Artikel Popular

Saturday, January 10, 2015

Minyak: Berakhirnya Subsidi

SABTU, 10 Januari 2015
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sejak Jun tahun lalu, harga minyak dunia jatuh sebanyak 29 peratus.  Minyak mentah Brent, tanda aras global, merosot kepada  AS$82.60 setong pada 16  Oktober, terendah dalam masa hampir empat tahun, daripada AS$115.71 setong pada 19 Jun.  Di Amerika Syarikat misalnya,  harga susu  AS$3.62 segelen didapati  lebih mahal daripada harga gas.  Alasan harga minyak jatuh ialah peningkatan  dalam pengeluaran di Amerika Syarikat, permintaan yang merosot di Eropah dan China, dan keganasan di Timur Tengah yang mengancam untuk mengganggu bekalan minyak.
            Walau bagaimanapun, tatkala para pengguna dunia mula meraikan kejatuhan harga minyak yang memeranjatkan para peniaga dan peramal, menjelang Aidiladha, iaitu awal Oktober tahun lalu, kerajaan Malaysia mengumumkan kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen atas alasan “rasionalisasi subsidi.”  Susulan itu, harga petrol RON95 meningkat kepada RM2.30/liter daripada RM2.10/liter, manakala harga diesel pula RM2.20/liter daripada RM2.00/liter.
Seperti biasa, kenaikan minyak disusuli  oleh kenaikan harga barang apabila para pengeluar dan pengusaha bagaikan “enau dalam belukar” berasak-asak menaikkan harga barang dan perkhidmatan dan mereka seolah-olahnya lupa bahawa mereka juga pengguna. Seperti biasa juga, kenaikan harga minyak membangkitkan rasa tidak puas hati dan mencetuskan kemarahan  dalam kalangan pengguna,  kerana suatu kenaikan yang tinggi, sedangkan  harga minyak dunia terus menjunam.  Dari segi politik, keputusan kerajaan itu tidak memperlihatkan kebijakan kerana ketika itu orang ramai  meluat dan berang dengan “langkah Kajang” dan krisis Menteri Besar Selangor: suatu peluang keemasan untuk kerajaan mendekati rakyat.  Dengan kenaikan harga minyak itu, maka “arusnya terbalik.”
Tatkala orang ramai  mengharapkan harga RON95  juga diturunkan berikutan penurunan  harga RON97 sebanyak 20 sen, daripada RM2.75/liter kepada RM2.55/liter mulai 19 November, kerajaan mengumumkan subsidi petrol itu dan diesel dihapuskan mulai 1 Disember.  Purata harga runcit bahan api itu ditentukan melalui kaedah pengapungan terkawal, bergantung pada harga minyak dalam pasaran dunia. Menurut mekanisme ini, harga runcit akan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia.  Walaupun dijangkakan bahawa  harga runcit bahan api itu dikurangkan ekoran kejatuhan  harga minyak dunia, bagi orang ramai, “luka semakin parah.”  Tatkala kerajaan dan media arus perdana terkial-kial untuk menyatakan kerasionalannya dan  menenangkan  keadaan, kritikan dan tidak kurang cemuhan, berlegar-legar dalam media sosial.
Dalam masa beberapa bulan, “orang minyak”  menyerang. Sebagaimana kenaikan harga minyak, pelaksanaan pengapungan terkawal meletakkan kerajaan dalam keadaan sukar kerana pada tanggapan umum, kerajaan tidak memahami denyut nadi rakyat, kejerihan hidup rakyat, sedangkan dalam pembentangan Belanjawan 2015 pada 10 Oktober,  Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menyebut, “ekonomi keperluan rakyat (EKR).”   Tambahan pula, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, berleluasanya amalan mencari sewa, iaitu membekalkan produk kepada kerajaan pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran, yang turut menyumbang kepada  peningkatan perbelanjaan kerajaan.  Justeru, kerajaan juga sepatutnya memberikan tumpuan untuk menghapuskan penyelewengan ini.
Kerajaan mengambil langkah  mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat, termasuk penghapusan subsidi gula pada tahun 2013,  adalah antaranya untuk mengurangkan defisit belanjawan yang wujud sejak tahun 1998, iaitu ketika Malaysia dilanda krisis kewangan Asia dan juga mengurangkan perbelanjaan mengurus yang meningkat setiap tahun sambil mengorbankan perbelanjaan pembangunan.  Defisit  pada tahun 2015 dijangkakan berkurangan kepada tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 3.5 peratus KDNK pada tahun 2014.  Kerajaan merancang untuk mewujudkan belanjawan berimbang pada taun 2020.
Walau bagaimanapun, wujud tanda tanya: Dalam usaha mengurangkan defisit dan perbelanjaan mengurus, mengapa hanya subsidi dijadikan sasaran?  Bagaimana perbelanjaan mengurus yang lain yang juga tinggi?
 Dalam Belanjawan 2015 yang memperuntukkan  RM271,940 juta, yang tertinggi adalah untuk emolumen  (24.1 peratus), diikuti oleh bekalan dan perkhidmatan (14 peratus),  subsidi (13.9 peratus), dan perbelanjaan lain (12.5 peratus) – kesemuanya dalam perbelanjaan mengurus.  Perbelanjaan mengurus yang lain ialah bayaran khidmat hutang (sembilan peratus), pencen dan ganjaran (enam peratus), dan pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri (2.7 peratus).  Yang selebihnya, perbelanjaan pembangunan, dengan ekonomi (10.8 peratus), sosial (4.6 peratus), keselamatan (1.8 peratus), dan pentadbiran (0.6 peratus).
Meskipun peratusan peruntukan subsidi jatuh sedikit, iaitu daripada RM40.6 bilion(18.3 peratus) dalam belanjawan mengurus  pada tahun 2014 kepada RM37.68 bilion,  peruntukan subsidi dalam Belanjawan 2015  adalah lebih tinggi daripada peruntukan subsidi tahun 2011, yang bernilai RM36.25 bilion. Menurut Laporan Ekonomi 2014/2015, kerajaan membayar subsidi yang tinggi pada tahun 2012, iaitu RM44.07 bilion.  Pada tahun 2013, kerajaan membelanjakan lebih RM40 bilion untuk pelbagai jenis subsidi, dengan lebih daripada separuh untuk subsidi bahan api.
Sementara itu,  The Star dalam keluaran 22 November mendedahkan bahawa dalam masa 20 tahun, peruntukan subsidi meningkat terlalu tinggi.  Daripada RM588 juta untuk pelbagai subsidi pada tahun 1994 kepada RM40.5 bilion pada 2014.  Akhbar itu juga menunjukkan bahawa dalam Belanjawan 2002, jumlah peruntukan subsidi bagi petroleum berjumlah RM1.65 bilion, kemudian meningkat kepada RM24.8 bilion dalam Belanjawan 2014.
Bagi kumpulan pengguna,  penghapusan subsidi  bahan api ini akan menjejaskan golongan miskin dan golongan berpendapatan sederhana kerana golongan ini tidak lagi dilindungi oleh jaring keselamatan.  Penghapusan subsidi boleh menjejaskan kuasa beli golongan berkenaan, dan  ini, sememangnya tidak elok dari segi ekonomi. Hal ini demikian, kerana pengurangan kuasa beli boleh menjejaskan sektor peruncitan dan sektor pemborongan dan akhirnya pengeluar: permintaan merosot.  Dalam bahasa yang mudah, apabila pengguna tidak mengguna, nescaya kilang tidak berasap, lori tidak bergerak, dan akhirnya kerajaan menerima padah kerana pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan.
Pada masa yang sama, disedari bahawa subsidi bahan api yang sepatutnya dinikmati oleh golongan miskin turut dinikmati oleh golongan kaya.  Ada ura-ura untuk memberikan subsidi bahan api berdasarkan pendapatan dan pemilikan kereta, iaitu golongan miskin dan pemilik kenderaan kecil sahaja menikmati kemudahan ini.  Namun begitu, “perang kelas” yang dirancang itu dikhuatiri tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya dijangkakan  menimbulkan pelbagai masalah, antaranya penyelewengan.
Walau bagaimanapun, para  penganalisis dan ahli ekonomi mengalu-alukan   penghapusan subsidi bahan api itu.  Menurut mereka,  langkah ini  menunjukkan kerajaan bertanggungjawab dari segi fiskal.  Dengan jangkaan harga minyak kekal pada harga ketika pengumuman dibuat dalam sepanjang 12 bulan akan datang, kerajaan dijangkakan dapat menjimatkan  perbelanjaan mengurus lebih RM20 bilion dalam tempoh yang sama. Oleh sebab kira-kira 30 pendapatan negara  disumbangkan oleh minyak dan dengan harga pasaran semasa kurang daripada AS$80 setong, maka hasil kerajaan dijangkakan  menurun.  Justeru, penghapusan subsidi  akan  dapat mengimbangi kemerosotan hasil.
Perdana Menteri Najib Razak menjelaskan bahawa alasan utama pelaksanaan pengapungan terkawal untuk harga runcit RON95 dan diesel untuk membolehkan faedah daripada kejatuhan harga minyak mentah dunia dinikmati oleh para pengguna dengan pantas. Dalam sidang akhbar sempena perasmian MAHA 2014, Najib dipetik sebagai berkata, “Apa yang dijimatkan daripada subsidi bahan api akan diterjemahkan ke dalam peningkatan peruntukan untuk pembangunan sosioekonomi dan pendidikan dan kesihatan yang disubsidikan.”  Walau bagaimanapun, bagi orang yang faham akan tanggungjawab hakiki kerajaan, tidak wujud istilah   “subsidi” untuk pendidikan dan kesihatan (juga infrastruktur dan keselamatan), kerana kemudahan tersebut merupakan keperluan asas rakyat yang wajar disediakan oleh kerajaan. Selain itu, pendidikan dan kesihatan,  menurut sesetengah  ahli ekonomi,  merupakan pelaburan kerajaan dalam  jangka panjang.
Ketika makalah ini memasuki pasaran pada Januari, harga runcit RON95 dan diesel untuk bulan Disember 2014 telah pun ditetapkan oleh kerajaan.  Namun begitu, seseorang dapat menjangkakan penurunan harga bahan api tersebut sejajar dengan janji kerajaan untuk memberikan manfaat kejatuhan harga minyak dunia kepada para pengguna.  Paling tidak, memberikan “kegembiraan sementara” demi  membuktikan bahawa pengapungan terkawal memberikan kebaikan kepada pengguna, dan bukannya  menyusahkan atau membebankan mereka.  Bahkan,  mustahil  untuk menjangkakan bahawa  harga bahan api ini naik pada beberapa bulan pertama 2015.  Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA), dalam tinjauan tenaga jangka pendek bulanannya  pada November 2014, menjangkakan untuk Brent, harga purata  pada tahun 2015 ialah AS$83.42 setong, berbanding dengan harga purata AS$101.04 setong pada tahun 2014.  Tambahan pula, Organisasi Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC),  tidak mahu lagi menetapkan tahap pengeluaran minyak, yang diamalkan selama ini.  Kejatuhan harga minyak sejak Jun menyebabkan  OPEC  tidak bersatu dan bergantung pada  negara bukan anggota, iaitu Rusia, Norway, dan Mexico untuk meningkatkan pasaran.
Bagaimana jika harga minyak dunia meningkat semula?  Kerajaan nampaknya tidak akan berdiam diri – itulah jaminan yang diberikan!  Seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong, kerajaan akan campur tangan jika harga minyak global meningkat terlalu tinggi melalui mekanisme yang akan ditetapkan kelak.  Beliau juga dipetik sebagai berkata, “Langkah kerajaan membiarkan kuasa pasaran menentukan harga bahan api menerusi sistem pengapungan terkawal adalah untuk membolehkan para pengguna menikmati trend penurunan semasa dalam harga minyak dunia.” 
Sementara itu, gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz memberikan jaminan bahawa tidak berlaku impak inflasi ekoran penghapusan subsidi RON95 dan diesel kerana harga minyak lemah. Beliau juga dipetik sebagai berkata, “Langkah  ini baik untuk pengguna kerana mereka dapat menikmati faedah daripada harga yang rendah, dan pada masa yang sama, juga membantu kerajaan dari segi subsidi dalam belanjawan.  Apa-apa keputusan untuk menyemak semula dasar monetari negara akan dibuat selepas mempertimbangkan risiko inflasi dan perkembangan lain terhadap pertumbuhan.”
Tatkala para pengguna meraikan kejatuhan harga minyak, wujud kebimbangan kesan kejatuhan ini terhadap ekonomi dunia.  Negara pengeluar minyak pastinya menerima kesannya, iaitu pendapatan mereka berkurangan.  Namun begitu, kejatuhan pendapatan eksport minyak dijangkakan disusuli oleh pengurangan import negara berkenaan.  Maka, bermulalah “putaran ganas” yang akhirnya melemahkan lagi pertumbuhan ekonomi dunia. Kejatuhan harga minyak yang berterusan yang di luar jangkaan sama sekali yang antaranya kerana kejatuhan permintaan, membayangkan bahawa kemungkinan besar dunia akan terjebak dalam genangan sekular (secular stagnation), iaitu trend ke arah pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kadar pengangguran yang tinggi yang berterusan.

(Nota:  Makalah ini siap ditulis pada 26 November 2014 dan saya tidak melakukan pengemaskinian atau penambahbaikan, meskipun selepas tarikh itu hingga kini harga minyak global terus jatuh, manakala kerajaan Malaysia sudah dua kali menurunkan harga minyak petrol.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...