Artikel Popular

Friday, August 12, 2011

Agensi Penarafan: Lobi dan Dendam

JUMAAT, 12 Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pengumuman agensi penaraan kredit Standard & Poor's (S&P) bahawa penarafan kredit kedaulatan jangka panjang Amerika Syarikat diturunkan daripada AAA kepada AA+ telah seminggu berlalu. Akhirnya, menurut Stephen Gandel dalam Time, kebanyakan penulis bersetuju bahawa pengajaran penurunan gred S&P itu adalah bahawa ahli politik perlu mampu lebih bertolak ansur pada masa akan datang apabila membahaskan belajawan.  Beberapa penulis blog pasti bahawa Washington belajar daripada pengajaran itu.

Kritikan terhadap agensi penarafan, khususnya S&P masih kedengaran.  Seperti yang dinyatakan oleh The Economist dan The Daily Beast, penurunan gred itu adalah politik berbanding dengan ekonomi.  Namun, yang amat menarik ialah pendedahan bahawa S&P membelanjakan berjuta-juta dolar untuk melobi. Dan Eggen dalam The Washington Post semalam mendedahkan bahawa S&P mempunyai pengaruh yang utama di Washington, menerusi perniagaan penarafan bon oleh  agensi itu yang danggap penting.  Akan tetapi, S&P juga berusaha mempengaruhi kerajaan Amerika Syarikat dengan cara yang lebih tradisional, iaitu membiayai usaha melobi secara agresif yang bertujuan mengehadkan pengawasan persekutuan dan melindungi pengaruh agensi penarafan yang sangat berkuasa dalam pasaran kewangan.

Syarikat induk S&P, iaitu McGraw-Hill dikatakan membelanjakan lebih AS$11 juta untuk melobi sepanjang 15 tahun lalu, termasuk sekurang-kurangnya AS$1 juta untuk undang-undang yang berkait dengan S&P.  Pekerja agensi juga dikatakan memberikan lebih AS$500,000 dalam bentuk sumbangan kepada calon persekutuan sejak tahun 1989, terutamanya Demokrat.

Menurut Eggen lagi, setiap agensi penarafan, iaitu S&P, Moody's Investors Service dan Fitch Ratings mengeluarkan pertimbangan tentang kebolehpercayaan kredit kerajaan yang boleh menggerakkan pasaran, manakala melobi kerajaan untuk dasar yang menguntungkan perniagaan agensi berkenaan.  Jika disekalikan, tiga agensi ini membelanjakan lebih AS$16 juta untuk melobi undang-undang yang berkait dengan kewangan sepanjang dekad lalu, termasuk lebih AS$13 oleh Moody's sahaja.

Walau bagaimanapun, kritikan yang keras datangnya daripada Jeffrey Manns, "The Revenge of the Rating Agencies" dalam The New York Times bahawa agensi penarafan kredit mengambil kesempatan daripada masalah kewangan  negara untuk meningkatkan kuasa politik mereka sendiri.  Mereka mahu memastikan bahawa pengawal selia tidak mengurankan autonomi dan pengaruh mereka.

Strategi mereka, bahas Manns, memang bijak.  Mereka tidak melakukan serentak dengan bersama-sama menurunkan gred Amerika Syarikat.  S&P merupakan mata-mata jahat sekarang, yang pertama memukul Amerika Syarikat pada Jumaat lalu, dan melihat pengaruhnya yang disahkan oleh reaksi dramatik pasaran saham.  Sementara Moody's dan Fitch berlagak mata-mata yang baik, mengawal diri mereka daripada potensi penurunan gred,  tetapi masih memperlihatkan kekuatan mereka dengan mengkritik kerajaan kedua-duanya, iaitu secara terbuka dan di belakang tabir.

"Jika ahli politik mengabaikan amaran agensi penarafan," tulis Mann, "mereka berhadapan dengan risiko serangan yang menimbulkan rasa malu tentang penurunan gred tambahan yang boleh melemahkan keyakinan terhadap kerajaan dan mengakibatkan peningkatan kadar faedah." Rutin mata-mata baik, mata-mata jahat adalah terutamanya kuat kerana penurunan gred oleh dua daripada tiga agensi penarafan utama ini boleh membawa kesan negatif, seperti memerlukan beberapa pengeluar bon mencari kolateral tambahan.

Sebelum tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka, agensi penarafan bertindak  menyerang balas, pertama menerusi keingkaran awam.  Untuk mengelakkan kemungkinan liabiliti, mereka mengancam untuk membekukan pasaran untuk sekuriti disokong aset dengan enggan membenarkan penarafan mereka dipetik dalam pemfailan Securities and Exchange Commission (SEC).  SEC dengan segera merobohkan dan menggantungkan peraturan berkenaan.  Tidak cukup dengan segala tindakan itu, tegas Manns, agensi penarafan memulakan kempen gerila di belakang tabir melobi untuk melemahkan usaha suruhanjaya untuk  melaksanakan undang-undang pembaharuan Wall Street Dodd-Frank.  Beliau seolah-olah membayangkan bahawa agensi penarafan menjadikan kerajaan dan SEC sebagai tebusan mereka dengan sewenang-wenangnya.

Tanpa disedari, sesungguhnya, agensi penarafan cukup kuat yang boleh menggoncangkan sesebuah kerajaan, melemahkan pasaran, menumbangkan sesebuah firma atau syarikat.  Melalui tindakan yang agak sopan, iaitu lobi dan yang memang keras, iaitu dendam, agensi penarafan mampu memperkukuh kedudukan mereka.  Kerajaan, pasaran, dan firma, semua terpaksa tunduk pada mereka.  
























No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...