Artikel Popular

Monday, December 8, 2014

Doctor Zhivago: Alat Propaganda Perang Dingin


ISNIN, 8 Disember 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Bersempena ulang tahun ke-20 keruntuhan Tembok  Berlin, The Daily Beast dalam keluaran 11 Ogos 2009, memilih buku baharu dan lama terbaik tentang Perang Dingin dan kejatuhan Komunisme.  Empat buku yang terpilih itu ialah The Magic Lantern oleh Timothy Garton Ash,  Revolution 1989: The Fall of the Soviet Empire oleh  Victor Sebestyen, dan   dua buah lagi ialah novel, iaitu Tinker, Tailor, Soldier, Spy dan The Wall Jumper, masing-masing oleh  Victor Sebestyen dan John le Carré.   
            Gugurkan buku dan bukannya bom seakan-akan adalah antara teknik yang diterima pakai oleh Amerika Syarikat ketika Perang Dingin.  Pada era itu, tulis Peter Finn dan Petra Couvée “CIA mencintai sastera -  novel, cerpen, sajak.  Joyce, Hemingway, Eliot.  Dostoevsky, Tolstoy, Nabokov.”   Dalam makalah yang diterbitkan dalam The Washington Post  awal April tahun ini,  yang diubahsuaikan daripada The Zhivago Affair:  The Kremlin, the CIA, and the Battle Over a Forbidden Book,  mereka menegaskan bahawa buku ialah senjata, dan jika karya sastera tidak dapat diperoleh atau diharamkan di Kesatuan Soviet atau Eropah Timur, maka karya itu digunakan sebagai propaganda untuk mencabar versi realiti Soviet.  (Buku ini terbit pada 17 Jun tahun ini.) Sepanjang tempoh Perang Dingin, sebanyak 10 juta naskhah buku dan majalah diedarkan secara rahsia oleh CIA di belakang Tabir Besi sebagai sebahagian kempen perang politik.”   
            “Dalam hubungan ini, Doctor Zhivago merupakan peluang keemasan untuk CIA,” jelas Finn dan  Couvée  Menurut  mereka,  pakej sulit tiba di ibu pejabat CIA pada Januari 1958.  Di dalamnya ialah dua gulung filem daripada risikan British, iaitu gambar halaman novel bahasa Rusia berjudul Doctor Zhivago.  Buku ini ditulis oleh penyair Boris Pasternak, yang diharamkan penerbitannya di Kesatuan Soviet.  Pihak British mencadangkan supaya CIA mendapatkan salinan novel di belakang Tabir Besi. Idea tersebut mendapat tarikan segera di Washington.
            Novel  Doctor Zhivago pertama kali diterbitkan oleh penerbit di Milan yang menerima naskhah manuskrip daripada peninjau sastera Itali yang bekerja di Moscow.  Pada Jun 1956, Pasternak menandatangani kontrak dengan penerbit, Giangiacomo Feltrinelli, yang akan melawan semua usaha oleh Kremlin dan Parti Komunis Itali untuk menindas penerbitan buku ini. Selepas itu, novel ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Perancis.  Novel terkenal  Pasternak ini masih tidak diterbitkan di Kesatuan Soviet hingga tahun 1988, kerana kritikan implisitnya terhadap sistem Soviet.  Akan tetapi, untuk alasan yang sama, CIA mahu rakyat Soviet membaca buku ini, dan mengatur penerbitan pertamanya dalam bahasa Rusia. 
            “Buku ini mempunyai nilai propaganda yang amat besar.” Finn dan  Couvée memetik memo CIA kepada semua ketua cawangan Bahagian Rusia Soviet agensi berkenaan, yang menyatakan, “bukan hanya kerana mesej intrinsiknya dan sifat merangsang fikiran, tetapi juga kerana keadaan penerbitannya: kita mempunyai peluang untuk menjadikan warga Soviet hairan apakah silap kerajaan mereka, apabila mendapati karya sastera yang halus oleh lelaki yang diiktiraf sebagai penulis agung Rusia, bahkan tidak dapat diperoleh di negaranya sendiri dalam bahasnya sendiri untuk orangnya sendiri baca.”
            Memo berkenaan ialah satu daripada lebih 130 dokumen CIA yang diubah status baru-baru ini yang memperincikan penglibatan rahsia agensi dalam percetakan Doctor Zhivago, suatu rancangan berani yang membantu menyampaikan buku ini ke tangan warga Soviet yang kemudiannya memberikan buku ini daripada seorang kawan kepada seorang kawan, membolehkannya beredar di Moscow dan kota lain di Blok Timur.  Penerbitan buku tersebut dan kemudian penganugerahan Hadiah Nobel  Kesusasteraan kepada Pasternak mencetuskan satu  ribut budaya yang  amat  hebat dalam Perang Dingin.
            Kedua-duanya, iaitu epik dan autobiografi  novel Pasternak berkisar pada doktor-penyair Yuri Zhivago – seni, kecintaan, dan kehilangan dalam dekad sekitar Revolusi Rusia tahun 1917.  Sepanjang tempoh itu, Zhivago ialah alter ego Pasternak.  Kedua-duanya, iaitu watak dan penulis, yang lahir pada tahun 1890, adalah dari masa lalu yang hilang, iaitu persekitaran inteligensia Moscow yang dibudayakan.  Novel ini memberitahu kisah sebahagian autobiografi Zhivago, ketika zaman dekad gelora, sebelum, ketika, dan selepas Revolusi tahun 1917.  Dia telah pun berkahwin apabila dia jatuh cinta pada wanita lain, iaitu Lara yang juga berkahwin.         
            Oleh sebab daya tarikan keabadian novel tersebut dan filem tahun 1965 berdasarkan novel ini, Doctor Zhivago kekal sebagai tanda penting karya fiksyen.  Namun begitu, jelas Finn dan  Couvée, hanya sebilangan pembaca yang tahu pengalaman kelahirannya dan bagaimana novel itu merangsangkan dunia yang sangat berpecah-belah antara ideologi yang bersaing dua kuasa besar. “Peranan CIA – dengan penerbitan kulit keras edisi bahasa Rusia dicetak di Belanda dan edisi mini, iaitu kulit lembut di ibu pejabat CIA – begitu lama disembunyikan.”
            Dokumen yang baru sahaja didedahkan itu menunjukkan bahawa operasi untuk menerbitkan buku ini dikendalikan oleh Bahagian Rusia Soviet CIA, dipantau oleh Pengarah CIA,  Allen Dulles dan dipersetujui oleh Lembaga Penyelarasan Operasi Presiden Dwight  D.  Eisenhower (OCB), yang melaporkan kepada Majlis Keselamatan Negara di Rumah Putih.  OCB yang menyelia aktiviti terselindung memberikan kawalan eksklusif kepada CIA terhadap “eksploitasi” novel ini.  Menurut rekod tersebut,  seperti yang dicatatkan  oleh Finn dan  Couvée, “tangan kerajaan Amerika Syarikat tidak ditujukkan dalam mana-mana bentuk.”  
            Sementara itu, di Washington, pakar Soviet dengan cepat melihat mengapa Moscow keberatan terhadap Doctor Zhivago.  Dalam memo pada Julai 1958, John Maury, ketua Bahagian Rusia Soviet, menulis bahawa buku ini memang jelas ancaman terhadap pandangan dunia yang Kremlin nekad untuk tunjukkan.  “Mesej kemanusiaan Pasternak bahawa setiap orang mempunyai hak untuk kehidupan peribadi dan wajar  mendapat penghormatan sebagai manusia, tidak kira takat kesetiaan politiknya atau sumbangannya kepada negara - memberikan cabaran asas  terhadap etika Soviet tentang pengorbanan individu kepada sistem Komunis,” tulis Maury.
            Finn dan  Couvée  memetik memo dalaman tidak berapa lama selepas kemunculan novel ini di Itali bahawa anggota staf CIA mencadangkan supaya Doctor Zhivago diterbitkan dalam jumlah maksimum edisi asing, untuk maksimum pengedaran dunia percuma, dan menyanjung serta mempertimbangkan penghormatan, seperti Hadiah Nobel.  Meskipun CIA berharap novel Pasternak akan menarik perhatian dunia, termasuk daripada Swedish Academy, tidak wujud petunjuk bahawa motif agensi itu untuk mencetak edisi bahasa Rusia untuk membantu Pasternak memenangi Hadiah Nobel, sesuatu yang menjadi persoalan spekulasi untuk beberapa dekad.
            Pada awal September 1958, ejen perkhidmatan rahsia Belanda, Joop van der Wilden membawa balik senjata CIA terbaru dalam perjuangan antara Barat dengan Kesatuan Soviet, dalam pakej kertas kuning yang kecil.  Benda itu bukannya bahan  baru  teknologi ketenteraan licik, tetapi buku, iaitu naskhah edisi bahasa Rusia pertama Doctor Zhivago yang diterbitkan oleh  Mouton Publishers of The Hague.  Buku ini ialah sebahagian cetakan  sulit yang Joop van der Wilden kumpulkan daripada penerbit dan diserahkan kepada CIA. Rancangannya,  beberapa ratus buah buku untuk diserahkan kepada pelawat Soviet yang mengunjungi Brussels Universal and International Exposition.  Pihak berkuasa Belgium mengeluarkan 16,000 visa untuk pelawat Soviet.  Empat puluh tiga negara menyertai ekspo di tapak seluas 500 ekar di  Brussels tengah, dengan   Amerika Syarika dan Kesatuan Soviet membina astaka yang amat besar untuk mempamerikan cara  hidup yang bersaing. 
            Pada Julai 1959, sekurang-kurangnya 9000 naskhah edisi miniatur Doctor Zhivago dicetak dalam satu daripada dua siri jilid.  CIA cuba mewujudkan ilusi bahawa edisi novel ini diterbitkan di Paris oleh entiti rekaan, Société d’Edition et d’Impression Mondiale.  Kumpulan emigre    Rusia juga mendakwa bahawa mereka di belakang penerbitan ini.  Finn dan  Couvée  memetik rekod CIA yang menyatakan buku miniatur ini diedarkan oleh ejen yang mempunyai kontak dengan pelancong dan pegawai Soviet di Barat.  Sebanyak 2000 naskhah edisi ini disimpan untuk diedarkan kepada pelajar Soviet dan Eropah Timur di Festival Belia dan Pelajar  Sedunia untuk Keamanan dan Persahabatan tahun 1959 yang berlangsung di Vienna.
            Finn dan  Couvée   mengemukakan penceritaan yang terperinci tentang pembabitan CIA dalam penerbitan dan pengedaran Doctor Zhivago.  Walau bagaimanapun, di sini dikemukakan secara ringkas mana-mana peristiwa penting sahaja.  Makalah ini  dan terutamanya  buku mereka,  The Zhivago Affair:  The Kremlin, the CIA, and the Battle Over a Forbidden Book dipetik dan dibahaskan secara meluas,  antaranya dalam BBC News Magazine, Daily MailKirkus Review,  New Republic, The Atlantic,The Daily Beast, The Christian Science Monitor,The GuardianThe Spectator,The Sunday Times, dan The Telegraph.
            Sepanjang setengah abad CIA berdiam diri secara keseluruhannya tentang penglibatannya dengan Doctor Zhivago dan hanya baru-baru ini mengakuinya.  Mungkin pada tahun 2009, apabila wartawan dan penyiar Rusia, Ivan Tolstoy menerbitkan The Laundered NovelDoctor Zhivago between the KGB and the CIA, penyiasatan serius pertama tentang perkara ini untuk banyak tahun.  Demikian hujah Michael Scammell yang mengulas  The Zhivago Affair:  The Kremlin, the CIA, and the Battle Over a Forbidden Book  dan sebuah lagi,   Inside the Zhivago Storm: The Editorial Adventures of Pasternak’s Masterpiecehttp://www.assoc-amazon.com/e/ir?t=thneyoreofbo-20&l=as2&o=1&a=8807990687 oleh Paolo Mancosu.  Ulasan Scammell  yang diterbitkan dalam The New York Review of Books keluaran Julai,  menyatakan bahawa pengarang kedua-dua buku tersebut menjelaskan cara amat terperinci cara CIA berjaya menutup penglibatannya dan mekanisme yang agensi itu gunakan untuk memastikan  edisi bahasa Rusia  Doctor Zhivago diterbitkan di Eropah dengan begitu cepat, tetapi Finn dan Couvée mempunyai trump card  dalam bentuk koleksi “kira-kira 135” dokumen CIA yang diubah status yang mendedahkan pemikiran di sebalik operasi dan banyak salah langkah dalam melaksanakan operasi itu yang sehingga ketika itu merupakan perusahaan yang tidak lazim sama sekali.
            Memang banyak kepustakaan tentang Pasternak dan Doctor Zhivago, dan kebanyakannya merujuk penglibatan CIA dalam penerbitan novel ini, sama ada secara sepintas lalu ataupun panjang lebar. Namun begitu,  Scammell menegaskan, “tidak ada satu pun yang sebelum ini mempunyai akses kepada bahan secara langsung.  Nasib baik, buku Finn dan Couvée bukan setakat  CIA semata-mata.  Mereka menyentuh  setiap aspek hal Zhivago  secara terperinci, daripada kehidupan awal Pasternak dan asal usul novel beliau kepada kegemparan penerbitan pertama tahun 1957, sifat campur tangan CIA, dan akibat terhadap Pasternak dan sekutunya.”  Sebenarnya, dokumen CIA itu disediakan atas permintaan kedua-dua penulis ini.                     
            Penentuan masa adalah sangat baik, kerana seperti yang Finn dan Couvée tegaskan, CIA mempunyai sejumlah besar pegawai yang mempunyai kelayakan sastera yang kuat dan mencintai buku,  tulis Scammell.  “Mereka mempercayai kuasa idea, dan bersetuju dengan ketua tindakan berselindung CIA bahawa ‘buku berbeza daripada semua media  propaganda lain kerana sebuah buku dapat mengubah secara signifikan sikap dan tindakan pembaca  hingga  takat tidak ditandingi oleh impak mana-mana medium tunggal.’”
            Walau bagaimanapun, Scammell mencatatkan bahawa filem blokbuster Doctor Zhivago arahan David Lean yang dikeluarkan pada tahun 1965, lakonan Omar Sharif sebagai Zhivago dan Julie Christie sebagai Lara,  jauh lebih banyak orang ingat berbanding dengan novel ini.
            Setelah pendedahan  penglibatan CIA dalam penerbitan Doctor Zhivago, mungkin ada orang yang mengesyaki agensi itu terlibat dalam penganugerahan Hadiah Nobel untuk Pasternak.  “Adakah laluan Pasternak ke Hadiah Nobel diturap oleh CIA?”  Demikian persoalan yang dikemukakan oleh Ivan Tolstoy yang menulis  dalam Radio Free Europe pada Julai lalu.  “Tanpa Doctor Zhivago dalam Rusia asal,” tegas beliau, “Pasternak akan kehilangan khalayaknya yang penting dan dipercayai, kehilangan peluangnya untuk memenangi Hadiah Nobel.”  Meskipun Swedish Academy terkenal dengan amalan melindungi  peraturan kelayakannya, sejak lama dipercayai bahawa pengarang mesti menerbitkan karyanya dalam bahasa ibundanya untuk dipertimbangkan Hadiah Nobel. Tolstoy juga menjelaskan Goslitizdat,  penerbit besar di Kesatuan Soviet pada mulanya berjanji untuk menerbitkan buku ini, tetapi berlaku pemberontakan di Hungary pada tahun 1956 yang mendorong Moscow sekali lagi membuat kawalan yang ketat.
            Dalam wawancara dengan Del Quentin Wilber daripada Bloomberg, Peter Finn memberitahu bahawa beliau mendapat idea untuk menulis buku ini ketika beliau di Moscow pada tahun 2007 apabila beliau menulis cerita untuk The Washington Post tentang dakwaan penulis Rusia bahawa CIA menerbitkan Doctor Zhivago di Rusia untuk memenangi Hadiah Nobel untuk  Pasternak.  Dokumen CIA yang beliau dan Petra Couvée peroleh ketika menjalankan penyelidikan untuk buku ini kini menunjukkan bahawa dakwaan itu tidak benar.  Matlamat agensi adalah hanya memastikan novel ini yang diharamkan di Kesatuan Soviet, sampai ke tangan warga Soviet.
            “Ketika masih di Moscow, saya mula membaca kisah Pasternak dan Doctor Zhivago, iaitu tentang dekad yang Pasternak habiskan untuk tulis; hubungan ambivalen yang mendalam beliau dengan negara Soviet; ikatan aneh antara beliau dengan Stalin; dan reaksi rasmi berseteru terhadap Doctor Zhivago,” jelas Finn.
            “Saya fikir,” tambah Finn, “Pasternak akan sangat tidak gembira untuk mendengar bahawa CIA terlibat dengan percetakan novel ini.  Beliau benci apabila akhbar Barat secara terpilih memetik daripada novel ini untuk membesar-besarkan watak anti-Soviet.  Pasternak lebih memikirkan dirinya, dan novel ini, sebagai mengatasi politik.  Pasternak menentukan dengan bersungguh-sungguh agar novel ini diterbitkan dan mendapat khalayak yang luas seberapa mungkin, tetapi beliau tidak mahu Doctor Zhivago dieksploitasikan untuk tujuan politik.”
            Penjelasan Finn dalam wawancara itu, pastinya menafikan  spekulasi  Ivan Tolstoy bahawa  CIA   memainkan peranan dalam anugerah Hadiah Nobel untuk  Boris Pasternak. 

            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Sastera, September 2014.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...