Artikel Popular

Tuesday, July 2, 2013

Pengganas Buddha

SELASA,  2 Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam memperhitungkan ekstremisme agama, iaitu nasionalis Hindu, militan Islam, Kristian fundamentalis, Yahudi pelampau Ortodoks, hanya fahaman Buddha yang tidak tersenarai.  Demikian bahas Hannah Beech dalam keluaran terbaharu Time. Namun, jelas Hannah dalam rencana utama itu, kini Buddha terlibat keganasan, seperti yang berlaku di Myanmar, Thailand, dan Sri Lanka, dengan menjadikan  orang Islam  sebagai sasaran utama penganut agama yang terkenal hidup dengan aman damai serta tolak ansur itu.

Di beberapa buah negara Asia, menurut Hannah, sami mengapi-apikan ketaasuban dan keganasan.  Di Mandalay, Myanmar, sami Buddha, Wirathu, yang dikenali sebagai "Bin Laden Myanmar,"  menyampaikan amanat sarat dengan kebencian.  "Kini, bukan masanya untuk hidup tenang.  Kini, adalah masa untuk bangkit, untuk menjadikan darah anda membuak-buak."  Wirathu menghasut pengikutnya untuk membantai orang Islam yang merupakan lima peratus  daripada 60 juta penduduk negara itu.  

Sami Buddha itu yang menganggap orang Islam mengancam Myanmar dan budayanya, memberitahu Hannah Beech bahawa orang Islam berkembang cukup pantas dan mereka mencuri wanita Buddha , merogol mereka."Orang Islam akan menduduki Myanmar, tetapi saya tidak rela hal ini berlaku.  Kami mesti mempertahankan Myanmar sebagai negara Buddha." 

Wirathu juga mempunyai pandangan dunia bahawa Presiden Barack Obama, "dicemari oleh darah Islam kulit hitam," dan orang telah menawan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Wirathu yang percaya bahawa 90 peratus orang Islam Myanmar adalah radikal pernah dipenjarakan selama tujuh tahun kerana menghasut pogrom anti-Islam pada tahun 2003.  Bagi Wirathu, "menjaga agamanya lebih penting daripada demokrasi." 

Di Myanmar dan di tempat lain di Asia, penganut Buddha merasakan agama mereka semakin terancam, dan bahawa orang Islam telah menawan Indonesia, Malaysia, Pakistan, dan Afghanistan - semuanya bekas bumi Buddha, dan domino yang lain akan jatuh. 

Selain minoriti Islam, seperti Rohingya, orang Kristian juga menjadi sasaran penganut agama Buddha. Merujuk kepada kaum Kachin yang memberontak, yang kebanyakannya beragama Kristian. 

Fahaman Buddha yang radikal, Hannah memperingatkan berkembang subur di negara lain di Asia.  Di Sri Lanka, kumpulan nasionalis Buddha dengan bantuan sami, memusnahkan harta orang Islam dan Kristian.  Tidak ketinggalan pergolakan di selatan Thailand, yang melibatkan orang Islam dengan Buddha yang dilindungi oleh tentera.  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...