Artikel Popular

Wednesday, August 10, 2011

Kota Anarki

RABU,  10  Ogos 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Pada hari Ahad lalu, ketika melayari akhbar dan majalah antarabangsa melalui Internet saya terpandang berita rusuhan yang pada mulanya tercetus di  Tottenham.  Walau bagaimanapun, berita itu kurang menarik perhatian saya kerana  berita seperti itu berlaku di mana-mana sahaja, misalnya di Eropah, terutamanya di zon euro, sejak tercetus krisis hutang dan kerajaan melaksanakan langkah jimat-cermat.   Bahkan, di London, pada awal bulan lalu, berlaku tunjuk perasaan oleh pekerja awam, manakala di dunia Arab, khususnya di Libya dan Syria pergolakan terus memuncak.  
Lagipun, sepanjang minggu lalu, boleh dikatakan  tidak banyak berita gembira: pasaran saham global lintang-pukang yang membayangkan  bahawa dunia akan terjebak semula dalam kemelesetan.  Dengan keputusan Standard & Poor's (S&P) menurunkan penarafan kredit kedaulatan jangka panjang Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+, menambahkan lagi kekalutan dunia.

Namun,  berita The Daily Beast,  "Anarchy:  Riots Spread Across London," agak memeranjatkan saya kerana  perkataan anarki - sesuatu yang luar biasa berlaku di kota-kota negara bekas kolonial.  Saya terfikir bahawa Robert D.  Kaplan yang sering berbicara tentang anarki tidak membayangkan kejadian buruk itu berlaku di sana, kerana daripada pemerhatian beliau, anarki mempunyai bumi yang subur di Afrika dan di negara membangun lain.  Seterusnya,  semalam, "London Riots Rage," The Daily Beast, melaporkan lebih 450 orang ditahan dan 60 orang pegawai polis cedera.  Kenyataan daripada Scotland Yard menjelaskan kekacauan sebagai "tidak pernah berlaku dalam sejarah terbaharu."  Tajuk hadapan dalam akhbar nasional menyebut "Rule of the Mob," "The Battle for London," dan "The Anarchy Spreads."   


Sementara The Telegraph, "London and UK Riots:  Live" dalam laporan terkini, 9 Ogos,  orang ramai  keluar bekerja lebih awal demi mengelakkan mana-mana keganasan seterusnya pada malam ini.  Meninggalkan London beramai-ramai lebih awal, bersama-sama dengan berjuta-juta orang lain, dan kereta api telah pun sesak dengan penumpang.


Rusuhan melanda London tiga malam berturut-turut dan mungkin mengorbankan nyawa  yang pertama, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian pada 9 Ogos.  Sementara itu, Perdana Menteri, David Cameron yang terpaksa memendekkan cutinya, mengumumkan bahawa 16,000 orang  pegawai polis akan ditempatkan di London malam ini, dalam usaha untuk mengawal keganasan.  David Cameron berjanji akan bertindak tegas terhadap sesiapa yang melakukan kekacauan malam ini,  "Saya mempunyi mesej ini yang sangat jelas kepada orang yang  bertanggungjawab melakukan kesalahan dan jenayah: anda akan merasakan tindakan keras undang-undang." 

Tatkala keganasan dan penjarahan menjadi-jadi, penghuni bangunan yang terbakar di Croydon terpaksa terjun untuk menyelamatkan diri mereka.  BBC melaporkan bahawa rusuhan  terus berlaku di London ketika keganasan merebak ke kota-kota lain.  Rusuhan itu berpunca daripada kematian Mark Duggan yang ditembak mati di Ferry Lane, Tottenham, pada Khamis  lalu.  BBC dalam  "London Riots:  Timeline and Map of Violence" melaporkan bahawa hari Sabtu 6 Ogos, kira-kira 300 orang berkumpul di luar balai polis Tottenham selepas berarak dari  Broadwater Farm Estate.  Mereka mahu menuntut "keadilan" untuk Duggan dan keluarganya. Protes yang pada mulanya berlangsung secara aman, bertukar menjadi ganas pada malam itu apabila perusuh membalingkan botol ke arah dua buah kereta pengawal yang terletak berhampiran dengan balai polis itu. 

London yang telah pun gelisah kerana skandal penggodaman telefon, terjunam ke arah anarki, tulis  Lauren Collins dalam blog The New Yorker.  Membandingkannya dengan rusuhan di Brixton pada tahun 1981, Lauren menegaskan bahawa rusuhan hujung minggu berlaku awal dari segi Perdana Menteri pada pemotongan yang mendalam terhadap perkhidmatan awam dan sosial.  "Tottenham, yang penduduknya kebanyakannya Afrika-Carribean, mempunyai kadar pengangguran yang tinggi di London, dan kadar pengangguran kelapan tertinggi di United Kingdom.  Banyak yang bekerja di kawasan ini bergantung pada pendanaan awam."   Tambah Lauren, "setiap perkara setiap orang katakan tentang rusuhan kelihatan  melibatkan perkataan "sosial;" perkhidmatan sosial, kekacauan sosial, media sosial.  Perusuh dilaporkan secara meluas, mendahului polis menerusi BlacBerry Messenger

The Guardian dalam editorialnya, menyatakan jelas bahawa Britain, dan khususnya London, mengalami beberapa keganasan bandar yang paling serius dan paling memusnahkan sejak rusuhan Brixton dan Toxteth tahun 1981.  "Rusuhan merupakan hasil kehidupan yang perusuh pilih atau berasa terkongkong untuk hidup.  Menyalahkan rusuhan terhadap kekejaman individu, konspirasi, atau terhadap potongan perbelanjaan kerajaan adalah terlalu petah berkata-kata untuk isu yang kompleks itu, meskipun kesemunya tidak boleh dinafikan.  Akan tetapi, konspirasi dan perampasan merupakan sebahagian kompleks itu dan cerita garang, kerana sebagaimana pendewaan keganasa, terutamanya senjata api, dan keberangan terhadap penyingkiran daripada kepuasan kepenggunaan."

Lain orang, lain pandangan tentang rusuhan di London dan kota-kota lain. Gavin Knight menafikan bahawa rusuhan di London merupakan kerja geng tersusun, meskipun Mark Duggan anggota geng Star. Sebaliknya, rusuhan itu berpunca daripada masalah yang dihadapi oleh remaja yang wajar diberikan perhatian.



Rusuhan dan tunjuk perasaan merupakan fenomena biasa sejak kerajaan campuran  berkuasa setahun lalu.  Nina Power yang  mengingatkan mereka mengutuk rusuhan itu supaya melihat gambaran yang lebih besar, memerhatikan bahawa ketika kerajaan campuran sekarang, negara itu menyaksikan pelbagai protes pelajar, pendudukan berbelas-belas universiti, beberapa mogok, setengah juta perarakan kesatuan sekerja, dan kini, kekacauan di jalan-jalan ibu negara.  "Meskipun setiap peristiwa ini dicetuskan oleh faktor yang berbeza, semuanya berlaku menentang latar belakang pemotongan yang teruk dan langkah jimat-cermat yang dilaksanakan.  Kerajaan yang mengetahuinya dengan sangat baik adalah mengambil risik, dan bahawa dasar yang dilaksanakan berhadapan dengan risiko yang mencetuskan kekacauan massa pada skala yang kita tidak pernah lihat sejak awal tahun 1980-an dahulu."  

Nina seterusnya mengingatkan bahawa orang ramai yang turut di jalan-jalan Tottenham, Edmonton, Brixton, dan tempat-tempat lain sejak beberapa malam yang lalu, kita boleh melihat kerajaan mula kehilangan pancaran   yang mapan dan serius.

Mungkin rusuhan yang  berlaku dengan berleluasa di London dan kota-kota lain di Britain yang menggambarkan runtuhnya undang-undang dan berkecainya ketenteraman. Rusuhan yang setakat ini, masuk hari kelima, sesungguhnya suatu tempoh yang lama untuk sebuah negara maju.  

Seperti yang sering diperkatakan bahawa krisis ekonomi boleh mencetuskan pergolakan politik dan kekacauan sosial, seperti yang dapat ditontonkan di mana-mana sahaja sekarang.  Sementara anarki pula bukan hanya terbatas di wilayah mundur yang padat dengan penduduk dan bergelut dengan kelaparan serta stres alam sekitar, tetapi juga di kota-kota kosmopolitan yang selalunya membuaikan mimpi indah kepada warganya.   




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...