Artikel Popular

Friday, May 18, 2012

Peta dan Tinjauan Pendapat Pilihan Raya

JUMAAT, 18 Mei 2012
Oleh: ZULKIFLI  SALLEH




Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat akan berlangsung kira-kira enam bulan lagi.  Namun, analisis mencurah-curah sejak beberapa bulan lalu, iaitu sejak Republikan mengadakan kokus dan pemilihan awal, misalnya perbandingan antara kedua-dua calon yang dijangkakan bertanding, iaitu Presiden Barack Obama dengan Mitt Romney, dan  tidak kurang juga kubu dan strategi calon. Romney dikatakan menggunakan strategi Bill Clinton.  Harta kekayaan calon turut didedahkan, sama ada oleh calon itu sendiri, seperti yang dilakukan oleh Obama, ataupun oleh pihak lain yang bertujuan menyerang.  Serang menyerang melalui iklan semakin rancak:  "The Defeat of Barack Hussein Obama"  lawan  Romney sebagai pemusnah pekerjaan.  

Kedua-dua belah pihak juga sibuk dengan pengumpulan dana sambil melibatkan individu terkenal, seperti George Clooney untuk Barack Obama.  Setakat bulan lalu, jumlah dana yang dikumpulkan oleh Romney dilaporkan dapat menyaingi Obama: AS$40.1 juta berbanding dengan AS$43.6 juta untuk Obama.


Tidak cukup dengan isu semasa, sejarah masa lalu turut dibongkar, misalnya Obama dikatakan memanipulasikan asal usul Kenyanya untuk meraih sokongan, manakala Romney didakwa pernah mempunyai rekod jenayah, walaupun kecil, cukup untuk membuatkan beliau naik berang.  


Pelayaran Romney ke Rumah Putih penuh ranjau sejak awal lagi kerana beliau terpaksa bergelut dengan tentangan yang sengit daripada calon-calon lain dalam parti beliau sendiri, iaitu Republikan.  Apabila beliau memperlihatkan kelebihannya dalam menghadapi mereka, kempen Obama mula menjadikan beliau sasaran. Bahkan, pasukan kempen Romney menimbulkan masalah kepada beliau, seperti yang diulas dalam The Washington Post: Beliau menggunakan medan ekonomi untuk menyerang Obama, tetapi sekutunya mengganggu rancangan beliau. 


Sementara pihak akhbar mula sibuk dengan tinjauan pendapat dan ramalan masing-masing, misalnya The Huffington Post melalui papan pemuka yang memperlihatkan Barack Obama mendahului Romney untuk memperoleh sekurang-kurangnya 270  undi badan pemilih. 

Akhbar The Washington Post pula menyediakan peta pilihan raya untuk perlumbaan antara kedua-dua calon itu.  Perlumbaan Presiden itu akan diputuskan oleh beberapa negari utama.  Kaum, pendapatan, dan pengangguran boleh memberikan impak terhadap keputusan pilihan raya itu. Setakat ini, Obama dijangkakan memperoleh 196 undi padu  berbanding dengan Romney 170. Sebanyak 41 undi cenderung kepada Obama berbanding dengan 21 undi untuk Romney. Sementara 110 undi menjadi peluang masing-masing yang melibatkan negeri berayun, seperti Nevada, Colorado, Iowa, Wisconsin, Ohio, Virginia, North Carolina,  Florida, dan New Hamsphire. Pada peringkat permulaan,  penjawat kini mempunyai kelebihan berbanding dengan pencabarnya

Sementara peta pilihan raya The New York Times menunjukkan Barack dijangkakan memperoleh undi padu dan undi cenderung sebanyak 217 undi berbanding dengan Mitt Romney 206 undi - satu perlumbaan yang amat sengit. Sebanyak 115  undi peluang masing-masing. 

Tinjauan pendapat, seperti yang dinyatakan  oleh politico.com menunjukkan persaingan sengit di negeri berayun, tetapi Obama masih mendahului.  Sementara di peringkat nasional, Obama mendahului dengan 50 peratus berbanding Romney 42 peratus. 

Tinjauan pendapat terbaharu yang diulas, antaranya oleh John Cassidy dan Guy Benson, dan mencetuskan  kritikan daripada kempen Obama,  ialah yang dijalankan oleh CBS News/New York Times  yang menunjukkan Mitt Tangan Gunting  mendahului "Presiden Gay Pertama," sebanyak tiga mata. "Meskipun tinjauan ini merosakkan sarapan setian orang," tulis Cassidy, "dengan kurang enam bulan lagi, memerhatikan data tinjauan pendapat keseluruhan, Obama mempertahankan kelebihan, terutamanya di peringkat negeri.  Akan tetapi, perlumbaan amat sengit. Bahkan, selepas pemilihan awal Republikan, Romney cukup rapat yang beliau boleh difikirkan menang."

Pengalaman  mengikuti tinjauan pendapat Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2008 dan Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010, bagi saya Nate Silver daripada The New Yor Times, mengemukakan analisis yang terbaik dan jangkaan beliau adalah tepat. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...