Artikel Popular

Monday, July 29, 2013

Meletusnya Revolusi Melati

ISNIN,  29  Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH


Sekali lagi, impian Karl Marx dan mereka yang sehaluan dengan beliau, seperti Lenin,  Rosa Luxemburg, dan Antonio Gamsci yang sering  dimomokkan, kini menjadi kesayangan media. Pemimpin revolusioner, iaitu Che Guevera, seperti yang diketahui, gagal dalam usahanya    mengimport revolusi ke Afrika,   tetapi  kini,  revolusi  bergegar di Afrika Utara, sesuatu yang   jarang-jarang berlaku di dunia Arab. Golongan cerdik pandai menyebut tunjuk  perasaan    di Tunisia sebagai Revolusi Melati  (Jasmine Revolution) sempena bunga kebangsaan negara itu.
Revolusi Melati, yang dianggap sungguh cantik, berlaku secara spontan, tanpa arahan, tanpa pemimpin, dan  tanpa organisasi.  Revolusi itu juga dikatakan revolusi bukan Islam kerana  penunjuk perasaan itu datangnya daripada pelbagai lapisan dan golongan, daripada ibu-ibu miskin bersama-sama anak-anak mereka kepada penghuni kelas atasan kota, semuanya  menyanyikan lagu kebangsaan dan meneriakkan slogan utama “Ben Ali Berambus.” Rakyat mahukan  kehidupan, dan rantai yang membelenggu mereka berdekad-dekad telah putus.
Tercetusnya pemberontakan popular di Tunisia, sememangnya memeranjatkan, apatah lagi untuk membayangkan impak yang cukup besar terhadap  dunia Arab. Tunisia dengan 10 juta orang penduduk, yang terkenal dengan taraf pendidikan yang tinggi, hidup mewah secara relatifnya,  dan berbangga dengan kesedaran sivik, menjadi rakyat pertama di rantau itu  melancarkan demonstrasi jalanan yang berjaya menyingkirkan rejim.  Berbanding dengan negara-negara Arab yang lain, sehingga tercetusnya Revolusi Melati, Tunisia  dianggap stabil, walaupun pernah berlaku serangan pengganas.   Kekecewaan dan   kegelisahan di Jalan Arab (Arab Street)  boleh dikatakan bukannya fenomena negara itu.   Apabila dibangkitkan bahawa bolehkah rejim yang mengecewakan rakyat mereka benar-benar  terus menguasai kira-kira 350 juta orang rakyat,  yang menjadi tumpuan ialah Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Qaddafi di Libya.  Daripada barisan  autokrat yang bakal ditelan pasir,  Zine el-Abidine Ben Ali bukan yang terawal dalam senarai, dan barangkali terkeluar sama sekali. 
Dalam keluaran Julai 2010, majalah The Economist muncul dengan “Shifting  Sands: Change is Coming to the West’s Arab Allies”   yang  dipetik dalam “Politik Pasir” Dewan Masyarakat, dengan tumpuan terhadap peralihan  kuasa di  Mesir dan Arab Saudi kerana keuzuran pemimpin.  Majalah itu  juga dalam  “A Special Report on Arab World: A Silent Social Revolution”  dalam keluaran pada tahun sebelumnya, meskipun menjangkakan  tercetusnya revolusi politik di dunia Arab,  tidak membayangkan turut berlaku di Tunisia.   Yang jelas daripada kedua-dua keluaran majalah itu, Mubarak hampir sampai ke hujung perjalanan, hanya tarikh yang belum dapat dipastikan.
Tiga tahun lalu, atas nasihat mendiang Edward Said, maka    Christopher Hitchens melawat Tunisia.   Beliau yang  menulis dalam majalah Vanity Fair, “At the Desert’s Edge,”   menjelajah titik tekanan di sebuah negara yang paling berjaya di benua Afrika dan  memetik  2006–2007 World Economic Forum Global Competitiveness Report yang menyenaraikan Tunisia menduduki tangga pertama di Afrika dari segi daya saing ekonomi, bahkan secara kebetulan, mengatasi tiga buah negara Eropah, iaitu Italy, Greece, dan Portugal.  Pemilikan rumah adalah 80 peratus.  Jangkaan hayat, ialah 72 tahun, tertinggi di benua itu.  Kurang empat peratus penduduknya di bawah garis kemiskinan, dan mengurangkan kesengsaraan dengan “dana perpaduan” yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai program model.  Sembilan daripada 10 isi  rumah menikmati bekalan elektrik dan air bersih. 
Meskipun Hitchens   bimbang akan kemenangan  Ben Ali dalam setiap pilihan raya dengan mendapat 90 peratus undi dan beliau menganggap Tunisia rapuh serta terdedah pada ancaman golongan ekstremis, namun beliau  tidak membayangkan tercetusnya pemberontakan popular di negara itu. Apabila  diberitahu bahawa  “golongan belia boleh dilemahkan oleh satu daripada seratus stesen satelit yang dipancarkan ke dalam masyarakat mereka,” beliau fikir itu mungkin  dibesar-besarkan, atau mungkin rasa tidak selamat.
Sebaik-baik sahaja rejim yang memerintah  selama 23 tahun  itu tumbang, Christopher Hitchens menulis dalam majalah Slate, “Tunisia Grows UP,” dengan harapan Revolusi Melati mekar atas legasi Habib Bourguiba, Presiden pertama,   yang digulingkan oleh Ben Ali.  Selain mengisahkan semula  lawatannya ke negara itu,  beliau menulis  bahawa mungkin satu alasan khalayak Tunisia mampu bergerak pantas dan mencapai hasil dengan segera, memisahkan kepimpinan tentera daripada polis hanya dalam beberapa hari adalah semata-mata kerana mereka tahu mereka boleh melakukannya.  Tambah beliau, “Oleh itu, dan dengan sedihnya, mungkin terlalu awal untuk mengatakan bahawa peristiwa di Tunis merupakan pengarak atau tanda akan datangnya gerakan akar umbi di negara lain di rantau itu.”
Pada tahun 1975,    Robert D. Kaplan     ke Tunisia, dan beliau merakamkan  hasil lawatan itu serta   lawatan susulan  dalam buku kembara/memoirnya,   Mediterranean Winter:  The Pleasures of History and Landscape in Tunisia, Sicily, Dalmatia, and the Peloponnese.   Tunisia, bagi beliau,  merupakan hub Afrika Utara bukan sahaja semasa Carthaginian dan Roman, tetapi juga semasa Vandal, Byzantine, Arab, dan Turki.   Tidak seperti Algeria dan Libya yang tidak mempunyai sejarah, Tunisia mempunyai kebudayaan kebangsaan, dan budaya itu bukannya himpunan kabilah.   “Seperti Maghribi dan Mesir, Tunisia terdiri daripada rumpun tamadun zaman lama.” Tambah beliau,  “Tunisia bukannya demokrasi, tetapi ialah  negara sejati, syukur kepada legasi Carthage dan Rome.” 
Pastinya, Kaplan tidak terbayang  dalam keenakan       simbahan  air yang berbau harum bunga  melati ketika beliau mengambil mandian Turki (Turkish baths) bahawa pada  suatu masa  kelak,  keharuman  bunga itu akan merentasi   seluruh   dunia Arab.  Namun,    di kejauhan beliau seakan-akan dapat melihat realiti masa kini negara yang dikaguminya dari segi sejarah dan budaya itu.  “Tunisia, jika dilihat daripada kedudukan yang baik di  Sicily, kelihatan kurang stabil berbanding dengan yang saya fikirkan sebelum ini:  kemungkinan besar dilemahkan oleh beberapa pergolakan masa hadapan.” 
Ketika buku tersebut  diterbitkan pada tahun 2004,  Ben Ali  telah pun berkuasa,     malangnya Kaplan tidak  menghidu segala   kejahatan dan  kecelakaan yang dilakukannya.     Seperti yang pernah didedahkan pada tahun yang sama  oleh      Kamel Labidi, “The Wrong Man to Promote Democracy” dalam akhbar The New York Times, ketika Presiden itu   diraikan sebagai tetamu  oleh Presiden Amerika, George W. Bush:   “Tunisia di bawah Ben Ali merupakan sebuah negara polis yang paling cekap di dunia yang mencabul hak asasi manusia  dengan sewenang-wenangnya.”   
Di sebalik semua kisah kejayaan dan pencapaian Tunisia,  selain  mendapat sokongan kuat daripada bekas negara penjajahnya, Perancis,   Amerika pula baru sahaja meluluskan AS$12 juta lagi untuk bantuan ketenteraan, dan Kesatuan Eropah sedang berbincang untuk meningkatkan hubungan dengan Tunisia kepada “status maju,” Ben Ali   pergi juga akhirnya. Namun, agak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Tunisia menjadi mangsa kejayaannya sendiri.
Apabila  rejim itu melarikan diri bersama-sama Lady Macbeth, Leila Trabelsi, satu persoalan yang paling popular ialah adakah kemekaran dan keharuman bunga melati akan menyelubungi dunia Arab.  Dilihat segi sejarah, seperti yang dicatatkan oleh Robert Kaplan, “di Tunisia, Rome muncul sebagai kuasa dunia” dan “di situlah  Rome bersungguh-sungguh membina emparnya”  seakan-akan memberikan jawapan  tentang  kemungkinannya: bumi yang subur untuk meniupkan api revolusi.
“Berakhirnya zaman diktator di dunia Arab? Tanya Robert Fisk dalam akhbar The Independent.  Pastinya, mereka menggeletar dalam but kereta mereka merentas Timur Tengah, syeikh yang banyak duit, amir, dan raja, termasuk yang paling tua di Arab Saudi dan yang muda di Jordan, dan presiden – satu lagi yang tua di Mesir dan yang muda di Syria kerana tidak difikirkan berlaku di Tunisia.  Jika boleh berlaku di destinasi percutian, Tunisia, pastinya boleh berlaku di tempat lain.  “Tunisia diraikan oleh Barat kerana ‘kestabilannya’ di bawah pemerintahan Ben Ali yang berani bertindak tegas terhadap golongan Islamis” tulis Fisk, seolah-olahnya  menyindir bahawa akhirnya tumbang juga.
Mohamed ElBaradei, bekas Ketua Senjata Nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan pemimpin pembangkang Mesir,  awal-awal lagi memberikan amaran bahawa “ledakan gaya Tunisia” akan meletus  di Mesir. Apabila tunjuk perasaan berlaku  di Kaherah, Iskandariah, dan Suez, antara komen ialah “kapal terbang sedang bersiap sedia untuk membawa  Mubarak keluar.”  Cerita jenaka, seperti yang diterbitkan dalam akhbar The Telegraph, bahawa kapal terbang  Ben Ali   sebelum ke Arab Saudi, singgah di istana Mubarak yang terletak di tepi laut, iaitu di Sharm el-Syeikh.  “Datang untuk tinggal di sini?” tanya Mubarak.  “Tidak, datang  untuk menjemput anda sekali,” jawab Ben Ali. 
 Selepas Tunisia, dipercayai bahawa komuniti risikan, komuniti diplomat, dan Rumah Putih semuanya menjangkakan protes akan merebak. Tunisia, bagi sebilangan cerdik pandai, ialah Gdansk dunia Arab –  tempat lahirnya gerakan umbi, Solidarity di Poland yang menjadi titik tolak berkecainya Komunis di Eropah Timur. Pemecatan pekerja limbungan,   Anna Walentynowicz  pada tahun 1980,   lalu mencetuskan mogok di negara itu   adalah sama dengan nasib Mohamed Bouazizi di Tunisia, seorang daripada banyak siswazah menganggur, yang mencari rezeki dengan menjual buah-buahan.   Apabila polis   menyita  kereta sorongnya, beliau bertindak  membakar dirinya di hadapan  jabatan kerajaan di  Sidi Bouzid yang akhirnya mencetuskan pemberontakan popular Arab. Revolusi Melati bermula pada Disember lalu dilakukan seorang diri oleh penjual buah  ini yang tidak menganggotai mana-mana parti politik, tidak menegakkan apa-apa slogan, dan bahkan tidak menuntut pembaharuan demokratik.   Selepas itu,  baru disedari bahawa banyak   Mohamed Bouazizi di Tunisia.  
Ada  yang melihat  bahawa dari Maghribi ke Mesir ke Jordan dan seterusnya, perlumbaan berita melalui Internet dan telefon sel melanda rakyat  Arab yang sekian lama tertindas, membangkitkan memori tentang kejatuhan Tembok Berlin dan runtuhnya Empayar Soviet. Maka, diisytiharkan bahawa “ini merupakan detik Berlin di dunia Arab.”   Dataran Tahrir di Kaherah  2011, dikatakan,  tidak ubah seperti  Dataran Wenceslas di Prague   1989.  
Tatkala rakyat Arab memperlihatkan keseronokan mereka untuk menggulingkan seorang demi seorang rejim,  dan warga dunia turut merasakan keterujaan, Robert Kaplan muncul dengan makalahnya dalam The New York Times pada 22 Januari, “One Small Revolution” menyatakan  rasa pesimistik beliau terhadap usaha membawa demokrasi di rantau itu. Tulis Kaplan,    “Banyak terdapat perbandingan antara Tunisia pada 2011 dengan Eropah 1989, tetapi idea bahawa kemaraan demokrasi di Timur Tengah tidak banyak membawa kemusnahan berbanding dengan yang berlaku di Eropah Timur berikutan runtuhnya Komunisme kelihatan naif.”    Meskipun berbaloi mengharapkan Revolusi Melati sekular Tunisia dapat menyemai pemberontakan yang sama di Timur Tengah yang resah, namun beliau cuba menarik perhatian tentang kepentingan Amerika dan keamanan di rantau itu. 
“Bukannya demokrat,” tegas Kaplan, “tetapi autokrat Arab, iaitu Anwar Sadat dan Raja Hussein yang mengadakan perdamaian dengan Israel. Autokrat yang berkuasa sepenuhnya dapat berkompromi dengan mudah jika dibandingkan dengan pemimpin dipilih yang lemah.  Dan demokrasi yang membawa  golongan ekstremis Hamas  berkuasa di Gaza.” Beliau mengingatkan, “Kita patut berhati-hati apakah yang kita hajatkan untuk Timur Tengah.”
Antara begitu banyak tulisan tentang Revolusi Melati dan pemberontakan popular yang sedang melanda dunia Arab, tulisan bekas Presiden Iran, Abolhassan  Bani-Sadr “The Tunisian Revolt: Learning From the Mistakes of the Iranian Revolution” dalam akhbar Internet,  The Huffington Post  memberikan sesuatu yang berharga. Dengan menyingkirkan pemerintahan kuku besi yang menjadi penghalang utama demokrasi, Bani-Sadr, memulakan penulisannya, “pemberontakan Tunisia mempunyai kepentingan yang cukup besar untuk dunia Arab dan Islam.” 
Sebagai Presiden Republik Islam Iran pertama, beliau ingin berkongsi pengalaman dan memberikan nasihat kepada para pejuang Revolusi Melati  supaya tidak terperangkap dalam keghairahan mewujudkan demokrasi, berkesudahan dengan memunculkan kediktatoran dalam bentuk baru.  Justeru, mereka perlu menjauhkan diri daripada rejim lama dan elitnya, bahkan jangan sekali-kali berunding untuk membentuk kerajaan pakatan dengan elit lama.  Setakat ini, perkara ilni belum berlaku di Tunisia, elit era Ben Ali masih lagi berkuasa. Atau dengan kata lain,   “Ali Baba telah  melarikan diri, bagaimana dengan   40 orang penyamun” – satu pemerhatian yang cukup menarik oleh  The Economist  baru-baru ini. 
            “Revolusi hanya berlaku,” tulis Bani-Sadr,  “apabila sistem yang wujud dirombak secara keseluruhan dan dibina yang baru.”  Tambah beliau, “Seluruh struktur rejim  kuku besi, iaitu badan eksekutif, kehakiman, dan perundangan sepatutnya direvolusikan.”  Bagi pejuang revolusi, beliau mengingatkan jangan sekali-kali beranggapan bahawa tugas  selesai  dengan penggulingan  rejim  dan mereka boleh hidup senang-lenang di rumah masing-masing, dan menyerahkan tugas seterusnya kepada organisasi politik. Sebaliknya, mereka mesti memperlihatkan kehadiran mereka di setiap penjuru negara dan di setiap lapisan kerajaan, mungkin menerusi pembentukan majlis revolusioner tempatan.
            Berdasarkan pengalaman selepas Revolusi Iran, Bani-Sadr membantah perbicaraan dan pengenaan hukuman terhadap anggota bekas rejim. Hak setiap warganegara mesti memasukkan hak anggota rejim lama yang dituduh melakukan jenayah dan rasuah.  “Seperti yang kita saksikan (dan mungkin terus menyaksikan), jelas beliau, “mereka yang berkuasa akan mengenakan kekerasan dalam usaha untuk memaksa masyarakat.” 
Setelah Pemberontakan Arab pertama pada tahun 1916 yang dipimpin oleh Syarif Hussein bin Ali untuk membebaskan dunia Arab daripada Empayar Ottoman, kini dunia menyaksikan Pemberontakan Arab kedua yang memperoleh suntikan semangat daripada kejayaan Tunisia. Tentang Pemberontakan Arab kedua ini, banyak diperkatakan peranan rangkaian sosial, seperti Facebook, YouTube, dan Twitter, serta  tidak kurang  peranan saluran televisyen al-Jazeera dan kabel diplomatik WikiLeaks.  Tanpa menafikan  peranan  media baru itu yang boleh disamakan dengan peranan mesin faks yang meruntuhkan  Kesatuan Soviet, tetapi peranan yang paling besar terletak pada  keazaman dan keberanian rakyat Arab sendiri. Memang tidak mudah untuk menentang rejim autoritarian yang menguasai tentera dan memiliki  sumber kewangan yang  dapat digunakan untuk meredakan serta melemahkan demonstrasi jalanan. Namun, rakyat Arab bangkit untuk  menunjukkan tempat sebenar  kepada diktator yang tidak biasa mati di atas katil atau tidak mengenal dunia persaraan.
Sejauh mana pemberontakan popular  mampu menerobos seluruh dunia Arab, dipetik   Immanuel Wallerstein dalam komentar  dwibulanan dalam laman webnya  pada awal Februari: “Pemberontakan spontan mewujudkan situasi seperti yang berlaku di Rusia pada tahun 1917 apabila dalam ungkapan terkenal Lenin, ‘kuasa terbentang di jalan,’ dan dengan itu, kekuatan yang teratur dan nekad dapat menawannya, seperti yang dilakukan oleh Bolshevik.”
Adakah   Pemberontakan Arab kedua   mempunyai cukup kekuatan itu menawan kuasa yang terbentang di jalan?
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Mac 2011.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...