Artikel Popular

Wednesday, October 29, 2014

Presiden Lawan Ekonomi

RABU, 5 November 2014
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH





Selepas Jabatan Buruh Amerika Syarikat mengumumkan bahawa pada bulan Ogos (2012) hanya 96,000 pekerjaan diwujudkan berbanding dengan anggaran130,000 pekerjaan, dan meskipun kadar pengangguran di negara itu jatuh daripada 8.3 peratus pada Julai  kepada 8.1 peratus, Ezra Klein yang menulis dalam blog The Washington Post,  menegaskan bahawa “Presiden lawan ekonomi.”  Penurunan kadar pengangguran  sebenarnya berpunca daripada sebilangan penganggur meninggalkan pasaran buruh, iaitu mereka tidak mahu mencari pekerjaan lagi.
Laporan bulanan  tentang pekerjaan  yang muram itu dijangkakan membayangi kejayaan  Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik di Charlotte, North Carolina, yang baru sahaja selesai.  Presiden Barack Obama yang berucap untuk menerima pencalonan daripada partinya  kelihatan tidak setanding  bekas Presiden Bill Clinton dan isterinya, Michelle, yang berucap sebelum itu,  kerana beliau  “terganggu” oleh   laporan tersebut   yang beliau terima lebih awal:   krisis pekerjaan masih wujud. “Ucapan itu,” hujah Klein, “adalah sesuai untuk  ekonomi pada pengangguran 6.5 peratus dan bukannya pengangguran 8.1 peratus.”
Ketika pengumuman Jabatan Buruh itu dibuat 7 September, Pilihan Raya Presiden tahun 2012 hanya tinggal dua bulan lagi.  Dengan kadar pengangguran yang tinggi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula kurang daripada dua peratus, pastinya  penjawat kini, iaitu Presiden Barack Obama menghadapi laluan yang sukar untuk  penggal kedua.  Sejak zaman Franklin D.  Roosevelt, tidak ada Presiden Amerika Syarikat yang dapat mempertahankan jawatannya apabila kadar pengangguran lebih lapan  peratus.  Laporan pekerjaan itu diramalkan akan  merancakkan lagi kempen di kedua-dua belah pihak, iaitu Barack Obama dan lawannya, Mitt Romney daripada Republikan.  “Kita menuju arah yang salah,” isytiharkan Romney, memandangkan masih banyak rakyat Amerika yang  terhuyung-hayang akibat kemelesetan yang teruk.  “Kita tahu tidak cukup,” ulas Obama, “Kita perlu mewujudkan lebih banyak  pekerjaan dan lebih cepat.”
Beberapa laporan lain yang tidak memberangsangkan, menambahkan lagi tekanan terhadap Presiden Obama.  Tatkala kedua-dua calon yang bertanding berusaha untuk meraih sokongan golongan kelas menengah, pada  Ogos lalu, Pew Research Center, mengeluarkan laporan The Lost Decade of the Middle Class, menunjukkan bahawa sejak tahun 2000, golongan itu mengecil dari segi saiz, merosot  dari segi pendapatan dan kekayaan, membayangkan kemungkinan keterhakisan golongan itu pada masa hadapan.
Seterusnya, pada September, Biro Banci Amerika Syarikat menerbitkan  Income, Poverty, and Health Insurance Coverage in the United States: 2011, menunjukkan  banyak lagi berita buruk untuk kelas menegah. Ketidaksamaan ekonomi  terus meningkat, dipacu oleh pertumbuhan pendapatan dalam kalangan orang kaya Amerika, manakala golongan yang berpendapatan lebih sederhana mendapati pendapatan mereka mereka beku atau bahkan merosot. Pendapatan isi rumah median terus jatuh pada tahun 2011, tahun kedua pemulihan ekonomi, iaitu jatuh kira-kira empat peratus.  “Ketidaksamaan pendapatan semakin teruk,” tulis Timothy Noah dalam The New Republic. “Seperti yang kita ketahui bahawa golongan kaya terus meningkatkan bahagian mreka daripada pendapatan kolektif negara pada tahun 2010, apabila secara luar biasa 93 peratus pemulihan masuk ke dalam saku golongan satu peratus.”
Laporan itu juga menyatakan bahawa 46.2 juta rakyat Amerika hidup dalam kemiskinan, dengan garis kemiskinan untuk keluarga seramai empat orang ialah AS$22,811.  Kejatuhan jumlah ini dianggap baik dan agak memeranjatkan kerana Amerika Syarikat masih bersusah payah untuk pulih daripada kemelesetan.  Data menunjukkan bahawa kadar kemiskinan keseluruhan 15.0 peratus adalah rendah pada tahun 2011 berbanding dengan 15.1 peratus pada tahun sebelum ini, suatu perbezaan kira-kira 96,000 orang.
Ketika Barack Obama bersiap sedia untuk pertarungan penggal keduanya, penggunaan setem makanan dilaporkan, mencecah rekod tertinggi, iaitu 46.7 juta pada Jun. Penyertaan meningkat 0.4 peratus dari Mei dan 3.3 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan tahun lalu dan kekal lebih besar daripada 46 juta sepanjang tahun kerana kadar pengangguran masih tinggi.  “Terlalu banyak keluarga kelas menengah yang hidup dalam kesusahan masih terpaksa bersusah payah,” jelas Setiausaha Pertanian, Tom Vilsack melalui e-mel kepada Bloomberg pada awal September lalu. “Matlamat kami adalah untuk menyediakan bantuan yang keluarga ini perlukan agar mereka mampu mengharungi masa yang sukar ini dan kemudian mampu berdikari semula secepat yang mungkin.”   Perbelanjaan stem makanan meningkat lebih berlipat ganda dalam masa empat kepada rekod tertinggi AS$75.7 bilion pada tahun fiskal yang  berakhir 30 September 2011, merupakan perbelanjaan terbesar Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).
Sementara itu, seperti yang dilaporkan oleh CNN yang memetik USDA,   pada awal September, lebih 50 juta orang Amerika, tidak mampu membeli makanan pada masa tertentu pada tahun 2011.  Kanak-kanak dalam kira-kira 3.9 juta isi rumah sengsara akibat keadaan tidak keselamatan   makanan (food insecurity) pada tahun lalu, dengan keluarga mereka tidak mampu menyediakan makanan berkhasiat yang cukup.  Hampir 17 juta orang Amerika sengsara akibat “keselamatan  makanan yang rendah,” bermakna mereka terpaksa mengurangkan jumlah makanan yang mereka makan, iaitu makanan yang mereka beli tidak dapat tahan lama dan mereka tidak cukup wang untuk membeli makanan yang banyak.  Mereka lazimnya mendapati diri mereka dalam situasi sedemikian beberapa hari dalam sebulan untuk tujuh bulan setahun.  Bilangan orang dalam kategori ini meningkat sebanyak lebih 800,000 orang daripada jumlah pada tahun 2010.
Seperti Pilihan Raya Presiden pada tahun 2008, ekonomi dianggap merupakan faktor utama dalam pilihan raya kali ini.  Ketika itu, Amerika Syarikat  terjebak dalam kemelesetan, dan tatkala kempen sedang rancak, tiba-tiba pada pertengahan September, Lehman Brothers mengisytiharkan kemuflisan yang menyebabkan berlaku runtuhan Wall Street dan pasaran saham dunia lintang-pukang.  John McCain daripada Republikan yang ketika itu  mendahului Barack Obama, bagaikan dihempap oleh runtuhan itu dan terus tidak bangkit hingga hari pilihan raya.  Kini,  walaupun  Amerika telah keluar daripada kemelesetan pada pertengahan tahun 2009,   sebilangan besar penduduk tidak merasainya  kerana   kadar pertumbuhan rendah dan kadar pengangguran masih tinggi. Sememangnya,  ekonomi  tidak memihak kepada Barack Obama, bahkan kadar pengangguran yang diumumkan pada  Jumaat pertama setiap bulan, seakan-akan terus menzalimi beliau.  Prestasi ekonomi beliau tidak memuaskan, dan dengan itu, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan bahawa rakyat Amerika lebih yakin kepada Mitt Romney untuk mengurus ekonomi dan menangani pengangguran. Dalam kad laporan Obama pada akhir penggal, The Economist memberikan gred untuk perkara yang berikut: Respons terhadap krisis (A-); rangsangan (B+); perumahan (C+); pasaran buruh (C+); perdagangan (B-); dasar perindustrian (F); kawal selia (D+); dan hutang/dasar fiskal (tidak lengkap).
Sementara Robert J. Samuelson yang menulis dalam The Washington Post, memberikan gred C+ untuk kad laporan ekonomi Presiden Obama, iaitu kurang bermutu terbaik, meskipun mengakui bahawa Presiden biasa tidak banyak pengaruh terhadap ekonomi.  Terlalu besar dan tertakluk kepada terlalu banyak kuasa kompleks, daripada teknologi baru kepada keadaan global.  Lagipun, banyak pihak yang terlibat, seperti Kongres untuk cukai dan perbelanjaan, Rizab Persekutuan untuk pasaran kewangan, dan agensi kawal selia.  “Presiden selalunya dipersalahkan atau diberikan pujian,” tegas Samuelson, “kerana ekonomi apabila mereka tidak wajar juga.  Akan tetapi, ketika krisis, Presiden memperoleh kuasa. Oleh sebab itu, Obama akan dan sepatutnya dinilai dari segi prestasi ekonomi.” 
Lebih menarik daripada keseluruhan gred saya, jelas Samuelson ialah komponenannya. “Untuk enam bulan pertama, saya memberinya A-; untuk bulan seterusnya, C- atau D. Saya memberikan wajaran dua gred itu secara seimbang kerana beliau wajar diberikan banyak pujian kerana menghentikan jatuh bebas ekonomi apabila memegang jawatan Presiden.”
Jika isu ekonomi dibangkitkan atau laporan tentang ekonomi dikemukakan, Demokrat dan kempen Obama kelihatan bersifat defensif, sesuatu yang sukar untuk dijawab atau dijelaskan.  Sebelum Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik, mereka dikemukakan  soalan yang pernah dikemukakan oleh Ronald Reagan pada tahun 1980, ketika mencabar penjawat kini, Presiden Jimmy Carter: “Adakah rakyat Amerika lebih baik sekarang berbanding dengan empat tahun lalu?”
Beberapa anggota Demokrat yang diajukan soalan itu tidak cuba menjawabnya, sebaliknya mereka menyerang kempen Romney yang menurut mereka, tidak segan silu berdusta kepada pengundi. David Plouffe, penasihat kanan Rumah Putih enggan memberikan jawapan, sama ada ya ataupun tidak. Apabila pengacara program televisyen ABC,  George Stephanopoulos berulang-ulang kali bertanyakan beliau:  “Anda masih tidak dapat memberikan jawapan ya.”  “Jelas kita semakin baik, George,” jawab Plouffe. “Kita mencapai banyak kemajuan daripada kemelesetan yang teruk ... Kita perlu terus pulih.”   Sementara dalam program Fox News,  ahli strategi kempen Obama, iaitu David Axelrod, enggan memberikan jawapan yang berterus terang, manakala Gobenor Maryland, Martin O’Malley, yang muncul dalam program televisyen CBS, kelihatan tidak bersemangat, “Tidak, tetapi itu bukan soalan pilihan raya ini.”
Hanya selepas itu, dalam usaha mengawal “api daripada terus marak,”  daripada dijadikan modal oleh kempen Romney, anggota Demokrat lebih tegas memberikan jawapan mereka.  Misalnya, ketika ditanya, sama ada rakyat Amerika lebih baik, dalam program televisyen NBC, timbalan pengurus kempen Obama, iaitu Stephanie Cutter, memberikan jawapan yang muktamad dengan menyenaraikan statistik peningkatan pengangguran dan kemerosotan upah dalam masa enam bulan sebelum Obama menjadi Presiden. Mengikut mana-mana ukuran, negara ini mengorak langkah sepanjang empat tahun lalu. Bahkan, Martin O’Malley mengubah jawapannya, memberitahu CNN, “Kita jelas lebih baik sebagai sebuah negara kerana kita kini mewujudkan pekerjaan berbanding dengan kehilangan pekerjaan.”
Benarkah  ekonomi menentukan keputusan Pilihan Raya Presiden tahun ini?  Jika demikian,  bahkan diakui oleh anggota Republikan sendiri, Obama sudah lama berkubur;  sebaliknya, beliau masih dan terus kuat.  Tinjauan pendapat demi tinjauan pendapat yang dikeluarkan, khususnya selepas persidangan partinya, beliau terus mendahului Romney, baik di peringkat nasional, mahupun di peringkat negeri berayun yang kebanyakan beliau kuasai.   Sejak berbulan-bulan, Romney masih gagal memisahkan para pengundi yang masih  mendakap setia pada Obama, meskipun kempen demi kempen dilancarkan, iklan demi iklan disiarkan.  Dari segi kepopularan dan dasar luar, nyata bahawa Romney tidak mampu menyaingi lawannya.
Medan pertarungan yang sepatutnya dikuasai oleh Romney, iaitu ekonomi,  Obama menampakkan kemaraannya.  Daripada belanjawan kepada pencukaian kepada penjagaan kesihatan, kempen Romney gagal meyakinkan rakyat, dan terutamanya para pengundi.  Bahkan, janji Romney  untuk mewujudkan 12 juta pekerjaan dalam penggal pertama jika beliau dipilih sebagai Presiden, diragui oleh banyak pihak, terutamanya ahli ekonomi dan para penganalisis.
Hakikatnya, setakat ini, ekonomi belum lagi membawa  bencana terhadap Obama, dan kemungkinannya hal ini berterusan pada 6 November ini, walaupun dua  lagi laporan pekerjaan dan satu lagi laporan KDNK akan diumumkan.  Lagipun, ekonomi sekarang diperhatikan tidak seburuk tahun 1980 yang menyaksikan kekalahan Carter di tangan Reagan. Menurut rekod, Presiden daripada Parti Demokratik didapati lebih baik dari segi mengurus ekonomi dan mewujudkan pekerjaan; ketika Obama, lebih empat juta pekerjaan diwujudkan, biarpun pengangguran masih tinggi.
Diketahui umum, Barack Obama mewarisi masalah daripada George W. Bush, tetapi  beliau pastinya tidak dapat cuci tangan dengan menyalahkan Presiden sebelumnya.  Lebih-lebih lagi Obama banyak menghabiskan masa, iaitu dua tahun pertama  untuk memperkenalkan pelan penjagaan kesihatan – padahal, beliau sepatutnya memberikan tumpuan terhadap pemulihan ekonomi dan usaha untuk mewujudkan pekerjaan.  Sementara  anggota Republikan, baik semasa merupakan minoriti, mahupun majoriti dalam Dewan Perwakilan, iaitu selepas Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010, enggan bekerjasama dengan Obama sehingga parti itu dikenali sebagai “parti tidak.” Bahkan, sebaik-baik sahaja Obama memenangi Pilihan Raya Presiden,  tetapi belum lagi memegang jawatan itu, Republikan mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan beliau.   Bagi mereka, “demi memastikan Obama hilang pekerjaan, biarkan rakyat  tanpa pekerjaan.”  
Rakyat  kini  menyalahkan Washington, iaitu Dewan Perwakilan, Senat, dan Rumah Putih terhadap masalah yang wujud, baik dari segi ekonomi mahupun politik.  Seperti yang pernah ditegaskan oleh bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, kegagalan menangani hutang dan masalah belanjawan yang teruk adalah kerana ahli politik Republikan dan Demokratik “lebih mementingkan kemenangan dalam pilihan raya dan meraih kemenangan ideologi berbanding dengan menyelamatkan negara.”
Memang  Obama boleh dikatakan gagal dari segi ekonomi, tetapi Romney gagal mengemukakan alternatif yang terbaik.  Dalam pilihan raya kali ini, rakyat nampaknya  perlu membuat pilihan antara dasar yang gagal dengan alternatif yang teruk. Pastinya, pilihan raya kali ini bukannya pertarungan angka semata-mata, bukannya hanya kuantitatif, tetapi ini juga kualitatif, yang dari segi ini Obama banyak mempunyai kelebihan berbanding dengan Romney. Kempen yang kurang cacat juga banyak membantu kemenangan calon, dan dari segi ini, kempen Obama mempunyai kelebihan berbanding dengan kempen Romney.
Ketika makalah ini ditulis, iaitu pada pertengahan September, The Huffington Post menunjukkan bahawa Barack Obama menguasai 316 berbanding 206 undi badan perwakilan pemilih untuk Mitt Romney,  manakala masih wujud dua buah negeri berayun, iaitu Wisconsin dan Iowa. Pastinya, dalam masa kira-kira 50 hari, kedudukan itu akan berubah-ubah.  Sementara Nate Silver, penganalisis yang sering dirujuk,  melalui kolumnya dalam The New York Times, dalam ramalannya pada 18 September, Obama memperoleh 320.2 undi badan perwakilan pemilih  berbanding 217.8 untuk Romney.  Peluang Obama menang pula ialah 91.3 peratus berbanding 8.7 peratus untuk Romney.
Ketika majalah  ini beredar dalam pasaran pada bulan November, keputusan pilihan raya telah pun diketahui. Maka,  dapat disahkan, sama ada Obama menang kerana kempennya, biarpun ekonomi teruk, ataupun Romney menang kerana ekonomi, biarpun kempennya teruk.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2012.) 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...