ketegasannya, seperti yang dinyatakan oleh Wen Jiabao:  "Kedua-dua negara sepatutnya menghormati antara satu sama lain, menghormati fakta, melayan antara satu sama lain dengan sama, menyertai lebih banyak kerjasama dan bukannya menuding jari, dan menyelesaikan perbezaan kita menerusi dialog."


Lawatan Perdana Menteri Wen Jiabao ke Eropah itu, menurut perhatian Timothy Garton Ash, mengambil peluang daripada krisis di benua itu.  China, tegas Garton Ash, dari segi ekonomi, gergasi yang dinamik; ketenteraan, akan muncul sebagai yang terkuat; politik? itu cerita lain.  "Tiada satu pun daripada tiga wajah kuasa China ini, iaitu ekonomi, ketenteraan, dan politik boleh dipisahkan antara satu sama lain.  Semuanya berubah."  Walau bagaimanapun, tegas beliau, "kebenaran keras adalah pengaruh pihak luar terhadap pembangunan kuasa besar yang sedang muncul ini adalah terhad.  Justeru, kita perlu menjaga rumah tangga kita sendiri, memerhatikan dengan teliti, dan berharap.


Garton Ash dalam tulisannya itu turut menyentuh layanan China  terhadap golongan minoriti di negara itu dan penahanan  Ai Wei - pencabulan hak asasi manusia, tetapi menyatakan kejayaan China membebaskan berjuta-juta orang rakyatnya keluar daripada kemiskinan.  Pada pandangan negara membangun di seluruh dunia,  model kapitalisme yang diuruskan oleh negara yang diamalkan di negara itu merupakan cabaran ideologi terhadap model kapitalisme pasaran bebas liberal yang kini bergelut dengan krisis.


Tatkala Amerika Syarikat dan Eropah masih terhegeh-hegeh untuk mengejar pertumbuhan, China terus mara jauh ke hadapan.  Dalam suku kedua 2011, China mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan, iaitu 9.5 peratus, meskipun rendah  sedikit daripada suku pertama, dengan  pertumbuhan 9.7 peratus.  Sebaliknya, ekonomi terbesar dunia, iaitu Amerika Syarikat dalam suku tahun kedua hanya tumbuh pada 1.3 peratus, manakala United Kingdom dengan pertumbuhan 0.2 peratus dalam tempoh yang sama.  




Pastinya, seperti yang dibahaskan kolum "The Curious Capitalist"  oleh Michael Schuman,  China berhadapan dengan tekanan ekonomi yang sama, seperti yang dialami oleh Amerika Syarikat.  Sesetengahnya mudah, hasil perkembangan semula jadi China meluap pembangunan.  Yang  lain, berpunca daripada kesilapan dasar, bahkan sama seperti yang dilakukan oleh Barat sebelum krisis kewangan tahun 2008.  "Semua tekanan baru ini adalah serius, dan jika tidak ditangani dengan betul, boleh menjejaskan perjalanan kemajuan ekonomi China."  Pastinya juga, China tidaklah sempurna segala-galanya, seperti yang ditegaskan dalam keluaran terbaharu The Economist, "kedua-duanya, iaitu Amerika dan China nampaknya menanggung kesengsaraan krisis kepercayaan politik."


Sebagaimana China, India yang mencipta kejayaan ekonomi, tidak terlepas daripada pelbagai kritikan,  misalnya yang terbaharu dala Sophie Elmhirst, Arundhati Roy:  'Every Day, One is Insulted in India'."  Seema Sengupta yang menulis dalam The Guardian baru-baru ini mendedahkan bahawa rekod hak asasi India bermain sandiwara demokrasi negara itu.  Agen-agen kerajaan kelihatan bersaing dengan penjahat untuk memperlihatkan siapa yang mampu mengijak-ijak lebih kuat terhadap hak warganegara.  India, tegas Seema Sengupta, ialah negara leka dalam memerangi keganasan dan menindas pemberontakan tempatan sekejap-sekejap.  Negara itu juga menyaksikan peningkatan pencabulan hak asasi manusia, yang kerajaan kelihatan dengan gembira endah tak endah dalam pencegahan.  Beliau memetik Asian Centre for Human Rights yang menunjukkan peningkatan dalam kes kematian dalam penjagaan pihak berkuasa sebanyak 41.66 peratus sepanjang dekad lalu, termasuk 70.72 peratus dalam penjara dan 12.60 peratus dalam penjagaan polis. "Sememangnya, paradoks bahawa negara demokrasi terbesar dicemari dengan kes yang kerap dari segi penahanan haram, penyeksaan, pelaksanaan hukuman mati luar bidang kehakiman, dan lenyap secara paksa."


Walau apa-apa pun keburukan India dari segi pencabulan hak asasi manusia, yang nampaknya "satu kapal" dengan China, namun kedua-dua negara itu maju dari segi ekonomi.  "India takluki dunia," tulis Joel Kotkin dalam Newsweek.  Selepas gerhana yang panjang, negara purba itu akhirnya kembali sebagai kuasa dalam perniagaan dan budaya global.  Dengan pertumbuhan ekonomi kira-kira lapan peratus setahun untuk dekad lalu, lebih dua kali kadar pertumbuhan Amerika Syarikat,  pengaruh India terus-menerus menjadi kuat.  Kebanyakan ahli ekonomi meramalkan bahawa pada 2025, negara itu akan memintas Jepun untuk muncul sebagai ekonomi ketiga terbesar di dunia.   


Dalam tulisannya itu, Kotkin membahaskan bahawa India lebih dinamik jika dibandingkan dengan mana-mana negara utama yang lain dari segi dem-o-graph-ic juga.  Penduduknya hari ini ialah 1.21 bilion, tempat kedua hanya selepas China yang mempunyai penduduk 1.3 bilion, dan terima kasih kepada dasar seorang anak yang dilaksanakan di China, maka bilangan penduduk India dijangkakan melebihi China pada akhir tahun 2020-an.  Ketika itu, penduduk India dijangkakan 1.4 bilion berbanding dengan China 1.39 bilion. 


Diaspora China dan India banyak memberikan sumbangan kepada ekonomi negara masing. Selain diaspora India yang yang terus-menerus merupakan salah satu sumber paling penting modal asing, filem Bollywood yang secara keseluruhannya untuk penggunaan domestik, jualan asing untuk filem ini menjadi signifikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.  Dengan pasaran besar di negar diaspora utama, kini filem dan tayangan  televisyen Bollywood menguasai yang dianggarkan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion dari luar negara.  Pencapaian ini meletakkan industri filem India menduduki tempat kedua selepas Hollywood.


"Namun, balik ke India," tulis Kotkin, "keadaan masih teruk, meskipun negara itu mencapai kemajuan beberapa tahun kebelakangan ini.  Tempoh hayat purat di Mumbai cukup-cukup 56 tahun.  Dan, kemiskinan di seluruh negara masih pada tahap yang mengejutkan, dengan empat orang dalam 10 orang India hidup dengan pendapatan kurang AS1.25 sehari."


Angka terbaharu Bank Dunia menunjukkan Harimau mungkin mengatasi Naga pada tahun 2012.  Angka itu meramalkan pertumbuhan China akan menjadi perlahan, daripada 8.7 peratus pada 2011 kepada 8.4 peratus tahun depan.  Sementara India, akan bergerak pantas, dengan pertumbuhan daripada 8.4 peratus kepada 8.7 peratus. 




Dengan kestabilan kadar peningkatan pertumbuhan ekonomi di India yang baru-baru ini kira-kira lapan peratus dan dijangkakan sembilan peratus tahun ini, maka banyak spekulasi tentang, sama ada dan bila India menyaingi dan mengatasi China yang kadar  pertumbuhannya lebih 10 peratus.  Namun, Amartya Sen yang menulis dalam The New York Review of Books pada Mei lalu, mengingatkan bahawa agak mengarut terlalu memikirkan India mengatasi China dari segi kadar pertumbuhan KDNK, sedangkan tidak membandingkan kedua-dua negara itu dari aspek lain, seperti pendidikan, kesihatan asas, atau jangkaan hayat.  Pertumbuhan ekonomi pastinya, boleh memberikan sumbangan yang besar terhadap kemajuan taraf hidup dan memerangi kemiskinan.


Meskipun  China dan India sering dianggap mencabuli hak asasi manusia, kemajuan ekonomi yang dicipta oleh kedua-dua negara itu cukup mengagumkan, lalu boleh memadamkan pandangan sinis tentang pencabulan tersebut.  Dengan pencapaian ekonomi yang sedemikian rupa, kedua-duanya, iaitu China dan India memberitahu Barat yang suka menyibuk, "jangan cuba mengajar kami tentang hak asasi manusia."  Tanpa kemajuan ekonomi, hak asasi manusia tidak akan membawa apa-apa makna.  Lagipun, kedua-dua negara yang dituduh mencabuli hak asasi manusia memberikan sumbangan yang besar terhadap ekonomi global, terutamanya China ketika dunia dilanda kemelesetan pada tahun 2008 - 2009.  Tanpa kebingkasan China dan India, dunia mungkin belum dapat keluar daripada kemelesetan yang terburuk sejak Perang Dunia Kedua.  Antara teriakan hak asasi manusia dengan tangisan kelaparan, mana satu yang penting jika terpaksa membuat pilihan: China dan  India telah memberikan jawapan yang jelas lagi terang.





















No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...