Artikel Popular

Monday, August 15, 2011

Uncle Sam, Anda Republik Pisang

ISNIN,  15  Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dalam "The Quite Coup,"  Simon Johnson, bekas ketua ahli ekonomi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), menulis bahawa krisis yang berlaku mendedahkan banyak kebenaran yang tidak menyenangkan tentang Amerika Syarikat.  Satu daripada yang paling membimbangkan adalah bahawa industri kewangan secara berkesan menawan kerajaan, sesuatu yang sangat lazim untuk menjelaskan keadaan pasaran sedang muncul, dan tumpuan perhatian terhadap banyak krisis pasaran yang sedang muncul.  Dalam makalah yang diterbitkan dalam The Atlantic yang kemudiannya dipetik secara meluas, tanpa berselindung, Johnson mengatakan bahawa Amerika menjadi republik pisang:  krisis ekonomi dan kewangan yang lazimnya melanda pasaran sedang muncul, kini melanda Amerika,  Sebagaimana dalam krisis pasaran sedang muncul, kelemahan sistem perbankan dengan cepat merebak ke dalam bahagian ekonomi, menyebabkan penguncupan ekonomi yang teruk dan kesangsaraan kepada berjuta-juta orang.

Sementara itu, Nicholas D. Kristof pernah menulis melalui kolumnya dalam The New York Times tentang sesuatu yang memeranjatkan berlaku di Amerika Syarikat:  "Our Banana Republic."   Beliau menulis:  Ketika membuat pemberitaan, saya secara tetap bepergian ke republik pisang yang terkenal dengan ketidaksamaan.  Di sesetengah negara yang diperintah oleh hartawan ini, golongan terkaya yang terdiri satu peratus daripada jumlah penduduk menguasai dengan rakus 20 peratus kekayaan negara."  

Yang menarik perhatian ialah, tulis beliau:  Anda tidak perlu bepergian ke negara yang jauh dn bahaya untuk memerhatikan ketidaksamaan yang serakah itu.  Kita boleh melihatnya di negara kita sendiri, dan akibat pilihan raya Selasa lalu, keadaan mungkin semakin teruk.  Salah satu ciri republik pisang ialah ketidaksamaan pendapatan.  Satu peratus golongan terkaya di Amerika kini menguasai hampir 24 peratus pendapatan, meningkat daripada hampir sembilan peratus pada tahun 1976.  Amerika mempunyai agihan kekayaan yang tidak seimbang berbanding dengan republik pisang tradisional, seperti Nicaragua, Venezuela, dan Guyana.

Yang menyamakan Amerika Syarikat dengan republik pisang ialah Paul Krugman dalam The New York Times, "Downhill With G.O.P." yang mencetuskan polemik "banana republic, here we come" sehingga beliau dituduh sosialis dan dikritik.


Label republik pisang untuk negara kuasa besar itu tidak terhenti setakat Simon Johnson, Nicholas Kristof, dan Paul Krugman.  Yang terbaharu datangnya daripada Tim Padgett yang menulis dalam Time, "Is the U.S. the Western Hemisphere's New Banana Republic?  Bagaimana lagi untuk menjelaskan bahawa Amerika Syarikat berlagak seperti republik pisang, dan bahawa banyak Amerika Latin kelihatan seperti jiran yang maju?  Untuk mencari jawapannya, Padgett membandingkan antara Amerika Syarikat dengan Amerika Latin.  Ini kerana Amerika Syarikat bermain jenis disfungsi, iaitu politik hasil tambah sifar yang meracuni ekonomi dan kewangan, sedangkan Amerika Latin bergerak ke pusat politik dan menemui kejayaan tolak ansur antara kapitalisme dengan sosialisme.  Amerika yang pertumbuhan mungkin anemia untuk masa yang panjang dan jurang kekayaan semakin melebar dan pada kadar yang membimbangkan, sedangkan Amerika Latin yang tumbuh lebih enam peratus tahun lalu dan akhirnya  melihat golongan kelas menengah meningkat, bahkan di negara yang pernah terkenal  tidak seimbang, iaitu Brazil.

Dari segi pertumbuhan, negara Amerika Latin jauh meninggalkan Amerika Syarikat, misalnya Peru, iaitu  negara Andean yang tidak lama sinonim dengan huru-hara politik dan kewangan, tahun lalu ekonominya tumbuh 8.8 peratus, dan yakin mencapai tujuh peratus tahun ini.

Tim Padgett menyudahi tulisannya, "sekarang juga, Uncle Sam, anda republik pisang." 

Sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi.  Banyak contoh yang boleh diberikan: pertumbuhan ekonomi yang lemah, pengangguran yang tinggi, keterhakisan kelas menengah, keruntuhan Wall Street baru-baru ini, penurunan gred oleh Standard & Poor's, dan kebangkitan  Tea Party yang menjadikan Amerika tebusannya hingga menyebabkan Washington kecut perut.


Justeru, jika ada orang Amerika, seperti bekas dutanya ke Malaysia, ingin berlagak pandai dan berleter tentang kita, harap-harap dia  mencerminkan dirinya terlebih dahulu.  Negara anda semakin teruk sekarang, hilang harga diri, hilang maruah di mata dunia. Masa negara  anda sebagai kuasa besar sudah berlalu, hegemoninya telah runtuh.  Maka, jangan datang ke negara ini memberitahu, "apakah yang perlu dilakukan."  









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...