Artikel Popular

Tuesday, December 16, 2014

Wilayah Bahasa

SELASA, 16 Disember 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Selain China, Quebec, dan Perancis, Rusia juga mencuba untuk mengambil langkah yang sama jika untuk mencegah pencerobohan  bahasa asing.  Wujud  rang undang-undang terbaru dari  parlimen negara itu, Duma,  yang bertujuan menyekat penggunaan tidak perlu.  Penceroboh bahasa akan didakwa dengan denda   yang besar dan berat.  Pada tahun lalu,  wujud cadangan ahli politik supaya dibersihkan bahasa Rusia daripada kata pinjaman yang tidak perlu.  Walau bagaimanapun, kali ini kelihatan serius.  Rang undang-undang itu telah mendapat sokongan jawatankuasa budaya Duma yang diketuai oleh Vladimir Bortko, anggota Parti Komunis dan pengarah filem terkenal.  Walaupun masih jauh untuk menjadi undang-undang, dan bahkan jika diluluskan, belum pastikan dikuatkuasakan, menurut laporan Interfax,  melibatkan sekurang-kurangnya 31 perkataan asing, seperti shtraf (denda), deputat (timbalan), dan kodeks (kod).
            Alexey Kovalex  mengkritik langkah itu dalam  The Guardian pada pertengahan  Jun 2014, atas alasan tidak realistik kerana perlu mengambil masa beberapa tahun dan melibatkan berbilion ruble pembayar cukai.  (Ruble ialah mata wang Rusia.) Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bukan Rusia sahaja yang terpaksa bersusah payah untuk memelihara ketulenan leksikal dengan mengemukakan contoh:  Iceland yang tersaurus tidak banyak berubah sejak abad ke-12, pemimpin boneka rejim Nazi Crotia pernah mencuba bukan sahaja membersihkan dirinya daripada unsur  “yang tidak diingini,” seperti orang Serb, Yahudi, dan Roma, tetapi juga bahasanya daripada perkataan “asing.” 
            Rusia juga menyekat penggunaan perkataan yang dianggap kesat  apabila pada Mei lalu, Presiden Vladimir Putin menandatangani undang-undang cabul.  Undang-undang itu   menyenaraikan penggunaan empat perkataan sumpah khusus dan derivatif perkataan itu, terutamanya leksikon lucah dan girang yang dikenali sebagai “kusam” (mat)  Rusia dalam persembahan awam kerana boleh didenda sehingga 2,500 ruble (AS$70) bagi individu dan sehingga 50,000 ruble bagi syarikat dan organisasi.
            “Peristiwa  bahasa” muncul sekali-sekala di pentas dunia. Seperti yang dibincangkan,  Rusia  mengambil langkah mengawal “wilayah” bahasa Rusia, di samping memelihara ketulenan bahasa itu.  Meskipun tidak serancak peristiwa lain, seperti  Piala Dunia 2014, Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), dan keganasan Israel di Gaza, impak sesuatu keputusan atau tindakan yang berkait dengan bahasa, khususnya  dari segi hubungan antarabangsa atau geopolitik tidak boleh dipandang ringan.
            Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggunakan  “helah bahasa”   demi kepentingan dan kelangsungan  Israel. Ketika pertemuan awam di Baitulmuqqadis  pada akhir Mei tahun ini,  beliau dilaporkan “bertikam lidah” dengan Pope Francis   tentang bahasa yang dituturkan oleh Jesus dua alaf lalu.  Netanyahu memberitahu Francis, “Jesus di sini, di tanah ini.  Jesus bertutur dalam bahasa Ibrani” untuk menunjukkan hubungan erat antara Judaisme dengan Kristian.  Walau bagaimanapun, Pope mencelah, “bahasa Aramia.”  “Jesus bertutur dalam bahasa Aramia, tetapi Jesus tahu bahasa Ibrani,” Netanyahu menjawab balik.
            Oleh sebab  Netanyahu  beria-ia mengaitkan bahasa Ibrani dengan Jesus, maka   beliau dapat ditafsirkan menggunakan bahasa dari segi politik untuk mendapatkan wilayah untuk Israel.   Beliau  boleh diibaratkan  dalam “satu kapal” dengan Putin:   menggunakan bahasa untuk   pengilhakan (annexation). Presiden Rusia itu  beberapa bulan  lalu mewajarkan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine dengan alasan untuk menyelamatkan penutur bahasa Rusia di negara itu. Netanyahu pula mencuba untuk menggunakan bahasa yang dituturkan oleh Jesus untuk mewajarkan Israel menduduki wilayah Palestin.
            Sebagaimana banyak perkara di Timur Tengah, wacana zaman moden tentang Jesus dikatakan rumit dan selalunya politik. Bagi orang Yahudi, Jesus lahir di Bethlehem, wilayah Judea yang diperintah oleh Rom, yang kini Tebing Barat yang diduduki oleh Israel.  Orang Palestin pula ada kalanya menjelaskan Jesus sebagai Palestin.  Akan tetapi, Israel menentang penjelasan itu.
            Jauh di Australia, Perdana Menteri Tony Abbott memberitahu bahawa beliau enggan  merujuk Baitulmuqqadis Timur “diduduki”  (occupied), yang bagi beliau, hanya soal tatabahasa.  Beliau menjelaskan bahawa “diduduki” ialah perkataan yang sukar untuk kerajaan Australia sebut.  Dalam tindakan susulan,  Abbott berkata, meskipun tidak wujud perubahan dalam dasar, “Kami secara mutlak enggan merujuk Baitulmuqqadis Timur ‘diduduki.’”
            Sementara itu, Peguam Negara George Brandis menerangkan kata nama betul “Diduduki” (Occupied) dipertikaikan.  Brandis  berulang-ulang kali menjelaskan istilah itu sebagai “menimbulkan perbalahan,” di samping “andaian sangat, sangat kontroversi” dan “terbeban”  (loaded).            Brandis yang enggan berganjak,  mengulangi  pendiriannya dalam kenyataan: “Australia menyokong penyelesaian damai untuk pertikaian antara Israel dengan rakyat Palestin, yang mengiktiraf hak Israel untuk wujud secara aman dalam sempadan yang terjamin dan juga mengiktiraf aspirasi  taraf negara rakyat Palestin... Penjelasan Baitulmuqqadis sebagai ‘Baitulmuqqadis Timur  Diduduki’ ialah istilah diwajibkan dengan implikasi pejoratif, yang tidak sesuai dan tidak berguna.  Sepatutnya tidak dan tidak akan menjadi amalan kerajaan Australia untuk menjelaskan kawasan rundingan dalam bahasa pertimbangan sedemikian.”
            Brandis secara berani membuat kenyataan tersebut, meskipun Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara eksplisit menyatakan pada Februari tahun ini bahawa: “Majlis Hak Asasi Manusia menegaskan bahawa penempatan dan aktiviti Israel di Wilayah Palestin  Diduduki, termasuk Baitulmuqqadis Timur, adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.”
            Keputusan kerajaan Australia untuk menghentikan penggunaan pemerihal berhuruf besar “Diduduki” dalam hubungan dengan Baitulmuqqadis Timur dianggap melanggar undang-undang antarabangsa dan konvensyen domestik, dan yang terbaru dalam siri tindakan menunjukkan sokongan kerajaan terhadap Israel dan program penempatannya.  Perubahan bahasa yang digunakan oleh kerajaan Australia untuk merujuk Baitulmuqqadis Timur diduduki dianggap entah dari mana, tetapi hal itu menandakan agenda propenempatan Parti Konservatif yang semakin meningkat. Namun begitu, Australia kelihatan menerima padah akibat keterlanjuran menganjak peristilahan kerana menerima kutukan antarabangsa dan domestik. 
            Walaupun hanya sekadar melibatkan penggunaan   huruf besar “D”  (atau “O”  bahasa Inggeris), implikasinya agak  serius:  Australia bagaikan terjebak dalam perang Arab-Israel.   Dalam kalangan penyokong Israel, mereka menyanjung pendirian kerajaan Australia itu, manakala kumpulan Arab mengkritik. Kumpulan duta besar dari negara Islam, termasuk pasaran eksport lembu dan biri-biri utama, mengeluarkan amaran bahawa mereka boleh menyekat eksport ladang Australia ke Timur Tengah jika pendirian tersebut tidak diubah.  Amaran itu melahirkan  kebimbangan petani Australia. 
            Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kerajaan Australia terpaksa menganjak pendiriannya dengan sewajarnya.  Dalam surat bertarikh 19  Jun, kepada duta besar Maghribi, Menteri Luar Julie Bishop berkata, kenyataan Brandis “adalah tentang tatanama, dan bukannya komen terhadap status perundangan Wilayah Palestin.”  Dalam usaha memujuk pemimpin Arab di Australia, ketua Delegasi Umum Palestin ke Australia, Izzat Abdulhadi, memberitahu akhbar Haaretz,  Bishop “menekankan bahawa maksud  Brandis bahawa kerajaan tidak akan menggunakan istilah ‘Baitulmuqqadis Timur Diduduki’ dengan huruf Besar ‘D’ (‘O’) sebagai kata nama yang betul, tetapi akan terus menggunakan huruf kecil ‘d’ (‘o’) dalam menjelaskan status perundangan Baitulmuqqadis Timur sebagai ‘diduduki.’”
            Dalam usaha mengawal kerosakan, kerajaan Australia akan menasihati rakan sejawatan Islam bahawa tidak wujud anjakan terhadap dasar Timur Tengah negara itu untuk meredakan “reaksi berlebihan” terhadap keputusannya menghentikan sebutan Baitulmuqqadis Timur “diduduki.”  Negara Islam yang naik berang terhadap perubahan itu, yang mereka katakan dibuat tanpa perundingan sehingga mencetuskan hiruk-pikuk diplomatik. Sesetengah negara Islam dilaporkan mempertimbangkan usul di Perhimpunan Agung PBB mengutuk Australia.
            Isu ini tercetus hanya beberapa minggu lawatan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu ke Australia yang belum diumumkan secara rasmi. Beliau mengalu-alukan perubahan perkataan, berkata, langkah Australia itu, “berani” dan “menyegarkan.”  Beliau berkata, Australia enggan untuk “menyucikan dusta,” dan setiap orang yang berminat terhadap penyelesaian secara aman sepatutnya sedar bahawa penyelesaian mesti berasaskan kebenaran dan bukan “dusta sejarah.”
            Di Timur Tengah, dikatakan era baru geopolitik taifah  bermula.  Apakah geopolitik bahasa juga bermula di beberapa wilayah tertentu?

            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa, di bawah judul, “Membentengi Wilayah daripada Bahasa Penjajah,”  September, 2014.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...