Artikel Popular

Thursday, July 11, 2013

Di Sebalik Kejatuhan Harga Emas

KHAMIS, 11 Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kejatuhan harga emas terus mendapat perhatian pengulas dan ahli ekonomi.  Sebelum ini, ahli ekonomi, Nouriel Robini meramalkan harga emas terus jatuh, menuju ke arah AS$1000 pada tahun 2015.  

Yang terbaharu, Daniel Gross yang menulis dalam Newsweek bahawa emas hilang kilauannya.  Satu demi satu tonggak yang mendasari tesis pelaburan emas, hujah beliau, dipukul jatuh.  Ekonomi global perlahan, yang bermakna inflasi masih terkawal. Krisis di Eropah, walaupun masih dapat diselesaikan, dalam keadaan terurus.  Dan Bernanke (Ben Bernanke) pada bulan lalu memberikan isyarat bahawa Rizab Persekutuan akan mula mengurangkan usaha rangsangannya segera. Berdentum.  Harga spot emas jatuh di bawah AS$1300, kejatuhan kira-kira satu pertiga daripada harga puncak.

Sementara itu, seorang lagi ahli ekonomi, iaitu Kenneth Rogoff menjelaskan bahawa harga emas pada Julai 2003, kira-kira AS$350 per auns, meningkat hari ini kerana setiap orang berasa yakin bahawa harganya terus naik esok.  Para doktor dan doktor gigi, tambah Rogoff , mula menjual saham dan membeli syiling emas.  Permintaan terhadap barang kemas emas di India dan China meningkat.  Bank-bank pusat pasaran sedang muncul mempelbagaikan dolar kepada emas.

Rogoff yang pada Oktober  2010 pernah menulis mengapa harga emas meningkat 300 peratus, emas dipegang dahulu dan sekarang, bukan untuk tujuan spekulatif, sebaliknya emas merupakan lindung nilai.  "Jika anda merupakan pelabur nilai bersih tinggi, atau dana kekayaan kedaulatan," tulis Rogoff,  "memang wajar untuk memegang peratusan kecil aset dalam emas sebagai lindung nilai terhadap peristiwa yang melampau."

Keruntuhan harga emas baru-baru ini, menurut Rogoff, tidak benar-benar mengubah keadaan untuk melabur dalam emas.  Harga emas dengan mudah jatuh di bawah AS$1000, tetapi kemudian, mungkin  meningkat semula.  Sementara itu, para penggubal dasar sepatutnya berhati-hati dalam mentafsirkan kejatuhan harga emas sebagai keyakinan dalam prestasi mereka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...