Artikel Popular

Saturday, August 27, 2011

Pelarian di Aidilfitri

JUMAAT,  26  Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Kolonel Muammar Gaddafi,  pada suatu ketika boleh diibaratkan singa padang pasir yang sentiasa mengaum, dengan  sasarannya  sistem monarki di dunia Arab, kolonial, dan  Israel. Beliau juga dikenali sebagai sebagai  nasionalis dan sosialis. Beliau bukan sahaja selamat daripada beberapa komplot untuk menggulingkannya, tetapi juga selamat daripada serangan  tentera Amerika ke atas kediamannya pada tahun 1986 atas arahan Presiden Ronald Reagan, yang mengorbankan anak angkatnya, Hana yang  dilaporkan oleh Irish Times semalam, masih hidup.  


Gaddafi, orang yang ingin menjadi raja Afrika, meskipun beliau antimonarki,  dan  seperti yang dinyatakan oleh Yoshie Furuhashi, jauh terserlah jika dibandingkan  dengan Saddam Hussein:  menggulingkan monarki Raja Idris, menyingkirkan  pangkalan tentera United Kingdom dan Amerika Syarikat dari bumi Libya, memiliknegarakan sumber asli negara, membina negara kebajikan.  Libya di bawah Gaddafi mengambil daya usaha embargo minyak menentang sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel ketika Perang Yom Kippur.  Namun, Furuhashi juga membangkitkan bahawa Gaddafi dari segi amalannya nyanyuk, membiarkan anak-anaknya dan orang gaji (retainers) mengorek negara Libya, dari segi politik dan ekonomi, dari segi sosial dan budaya.


Mesikpun terkenal dengan sikap anti-Barat, Gaddafi akhirnya  berbaik-baik dengan beberapa pemimpin Barat, yang kesemuanya berjaya beliau masukkan  "ke dalam sakunya."   Tidak kira apakah jenayah yang dilakukan oleh pemimpin Libya terhadap rakyatnya sendiri atau terhadap dunia.  "Akan tetapi," hujah Christopher  Dickey, "yang benar-benar mengganggu ialah jadual pemimpin dunia yang beliau tolong untuk mendapatkan bantuan sebagai rakan  enablers beliau:   Tony Blair, Nicolas Sarkozy, Silvio Berlusconi, Gordon Brown,  dan bahkan  George W. Bush. 


Apabila kawasan kediamannya dikuasai oleh tentera pemberontak beberapa hari lalu,  antara yang ditemui ialah album yang mengandungi gambar foto bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat,  Condoleezza Rice, yang pernah melawat  Tripoli pada tahun 2007.  Penemuan album itu memang tidak memeranjatkan kerana Gaddafi  mengakui bahawa beliau memang  meminati Condoleezza yang dipanggilnya, "Leezza."  Sempena lawatan bersejarah itu kerana Condoleeza merupakan Setiausaha Negara pertama mengadakan lawatan ke sana sejak tahun 1953, Gaddafi menghadiahinya  cenderamata yang dianggarkan bernilai AS$212,000, termasuk cincin berlian dalam kotak kayu.


Tidak berapa lama selepas Amerika Syarikat, Britain, Perancis, dan Nato melancarkan serangan terhadap Libya, Gaddafi mengirimkan surat kepada  Presiden Barack Obama supaya menghentikan apa yang beliau anggap "perang tidak adil," dan berharap Obama bernasib baik untuk menghadapi Pilihan  Raya Presiden pada tahun hadapan.  Kemudian, Gaddafi dilaporkan  mengirimkan surat kepada Kongres, menyatakan terima kasih kepada anggota Kongres kerana mengkritik Presiden Obama yang melancarkan serangan ke atas negaranya tanpa kelulusan Kongres.  Dalam keadaan terdesak untuk menyelamatkan rejim, Gaddafi, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian dua hari lalu, cuba mempengaruhi Amerika Syarikat dan pendapat dunia kerana menjangkakan pencerobohan besar-besaran oleh Nato akan dilancarkan "akhir September atau Oktober." 


Kini, segala-galanya berakhir untuk Gaddafi. Sesebuah demi sebuah negara, bahkan dari Afrika dan dunia Arab mengiktiraf Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) sebagai kerajaan sah Libya, kecuali Afrika Selatan yang masih enggan berbuat demikian.  Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melepaskan aset Libya AS$1.5 bilion  yang dibekukan sebelum ini.  United Kingdom mempertimbangkan untuk melepaskan sebahagian daripada aset Libya di Britain  yang dibekukan yang dianggarkan  12 bilion paun sterling.   Sebagai menandakan bahawa Libya jatuh ke tangan mereka, tentera pemberontak memindahkan pejabat mereka ke Tripoli, manakala dengan bantuan tentera udara British, mereka menumpukan serangan terhadap kubu kuat Gaddafi, iaitu  Sirte.




Menambahkan lagi luka yang sudah dalam, sahabat beliau, Perdana Menteri Italy Silvio Berlusconi yang daripada Gaddafi, beliau dikatakan mengetahui perkataan "Bunga Bunga," pada Khamis lalu, berdiri mesra dengan Ketua Kabinet Tentera Pemberontak Libya,  Mahmoud Jibril.  Dalam pertemuan di Milan itu, Berlusconi memaklumkan bahawa Italy merancang untuk melepaskan aset Libya yang dibekukan yang bernilai AS$505 juta dan melahirkan harapannya untuk peralihan yang berjaya ke arah demokrasi.


Daripada penzalim kepada pelarian, tulis Peter Finn dalam Washinton Post,  mengimbas kembali kebangkitan dan kejatuhan pemimpin Libya itu.  "Kejatuhan Gaddafi mengakhiri pemerintahan seorang yang paling sering berubah-ubah dan tokoh pengacau dalam sejarah terbaharu, iaitu  'anjing gila' yang menaja keganasan antarabangsa yang bersekutu dirinya dengan Pentadbiran George W.  Bush dalam peperangan terhadap keganasan, orang semenanjung Arab yang satu masa atau pada masa lain, terasing daripada hampir semua saudara Arabnya; dan ahli falsafah revolusioner yang mempunyai  gaya tersendiri yang akhirnya, hanya merupakan satu lagi diktator ganas yang suka bergantung pada kuasa."


Menjangkakan bahawa kestabilan dan ketenteraman Libya belum terjamin selagi Gaddafi masih hidup, dua orang jutawan Libya menawarkan ganjaran satu juta paun sterling kepada sesiapa yang berjaya menangkap Gaddafi, hidup atau mati.  Walau bagaimanapun, berdasarkan sejarah masa lalu, tindakan menawarkan ganjaran jarang-jarang berjaya, seperti yang dibahaskan oleh  Benjamin Runkle


Walaupun sekali-sekala  secara bersembunyi Gaddafi menyeru rakyatnya bangkit menentang musuhnya, seperti yang dilakukan baru-baru ini,   "jangan tinggalkan Tripoli untuk tikus. Lawan mereka, dan bunuh mereka,"  kecuali di kubu kuatnya di Sirte yang kini dilancarkan serangan besar-besaran, tidak banyak lagi rakyat yang ingin bersama-sama beliau.  Seruannya tidak dipedulikan, dan lebih sebagai suara yang terasing.  


Kini,  hidupnya betul-betul seperti pelarian yang sentiasa diburu.  Sesungguhnya, Gaddafi bersama-sama kaum keluarga dan kaum kerabat yang masih setia, menyambut kedatangan Aidilfitri dalam suasana yang amat berlainan.  Mungkin dengan ala kadar atau tidak ada  sambutan sama sekali. 


Revolusi Libya dikatakan belum selesai, demikian juga pemburuan terhadap bekas rejim itu.  Dalam politik, seperti yang sering dipesan, satu minggu, sesungguhnya satu tempoh yang lama, apa-apa boleh terjadi.  Gaddafi kini terpaksa hari yang cukup lama dalam hidupnya, sesuatu yang tidak pernah berlaku selama 42 tahun. Meskipun beliau memperlihatkan dirinya sebagai orang yang antimonarki, hakikatnya beliau sendiri menabalkan dirinya sebagai raja yang bersiap sedia untuk mewariskan takhta itu kepada salah seorang anaknya.


Masalahnya bukan sahaja seseorang diktator itu tidak mengenal dunia persaraan, tetapi juga orang di kelilinginya sentiasa menghalangnya daripada berundur bimbang  akan  kepentingan mereka  terjejas. 


















No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...