Artikel Popular

Thursday, August 25, 2011

Libya: Satu Lagi Kancah

KHAMIS,  25  Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Hingga kini, dilaporkan pertempuran jalanan di beberapa kawasan  di Tripoli masih tercetus antara tentera yang masih setia kepada  Muammar  Gaddafi  dengan tentera pemberontak.  Gaddafi  sendiri yang kini dalam buruan, dengan nekad mengatakan bahawa beliau akan terus berjuang hingga ke titisan darah yang akhir dan penyokongnya berjuang dari barisan belakang menggunakan penembak hendap, mortar, dan roket dalam usaha akhir untuk menghentikan pasukan pemberontak memperkukuh cengkaman mereka terhadap ibu negara Libya. Mereka dilaporkan masih menduduki beberapa bahagian di kota itu, termasuk kawasan kejiranan  al-Hadba dan Abul Salim. Sementara tentera pemberontak yang kini disebut revolusioner Libya meningkatkan lagi serangan mereka ke atas kubu kuat terakhir Gaddafi itu. 

Tindak-tanduk Gaddafi yang hanya berani bersuara dalam persembunyian  tidak ubah seperti harimau yang sepanjang hayatnya mencengkam, kini pada saat kematian pun masih ingin mencengkam, walau rumput sekalipun. Dengan Tripoli kini hampir dikuasai semuanya oleh tentera pemberontak, fokus perang Libya kini  dengan cepat beranjak kepada memburu Gaddafi secara besar-besaran.  

Tatkala peperangan di Libya masih belum reda, selain persoalan di manakah Gaddafi dan keluarganya,  satu lagi persoalan yang sering dibangkitkan:  Apakah selepas Iraq, Libya satu lagi kancah?  Memetik Paul Peachey dalam The Independent, "bagaimana pihak berkuasa baru menghentikan Libya daripada terjerumus ke dalam keadaan huru-hara gaya Iraq?"  Belau membangkitkan ancaman daripada rejim Gaddafi yang tidak mudah diredakan. Tambah Peachey, berbanding dengan Tunisia dan Mesir yang tentera dihormati, di Libya secara sengaja, tentera dibiarkan kecil.  Meskipun polis boleh diharapkan untuk memulihkan ketenteraman dan kestabilan, ketakutan wujud bahawa Libya akan terjebak ke dalam keadaan  tanpa undang-undang, sama seperti yang berlaku di Iraq.

Sementara itu, Robert Fisk menjangkakan sejarah berulang dengan sendirinya, dengan kesilapan Iraq dipersegarkan semula.  Dengan Gaddafi masih bebas dan beliau  nekad untuk berjuang hingga ke titisan darah yang akhir,  Fisk mengingatkan bahawa perang gerila yang menghakis kuasa baru tidak dapat dielakkan sama sekali.  Meskipun perang Libya tidak sama dengan Iraq, beliau mengingatkan kemungkinan yang berlaku sekiranya puak atau  kabilah di Sirte, tempat kelahiran Gaddafi terbukti lebih kuat daripada tentera Libya yang disokong oleh Nato.

Walau bagaimanapun, Mohamed Salem yang menulis dalam The Guardian menolak sama sekali andaian bahawa Libya akan mengalami nasib yang sama seperti Iraq, jauh sekali di pinggir satu lagi kancah.  Sesungguhnya, silap untuk menyamakan Libya dengan Iraq dan Afghanistan, kerana, tegas Salem, senario pascakonlik di Libya berbeza daripada senario di dua buah negara itu yang campur tangan gagal dalam beberapa aspek yang penting.  "Sesungguhnya, jika anda mengkaji petunjuk, Libya bersedia untuk menjadi paling lengkap dan dari segi potensi  paling berjaya jika dibandingkan mana-mana Pemberontakan Arab setakat ini." 

Bagi beliau, "ini bukannya revolusi Nato, bukan dalam jangka panjang.  Revolusi Libya kekal begitu banyak  real deal.   Alasan untuk perkara ini adalah kerana bermakna tidak ada kuasa asing sekarang untuk memperlihatkan hak moral  untuk campur tangan dalam masa depan Libya.  Takdir Libya kini secara sah  dalam tangan rakyatnya sendiri, setelah dirampas oleh Gaddafi dan kroninya hampir 42 tahun.  Juga bermakna Barat mesti sedikit sebanyak membebaskan dirinya daripada tanggungjawab langsung untuk apa yang berlaku pada masa akan datang di Libya dan meninggalkan perancangan kepada rakyat Libya sendiri.

Sebagaimana dengan beberapa pandangan lain yang dipetik sebelum ini, Salem juga mengakui bahawa sebaik-baik sahaja Gaddafi ditangkap atau dibunuh dan rejimnya diletakkan di tempat tidur, maka tidak ada lagi apa-apa yang tinggal untuk penyokong meneruskan sokongan mereka.  Salem membangkitkan "keistimewaan" Libya:  "Tiada jurang perbezaan sektarian, etnik atau ideologi untuk dieksploitasikan untuk mencetuskan kekacauan dan keganasan."  Bagi beliau, tanggungjawab sekarang yang  dipikul oleh orang Libya untuk menunjukkan kesabaran dan menghormati kedaulatan undang-undang dalam berurusan dengan pegawai dan tentera rejim, dan menahan diri daripada fahaman sentiasa berjaga-jaga dan keadilan berbentuk hukuman. 

Mungkin  terlalu awal untuk menjangkakan malapetaka akan menimpa Libya pasca-Gaddafi.  Namun, nampaknya terlalu yakin untuk mengatakan bahawa Libya bukannya satu lagi kancah, meskipun banyak perbezaan antara negara itu dengan Iraq.  Lagi lama Gaddafi dan suku-sakat serta tenteranya dibiarkan berkeliaran, nescaya lebih mudah Libya  terbenam ke dalam kancah!  Bagi neegara yang selepas peperangan atau revolusi,  lazimnya kancah sedia dan setia menanti: perang saudara, keganasan kerana kerajaan pusat atau pihak berkuasa baru dalam keadaan lemah.  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...