Artikel Popular

Thursday, August 4, 2011

Siling Hutang: Presiden Obama Tewas?

KHAMIS,  4 Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Setelah berbulan-bulan berbincang, bertelagah, dan hampir-hampir menemui jalan buntu, akhirnya rang undang-undang siling hutang Amerika Syarikat diluluskan oleh Dewan Perwakilan.  Kemudian,   dengan masa yang tinggal kurang 11 jam, diluluskan  oleh Senat dengan 76 menyokong dan 24 menentang.  Perundangan yang telah pun ditandatangani oleh Presiden Barack Obama, akan meningkatkan siling hutang sebanyak AS$917 bilion untuk Amerika Syarikat hingga akhir tahun ini.  

Presiden Obama yang bercakap di Rose Garden selepas rang undang-undang untuk memotong sebanyak AS$2.4 trilion dalam dua tahap dan meningkatkan  had peminjaman sebanyak amaun yang sama diluluskan oleh Senat,  mendesak Washington bergerak daripada "krisis yang direka-reka" dan  menganjakkan perhatian untuk menjadikan orang Amerika bekerja semula.  Beliau dilaporkan berkata bahawa rang undang-undang yang akhirnya diluluskan oleh Kongres pada hari Selasa, hanya merupakan "langkah pertama" ke arah memastikan ekonomi yang paling berkuasa di dunia hidup dalam kemampuannya.  Beliau berjanji untuk "berjuang untuk  apa yang lebih difikirkan oleh orang Amerika, iaitu pekerjaan baru, upah yang lebih tinggi, dan pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas.

Tatkala Amerika Syarikat bergelut dengan siling hutang yang melibatkan pertarungan antara Dewan Perwakilan yang dikuasai oleh Republikan pada suatu pihak dengan Presiden Obama dan Senat yang kuasai oleh Demokrat di satu pihak yang lain dunia dihantui oleh kebimbangan kemungkinan berlaku krisis kewangan kedua dan  seterusnya terjebak semula dalam kemelesetan.  Lebih-lebih lagi kesan domino yang melanda zon euro dari Ireland dan Greece ke Portugal dan Italy, yang menjadikan dunia terhuyung-hayang.  

Bagi mereka yang mengikuti krisis siling hutang Amerika Syarikat itu, pastinya mereka dapat merasakan bahawa memang tidak wajar anggota Perwakilan Republikan  terlalu berkeras kerana, seperti yang dikatakan, Senat  dikuasai oleh Demokrat yang boleh menolak rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Perwakilan.  Selain itu, Obama sendiri selaku Presiden boleh menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan mana-mana rang undang-undang yang dibawa kepada  beliau.

Tatkala Amerika menjadikan dunia cemas, apa yang berlaku berbulan-bulan itu membangkitkan beberapa persoalan, antaranya yang cukup menarik dikemukakan oleh Jacob S. Hacker dan Oona A.  Hathaway dalam The New York Times, "Our Balanced Democracy"  pada 31 Julai baru-baru ini yang menyatakan kebimbangan yang mendalam.  "Negara kita," tulis mereka, "bukan hanya berhadapan dengan krisis hutang; negara berhadapan dengan krisis demokrasi."    Selama berminggu-minggu, menurut perhatian Hacker dan Hathaway, kerajaan Persekutuan meluru ke arah dua opsyen yang tidak menyenangkan:  kemungkiran yang melumpuhkan yang dicetuskan oleh kebekuan anggota Kongres, atau seperti yang diperjuangkan oleh anggota Demokrat penting, iaitu peningkatan satu pihak dalam siling hutang oleh presiden yang tidak dikawal.  Sedangkan, menurut mereka, senator dan anggota perwakilan mengelak daripada memikul tanggungjawab untuk keputusan yang paling penting, dan dengan itu, tidak boleh dengan mudah dipertanggungjawabkan kerana membuat pilihan yang lemah.  Sementara itu, presiden  pula mendapat piala minuman beracun: meningkatkan kuasa satu pihak, tetapi dikurangkan keupayaan untuk berkongsi tanggungjawab atau dipersalahkan.

Yang membimbangkan kedua-dua penulis ialah krisis hutang yang meletakkan demokrasi sebagai pertaruhan, lalu mereka mengesyorkan selepas krisis butang berakhir, krisis demokrasi mesti diselesaikan.  "Tiada yang sesiapa yang memang apabila sistem perlembagaan kita goyah: bukannya presiden yang memperoleh kuasa satu pihak, tetapi hilang perkongsian untuk memerintah; bukannya Kongres yang perlu menyalahkan presiden, tetapi terpaksa berhadapan dengan risiko tidak relevan; dan pastinya, bukannya orang Amerika, yang terpaksa menanggung akibat disfungsi."

Di peringkat antarabangsa, Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin menuduh Amerika Syarikat ialah "parasit"  terhadap ekonomi dunia dan mengancam pasaran kewangan.   Dalam kritikan pedasnya itu, beliau berkata "kuasa besar itu hidup di luar kemampuannya."  Kemudian, China yang merupakan pemiutang  terbesar Amerika yang berasa cemas kemungkinan Amerika mungkir, turut tumpang sekaki apabila gabenor bank pusat negara itu mendesak Amerika Syarikat mengambil langkah "bertanggungjawab" untuk menangani isu hutangnya.  Gabenor  itu  dalam respons rasmi pertama China terhadap rang undang-undang tersebut, memberikan amaran bahawa ketidakpastian boleh merosakkan pertumbuhan global. Sementara Telegraph View merumuskan kegagalan yang teruk hutang Amerika Syarikat itu mungkin menandakan berakhirnya abad Amerika, bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga ketenteraan dan diplomatik.

Wujud kecenderungan untuk melihat siapakah pemenang atau siapa pula yang tewas dalam perbincangan atau urus janji siling  hutang yang melibatkan  Kongres dan Rumah Putih.  Meskipun tidak kesepakatan tentang perkara itu, yang jelas Presiden Barack Obama dikatakan tewas, manakala Speaker John Boehner turut tercedera.  Tinjauan terbaharu Gallup minggu lalu menunjukkan penerimaan orang ramai terhadap presiden jatuh daripada 45 peratus kepada 40 peratus.  Walau bagaimanapun, Daniel Stone dalam "Debt Deal's Winners & Losers" meletakkan Presiden Obama sebagai pemenang bersama-sama puak konservatif fiskal dan Tea Party, Speaker John Boehner, dan beberapa yang lain, manakala yang tewas antaranya Pentagon. Kongres, dan anehnya, Presiden Obama turut tersenarai.


Apabila berhadapan dengan situasi yang cukup tegang seperti itu, yang boleh meletakkan Amerika Syarikat terjebak dalam krisis hutang, perhatian diberikan terhadap Presiden Barack Obama.  Tindak-tanduk, kebijakan, pendirian, dan ketegasan beliau, pastinya menjadi perhatian umum.  Dengan kata lain, beliau mesti memperlihatkan dirinya sentiasa berdiri di tengah pentas dan menunjukkan tindakan penjelmaannya.  Malangnya, seperti yang dinyatakan oleh Michael Barone, "Barack Obama hilang dalam tindakan ketika krisis hutang itu."  Obama, tegas Barone,  mempunyai senjata yang diberikan oleh Perlembagaan  Amerika Syarikat untuk menggunakan kuasa veto yang hanya boleh diketapikan oleh undi dua pertiga di kedua-dua dewan Kongres.  Akan tetapi, selama tujuh bulan lalu, beliau mensia-siakan kelebihan ini.  Obama membuat perhitungan bahawa beliau boleh menggunakan isu untuk menaikkan cukai yang boleh memecahbelahkan Republikan yang menguasai Dewan Perwakilan pada Januari lalu.  "Perhitungan itu gagal mengambil kira kekuatan mandat Republikan dalam kemenangan bersejarah mereka dalam Pilihan Raya Separuh Penggal November 2010."

Tindak-tanduk presiden juga mengecewakan golongan liberal, seperti Michael Tomasky yang mendakwa Obama dengan mudah menyerah kalah kepada Republikan.  Obama dengan sewenang-wenangnya menyerahkan kunci rumah kepada mereka  dengan berkata, "Ambillah apa yang kamu mahu" - sesuatu yang tidak sepatutnya oleh seorang presiden.  Dalam bahasa Samira Shackle, krisis segera dapat dielakkan, tetapi presiden menyerahkan hampir semua tuntutan pentingnya.

Sebagaimana  Tomasky, David Usborne yang menulis dalam The Independent mendedahkan betapa mudahnya Presiden Obama menelan segala tuntutan Tea Party apabila urus janji dicapai. "Presiden Barack Obama," Usborne mengingatkan dua hari lalu,   "yang pernah mengajar Eropah tentang mengapa perbelanjaan dan pelaburan merupakan langkah terbaik untuk keluar daripada  kemelesetan, semalam merenung-renungkan akibat urus janji siling hutang kecemasan yang menyedut lebih AS$2 trilion keluar daripada ekonomi Amerika Syarikat yang masih goyah untuk  sepanjang 10 tahun akan datang."  Usborne juga menyenaraikan yang menang dan yang tewas dalam urus janji tersebut, dengan Presiden Obama dan Demokrat adalah yang tewas, manakala Republikan dan Tea Party merupakan pemenang.

Kritikan yang keras terhadap Obama dalam menangani siling hutang ini datangnya daripada dua orang kolumnis akhbar The New York Times, pertama oleh Ross Douthat, "The Diminished President"  yang menegaskan sewajarnya,  Barack Obama sepatutnya muncul sebagai pemenang politik yang besar dalam debat siling hutang. Selama berbulan-bulan beliau meletakkan dirinya hampir di tengah-tengah pendapat awam, meninggalkan Republikan untuk memenuhi sisi ke arah kanan.  Bagi Douthat, Presiden Barack Obama tidak memanfaatkan satu demi satu tinjauan pendapat yang menunjukkan orang Amerika mengutamakan cadangan presiden untuk campuran potongan perbelanjaan dan kenaikan cukai berbanding dengan pendekatan anticukai Parti Republikan.  Satu demi satu tinjauan menunjukkan bahawa Republikan, bukannya Obama yang akan lebih dipersalahkan jika siling hutang tidak dinaikkan. Beliau merumuskan bahawa "orang Amerika terpaksa mengharungi hidup menerusi presiden yang gagal sekali lagi."

Kedua,  oleh Paul Krugman, "The Presiden Surrenders" yang menegaskan bahawa adalah silap untuk mengisytiharkan bahawa dengan tercapai urus janji itu, maka malapetaka dapat dielakkan.  "Ini kerana, tulis beliau, "urus janji itu sendiri, berdasarkan maklumat yang diperoleh, merupakan malapetaka, dan bukan hanya untuk Presiden Obama dan partinya, Demokratik.  Urus janji itu akan merosakkan ekonomi yang telah pun dalam keadaan meleset; ini berkemungkinan akan menjadikan Amerika menghadapi masalah defisit jangka panjang yang teruk, bukannya semakin baik."  Tegas beliau lagi, "Amerika dalam perjalanan yang jauh untuk menjunam ke dalam status republik pisang" - satu istilah yang lazimnya digunakan untuk negara Amerika Latin, yang kini sering dikaitkan dengan Amerika Syarikat oleh beberapa cerdik pandai atau pengulas, termasuk Krugman sendiri.  Tambah beliau, "sejak dari mula-mula lagi, Presiden Obama boleh menggunakan kemungkinan kedudukan undang-undang untuk menguatkan kedudukannya dalam tawar-menawar.  Malangnya, beliau mengetepikan semua opsyen itu sejak mula lagi."  Anehnya, bekas Speaker Newt Gingrich pernah menuduh bahawa Obama merupakan pengikut Paul Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, sedangkan hakikatnya,  tindak-tanduk dan pendirian  Obama dalam kes siling hutang ini tidak disenangi oleh Krugman.

Presiden menyerah kalah nampaknya gelaran yang paling sesuai untuk Presiden Obama dalam urus janji siling hutang.  Selain Paul Krugman,  Mehdi Hasan juga memilih tajuk itu, "The Surrender President" dalam blog Newstateman yang benar-benar meluahkan kekecewaannya terhadap Obama yang tidak tetap pendirian, sekali ke arah kanan, sekali ke arah kiri:  Manusia yang menduduki Pejabat Oval sejak Januari 2009, ialah seseorang yang berbeza sama sekali, iaitu manusia tanpa pegangan.

Seseorang pemimpin itu, pesan Niccolo Machiavelli, ada masa berlagak seperti singa, ada masa seperti rubah.  Ada masanya disayangi, ada masanya ditakuti.  Dalam apa-apa situasi sekalipun, lebih-lebih dalam situasi yang runcing dan genting, seseorang pemimpin mesti memperlihatkan dirinya sentiasa  berdiri di tengah pentas.   Seperti pesan Antonio Gramsci, "tindakan tanpa penjelmaan bukannya tindakan politik" - nampaknya pesanan yang amat berharga ini dilupakan oleh  Presiden Barack Obama  semasa bertarung untuk menentukan siling hutang negaranya.  Akibatnya, beliau ditanggapi oleh banyak pihak sebagai orang yang tewas.  Beliau dengan mudah menyerah kalah apabila digertak oleh Republikan dan Tea Party sehingga lupa kuasa yang ada pada dirinya sebagai presiden dan lupa  bahawa partinya, Demokratik masih menguasai Senat. Tanggapan bahawa Presiden Obama hanya berani berperang di luar negara, tetapi takut berperang dalam negaranya sendiri, iaitu dengan musuh-musuhnya, makin jelas kelihatan.  "Siling hutang runtuh" menghempapkan Barack Obama!













































No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...