Artikel Popular

Friday, August 19, 2011

Salah Laku Media Murdoch Menyeberangi Atlantik

SABTU,   20   Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sejak  skandal penggodaman telefon terbongkar awal bulan Julai lalu, saya tidak jemu-jemu mengikuti liputan dan komen berkenaan, baik dalam akhbar mahupun majalah.   Pada masa yang sama, saya juga tidak henti-henti melayari The New York Review of Books, mengharapkan kemunculan Michael Massing kerana beliau kerap menyumbang tulisannya dalam majalah ini.  Bagi saya, beliau salah seorang   yang layak membicarakan skandal yang mempunyai kaitan dengan media dan kewartawanan tanpa niat saya untuk memperlekeh pengulas atau penulis lain, atau bersikap prejudis terhadap mereka.  

Dalam tujuh bulan tahun ini, sepanjang pengetahuai saya,  beliau belum menyumbang apa-apa, baik makalah mahupun ulasan buku  -  topik yang menjadi kelazimannya.   Makalah beliau, "A New Horizon for the News" dan ulasan buku tentang Internet dan blog, "The News About the Internet" yang diterbitkan dalam majalah itu mengundang polemik.  Beliau juga menulis tentang politik dan hal ehwal semasa, tetapi makalah beliau yang tidak kurang menarik tentang media ialah "The End of News."   


Kesabaran saya menunggu  akhir berbaloi apabila Michael Massing menulis dalam  NYR blog pada 30 Julai, "It's Time to Scrutinize Fox"  bahawa tindakan pendedahan yang sama perlu dilakukan terhadap Fox News Channel milik Rupert Murdoch.   Massing menulis:  "Sejak tercetusnya skandal News Corporation di Britain, para wartawan di sebelah menyebelah Atlantik kelihat penuh minat  meneliti operasi Amerika oleh Rupert Murdoch dengan harapan untuk mendedahkan perbuatan tidak senonoh yang sama."  Beliau memetik Joe Nocera yang menulis dalam The New  York Times yang mengadu "The Wall Street Journal telah Fox-ified  sejak Murdoch mengambil alih akhbar itu, menerbitkan makalah yang memihak kepada Parti Republikan  dan digunakan sebagai "wadah propaganda pemiliknya."  


Sebaik-baik sahaja skandal penggodaman telefon di Britain terbongkar, bekas pemilik The Wall Street Journal dipetik sebagai berkata, "jika kami tahu berlaku penggodaman telefon, kami tidak menjual akhbar ini."  Beberapa anggota penting keluarga yang menjual akhbar tersebut  kepada Murdoch pada tahun 2007 berkata,  "kami  tidak bersetuju untuk menjual akhbar harian yang ulung ini jika kami sedar perbuatan News International dalam skandal penggodaman telefon berlaku ketika itu.


Setelah menyoroti beberapa ulasan lain,  Massing mengalu-alukan usaha untuk mengorek operasi  Amerika oleh Murdoch, dan jika terbukti bahawa syarikat beliau melanggar undang-undang, seperti yang berlaku di Britain, nescaya harga wartawan akan melambung tinggi.  Walau bagaimanapun, Massing mengakui cerita ini terlepas perhatian dua pemilikan dalam portfolio Murdoch yang wajar mendapat lebih perhatian.  Satu daripadanya ialah The New York Post yang di bawah kawalan Murdoch, akhbar ini memperdagangkan jenis kewartawanan tabloid yang berniat jahat, yang lucah, seperti yang diamalkan oleh News of the World yang ditutup dan yang masih berbau busuk, The Sun.  "Akhbar itu," tulis Massing, "seronok memecahkan berita  (membuat berita) ahli politik, memburukkan musuh, dan mencemuh banyak warganegara biasa."


Seterusnya, Massing menegaskan bahawa dosa yang  dilakukan oleh The New York Post  adalah ringan jika dibandingkan dengan cebisan tengah sebenar pemilikan Murdoch di Amerika, iaitu Fox News Channel. Sejak dilancarkan pada tahun 1996, Fox mempunyai kesan yang mendalam dan toksik terhadap akhbar dan politik di negara itu.  Dengan penonton masa perdana harian kira-kira dua juta orang, lebih besar daripada gabungan CNN dan MSNBC, saluran televisyen itu menjadi perangsang yang sangat kuat untuk Parti Republikan.  Beliau memetik David Frum, bekas penulis ucapan George W. Bush bahawa "Republikan pada mulanya fikir bahawa Fox bekerja untuk kita dan kita mendapati kita bekerja untuk Fox."


Namun, Massing mengakui bahawa tidak seperti News of the World, tiada petunjuk (setakat sekarang) bahawa Fox terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.  "Apa yang dilakukannya ialah mencabuli setiap standard kewartawanan dan etika.  Saluran berita ini menggalakkan teori konspirasi yang karut,  menjajakan kepalsuan terang-terangan, dan memberikan tempat berucap kepada semua jenis orang yang aneh dan yang gila-gila."


Ahli politik dan wartawan, termasuk beliau sendiri, yang mengkritik atau mencabar Fox selalunya mendapati diri mereka dijadikan sasaran.  Di sini, Massing memaklumkan pengalaman peribadinya apabila pada awal tahun 2009, beliau menulis makalah untuk Columbia Journalism Review tentang akses yang susah dan kejahatan yang dilakukan semasa kempen Pilihan Raya Presiden tahun 2008 oleh media sayap kanan, termasuk hos rancangan temu bual, penulis blog, dan yang paling besar, Fox yang berulang-ulang kali cuba mengaitkan Obama dengan Bill Ayes, Louis Farrakhan, ACORN, dan sebagainya.


Berikutan penerbitan makalahnya itu, editor jurnal berkenaan dihubungi oleh  pihak Fox, mendesak ingin mengetahui mengapa dia membenarkan seseorang,  seperti Massing yang menulis untuk majalah "radikal, kiri jauh," seperti The Nation menulis tentang Fox.  Editor itu merupakan seorang daripada berbelas-belas orang yang Fox serang sepanjang tahun, mereka termasuk pengetua sekolah tinggi, penggubal undang-undang, selebriti, dan wartawan.


Dalam tulisannya itu, Michael Massing menyebut Howard Kurtz yang ketika itu berkhidmat dengan The Washington Post (kini, berpindah ke The Daily Beast) yang pernah menyebelahi Fox.  Namun, Kurtz yang menulis "Murdoch's U.S. Tabloid Scandal" bahawa mogul media itu diserang kerana skandal penggodaman telefon di London, di sini, di Amerika, akhbarnya, The  New York Post  terpaksa bergelut dengan tuduhan yang akhbar itu memberikan ganjaran kepada kawan dan menghukum musuh.  "Meskipun belum sampai tahap menggodaman telefon orang ramai, dengan desakan Senator Jay Rockefeller supaya FBI menyiasat kemungkinan News Corporation salah laku di Amerika Syarikat, tumpuan pastinya tertumpu pada beberapa pemilikan media Amerika Murdoch."


Oleh sebab tahun lalu, The New York Times mendedahkan penggodaman yang dilakukan oleh News of the World dengan mengirimkan tiga pemberita penyiasatan ke London, maka Massing mencadangkan sumber yang sama digunakan untuk mengorek Fox, saluran berita yang sangat berpengaruh di Amerika. Di Britain, pendedahannya ialah helah penggodaman telefon yang sangat jelik untuk tindak balas terhadap gaya kewartawanan Murdoch yang dibangunkan. Soal, Massing, apa yang akan didedahkan di Amerika?


Hingga kini,  skandal penggodaman telefon di Britain belum reda apabila korespoden, Clive Goodman mendedahkan melalui suratnya yang ditulis empat tahun lalu bahawa perbuatan itu dibincangkan secara meluas dalam mesyuarat editorial News of The World.  Dengan pendedahan terbaharu itu, Rupert Murdoch, James Murdoch, dan editor Andy Coulson semuanya berhadapan dengan tuduhan baru yang mengaibkan tentang ketidakjujuran dan menyembunyikan hal yang sebenar.


Pastinya, banyak orang yang tertunggu-tunggu akan pendedahan skandal empayar Murdoch di Amerika Syarikat.  Di Britain, segala-galanya sudah terbongkar.  Kini, giliran pembongkaran di negara di sebelah Atlantik yang satu lagi.  Michael Massing telah pun menjalankan kerja penerokaan, justeru, sepatutnya ada lagi pihak lain yang meneruskan kerja itu.  





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...