Artikel Popular

Monday, July 15, 2013

Protes Jalanan: Mengapa?

ISNIN, 15 Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala tercetusnya protes di Turki, Timothy Garton Ash dalam pengenalan tulisannya menyorot  protes yang berlaku di serata dunia.  Tegas beliau,  "lain tahun, lain negara, lain dataran: selepas Wenceslas di Prague,  Kemerdekaan di Kiev, Azadi di Teheran, Merah di Moscow, dan Tahrir di Kaherah, kini Taksim di Istanbul."  Setiap dataran, tambah Garton Ash menjangkaui dunia menerusi  imej fotografi totem.  Simbol, bendera, dan warna kebangsaan berubah, iaitu hijau di Iran, jingga di Kiev, merah di Istanbul, tetapi intipati imej sama.  Belia, golongan moden, warga bandar, kemungkinan wanita muda sekular menghadapi lelaki yang bersenjata, bertopi keledar, dan tidak dikenali. 

Kira-kira dua tahun setengah, iaitu sejak tercetusnya Pemberontakan Arab yang bermula di Tunisia, boleh dikatakan dunia gamat dengan bermacam-macam protes di serata tempat, di bandar-bandar utama dunia, daripada keberangan rakyat terhadap rejim atau golongan pemerintah kepada ketidakpuasan terhadap keputusan mahkmah, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat kini. 

Protes di seluruh dunia, demikian liputan The Economist ketika berlakunya protes di Turki dan Brazil. Protes menurut majalah itu, banyak mempunyai asal usul yang berbeza.  Di Brazil, orang ramai bangkit menentang kenaikan tambang bas, di Turki menentang pembinaan projek.  Rakyat Indonesia menolak harga bahan api yang tinggi, rakyat Bulgarian menentang kronisme kerajaan.  Di zon euro, orang ramai berarak menentang jimat-cermat, dan Pemberontakan Arab menjadi protesperma menentang setiap yang kusut. Setiap demonstrasi kemarahan ialah kemarahan dalam caranya sendiri.

Namun, tambah The Economist lagi, sebagaimana tahun 1848, 1968, dan 1989, apabila orang ramai juga menemui suara kolektif, penunjuk perasaan banyak mempunyai persamaan.  Sepanjang minggu lalu, dari sebuah negara ke sebuah negara lain, pembantah bangkit dengan  kelajuan membingungkan.  Mereka lebih aktif dalam demokrasi berbanding dengan kediktatoran.  Mereka cenderung merupakan orang biasa, iaitu golongan kelas menengah, tidak melobi dengan senarai tuntutan.  Campuran pesta dan keberangan mengutuk rasuah, ketidakcekapan dan keangkuhan golongan yang berkuasa.  Menurut majalah itu lagi, rentak protes dipercepat  oleh teknologi.  


Protes global, seperti yang dibahaskan oleh Slavoj Zizek dalam London Review of Books,  ialah semua tindak balas terhadap aspek berbeza globalisasi kapitalis.  Kecenderungan umum kapitalisme global, menurut ahli falsafah Marxis ini, adalah terhadap pengembangan selanjut pasaran, penutupan satu demi satu ruang awam, pengurangan perkhidmatan awam (penjagaan kesihatan, pendidikan, budaya), terhadap kuasa politik autoritarian yang meningkat.  Dalam konteks ini bahawa rakyat Greece membantah  peraturan modal kewangan antarabangsa dan negara mereka yang korup dan tidak cekap, yang semakin kurang dapat menyediakan perkhidmatan sosial asas.  Dalam konteks ini juga, rakyat Turki membantah pengkomersialan ruang awam dan menentang autoritarianisme agama; bahawa rakyat Mesir menentang rasuah dan fundamentalisme agama, dan sebagainya.  "Tidak ada suatu pun protes ini boleh diperkecilkan kepada isu tunggal," tulis Zizek.  "Semua protes ini berurusan dengan kombinasi khusus sekurang-kurangnya dua isu, iaitu ekonomi (daripada rasuah kepada ketidakcekapan kepada kapitalisme itu sendiri), dan ideologi politik  (daripada tuntutan terhadap demokrasi kepada tuntutan bahawa demokrasi multiparti konvensional disingkirkan).

Pemberontakan di sana sini, di serata tempat, ulas Immanuel Wallerstein, yang cuba mengenal pasti ciri lazimnya.  Pertama, menurut beliau, semua pemberontakan cenderung bermula dengan amat kecil, iaitu bilangan kecil orang berani melancarkan demonstrasi berhubung dengan sesuatu.  Kemudian kumpulan ini semakin membesar, yang tidak diramalkan sama sekali.  Tiba-tiba bukan sahaja kerajaan yang diserang, tetapi pada takat tertentu, negara sebagai negara.  Pemberontakan ini, jelas Wallerstein, ialah gabungan mereka yang mendesak kerajaan digantikan dengan yang lebih baik dan mereka yang mempersoalkan negara yang benar-benar sah.  Kedua-dua kumpulan ini menggunakan tema demokrasi dan hak asasi manusia, meskipun takrif yang mereka berikan tentang dua istilah ini sangat berbeza.  Secara keseluruhannya, tonaliti pemberontakan ini bermula pada sebelah kiri arena politik.

Ciri lazim kedua, menurut Wallerstein, pemberontakan ini tidak dapat diteruskan pada kelajuan tinggi untuk terlalu lama.  Pembantah tunduk pada langkah penindasan.  Atau mereka mendapat sesuatu yang diterima kerajaan.  Atau mereka naik bosan terhadap usaha yang besar yang diperlukan oleh demonstrasi berterusan.  Hal seperti ini adalah lazim, tetapi tidak menunjukkan kegagalan protes.

Wujud ciri lazim ketiga pemberontakan, meskipun menuju ke pengakhiran, pemberontakan meninggalkan legasi. Pemberontakan mengubah sesuatu dalam politik sesebuah negara, dan selalunya untuk yang lebih baik.  

Ciri lazim keempat, menurut Wallerstein, adalah bahawa dalam setiap pemberontakan, banyak yang menyertainya, terutamanya jika mereka lewat menyertainya, tidak meneruskan objektif awal, tetapi memutarbelitkan objektif itu atau membawa kuasa politik untuk kumpulan sayap kanan yang berbeza daripada mereka yang sedang berkuasa, tetapi tidak bermakna lebih demokratik atau mengambil berat hak asasi manusia.

Ciri lazim kelima adalah bahawa pemberontakan terbabit dalam penyulapan geopolitik.  Kerajaan yang sangat berkuasa di luar negara yang kacau-bilau berlaku kerja keras, jika tidak selalunya berjaya, untuk membantu kumpulan yang mengutamakan kepentingan kerajaan luar, untuk berkuasa.

Akhir sekali, kita perlu ingat, setiap yang berlaku kini, adalah bahawa kita di tengah-tengah peralihan struktur daripada ekonomi-dunia kapitalis yang sedang malap kepada jenis baru sistem.  Akan tetapi, jenis baru sistem ini mungkin lebih baik atau lebih teruk. Inilah pertarungan sebenar 20-40 tahun akan datang.

Pankaj Mishra yang meninjau protes yang berlaku di banyak tempat di dunia ini, sambil memetik The Economist, Francis Fukuyama dengan revolusi kelas menengah, dan Slavoj Zizek, menegaskan bahawa dunia kembali semula kepada penghalang. Apa yang kita saksikan sekarang, menurut Mishra, ialah warganegara memberontak menentang sikap apati mereka sebelum ini. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...